Yap Ze Liang
叶哲良
FORM 2
Guru Pembina Negara Bangsa
Dalam meniti kehidupan pada mayapada, peranan guru semakin mustahak untuk
mendidik generasi muda ke arah kebaikan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Ironinya, guru dianggap pencuri gaji. Hal ini adalah mustahil, lebih-lebih lagi guru mengalami
stres yang tinggi sedangkan mereka hanya menerima upah yang sedikit. Bayangkan jika tiada
guru yang melahirkan modal insan yang holistik, bolehkah kita menggapaikan kecemerlangan
negara seperti kini? Tepuk dada tanya selera. Justeru, rasionalnya untuk kita mengupas jasa guru
sebagai pembina negara bangsa.
Pada hemat saya, guru memainkan peranan untuk menerapkan moral dan nilai murni
dalam sanubari anak murid sejak mereka berusia setahun jagung, bak kata melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Dalam menyingkap hal ini, guru menjadi entiti mithali kepada murid-murid
kerana guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Sebagai analogi, guru yang berakhlak mulia
akan mempengaruhi murid-muridnya menjadi budi pekerti mulia. Natijahnya, murid-murid akan
menjauhi anasir negatif supaya tidak menjadi bobrok akhlak, sebaliknya akan berusaha untuk
meningkatkan kemampuan diri sehingga memajukan negara. Benarlah peribahasa, yang baik
dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Walhasilnya, tidak dapat dinafikan bahawa
guru membentuk masyarakat bermoral yang menjadi asas pembinaan negara bangsa.
Dari aspek yang lain pula, guru melahirkan masyarakat yang mahir dalam variasi bidang.
Hal ini demikian kerana guru memperlengkapkan murid-murid dengan ilmu yang luas, bak kata
ilmu pelita hati. Tamsilnya, guru akan berkongsi pengalaman sendiri selain mengajar perkara
dalam buku teks. Tambahan pula, guru juga mencungkil bakat murid dan mengasahnya dengan
mengelolakan pertunjukan, perkhemahan dan pertandingan. Impaknya, murid-murid akan dapat
mencari minat masing-masing dan mengejar impian sehingga berjaya pada hari muka, bak kata
usaha tangga kejayaan. Sudah terang lagi bersuluh, guru ialah medium penyebaran pengetahuan
utama kepada anak muda kita untuk melahirkan cendikiawan sehingga membangunkan negara
bangsa.
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh tak orang kata. Guru ialah faktor yang fundamental
untuk menyemai patriotisme dalam sukma generasi muda. Dalam menyoroti hal ini, guru
memikul obligasi untuk memperkenalkan tanah air kita kepada murid-murid. Misalnya, Program
Cintai Negara Kita dianjurkan di sekolah supaya murid mengenali negara kita secara lebih
mendalam. Ingatlah peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Dengan ini, remaja akan sanggup
mengorbankan diri dan berbakti demi negara. Secara tidak langsung, semangat perpaduan turut
dipupuk kerana semua warganegara bertungkus lumus untuk matlamat yang sama, iaitu
meningkatkan kemajuan negara. Keadaan ini persis peribahasa, bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat. Intihannya, memang izharlah bahawa tanpa guru, semangat
patriotisme tidak akan disemarakkan sehingga menggugat keharmonian negara.
Jika ditelusuri dari perspektif yang lain pula, guru memberikan bimbingan dan kaunseling
yang tidak berharga kepada murid. Bantuan mereka diumpamakan sejalur cahaya cerah yang
menarik murid-murid dari neraka sebelum nasi sudah menjadi bubur. Dalam sesi kaunseling,
guru akan menjadi pendengar setia manakala murid hanya perlu meluahkan masalah sendiri.
Apabila sesuatu masalah diluahkan, murid-murid akan merasa lebih lega. Guru juga akan
memberikan penyelesaian jika perlu. Kesannya, kes bunuh diri akibat kemurungan ataupun
gejala terorisme dapat dielakkan supaya dapat membendung keadaan sudah terhantuk baru
tengadah. Tegasnya, jasa guru tidak boleh dipandang remeh dalam pembangunan negara bangsa
kerana dapat menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kes jenayah.
Akhirulkalam, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa tanpa guru, kita tidak
akan dapat membina negara bangsa sebegini. Oleh itu, janganlah kita sesekali menjadi seperti
kacang lupakan kulit, sebaliknya kita seyogia menghargai jasa guru yang tidak terhingga. Para
guru juga patut melaksanakan komitmen yang jitu sebagai seorang pendidik. Dengan ini, negara
kita akan menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang sehingga duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi dengan negara-negara mapan di seantero dunia.