Latar Belakang Ilmu Etika dan Peradaban MDKPEP.Bahagian 1.Topik 1 (Bhg… (Bhg… Etika dan peradaban adalah dua konsep yang bergerak seiring. Di mana ada etika, di situ ada peradaban dan di mana ada peradaban maka di situ juga akan ada etika. Tokoh-tokoh falsafah awal dunia seperti Socrates, Plato dan Aristotle telah membicarakan dua konsep etika dan peradaban ini semenjak tahun 470-300 SM dan karya Plato yang paling popular iaitu ‘Republic’ sekitar tahun 380 SM telah menyentuh secara langsung tentang dua konsep etika dan peradaban ini. Oleh kerana falsafah Socrates tidak ditulis oleh beliau sendiri tetapi oleh sarjana-sarjana terkemudian maka karya Plato ini menjadi rujukan bertulis yang terkenal dalam proses memahami dua konsep etika dan peradaban sejak zaman dahulu sehingga kini. Karya ‘Republic’ ini berdasarkan kepada falsafah Socrates yang membicarakan konsep teras utama etika iaitu keadilan dengan fokus kepada pembentukan negara dan manusia yang adil. Socrates telah menerangkan tentang konsep keadilan dan sama ada manusia yang adil lebih bahagia berbanding dengan manusia yang tidak berlaku adil. Daripada konsep keadilan manusia ini, ianya telah berkembang dalam pelbagai dimensi kehidupan dan membentuk peradaban manusia dan seterusnya ke arah pembinaan negara bangsa. Socrates berpendapat, manusia yang baik akan melakukan kurang masalah atau kemudaratan kepada manusia yang lain walaupun kepada musuh mereka sendiri. Begitu juga dengan pemerintah, di mana Socrates menyatakan mana-mana pemerintah yang tidak melaksanakan prinsip yang adil dalam sistem pentadbirannya akan dianggap sebagai pemerintah yang gagal sama seperti seorang lelaki yang gagah tetapi sering melakukan kesilapan akan dianggap sebagai seorang lelaki yang lemah dan gagal dalam kehidupannya. Untuk menjadi pemerintah yang adil, memiliki ilmu pengetahuan adalah kunci utama, amat penting dan perlu ada pada diri seorang pemimpin. Aristotle (384 – 322SM) dalam karyanya ‘Magna Moralia’ (etika teragung) menjelaskan falsafah asal etika mengenai konsep ‘kebaikan adalah pengetahuan’ sebenarnya dipelopori oleh Socrates. Socrates juga dikatakan sebagai pelopor kepada konsep ‘kebaikan moral’ dan individu yang bertanggungjawab memberi makna kebaikan moral dan menyebarkannya ke seluruh dunia. Pengaruh falsafah etika Socrates ini dihuraikan dengan lebih terperinci dalam karya Aristotle iaitu ‘Nicomachean Ethics’ yang akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam bahagian teori etika klasik yang berkaitan dengan Teori Kebaikan oleh Aristotle. Sementara itu, falsafah Socrates yang menyentuh secara langsung mengenai pembinaan peradaban manusia yang dihuraikan oleh Plato dalam karyanya ‘Republic’ secara jelas membahagikan manusia kepada tiga kelas sosial iaitu pekerja, tentera dan pemerintah. Setiap kelas masyarakat ini mempunyai nilai moral atau etika yang harus dipegang dan dilaksanakan. Untuk menjadi kelas pekerja, seseorang itu mestilah mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu misalnya ilmu pertukangan, pertanian, penternakan. Jika dalam kelas tentera pula, seseorang itu harus mempunyai sifat keberanian, gagah dan sanggup mengembara. Sementara untuk menjadi pemerintah seseorang itu perlu memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, rasional, kawalan kendiri, mencintai kebijaksanaan dan boleh membuat keputusan yang baik dan tepat untuk masyarakat. Semua nilai yang perlu ada pada tiga kelas masyarakat berdasarkan falsafah peradaban manusia oleh Socrates ini telah berkembang kemudiannya menjadi falsafah kepada konsep moral atau etika sejagat yang digunapakai sehingga ke hari ini.