TEKS PENGACARA MAJLIS PERSARAAN TEKS PENGACARA MAJLIS “KASIH DISEMAI BAKTI DITUAI” SEMPENA PERSARAAN TUAN HJ MAWARDI Pagi yang indah penuh ceria. hari yang berbahagia penuh bermakna kita raikan Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” sempena persaraan Tuan Haji Mawardi PK Ko-kurikulum SKPBS,. BismilLahir Rahmanir Rahim . Assalamu `Alaikum W.B.T Yang Berusaha Pn Hjjh Rokiah bt Ismail Guru Besar SK Pdg Besar (S). Yang Dihormati En. Mohammad Saghir B. Mahmud, Guru Penolong Kanan 1, Pn. Bebee Arifa Bt. Said Rastan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Yang Dihormati Tuan Haji Mohd Nor B. Ibrahim, Yang Dipertua PIBG SKPBS. Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi PK Ko-kurikulum SKPBS,. Seterusnya, murid-murid, hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian. Selamat datang ke : Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” sempena persaraan ,Tuan Haji Mawardi PK Ko-kurikulum SKPBS Sirih berlipat sirih pinang Sirih dari Pulau Mutiara Pemanis kata selamat datang Awal BismilLah pembuka bicara Sarung ketupat berisi inti Dibawa budak sambil berlari Kehadiran semua sangat dihargai Moga Majlis bertambah seri Bunga mawar cantik tersemat Dipetik gadis di tepi titi Doa dibaca memohon Rahmat Moga Majlis sentiasa diberkati Bagi menambah keberkatan Majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh: Ustaz Zuraimy B. Ali. Majlis dengan segala hormatnya dipersilakan. Amin Amin Ya Rabbal `Alamin Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ustaz Zuraimy atas bacaan doa itu tadi. Jasamu dikenang Budimu tak terbilang Semangatmu dijulang Kepimpinanmu gemilang Begitulah yang boleh kita perkatakan atas segala bakti dan kepimpinan yang ditaburkan oleh Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman sepanjang perkhidmatan beliau di dalam dunia pendidikan yang berakhir sebagai PK Ko-kurikulum SKPBS Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian, Majlis diteruskan dengan ucapan daripada wakil murid Muhd Alif Ajwad Dipersilakan. Terima kasih diucapkan kepada Muhd Alif Ajwad atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi. Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan wakil guru En. Mohammad Saghir B. Mahmud, ntuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan. Terima kasih diucapkan kepada En. Mohammad Saghir B. Mahmud, atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi. Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada yang Berusaha Pn Hajjah Rokiah B. Ismail untuk menyampaikan ucapannya. Dipersilakan. Terima kasih diucapkan kepada yang Berusaha Pn Hajjah Rokiah B. Ismail atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi. Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada yang dihormati Tuan Haji Mohd Nor B. Ibrahim YDP PIBG untuk menyampaikan ucapannya. Dipersilakan. Terima kasih diucapkan kepada yang dihormati Tuan Haji Mohd Nor B. Ibrahim YDP PIBG atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi. Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian, Tiap pertemuan pasti ada perpisahan Itu adat, itu lumrah kehidupan Begitulah rentetan perjalanan Walau sukar untuk ditelan Tapi kaki tetap mengorak jalan Selagi hayat dikandung badan Untuk itu, marilah sama-sama kita saksikan persembahan sajak oleh Adik Abadiah dan multimedia sempena persaraan Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman PK Ko-kurikulum SKPBS Itulah sebentar tadi dapat kita saksikan persembahan sajak dan multimedia sempena persaraan Yang Diraikan. Mudah-mudahan persembahan tersebut dapat memberi sumber inspirasi dan kenangkenangan buat kita semua. Buah mengkudu buah bidara Mari disimpan didalam dulang Hari ini tuan genap bersara Jasa baik tuan tetap dikenang Seterusnya, tibalah waktu yang kita nanti-nantikan iaitu ucapan daripada Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman PK Ko-kurikulum SKPBS. Majlis dengan segala hormatnya menjemput dan mempersilakan. Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman atas ucapan itu tadi. Sudah teradat si anak lelaki Mati berjuang, berundur jangan Berani kami menjunjung adat Bukan memberi kata dan puji Hanya budi dalam ingatan Buat kenangan sepanjang hayat Bagi memeriahkan lagi Majlis kita pada hari ini, marilah sama-sama kita saksikan persembahan daripada murid Tahun 4 A yang akan menyampaikan nasyid yang bertajuk Buatmu Guru. Dengan segala hormatnya dipersilakan. Demikianlah tadi persembahan nasyid yang sungguh syahdu penampilan persembahan yang cukup istimewa. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan sketsa, persembahan daripada murid tahun 5A. Dengan segala hormatnya di persilakan. Begitu bersahaja murid-murid anak didik Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman melakonkan watak guru kesayangan mereka. Persemabahan seterusnya ialah persembahan pantun khas ditujukan untuk Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman Dengan segala hormatnya di persilakan. Demikianlah tadi persembahan pantun yang mencuit rasa dan menjadi ingatan untuk kita semua. Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan buat insan yang kita raikan pada hari ini iaitu Tuan Haji Mawardi B. Othman Sebelum itu, Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada Puan Hjjh Rokiah B. Ismail,untuk mengiringi Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman untuk menerima cenderamata kenang-kenangan. Dengan segala hormatnya dipersilakan. Kita akan mulakan dengan penyampaian cenderamata daripada wakil-wakil kelas. Dipersilakan wakil daripada kelas Pra-sekolah ,kelas 1 Arif, 1 Bestari, 2 Arif, 2 Bestari, 3 Arif, 3 Bestari, 4 Arif, 4 Bestari, 5 Arif, 5 Bestari, 6 Arif, dan 6 Bestari Seterusnya Majlis mempersilakan kepada Yang Dihormati Pn Hjjh Rokiah Bt Ismail untuk menyampaikan cenderamata daripada Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan SKBPBS. Sekarang kita jemput Yang Dihormati Tuan Haji Mohd Nor B. Ibrahim, Yang Dipertua PIBG untuk menyampaikan cendamata kenang-kenangan kepada yang diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman Sekarang kita jemput wakil pekerja untuk menyampaikan cendamata kenang-kenangan kepada yang diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman Itulah tadi upacara penyampaian cenderamata kenang-kenangan khusus untuk Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman’ Majlis merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman atas kesudian menerima cenderamata itu tadi. Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih di atas kesudian Yang Berusaha En. Saghir B. Mahmud, Guru Penolong Kanan mengiringi Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman sebentar tadi. Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua penyampai cenderamata sebentar tadi. Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan Umpama berkayuh telah sampai di muara Umpama berjalan telah sampai ke destinasi Para hadirin sekalian, kita telah pun berada di hujung acara. Kuning emas masaknya padi Mawar merah dalam jambangan Terima kasih daun keladi Budi tuan jadi kenangan Tuai padi antara nampak Esok jangan layu-layuan Intai kami antara nampak Esok jangan rindu-rinduan Majlis juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman kerana sudi untuk bersama kita pada hari yang penuh bermakna ini dan kami semua mendoakan agar Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman bertambah ceria dan bahagia di dalam kehidupan seharian. Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu dan hadirin yang sudi meluangkan masa bersama-sama memeriahkan Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” ini. Di kesempatan ini juga, kami ingin menyampaikan seloka khusus buat yang diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman. Assalamualaikum pembuka bicara Madah disusun mengungkap rasa Suasana suram pagi yang hiba Bagai mengerti gelodak jiwa CikguMawardi panggilan mesra Guru veteran yang banyak berjasa Mendidik anak bangsa bukan sebentar cuma Tiga dekad begitulah lama Dari muda hingga berusia Menjalankan tugas dengan setia Menabur bakti mencurah jasa Tak terbalas dek pelajar semua Kini sudah tibanya masa Berundur Cikgu Mawardi kerana bersara Hilanglah permata yang berharga Hilang seri hilang cahaya Sudah biasa kita dengari patah tumbuh hilang berganti namun tak sama guru yang ini Tak mungkin ada galang ganti Kenangan manis kekal selamanya Jasamu cikgu tak mungkin dilupa Pemergianmu cikgu kami redha Sudah suratan berpisah akhirnya Sampai di sini seloka kami Tidak berakhir hubungan ini Silaturahim terus terpatri Biarpun cikgu Mawardi tiada di sisi Ampun dan maaf kami pinta Andai pernah mengusik rasa Jenguklah kami sekali sekala Andai rindu datang menjelma Semoga cikgu Mawardi sihat sejahtera Menyusuri hari-hari yang ceria Di samping beribadat pada yang Esa Moga dilindungi Allah sentiasa. Majlis sudah sampai ke penghujungnya, kami selaku pengacara ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang kami mengacarakan Majlis ini. Pergi ke dusun memetik kelapa Kelapa muda si kelapa barli Jari disusun maaf dipinta Panjang usia bersua kembali Dengan ini, berakhirlah sudah Majlis kita pada hari ini. Sebelum bersurai, kita akan menyaksikan upacara menanam pokok sebagai tanda ingatan kita yang tidak akan luput terhadap yang diraikan Tuan Haji Mawardi B. Othman di SKPBS ini , Sekian sahaja, salam hormat, Wa BilLahit Taufiq walHidayah Wassalamu `Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh. PANTUN MAJLIS PANTUN PEMBUKA ACARA Melati kuntum tumbuh melata, Sayang merbah di pohon cemara; Assalammualaikum mulanya kata, Saya sembah pembuka bicara. Ingin rasa memakan kari, Kari cendawan batang keladi; Girang rasa tidak terperi, Bertemu tuan yang baik budi. Mencari timba si anak dara, Di bawah sarang burung tempua; Salam sembah pembuka bicara, Selamat datang untuk semua. Sayang kumbang mencari makan, Terbang seiring di tepi kali; Selamat datang kami ucapkan, Moga diiring restu Ilahi. Ke Pekan Kuala membeli bingka, Sayang pesanan terlupa sudah; Majlis bermula tirai dibuka, Dengan alunan madah yang indah. Indah berbalam si awan petang, Berarak di celah pepohon ara; Pemanis kalam selamat datang, Awal bismillah pembuka bicara. Mega berarak indah berbalam, Dipuput bayu ke pohon ara; Pemanis kalam selamat malam, Awal bismillah pembuka bicara. PANTUN BACAAN DOA Kalau pergi Tanjung Keramat, Anak manis jangan diangkat; Bersama kita memohon rahmat, Moga majlis mendapat berkat. Tetak buluh kajang sepuluh, Laksana dititing kias ibarat; Angkat tangan jemari sepuluh, Doa di pohon biar selamat. Garam ada kicap pun ada, Sayang lada terlupa bagi; Pantun ada ucapan ada, Sayang tiada berdoa lagi. Lebat kemiri pohonnya rendah, Dahan terikat tali perkasa; Sepuluh jari kami menadah, Mohon berkat yang Maha Esa. Tetak buluh kajang sepuluh, Mari jolok sarang penyengat; Angkat tangan jemari sepuluh, Doa di pohon biar selamat. PANTUN JEMPUT MAKAN Lebat rumbia di Sungai Kedah, Sayang senduduk di tepi muara; Penganan mulia terletak sudah, Samalah duduk menjamu selera. Terbang sekawan si burung merbuk, Batang selasih di Tanjung Dara; Padamu tuan kami persembah, Santapan kasih juadah mesra. Kalau tuan pikat cemara, Buatlah bara bakar selasih; Sudilah tuan jamu selera, Hidangan mesra pengikat kasih. Sungguh indah bunga kemboja, Di bawah atap tepi halaman; Juadah sudah letak di meja, Sudilah santap tuan budiman. PANTUN UCAPAN ALU-ALUAN Bukan rumput sebarang rumpun, Rumput penghias tepi halaman; Bukan jemput sebarang jemput, Jemput memohon kata aluan. Duduk sekawan gadis jelita, Buat santapan untuk pahlawan; Tampillah tuan kami meminta, Madah ucapan kata aluan. Sudilah tuan jalan berlapan, Jalan berlapan di malam kelam; Sudilah tuan beri ucapan, Kata aluan pemanis kalam. Emas tempawan buatmu puteri, Busana indah buat rupawan; Sudilah tuan tampilkan diri, Bersama madah kata aluan. PANTUN JEMPUTAN UCAPAN Terbang di awan burung jentayu, Di atas papan batang selisih; Tampillah tuan kami merayu, Bersama ucapan pengikat kasih. Besar langit di tepi busut, Besar tak muat di dalam peti; Besar hajat kami menjemput, Besar niat di dalam hati. Duduk sekawan si burung unta, Tepi keramat di waktu malam; Pada mu tuan kami meminta, Kata azimat penutup kalam. Terbang di awan burung jentayu, Kerana penat gugur ke bumi; Tampillah tuan kami merayu, Bersama amanat bekalan kami. Pergi ke kota beli selasih, Sayang si dara buat halwa; Berilah kata simpulan kasih, Sulamkan mesra satukan jiwa. PANTUN UCAPAN PERASMIAN Terbang di awan burung jentayu, Di atas papan batang jerami; Tampillah tuan kami merayu, Bersama ucapan kata perasmi. Daun semulur di pekan sari, Batang jerami rebah ke bumi; Madah dihulur sembah diberi, Kata perasmi hajatnya kami. Jangan tertawan alpa duniawi, Hanya indah serupa mimpi; Duhai pahlawan ksatria pertiwi, Hulurkan madah kata perasmi. Kalau tuan pikat kenari, Jangan patahkan batang jerami; Kepada tuan sembah diberi, Mohon rasmikan majlis kami. PANTUN DI AKHIR MAJLIS Banyak keluk ke penarik, Keluk tumbuh pohon kuini; Nan elok bawalah balik, Nan tak elok tinggallah di sini. Bunga dedap di atas para, Anak dusun pasang pelita; Kalau tersilap tutur bicara, Jemari disusun maaf dipinta. Pohon berangan tempat bertemu, Girangnya rasa si anak dara; Baliklah tuan membawa ilmu, Binalah bangsa bangunkan negara. Di atas dahan burung tempua, Melihat rusa tepi perigi; Salam perpisahan untuk semua, Dilain masa bersua lagi. Bunga seroja di atas para, Jatuh ditimpa buah berangan; Andai kata tersilap bicara, Kemaafan jua kami pohonkan. Dari Rokan ke Indragiri, Membawa tinta ke Kuala Linggi; Baliklah tuan rehatkan diri, Esok kita bersua lagi. Dari Kedah ke pekan sari, Beli suasa di Kota Tinggi; Selesai sudah tugas diberi, Di lain masa bersua lagi. PANTUN BUAT WARGA EMAS Bulan purnama ke pekan Kuah, Di tengah hari membeli ragi; Dirimu umpama nyiur bertuah, Padat sari harum mewangi. Curah serbat di atas lantai, Basah tikar lupa disidai; Dikau ibarat karang di pantai, Tak pernah gentar dipukul badai. Pohon sena tepi perigi, Tepi paya si pohon jambu; Hadirmu laksana suria pagi, Menyinar maya tak pernah jemu. Anak dara ke Tanjung Batu, Janji bertemu di Teluk Bayu; Walau usia dimamah waktu, Cekal hatimu tak pernah layu. Bukan gua sebarang gua, Gua penuh pusaka bonda; Bukan tua sebarang tua, Tua penuh ilmu di dada. Pergi ke Nilai membeli jamu, Jamu rasa dari tenggara; Tidak ternilai jasa baktimu, Kepada bangsa juga negara. Tidak goyah pancang seribu, Tika masih badai menderu; Engkau ayah engkaulah ibu, Menumpang kasih mengubat rindu. Pohon beringin tepi keramat, Dengar siulan diufuk barat; Kalau ingin hidup selamat, Buat bekalan untuk akhirat. Beli keladi di Pekan Lidup, Sayang rasa lemaknya kurang; Taburlah budi ketika hidup, Kelak jasa dikenang orang. Pintal kapas menjadi benang, Tenun benang menjadi sari; Barang yang lepas jangan dikenang, Kalau dikenang meracun diri. Pohon senduduk baru di tanam, Sayang mati di pijak pak tani; Dari duduk baik bersenam, Senang hati sihat jasmani. Apa guna siparang panjang, Kalau tidak dengan tujuan; Apa guna berumur panjang, Kalau tidak dengan amalan. Timba suasa ditepi kali, Buat menyimbah si tuan puteri; Berputus asa jangan sekali, Jadikan tabah pakaian diri. Betik muda buat halwa, Kelapa muda santan dirasa; Biar muda di dalam jiwa, Dari tua sebelum masa.