Assalamualaikum….. Pertama sekali ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tuan rumah, Tuan Mohd Sazali bin dan Puan Marina binti kerana sudi menyambut kedatangan rombongan kami dengan hati yang terbuka, dada yang lapang, wajah yang ceria dan kedatangan yang diraikan ini. Alhamdulillah syukur, kepada Allah SWT yang telah memberikan keizinan kepada kita semua untuk bertemu pada hari yang berbahagia ini. Selat Melaka di Pantai Barat, Hendak Menangkap Sekawan Ikan, Kami Datang Membawa Hajat, Hendak Menyunting Bunga Di Taman Sebelum dimulakan denga lebih lanjut, biarlah saya memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Saya Atsani bin Katmin adalah wakil kepada kakak saya iaitu Atikah binti Katmin dan anaknya Muhammad Hisyammudin bin Aminuddin. Untuk pengetahuan semua suami kepada kakak saya ini telah genap 6 bulan meninggalkan kami semua. Jadi saya berharap agar suara saya sebagai wakil arwah diberkati di majlis ini, Insyaallah. Sebelum kita lanjutkan lagi majlis kita pada hari ini, marilah kita bersama-sama membaca ummul kitab untuk kita sedekahkan kepada arwah suami kakak saya ini agar rohnya sentiasa dirahmati dan tergolong di dalam kalangan orang-orang yang beriman insyaallah….AL FATIHAH. Buah kelapa pohonnya condong, baru sekarang hendak berbuah Sudah lama niat kami kandung, baru sekarang dizinkan Allah Al kisahnya sejak beberapa purnama yang lalu, kekanda saya yang dicintai mengadu bahawa si anak terunanya sedang mabuk dilanda angau asmara, makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah dan dalam mimpi mengigau ngigau menyebut nama Nurul Ezzah Jadi tujuan besar kami datang adalah untuk menyambung ikatan silaturahim antara dua keluarga. Lagipun adalah Sunnah nabi, bertanya dahulu- adakah Nurul Ezzah sudah berpunya? Jika belum berpunya saya secara rasmi bagi pihak tuan badan ingin masuk meminang, insyaAllah…” Rombongan peminangan ini dibuat untuk mendapatkan beberapa persetujuan daripada pihak perempuan iaitu : Peminangan meminang anak gadis yang bernama Nurul Ezzah binti Mohd Ghazali ini diterima dengan rela hati tanpa paksaan. Yang keduanya, persetujuan wang hantaran semasa majlis pernikahan seperti yang telah ditetapkan dan dibincangkan. Ketiganya, saya sebagai wakil ingin menyerahkan sebentuk cincin tanda ikatan pertunangan. Keempat, saya juga ingin menyerahkan beberapa dulang hantaran iringan sebagai hadiah sampingan. Alhamdulillah, Pinangan sudah diterima, cincin tanda pinangan juga sudah di terima, maka sudah menjadi adat, setiap pertunangan ada syarat-syaratnya, jadi kami pihak lelaki ingin memaklumkan Tarikh telah ditetapkan bagi Hari pernikahan adalah pada 27 November 2024 (AHAD). Sekiranya ada perubahan tarikh kerana mungkin ada beberapa kekangan yang perlu dihadapi pada masa akan datang, secara zahirnya kita akan mengikut kepada tundaan tarikh baharu yang akan dimaklumkan kemudian. Begitu juga dengan perubahan perasaan atau lebih mudah kita sebut sebagai ketentuan jodoh. Sekiranya pertunangan ini terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tertentu dan ditakdirkan jodoh pasangan ini tidak Panjang, maka apa jua hadiah yang telah kami serahkan pada hari ini tidak akan kami tuntut semula. Begitu juga dengan hadiah yang telah kami terima. Akan tetapi besarlah harapan dan doa kami agar pasangan ini akan terus kekal bersama sehingga ke akhir hayat.