Uploaded by anisaaleehodin

EKSTRINSIK DAN INTRINSIK SEBAGAI PENDEKA

advertisement
EKSTRINSIK DAN INTRINSIK SEBAGAI PENDEKATAN DALAM KRITIKAN
SASTERA
Perkataan “sastera” berasal daripada bahasa Sanskrit, iaitu castra yang disebut syastra
yang membawa maksud kitab suci. Sastera ini merupakan sebuah hasil seni yang
dipersembahkan melalui tulisan, lisan mahupun dari segi digital. Manusia dan sastera tidak
pernah terpisah kerana sastera telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian
manusia. Misalnya, apabila kita mendengar lagu, lirik dalam sesebuah lagu itu juga
merupakan salah satu daripada karya sastera yang dipersembahkan dalam bentuk nyanyian.
Setiap orang yang mentafsir karya dengan pandangan yang berbeza dan tersendiri.
Hal ini adalah kerana sastera mempunyai unsur ketaksaan yang membawa maksud ia
berkemungkinan mempunyai beberapa makna yang berbeza daripada satu kata. Hal ini
menjadikan suatu karya itu dapat ditafsirkan dalam pelbagai bentuk bergantung kepada
seseorang individu. Dalam kritikan sastera, terdapat dua unsur yang boleh digunakan iaitu
unsur ekstrinsik dan intrinsik.
Ekstrinsik adalah merupakan sebuah pendekatan dalam kritikan sastera yang melihat
karya sastera dengan kaitannya dengan unsur-unsur diluar karya sastera seperti melihat
kepada pengarangnya, masyarakat, sejarah dah sebagainya. Sastera akan dinilai dan dikritik
berdasarkan luaran sesebuah karya tanpa dilihat pada karya itu sendiri.
1
Di dalam pendekatan ini, ada empat unsur yang akan digunapakai, iaitu pertama
adalah karya dipandang daripada sudut sejarah. Karya akan dinilai berdasrkan mengapa boleh
wujudnya sesebuah karya itu, melihatkan kepada sejarah yang pernah berlaku atau
sebagainya. Kedua, karya dipandang daripada sudut pengarangnya. Watak dan perwatakan
pengarang menjadi sebab mengapa wujudnya sebuah karya itu. Jadi, karya akan dikritik
berdasarkan personaliti seseorang pengarang. Penelitian sastera ini cenderung membawa
seseorang meluaskan
pandangannya
terhadap
riwayat
hidup
penulis,
minat
dan
kecenderungan penulis, latar belakang penulis dan sebagainya kerana segala faktor tersebut
dapat dihubungkan dengan hasil sesebuah karya. Ketiga adalah karya yang dihubungkan
dengan khalayak atau pembaca. Hal ini berlaku kerana akan berlaku proses timbal balik
antara karya dengan pembaca apabila sesebuah karya dibuat untuk bacaan pembaca dan
pembaca bertindak untuk memahami dan menghayati sesebuah karya sastera itu. Keempat,
karya sastera dihubungkan dengan karya-karya yang lain. Karya ini saling berhubung dengan
karya-karya lain adalah kerana walaupun dua buah karya mungkin terhasil dua jarak waktu
yang jauh, namun masih boleh memiliki unsur-unsur yang sama dalam sesebuah karya.
Manakala, Intrinsik adalah sesuatu unsur yang yang lahir daripada naskah sesebuah
sastera itu sendiri. Intrinsik ini dikaji melalui tema sesebuah karya, plot, gaya bahasa yang
digunakan dan pelbagai lagi. Karya ditafsir dan dikritikan berpandukan karya sastera itu
sendiri. Hal-hal yang dikritik hanya diambil daripada dalaman sesebuah karya sastera itu
sendiri. Segala unsur-unsur yang terdapat dalam teks kan diambil kira dalam pendekatan
dalam kritikan sastera.
2
Terdapat beberapa perkara yang akan dilihat didalam pendekatan intrinsik ini. Karya
boleh dinilai daripada tema bagi sesebuah karya. Tema keseluruhan sesebuah karya penting
untuk mengetahui pokok persoalan yang ingin ditampilkan dalam sesebuah karya sastera.
Seterusnya adalah tokoh atau watak perwatakan yang wujud dalam sesebuah karya sastera.
Karakter harus dilihat daripada sudut watak utama, pembantu, protagonis dan juga antagonis.
Selain itu, latar bagi sesuatu karya itu juga akan dilihat secara menyeluruh. Plot bagi sesuatu
cerita itu juga akan diambil kira dalam pendekatan intrinsik. Pendekatan intrinsik ini juga
akan mengambil kira sudut pandang orang pertama iaitu watak utama, sudut pandangan
orang kedua dan orang ketiga. Gaya bahasa juga akan dinilai untuk memahami keseluruhan
sesebuah karya.
Bagi memahami sesebuah karya sastera, segala pendekatan intrinsik dan ekstrinsik ini
boleh digunapakai. Cerpen Matinya Seorang Perempuan oleh Usman Awang akan
digunapakai untuk menghuraikan unsur intrinsik dan ekstrinsik dalam pendekatan kritikan
sastera. Usman Awang merupakan seorang sasterawan yang hidup pada zaman sebelum
merdeka lagi.
Cerpen matinya seorang perempuan ini jika dilihat daripada sudut latar belakang dan
sejarah, Minah yang merupakan watak utama dalam cerpen ini digambarkan sebagai seorang
janda dan seorang ibu yang kematian anaknya. Hal ini sangat bertentangan dengan realiti
manusia yang mengatakan bahawa seorang janda selalunya sering berhias cantik dan lawa
sehingga wujudnya frasa “janda berhias.” Cerpen ini lahir lima tahun selepas negara kita
merdeka dan ketika itu, negara berada dalam keadaan yang aman dan tenteram. Usman
3
Awang seolah-olah dapat menyelami perasaan Minah sebagai seorang janda. Usman Awang
mungkin melihat daripada pengalaman-pengalaman yang terjadi disekelilingnya.
Jika dilihat daripada sudut pengarang, Usman Awang dikenali sebagai seorang insan
yang berhati lembut melalui pelbagai teknik dan gaya bahasanya. Usman awang sering
dianggap sebagai pejuang sosial menerusi karya-karyanya. Beliau sering peka dan prihatin
terhadap isu-isu masyarakat yang berlaku. Kebanyakkan karya Usman Awang bertemakan
kemanusiaan yang mengangkat martabat golongan bawahan yang sering ditindas. Usman
Awang menemui pelbagai reaksi yang boleh dizahirkan daripada cerpen ini kerana sifat
penyayang yang wujud dalam diri beliau.
Cerpen ini terhasil kerana Usman Awang sering cenderung kepada menghasilkan
karya yang bersifat kemanusiaan dan kehidupan relaliti masyarakat. Usman Awang
merupakan seorang yang bergiat aktif dalam pertubuhan masyarakat seperti Persatuan Hak
Asasi Manusia, Persatuan Malaysia-Palestin dan lain-lain persatuan yang melibatkan unsur
kemanusiaan. Melalui cerpen ini, Usman Awang menyelitakan unsur kemanusiaan daripada
watak Majid apabila dewasa. Usman Awang mencipta watak Minah secara bertentangan
dengan kebiasaan seorang janda. Usman Awang meluahkan segala pemikirannya dalam
sebuah cerpen ini tetapi ia dikupas dari kaca mata seorang kanak-kanak lelaki yang
kemudiannya membesar dengan kisah dan hidup Minah.
4
Hubungan karya dengan khalayak atau pembaca terjadi apabila pembaca dapat
memahami dan mentafsir sesebuah karya itu. Bagi cerpen ini, kesan rasa yang terhasil adalah
rasa simpati dan belas kasihan terhadap watak Minah yang tidak mendapat pembelaan
daripada sesiapa. Malahan, dia ditindas oleh golongan atasan iaitu Cik Leman apabila Cik
Leman menggunakan wang ringgit bagi menutup segala kegiatan jahat yang dilakukan. Karya
yang bertemakan penindasan ini juga melahirkan perasaan marah dan geram para pembaca
terhadap golongan atasan yang sering menindas golongan bawahan. Hal sebegini sering
terjadi dalam masyarakat masa kini menyebabkan pembaca akan merasakan bahawa apa yang
diceritakan di dalam cerpen ini adalah berdasarkan realiti yang terjadi sekarang walaupun
karya ini merupakan sebuah karya lama. Hubungan karya dengan khalayak ini akan menjadi
lebih berkesan apabila idea sesebuah cerita itu secara kebetulan sama dengan kisah hidup
pembaca.
Dalam unsur Ekstrinsik, karya juga dilihat antara hubungan karya dengan sesebuah
karya yang lain. Jika dibandingkan cerpen “Matinya Seorang Perempuan” dengan
penceritaan novel “Harga Sebuah Maruah” oleh Azizi Haji Abdullah, kedua-dua cerita ini
bertemakan penindasan golongan atasan kepada golongan bawahan. Di dalam novel tersebut,
Cah terpaksa berjuang untuk mempertahankan tanahnya daripada dirampas oleh pihak
berkuasa. Namun, novel ini menunjukkan kekuatan Cah apabila dia bangkit menentang
bersama orang-orang kampung yang lain. Cah merupakan seorang balu yang kematian
suaminya dan hidup bersama dua orang anak. Hal ini berbeza dengan Minah yang hidup
berseorangan tanpa hala tuju sehingga menyebabkan dia sering ditindas dan tiada pembelaan.
Minah hanya membela dirinya sendiri dengan berjuang bersenjatakan mulutnya demi
menentang kekejaman Cik Leman.
5
Dari segi Intrinsik pula, cerpen “Matinya Seorang Perempuan” ini memaparkan tema
ketidakadilan dan kekejaman golongan atasan yang menindas golongan bawahan. Golongan
atasan yang berharta dan berpengaruh mengeksploitasi status dan kekuasaanya untuk
kepentingan diri serta menafikan hak insan lain.
“Khabarnya ayah mengeluarkan wang yang banyak juga untuk menjalankan menjalankan
tindakan itu. Pemuda-pemuda nakal itu yang menerima upah ayah itu telah dipesan untuk
memberi amaran kepada Minah.”
Berdasarkan cerpen ini, Cik Leman dengan mudah menutup mulut orang kampung dengan
memberi wang ringgit kepada mereka sehingga mereka mengabaikan segala cerita tentang
Minah menyebabkan tiada orang yang bangun untuk membela nasib Minah. Orang kampung
hanya bertindak mendiamkan diri seolah-olah tiada apa yang berlaku walaupun Minah telah
hilang dalam jangka masa yang agak panjang.
Seterusnya, unsur Intrinsik boleh dilihat dari plot penceritaan sesebuah karya. Cerpen
“Matinya Seorang Perempuan” ini memulakan penceritaan dengan menceritakan tentang
watak Majid yang memberi gambaran buruk terhadap watak Minah. Watak minah dinilai
daripada sudut pandangan seorang kanak-kanak lelaki.
“Saya katakan bahawa saya takut kepadanya. Dia macam setan, mak,” kata saya. Sambil
menatap wajah ibu, saya berkata lagi: “Saya takut, mak.””
Dari sudut pandangan Majid, iaitu seorang kanak-kanak lelaki yang masih berfikiran suci
dan tidak pandai menipu, dia mentafsirkan Minah sebagai seorang yang berperangai setan
dan Majid takut akan Minah.
6
Konflik cerita muncul apabila Minah diperkosa oleh sekumpulan anak-anak muda
dan ditinggalkan disebuah rumah kosong dalam keadaan bajunya yang koyak rabak dan
terlantar pengsan. Cik Leman dikatanya mengupah kumpulan anak muda ini untuk memberi
amaran kepada Minah. Namun kejadian ini seolah tidak berlaku dan didiamkan begitu
sahaja. Setelah kejadian ini, Minah hilang dalam waktu yang lama dan muncul semula
dengan keadaan dan cara yang lain iaitu, Minah telah menjadi gila. Terjadinya suatu
peristiwa apabila Minah keluar memakai kain yang lusuh dan berkebaya tanpa peniti
menyebabkan separuh badannya terdedah dan dia tidak memakai baju dalam.
Plot penceritaan berakhir dengan kesedihan apabila Majid mendapat berita bahawa
Minah telah meninggal dunia kerana mati lemas. Namun, Abang Dahlan mengatakan
bahawa Minah mati akibat dibunuh dan Cik Leman dikatakan sebagai pembunuh Minah
apabila dia merupakan orang terakhir yang bertemu dengan Minah. Cerita berakhir dengan
Majid pergi melawat kubur Minah bersama ayah dan ibunya.
Antara latar masyarakat yang diperlihatkan di dalam cerpen ini ialah masyarakat
kampung yang bersifat tidak ambil tahu dan lebih selesa bersikap pejam mata terhadap apa
yang berlaku disekelilingnya. Setiap perkara yang terjadi kepada Minah hanya dijadikan
bahan cerita tanpa memberi apa-apa pertolongan. Latar masyarakat di dalam cerpen ini juga
memperlihatkan masyarakat yang nakal dan sanggup melakukan apa sahaja demi wang
ringgit. Anak-anak muda kampung tergamak memperkosa Minah apabila diupah oleh Cik
Leman.
7
Latar masa yang ditonjolkan di dalam cerpen ini adalah ketika pagi dan malam.
Majid keluar pada suatu pagi dan mendapati bahawa Minah dikerumuni ramai anak-anak
kampung yang tertawa melihat Minah. Pada malam hari, Salmah yang merupakan mak
kepada Majid bertanyakan kepada Cik Leman tentang apa yang Minah perkatakan
berkenaan hubungan antara Cik Leman dan Minah.
Seterusnya, cerita ini dikupas melalui sudut pandang seorang lelaki, iaitu sudut
pandangan orang pertama iaitu Majid terhadap Minah, seorang janda yang menjadi mangsa
kekejaman dan kerakusan manusia, termasuklah ayahnya sendiri dan orang kampung. Ketika
kecil, Majid berasa takut dan benci pada Minah, namun pandangan itu berubah kepada
simpati dan belas kasihan apabila Majid semakin dewasa. Walaupun Minah sudah
meninggal dunia, semakin Majid membesar dan semakin Cik Leman menjadi semakin
terhormat dimata orang, Majid sering terfikir akan nasib dan kehidupan Munah yang
berakhir dalam keadaan yang tragis.
Di dalam cerpen “Matinya Seorang Perempuan” ini, gaya bahasa yang digunakan
adalah bahasa yang kasar dan agak keras. Minah sering bercakap dengan kasar dan
mengeluarkan kata-kata kesat yang berbaur lucah.
“Yang sedap sekali dalam dunia ini adalah orang jantan, kata Minah kepada Majid”
Orang mula memandang serong kepada Minah dan menganggap dia seorang yang tidak
siuman dan tiada maruah. Hal ini berbeza dengan kebiasaan watak janda yang sering
menjaga adab dan tutur kata supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat.
8
Terdapat banyak nilai dan pengajaran yang boleh kita dapati melalui cerpen ini.
Pertamanya, nilai kasih sayang yang utuh antara adik-beradik. Sebagai contoh, kakak Majid
digambarkan sebagai seorang yang penyayang apabila dia tidak pernah menolak apa-apa
permintaan Majid. Nilai yang seterusnya adalah menghormati. Ini jelas dapat kita lihat
melalui watak Majid itu sendiri. Majid sangat menghormati ayahnya dan sedikit pun tidak
membenci ayahnya walaupun dia tahu perbuatan ayahnya terhadap Minah. Majid hanya
berasa sedikit kesal dan sedih namun masih lagi menghormati ayahnya. Seterusnya, nilai
belas kasihan dan empati dalam diri manusia itu sendiri. Walaupun pada mulanya Majid
berasa benci dan takut kepada Minah, namun apabila menginjak dewasa, perasaan itu
bertukar simpati dan kasihan setelah mengetahui segala penderitaan yang telah dilalui oleh
Minah. Sehinggakan walaupun setelah Minah meninggal dunia, Majid masih lagi terkenangkenangkan Minah dan berasa kesal terhadap apa yang berlaku kepada Minah lebih-lebih lagi
apabila segala penderitaan yang diharungi Minah melibatkan ayahnya, Cik Leman. Hal ini
jelas menunjukkan bahawa majid seorang yang berhati lembut dan bersifat empati terhadap
nasib orang lain.
Melalui cerpen yang dikaji ini, jelaslah bahawa Minah merupakan watak utama yang
menjadi tunggak kepada jalan cerita. Segala cerita berkisarkan tentang Minah dan ditafsir
melalui pandangan seorang kanak-kanak lelaki. Minah merupakan seorang wanita janda
yang sering ke sana ke mari dengan mulutnya yang celupar kerana sering mengeluarkan
kata-kata yang kesat dan berbaur lucah. Minah juga digambarkan sebagai seorang yang tidak
terurus dan berpakaian tidak lengkap.
9
Watak protagonis yang wujud di dalam cerpen ini ialah Cik Leman. Cik Leman
merupakan ayah kepada Majid yang merupakan antara orang kaya di kampung tersebut
kerana menjalankan perdagangan. Hal ini jelas diperlihatkan apabila Minah menceritakan
apa yang telah berlaku antara Cik Leman dan dirinya. Cik Leman juga dikatanya telah
mengupah anak-anak kampung memperkosa Minah untuk memberi amaran kepada Minah
supaya tidak lagi menyebarkan cerita berkenaan dirinya.
Watak Minah yang ditonjolkan oleh Usman Awang di dalam cerpen “Matinya
Seorang Perempuan” ini telah dilengkapi dengan pelbagai unsur intrinsik dan ekstrinsik
yang boleh digunakan dalam kritikan sastera. Cerpen ini lengkap disertakan dengan tema
dan amanat yang cuba disampaikan oleh pengarang kepada pembaca atau khalayak. Cerpen
ini dihasilkan melalui pengalaman dan pemerhatian pengarang iaitu Usman Awang yang
telah menyebabkan terjalinnya hubungan sesebuah karya dengan latar belakang atau sejarah.
Usman Awang mengolah cerita dengan lembut dan tersusun terhadap apa yang berlaku
kepada Minah secara berperingkat.
Unsur Intrinsik pula telah dinilai melalui tema cerpen ini iaitu bertemakan
penindasan golongan atasan kepada golongan bawahan. Secara keseluruhannya, cerpen ini
menonjolkan watak Minah sebagai seorang wanita janda yang sering ditindas dan hanya
mempertahankan diri secara berseorangan dengan hanya bersenjatakan mulut. Cerpen ini
berakhir dengan kematian Minah yang dikatakan dibunuh. Walaubagaimanapun, cerpen ini
sarat dengan pelbagai unsur berkaitan dengan penindasan yang dibuat oleh golongan atasan.
Namun walaubagaimanapun, Minah bangkit menentang dengan caranya tersendiri.
10
Kesimpulannya, segala unsur intrinsik dan ekstrinsik yang terdapat di dalam novel
ini sangat membantu dalam melakukan kritikan sastera. Setelah cerpen ini dikaji
menggunakan unsur-unsur Intrinsik dan Ekstrinsik, karya itu akan lebih difahami oleh
khalayak atau pembaca. Kedua-dua unsur ini boleh digunapakai bagai memahami dengan
lebih terperinci berkenaan sesuatu karya sastera.
11
BIBLIOGRAFI
1.
Hamzah Hamdani. (1998). Konsep dan Pendekatan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka
2.
Yahya M.S. (1983). Asas-asas Kritik Sastera. Singapura: Dewan Bahasa dan Pustaka
Brunei
3.
Sahlan Saman. (1994). Pengarang Teks dan Khalayak. Selangor: Dewan Bahasa dan
Pustaka
4.
Mama Sikana. (1998). Kritikan Sastera Masalah dan Peningkatan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka
5.
Hashim Awang. (1988). Kritikan Kesusasteraan Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka
6.
Anis Sabirin. (1972). Mengenal Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
7.
Ali Ahmad. (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan
Bhasa dan Pustaka
8.
Usman Awang. Biografi. Dimuat turun daripada http://www.snusmanawang.com/about/.
12
Download