Uploaded by Humaira Insyirah

15.12.2023 JUMAAT STPM Semester 1 BM krisis ekonomi

advertisement
Malaysia sudah beberapa kali mengalami krisis ekonomi. Krisis ekonomi berlaku apabila ekonomi berada
pada aras terendah dan terdapat perubahan negatif dalam aspek perekonomian. Krisis ekonomi yang
dialami dalam situasi pandemik kini benar-benar menyebabkan rakyat, khususnya golongan yang
berpendapatan rendah terkesan. Golongan yang dikenali sebagai B40 dan terdiri daripada petani,
penjaja, usahawan mikro, serta pekerja kolar biru merangkumi 40% penduduk Malaysia dan
memperoleh pendapatan seisi rumah dengan purata bulanan di bawah RM4850. Pelbagai pihak
mempunyai peranan untuk memberikan perlindungan sosial kepada golongan B40 yang menanggung
bebanan berat akibat krisis ekonomi.
Pihak kerajaan memainkan peranan yang dominan dalam membantu golongan B40 ketika menghadapi
krisis ekonomi. Kerajaan telah memberikan perlindungan jangka pendek melalui sokongan pendapatan
langsung dalam bentuk bantuan tunai bagi mengurangkan tekanan kewangan golongan B40. Contohnya,
Program Bantuan Prihatin Nasional dalam pakej PRIHATIN, Program Bantuan Sara Hidup yang
menyalurkan bantuan wang tunai, skim i-Sinar, pengurangan cukai pendapatan, dan pemberian diskaun
15 peratus ke atas bil elektrik telah diberikan oleh kerajaan. Kerajaan turut menawarkan perlindungan
insuran secara percuma bagi golongan B40 yang berumur antara 18 tahun hingga 65 tahun melalui Skim
Perlindungan Nasional B40. Jelaslah bahawa kerajaan bertindak secara proaktif dalam menyalurkan
bantuan kepada gologan B40 yang menghadapi krisis ekonomi.
Selain itu, pihak institusi kewangan turut memainkan peranannya. Institusi kewangan, seperti bank
memberikan moratorium atau penangguhan pembayaran terhadap peminjam. Pelaksanaan moratorium
yang diberikan secara automatik selama enam bulan melalui perundingan antara kerajaan dengan
institusi kewangan telah membolehkan golongan B40 menggunakan wang itu untuk pembelian
barangan keperluan. Institusi kewangan tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap
kelewatan pembayaran peminjaman yang kebiasaannya dibuat secara ansuran bulanan. Duit
moratorium yang dianggap sebagai nyawa dapat digunakan dengan sebaik-baiknya oleh golongan Bi
yang tidak mempunyai tabungan untuk berdepan dengan keadaan luar jangkaan atau kecemasan.
Walaupun dalam jangka pendek, institusi kewangan mampu memainkan peranan untuk mengurangkan
bebanan golongan B40.
Masyarakat juga berperanan dalam meringankan bebanan golongan B40 yang menghadapi krisis
kewangan. Masyarakat boleh mengenal pasti golongan tersebut di kawasan kejiranan. Kebanyakan
kawasan kejiranan mempunyai persatuan penduduk atau penghulu yang bertanggungjawab untuk
menjaga kesejahteraan penduduk. Oleh itu, persatuan penduduk atau penghulu boleh membentuk dana
khas, sama ada untuk kegunaan jangka pendek atau jangka panjang dalam usaha untuk melegakan
kesusahan golongan B40. Pihak tersebut holeh mengumpulkan bantuan berbentuk makanan asas dan
wang tunai hasil sumbangan penduduk setempat. Walaupun jumlah sumbangan sedikit, namun
sumbangan itu pasti dapat mengelakkan kemelaratan hidup golongan B40.
Di samping itu, pihak swasta atau majikan sesebuah syarikat juga berperanan dalam menjaga kebajikan
golongan tersebut. Golongan B40 yang menetap di bandar besar menanggung kos sara hidup yang tinggi.
Pemaju perumahan swasta boleh menawarkan kaedah sewa beli terhadap pembelian rumah mampu
milik dengan kadar faedah yang terendah untuk mengurangkan bebanan golongan B40. Sesetengah
syarikat pula boleh menaja pembelian peralatan sekolah, pakaian seragam, buku, dan komputer riba
untuk anak pekerja mengikut keperluan masing-masing. Bagi industri yang berpotensi untuk
berkembang, peluang pekerjaan yang lebih banyak bolehlah dibuka golongan B40. Bantuan sebeginilah
yang sentiasa diharapkan oleh B40 ketika mengalami krisis ekonomi.
Setiap rakyat turut memainkan peranan ketika berhadapan dengan krisis sekonomi. Dalam itu, sifat
jimat cermat perlu menjadi amalan individu. Maksudnya, setiap rakyat, khususnya golongan B40
perlulah berhati-hati dalam berbelanja. Golongan B40 perlu sedar akan keupayaan atau kemampuannya
ketika membeli barangan, ibarat kata orang tua-tua 'ukurlah baju di badan sendiri. Golongan B40 juga
hendaklah mengurangkan perbelanjaan, iaitu memilih dan membeli barangan keperluan sahaja dan
menghindari pembelian barangan yang mahal harganya dan yang mengikut nafsu. Individu perlu
menabung wang untuk kegunaan pada saat kecemasan atau untuk masa depan. Oleh sebab itu, setiap
individu, khususnya golongan B40 harus sedar akan peranannya dalam menangani kemelut ekonomi.
Kesimpulannya, pelbagai pihak berperanan dalam mengurangkan bebanan golongan berpendapatan
rendah ketika menghadapi krisis ekonomi. Ketekalan tanggungjawab dan kerjasama daripada semua
pihak boleh meringankan bebanan golongan B40. Sistem perlindungan sosial yang lebih berkesan untuk
membantu golongan B40 harus dibentuk. Semoga normal baharu yang dihadapi kini dapat memberikan
peluang kepada negara untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial supaya tiada rakyat yang hidup
melarat di negara merdeka ini.
(656 perkataan)
Download