SENI BINA ISLAM: SATU PENGAMATAN Anisah Bahyah Ahmad Wan Kamal Mujani Abstrak Pengertian seni bina memberi kefahaman dan pentafsiran yang berbeza dikalangan arkitek dan juga ahli akademik. Oleh itu, dalam kajian ini penulis membahaskan pandangan di kalangan tokoh Islam dan juga tokoh Barat berhubung seni bina itu sendiri. Antara tokoh Barat yang terawal pada abad ke-19 Masihi yang dikemukakan oleh penulis ialah Nikolaus Pevsner, George Hersey dan Amos Rapoport. Manakala tokoh Muslim pula ialah I.H Qureshi, Hassan Fathi yang turut memberi pandangan dan sumbangan yang besar terhadap seni bina dalam Islam. Sungguhpun demikian, pandangan Barat banyak menumpukan kepada aspek fizikal terutamanya yang menyentuh berhubung struktur bangunan, identiti dan dekorasi. Maka disinilah titik perbezaan yang dapat dilihat melalui seni bina Islam yang menekankan aspek rohani dan jasmani berlandaskan kepada ketauhidan terhadap Allah. Melalui seni bina bangunan masjid, ia menjadi penghubung antara manusia dengan Allah iaitu dengan meletakkan ciri-ciri seni bina Islam itu sebagai tanda kesedaran terhadap keagungan Alllah. Kata Kunci Seni bina, seni bina Islam, struktur bangunan, ketauhidan Pengenalan Seni bina mempunyai pengertian yang amat luas dalam konteks maknanya dan juga ruang lingkup pengertiannya. Seni bina tersebut bukan sahaja merangkumi tempat tinggal, pejabat dan juga bangunan-bangunan keagamaan yang turut mengambil kira faktor-faktor yang terdapat dalam kawasan-kawasan tersebut. Oleh itu, ramai para sarjana dan juga arkitek samada Barat ataupun Islam memberikan pandangan mereka menurut kefahaman masing-masing yang memberi penekanan terhadap unsur material seperti struktur bangunan dan juga dekorasi bangunan tersebut. Walaubagaimanapun, seni bina Islam pula amat menitikberatkan tuntutan rohani dan jasmani yang mengambil kira kehidupan diduniawi dan ukhrawi sebagai tanda 1 ketaqwaan kepada Allah. Oleh itu, ciri-ciri seni bina Islam banyak menampilkan elemen-elemen budaya, iklim, teknologi, kreativiti, imaginasi yang tidak bertentangan dengan syariat Islam. Definisi seni bina Pemahaman terhadap seni bina sangat penting kerana kekaburan mengenainya akan menyebabkan kajian terhadap aspek lain akan terjejas. Dalam pentafsiran maksud seni bina, ahli akademik, pemikir dan para profesional dalam bidang tersebut telah memberikan pelbagai makna mengenainya. Ada antara mereka yang mengatakan bahawa seni bina sekadar bangunan sahaja, atau ada juga yang menyatakan bahawa seni bina tersebut merupakan ciri yang wajib ada dan terdapat pada nilai sesebuah bangunan. Ada juga yang berpendapat bahawa seni bina merupakan jiwa bangunan dan tidak kurang pula yang menganggap seni bina hanya sekadar gaya rupa sahaja. Definisi seni bina boleh dikategorikan kepada seni dan bina. Seni atau art pada asalnya ialah perkataan Latin yang difokuskan kepada kerja tangan atau ukiran. Definisi ini amat luas digunakan pada abad pertengahan khususnya yang berkaitan dengan kerja tangan atau aktiviti teknikal dan ukiran ( Lois Lamya al-Faruqi, 1984). Perkataan bina pula, menurut Kamus Dewan ialah seni atau ilmu merancang, membentuk dan membina bangunan. Ia juga boleh diistilahkan gaya sesuatu bangunan didirikan dan bentuk bangunan yang dibina pada zaman tertentu ( Kamus Dewan, 2005). Pengertian ini turut dibincangkan dalam Oxford Dictionary yang mengistilahkan seni bina sebagai salah satu kesenian dalam mereka bentuk sesebuah bangunan termasuk gaya rupa sesuatu bangunan ( Oxford Dictionary, 1988). Encyclopedia Britannica pula menyatakan seni merupakan satu manifestasi pemikiran, perasaan dan material yang melahirkan satu ciptaan daripada idea-idea mereka yang bergelar seniman. Ciptaan tersebut adalah bergantung di atas kemampuan imaginasi pengetahuan dan tenaga untuk menghasilkan pelbagai karya seni termasuklah seni bina, sastera, tarian dan lukisan (The New Encyclopedia Britainnica, 1995). Seni bina juga merupakan seni dalam teknik mereka bentuk sesebuah bangunan atau kemahiran dalam sesuatu perkara yang berhubung dengan pembinaan. Berdasarkan sejarah silam, seni bina mempunyai pertalian yang rapat dengan bangunan keagamaan seperti tempat–tempat ibadat yang turut mempengaruhi sesebuah masyarakat itu. 2 Mohamed Ali Abdul Rahman dalam Sejarah Seni Dunia menghuraikan bahawa seni bina adalah mendirikan bangunan dengan mengambil kira aspek keindahan dan kedua-duanya merupakan aspek yang tidak boleh dipisahkan. Sejarah seni sentiasa berkembang sejak zaman pra sejarah lagi yang mempunyai ciri-ciri tertentu mengikut peredaran zaman semasa. David Leatherbarrow dan Mohsen Mostafavi pula mengistilahkan seni bina sebagai sejarah seni bina tradisional atau seni bina moden yang ada hubungkait dengan faktor tipologi dengan menggunakan kaedah mekanikal. Seni bina tersebut adalah berdasarkan kepada material yang digunakan terutamanya yang menyentuh konsep ruang (David Leatherbarrow and Mohsen Mostafavi, 2003). Berdasarkan definisi seni bina di atas, seni bina merupakan bangunan-bangunan yang dicorakkan oleh seseorang yang berkebolehan dalam bidang pembinaan. Ia merupakan hasil seni dan kemahiran dalam membina untuk memenuhi serta menghasilkan keperluan manusia. Konsep seni bina turut menjelaskan dan membayangkan sesebuah tamadun itu dilahirkan bukan sahaja dalam bentuk-bentuk bangunan bahkan boleh dilihat dengan kewujudan tugu-tugu peringatan yang besar. Kebanyakan seni bina agung menjadi simbol kekuasaan raja-raja kerana semakin besar tugu itu, maka semakin besarlah kekuasaannya. Begitu juga dengan pembangunan bandarbandar ketika itu adalah seiring dengan seni bina yang sedia ada. Apabila raja dan rakyat dalam sesuatu dinasti membina bandar-bandar besar ataupun tugu-tugu yang tinggi maka seni bina amat diperlukan untuk pembuatan tersebut. Oleh itu, mereka akan berusaha untuk menghasilkan planplan dan struktur yang baik supaya dapat mencapai keinginan dan hasrat mereka. Seni bina menurut pandangan Islam Terdapat pelbagai pandangan di kalangan para sarjana dan arkitek Islam terhadap seni bina. Ibn Khaldun dalam tulisannya Muqaddimah berpendapat bahawa seni bina merupakan satu daripada ciri ketamadunan yang penting kerana ia adalah mercu kegemilangan sesuatu bangsa atau negara. Keagungan dan ketinggian sesuatu tamadun itu dapat diukur berdasarkan pencapaiannya dalam bidang seni bina (Ibn Khaldun, 1980 ). Hasan Fathi iaitu seorang arkitek dari Timur Tengah memberikan pandangan yang agak berbeza berbanding pandangan-pandangan lain. Beliau menyatakan seni bina itu adalah khusus untuk golongan miskin dan reka bentuknya adalah berpandukan kaedah tradisi golongan 3 tersebut. Pandangan yang diberikan oleh beliau menyebabkan dunia akademik seni bina menyingkirkan dan memperkecilkan beliau (http://arched.org/library/parties/one-party). Muhammad Tajuddin Rasdi pula berpendapat bahawa seni bina dianggap suatu bentuk budaya seni dan kraf yang halus dan teliti yang mempunyai reka bentuk dan corak tertentu yang berkisar kepada pembinaan bangunan-bangunan agung seperti masjid, istana, rumah bangsawan serta makam diraja. Subjek ini sudah pun menjadi suatu pandangan umum yang diterima pakai oleh sebahagian besar masyarakat termasuk umat Islam sendiri (Lihat http:// drtajuddin.tripod.com/home.htm). Menurut pandangan Zulkifli Hanafi pula, seni bina merangkumi berbagai-bagai bentuk dan ruang yang wujud untuk kegunaan manusia. Keperluan seni bina pada awalnya hanyalah sebagai tempat perlindungan daripada cabaran hidup yang menumpukan tempat-tempat seperti gua dan lereng bukit (Zulkifli Hanafi, 1988). Hal ini berbeza dengan Mustafa Daud yang memberikan pandangan bahawa seni bina memberi erti sebagai satu keindahan yang dicetuskan melalui kemahiran dalam binaan, tulisan, ukiran dan pertukangan. Seni bina mempunyai ruang lingkup yang amat luas yang merangkumi segala reka bentuk yang berupa bangunan tanpa mengira sama ada diperbuat daripada kayu, batu marmar, bahan logam atau kaca. Sehubungan itu, penulis berpandangan bahawa seni bina merupakan sesuatu yang menarik yang perlu diberi perhatian bagi setiap individu. Seni bina bukan hanya lahir dalam sesebuah bangunan dalam sesebuah masyarakat yang mendiaminya tetapi mempunyai fungsi yang begitu luas dalam konteks perlindungan daripada sebarang ancaman. Oleh itu, masyarakat di suatu tempat mempunyai teknik-teknik binaan yang tersendiri dalam menghasilkan sesuatu seni bina. Sekaligus kesenian itu dapat dilihat melalui lukisan-lukisan dan kraf tangan-kraf tangan yang menggambarkan kemahiran mereka. Hasil kesenian itu pula berbeza dari satu kawasan dengan kawasan yang lain akibat faktor pengaruh budaya setempat. Seni bina menurut pandangan Barat Sarjana Barat telah memberikan pelbagai perspektif terhadap definisi seni bina. Mereka juga menginterpretasikan seni bina dengan binaan keagamaan melalui tulisan mereka yang mengandungi agenda-agenda peribadi serta cita rasa masing-masing dalam budaya mereka sendiri. Menurut Nikolaus Pevsner dalam bukunya yang bertajuk Outline of European 4 Architecture, beliau menyatakan bahawa istilah seni bina hanya layak diberi kepada bangunan yang mempunyai status tinggi : A bicycle shed is a building; Lincoln Cathedral is a piece of archictecture. Nearly everything that encloses space on scale sufficient being to move in is a building; the term architecture applies only to buildings designed with a view to aesthetic appeal (Ballantyne dan Andrew, 2002). Berdasarkan penyataan di atas, Pevsner memberikan pentafsiran yang agak sempit mengenai pengertian seni bina, walaupun pengkaji seni bina yang terkemuka iaitu Spiro Kostof mempunyai pendirian yang berbeza. Menurut Kastof, definisi seni bina merujuk kepada semua jenis binaan yang merangkumi bangunan biasa dan juga bangunan yang dianggap istimewa. Walaupun semua jenis binaan adalah seni bina, namun menurut beliau lagi terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam penilaian binaan tersebut sebelum layak dikategorikan sebagai sebuah hasil seni bina. Terdapat faktor utama dalam penilaian maksud seni bina sama ada dikenali atau sebaliknya iaitu berdasarkan budaya hidup sesebuah masyarakat dalam binaan itu. Menurut beliau lagi, seni bina bukanlah sesuatu yang wujud secara semula jadi dalam sesebuah bangunan sebaliknya aspek budaya hidup yang dimasukkan ke dalam reka bentuk bangunan tersebut yang boleh melayakkan bangunan itu dipanggil seni bina. Menurut Amos Rapoport pula, definisi seni bina ialah sesuatu binaan yang mengambil kira faktor sosio budaya dalam sesebuah masyarakat. Peranan sosio budaya terhadap sesuatu binaan yang dihuni oleh manusia adalah lebih penting berbanding dengan aspek cuaca, teknologi, bahan atau pun ekonomi. Menurut beliau lagi, selain berperanan sebagai pelindung kepada penghuni daripada panas dan hujan serta cuaca, seni bina juga mempunyai fungsi melindungi penghuni daripada ancaman binatang buas atau pun makhluk halus. Situasi ini termasuklah mengambil kira nilai-nilai kemanusiaan dan keselamatan dalam persekitaran yang diancam bahaya (Synder, James & Catanese, Anthony.J,., 1979). Dalam penulisan William Wayne Caudill, William Merriweather Pena dan Paul Kennon pula, mereka berpendapat bahawa seni bina hanya layak ditafsirkan oleh seseorang berdasarkan pengalaman terhadap sesuatu ruang. Proses penghayatan dan pengalaman yang dilalui oleh individu dalam sesebuah ruang itu berlaku melalui tiga-tiga reaksi yang berlainan iaitu fizikal, reaksi emosi dan intelek. Pengalaman seni bina yang memenuhi kehendak ketiga aspek tersebut mewujudkan interaksi 5 antara manusia dengan bangunan itu sendiri (Caudill William Wayne, Pena, William Merriweather, Keno & Paul, 1991). Hal ini berbeza dengan K.A.C. Creswell yang telah memberi pandangan dalam tulisan yang bertajuk A Short Account of Islamic Architecture bahawa tidak wujud kesenian Tanah Arab terutamanya pada zaman Rasulullah s.a.w. kerana ketika itu tiada sebarang bentuk bangunan yang boleh disifatkan sebagai seni bina dan juga peninggalan artifak seperti arca, lukisan yang dimiliki oleh orang Arab ( K.A. Creswell, 1952). Sementara itu, Frank Lloyd Wright, mendefinisikan seni bina itu sebagai binaan manusia dan alam semula jadi. Hal ini dibuktikan oleh beliau sendiri dalam menghasilkan reka bentuk kediaman yang berbentuk salib dengan meletakkan ruang keluarga di tengah-tengah persilangan pelan. Ruang keluarga di bahagian tengah kediaman tersebut mempunyai tempat unggun api yang dianggap penting oleh Wright kerana menjadi simbol keutuhan institusi kekeluargaan. Wright juga berjaya mereka bentuk perbandaran Broadacre City pada tahun 1932 Masihi dan megintegrasikannya dengan alam semula jadi secara harmoni. Hal ini bertujuan untuk menangani krisis kepadatan penduduk dan masalah infrastruktur di bandar-bandar besar. Pendapat yang sama turut dikemukakan oleh Le Corbuser dalam tulisannya yang bermaksud : Engkau menggunakan batu, kayu, konkrit dengan bahan-bahan ini, engkau dirikan rumah dan istana. Itulah pembinaan. Tetapi tiba-tiba engkau menyentuh hatiku, engkau berbuat baik kepada ku, aku merasa bahagia dan aku berkata: Ini indah? Itulah seni bina. Walaupun tiada satu perkataan khusus yang boleh diketengahkan mengenai maksud seni bina berdasarkan pendapat beberapa tokoh yang telah disebutkan tadi, namun aspek budaya hidup sesuatu masyarakat telah banyak diketengahkan sebagai salah satu pra syarat bagi sesuatu binaan tersebut untuk layak dikategorikan sebagai seni bina. Aspek-aspek seperti emosi, penghormatan, identiti, keselamatan dan keselesaan pengguna merupakan aspek yang dikatakan perlu wujud dalam sesebuah seni bina. Justeru, apa yang dapat disimpulkan ialah dalam seni bina akan terhasil faktor-faktor asas yang wujud dalam sesebuah masyarakat itu. Hal ini diakui seperti mana yang telah diperkatakan oleh Spiro Kostof dalam tulisannya A History of Architecture, 6 bahawa penyingkiran aspek-aspek kemanusiaan di dalam sesebuah binaan hanya melayakkan binaan tersebut dipanggil bangunan sahaja ( Spiro Kastof, 1995). Seni bina Islam Seni bina Islam merupakan sebahagian daripada cabang bidang seni yang dihasilkan oleh sesuatu kelompok masyarakat manusia yang mempunyai fitrah semula jadi cintakan sesuatu keindahan. Justeru itu, seni bina Islam sentiasa disanjung dan dihargai kerana matlamatnya ialah untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Seni bina juga berperanan dalam memenuhi tuntutan jasmani dan rohani yang mempunyai hubungan dalam segi material dan rohani. Oleh itu, Islam telah menetapkan garis panduan supaya seni itu dapat memberikan fungsi yang sewajarnya dan menepati kehendak syariah Islam ( Spiro Kastof, 1995). Selain itu, M.A.J. Beg turut memberi perhatian terhadap seni bina Islam. Beliau berpendapat bahawa ‘the architecture of Islam is the expression of a religion and its view of the world rather than that of a particular people or political or economic system.’ Titus Burckhardt juga memberikan ide dalam tulisannya yang menyatakan seni bina Islam adalah satu manifestasi dalam pembentukan sesuatu tamadun mengikut gaya dan perubahan yang ada pada zaman tersebut. Beliau memberi pandangan bahawa Islam itu dapat dilihat melalui kesenian yang terdapat pada bangunan masjid seperti Masjid Cardova, Masjid ibn Tulun dan lain-lain. Menurut beliau, ‘Would be nonetheless valid, for the art Islam expresses what its name indicates, and it does so without ambiguity” ( M.A.J. Beg, 1985). Seni Islam tidak lahir seiring dengan kelahiran Islam. Namun ia merupakan titik permulaan perkembangan seni bina Islam apabila terdirinya Masjid Quba’yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. di Quba’. Kemudiannya pembinaan Masjid Nabawi pula mengambil contoh Masjid Quba’ dalam asas seni binanya. Pada zaman para sahabat pula, seni bina menampakkan kemajuan dalam pembangunan fizikal yang berteraskan keimanan, ketakwaan dan akhlak yang tinggi. Dalam masjid pada zaman tersebut, telah dihiasi dengan ayat al-Quran yang diukir indah. Pada peringkat permulaan, pembinaan masjid mengutamakan pembinaan menara yang dibina agak tinggi dalam bentuk yang tirus. Menaranya juga adalah berbeza sama sekali dengan menara yang dibina oleh Kerajaan Rom dan Parsi yang didirikan dengan binaan yang agak rendah dan berfungsi sebagai 7 kawalan keselamatan. Seni bina menara ini menunjukkan seni bina semakin berkembang secara evolusi. Apabila munculnya Kerajaan Umayyah, bangunan-bangunan seperti istana dan masjid didirikan dengan tersergam bagi melambangkan kegemilangan sesebuah empayar. Sesetengah bangunan ini dibina hasil daripada kutipan cukai rakyat untuk kepentingan golongan pemerintah dan bangsawan yang ada di kalangan mereka mengagungkan duniawi. Jesturu, ketika itu lahirlah berbagai-bagai bentuk seni bina. Kebanyakan kewujudan bangunan-bangunan tersebut berorientasikan keagungan pemerintah dan bukannya bangunan yang bersifat kemasyarakatan dan kebajikan rakyat. Oleh itu, terdapat pelbagai jenis binaan berbentuk keagamaan atau pun yang berbentuk sekular yang telah didirikan pada zaman pemerintahan seterusnya. Dalam membicarakan tentang seni bina Islam, bentuk dan bahan-bahan mentah yang digunakan banyak dipengaruhi oleh alam sekitar dan latar belakang sejarah dan budaya. Seni bina bangunan Islam terbahagi kepada 3 iaitu; a. Imarah Madaniyah iaitu bangunan yang berbentuk kota-kota dan gudang-gudang. b. Imarah Diniah iaitu bangunan yang berbentuk masjid dan tempat-tempat ibadah yang lain. c. Imarah Harbiyyah iaitu bangunan yang berupa ketenteraan atau benteng-benteng dan menara pertahanan. Kepentingan seni bina menurut Islam dapat diukur dengan kepentingan dan fungsi pembinaan masjid itu sendiri. Ini kerana masjid merupakan institusi utama dalam kebudayaan Islam yang membawa impak terhadap perkembangan agama Islam. Masjid dibina dengan pelbagai bentuk, gaya, corak dan penampilan mengikut zaman dan waktu berdasarkan latar belakang manusia yang membinanya kerana orang yang mendirikan masjid akan mendapat keredaan Allah s.w.t. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadis yang bermaksud : Sesiapa yang membina masjid kerana mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah membangunkan untuknya sebuah rumah di 8 dalam syurga Firdaus. Orang-orang Barat memberi pandangan yang agak negatif terhadap seni bina Islam seperti K.A.C. Creswell dan John D.Hoag. Mereka menolak sebarang ciri seni bina yang terdapat pada zaman Rasulullah s.a.w. sebagai seni bina yang penting. Ini kerana menurut pandangan mereka sendiri, seni itu sendiri tiada hubungan dengan agama. Akibat daripada pengamalan dasar sekukarisme telah membawa kepada pengasingan duniawi dan ukhari. Namun bagaimana pun, pada zaman pemerintahan Khulafa’al-Rasyidin, Barat menerima kewujudan seni bina yang terdapat pada zaman tersebut. Ini kerana perkembangan seni bina pada zaman khalifah Umar alKhatab adalah perkembangan seni bina yang dianggap berjaya dan beliau sendiri mengambil berat tentang pembaharuan terutamanya dalam pembinaan masjid ( Zulkifli Hassan, 2008). Konsep, falsafah dan matlamat seni bina Islam Islam merupakan agama yang lengkap dengan meletakkan konsep keimanan terhadap Allah s.w.t. yang menjadikan semesta alam. Kitab al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. untuk dijadikan panduan dan pedoman sehingga akhir zaman tanpa mengira ras dan budaya sesuatu bangsa. Hal ini dapat dilihat dalam senario masyarakat di Nusantara yang menganut agama Islam dan mengamalkannya seperti mana masyarakat di Tanah Arab. Walaupun terdapat perbezaan budaya antara dua kawasan tersebut, tetapi ia mempunyai persamaan dalam elemen-elemen yang wujud dalam seni bina. Dalam perbincangan berhubung falsafah seni bina Islam pula, adalah rumit untuk menghuraikan isu ini. Penulis berpandangan seandainya seseorang itu ingin mengetahui falsafah seni bina Islam, terlebih dahulu ia mestilah mengetahui tentang maksud Islam itu sendiri. Islam merangkumi cara hidup yang berlandaskan tauhid kepada Allah s.w.t. Oleh sebab itu, amat penting bagi menghubungkan seni bina dengan kehidupan individu Muslim itu sendiri. Sebagai contoh, apabila seorang arkitek Islam itu ingin membina sebuah masjid, perkara utama yang perlu difokuskan ialah perlunya mengetahui arah kiblat, di samping memahami fungsi masjid sebagai pusat tempat masyarakat berhimpun yang berasaskan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Jumuah : 9 yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah 9 (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkan lah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Menurut Hasan Mu’nis dalam tulisan yang dipetik dari Mohd Mokhtar Shaikh Ali, masjid dalam Islam adalah aspek fikrah dan roh. Hal ini kerana menurut sudut fikrah, telah pun ditetapkan oleh Nabi s.a.w. ketika baginda membina masjid yang pertama dan dimaksudkan roh pula ialah roh Islam yang menekankan terhadap keimanan kepada Allah s.w.t. ( Mohd Mokhtar Sheikh Ali, 2003). Menurut Omer Spahic, seni bina Islam mempunyai hubungan yang erat dengan spiritual dan juga fizikal individu muslim. Beliau berkata ‘Islamic architecture came about to facilitate, foster and stimulate to ceaseless ibadah (worship) practices of it users’ (Omer Spahic, 2002). Dalam perbahasan tersebut, beliau turut menyatakan seni bina itu sebagai frame work dalam melaksanakan tuntutan Islam untuk dijadikan dorongan bagi orang Islam dalam melaksanakan ibadah sama ada melalui ibadah harian atau ibadah-ibadah yang lain. Hal ini dapat dibuktikan melalui bangunan masjid-masjid sebagai tempat ibadat utama masyarakat Islam yang boleh digambarkan sebagai identiti, budaya dan tamadun umat Islam itu sendiri. Begitu juga Ibn Abdun iaitu seorang hakim di Andalus pada abad ke-12 Masihi dalam tulisan yang dipetik oleh Stefano Bianca; ‘as a architecture is concerned, it is the haven where mans spirit, soul and body find refuge and shelter.’ Oleh itu, seni bina juga dianggap sebagai salah satu tempat kediaman manusia yang juga tempat perlindungan melalui pembinaan bangunan-bangunan (Stefeno Biancam, 2000) Masjid juga mengandungi elemen terpenting dalam pembentukan pembangunan pembandaran atau perumahan dalam komuniti masyarakat Islam. Masjid menjadi asas kepada konsep ‘neighborhood’ atau dikenali sebagai konsep kejiranan. Ini jelas menunjukkan bahawa masjid memberikan satu input yang positif dalam menjalinkan hubungan mesra antara masyarakat setempat dalam sesebuah bandar atau kampung melalui program-program yang dijalankan di situ. Dalam aspek struktur pembinaan sesebuah seni bina, seorang arkitek perlulah mengkaji agar seni bina itu benar-benar dihayati oleh setiap individu Muslim. Oleh sebab itulah falsafah penghayatan itu penting dengan menghubungkan bentuk fizikal masjid tersebut dengan aspek 10 kerohanian seseorang. Oleh yang sedemikian, dalam sesebuah seni bina adalah jarang sekali masyarakat Islam mengambil berat terhadap falsafah seni bina terutamanya dalam konteks seni bina masjid. Penulis beranggapan bahawa sesebuah seni bina itu mempunyai fungsi yang tersendiri dalam konteks hubungannya dengan Allah s.w.t. Elemen-elemen seperti ruang solat, mihrab, bentuk kubah, menara dan mimbar memberi kesedaran terhadap keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Dalam membincangkan tentang ruang solat utama, tempat ini merupakan ruang yang terbesar dalam sesebuah masjid dan terletak di bahagian tengah dengan menghadap kibalat. Pada kebiasaannya, ruang solat utama berbentuk empat segi dan mempunyai keluasan minimum 40 orang jemaah. Mihrab pula berfungsi sebagai penanda arah kiblat dan menjadi salah satu elemen terpenting dalam sesebuah masjid. Kebanyakan mihrab dibina dalam garisan dinding kiblat dengan berbagai bentuk sama ada separuh bulatan, slinder, menegak atau segi empat bujur. Mihrab lebih ketara lagi dengan hiasan geometri dan tulisan khat ayat-ayat Quran dan ada juga masjid yang menggunakan arca yang berbagai-bagai jenis bagi menunjukkan kepentingan mihrab. Mimbar pula terletak di sebelah kanan mihrab yang digunakan oleh khatib untuk membaca khutbah atau syarahan sebelum sembahyang Jumaat atau sembahyang Hari Raya. Mimbar ini biasanya terletak di tempat tinggi dari alas lantai yang dibina daripada kayu atau konkrit. Sesetengah mimbar mempunyai kubah kecil di atasnya atau berbentuk piramid atau bulat. Keadaan ini adalah bergantung kepada taraf pertukangan pada sesuatu zaman tersebut. Menara adalah tempat bilal melaungkan azan dan mempunyai reka bentuk yang berbeza bergantung kepada kepelbagaian budaya di sesuatu tempat dan persekitaran dan dibina pada tempat yang tinggi (Mansour Abdul Aziz, 1993). Menurut Cherif Jah Abderahman dalam kertas kerjanya yang bertajuk The Minaret, Symbol of a Civilization bahawa, ‘the minaret later become the physical location for this purpose’ dan katanya lagi, ‘how the symbol stands for a multiplicity of principle, a system of values, of knowledge of tradition’( Syed Hossein an-Nasr, 1987). Kubah pula merupakan elemen yang diidentifikasikan sebagai sebahagian daripada seni bina dalam sesebuah bangunan yang dinamakan masjid. Kubah sebenarnya memiliki potensi 11 untuk menjadi ruang secara akustik yang luar biasa kerana pantulan suara yang tidak menimbulkan gema. Pada kubah, gema yang kedengaran akan menjadi seolah-olah berlebihan. Ini akan menjadi luarbiasa sekali jika kita berada di ruang masjid atau gereja kerana kita seolaholah mendengar suara bukan daripada seorang manusia tetapi dari sesuatu yang ghaib. Itulah sebabnya, banyak seni bina pada abad pertengahan baik masjid atau gereja menggunakan reka bentuk kubah. Namun, hanya falsafah yang membezakan antara senibina kubah di masjid dengan kubah di gereja. Ini sejajar dengan pandangan Seyyed Hossein Nasr bahawa, ‘alangkah bedanya antara candi Hindu Dasavatara dengan Masjid Delhi yang keduanya ada di India; atau candi-candi Romawi yang naturalistik dengan gereja-gereja Romaneska yang sama-sama ada di Italia’. Oleh itu, ciri-ciri persamaan terhadap reka bentuk kubah yang wujud di antara sesebuah masjid dengan hiasan puncak kuil, candi atau gereja adalah hasil asimilasi budaya atau tamadun yang diadaptasi ke atas seni bina Islam. Melalui seni bina Islam juga, terdapat beberapa reka bentuk yang perlu diambil perhatian dalam sesuatu binaan Islam terutamanya reka bentuk sebuah masjid. Antaranya ialah elemen geometri, Muqarnas dan Arabesque. Geometri juga merupakan sebahagian daripada elemen penting dalam perhiasan kesenian Islam. Geometri diguna pakai sebagai hiasan yang memperlihatkan hubungan kecantikan dan keharmonian dengan alam sekeliling. Selain itu, elemen geometri juga dilihat sebagai simbol bagi mengambarkan sesuatu bentuk dan corak-corak geometri itu dibentuk berdasarkan beberapa konsep yang digunakan bagi menghasilkan corak geometri yang lebih menarik dan unik. Terdapat pelbagai corak dan bentuk geometri yang terdiri daripada segi empat sama, segi empat tepat, segi tiga, heksagon, pentagon dan octagon (Jaswat Rai 1987). Oleh itu, elemen geometri dilihat sebagai pelengkap kepada keindahan dan kemasyhuran sesuatu binaan itu. Elemen inilah yang menjadi dekorasi di setiap sudut binaan ciptaan pereka-pereka Islam. Selain bentuk geometri, bentuk Muqarnas pula berupa hiasan berpetak atau melengkong yang terdapat pada bahagian Squinch atau susunan pelangi sebagai alat penampung yang juga sebagai unit hiasan. Dalam dunia Melayu, bentuk hiasan Muqarnas tidak pernah muncul kerana pembuatannya agak susah dan memerlukan kemahiran teknik yang tiada dalam tradisi binaan Melayu. Selain itu, Arabesque pula merupakan sejenis hiasan yang bercorak daun-daunan yang khusus dalam kesenian Islam. Hiasan ini termasuklah pucuk, bunga dan ranting yang berbelit12 belit serta tindih menindih yang kebiasaannya terdapat pada kebanyakan masjid di Nusantarawalaupun agak sukar dari segi teknik pembuatannya yang memerlukan kemahiran yang tinggi (Zakaria Ali, 1991). Dalam membincangkan matlamat seni bina Islam, penulis berpendapat bahawa matlamat seni bina itu adalah membentuk umat yang patuh kepada Allah s.w.t. Melalui pembinaan masjid sebagai rumah Allah s.w.t. di atas muka bumi ini, umat Islam dapat menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah s.w.t. Melalui peribadatan dan kegiatan-kegiatan sosial lain. Oleh itu, fungsi masjid adalah sebagai institusi yang tertinggi dalam pembentukan masyarakat dan perpaduan sejagat. Melalui pendidikan pula, masjid menjadi tempat tumpuan para ulama dalam mengembangkan ilmu pengetahuan kepada orang ramai sama ada ilmu ukhrawi ataupun duniawi. Hal ini dapat dilihat pada peranan masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. yang mempunyai pelbagai fungsi yang bukan sahaja sebagai tempat menunaikan solat berjemaah, tetapi meliputi sebahagian bidang kehidupan pada masa itu. Hal ini jelas menggambarkan bahawa masjid merupakan institusi yang tinggi nilainya di sisi masyarakat. Ciri-ciri seni bina Islam Dalam menghuraikan ciri-ciri seni bina Islam, penulis tidak menemui sebarang penghuraiannya yang berkaitan dengannya secara detail. Hasil tulisan yang ditemui adalah lebih berbentuk umum. Antaranya ialah pandangan I.H.Qureshi yang berpendapat ciri-ciri utama seni bina Islam pertama ialah seni bina itu mestilah mempunyai ruang untuk kemasukan cahaya ke dalam bangunan sebanyak yang boleh. Hal ini sesuai dengan keadaan alam persekitaran yang boleh memberikan keselesaan kepada umat Islam semasa mengerjakan ibadat solat di masjid atau rumah kediaman. Kedua ialah menggunakan bahan hiasan seperti tulisan khat atau kaligrafi yang dipetik daripada ayat-ayat Quran dan hadis. Penerapan tulisan kaligrafi amat berkesan dan begitu harmoni sekali bagi melambangkan kehidupan manusia. Ketiga ialah terdapat ruang bilik yang memisahkan antara kaum lelaki dan perempuan. Keempat ialah reka bentuk sesebuah bangunan itu mestilah sesuai dengan iklim setempat di sesebuah negara. Kelima ialah perabot dalam sesebuah bangunan tersebut mestilah sederhana dan indah serta tidak ada unsur pembaziran. Keenam ialah seni bina juga mencirikan luahan perasaan, ketenangan, ketenteraman dan 13 keheningan penghuninya. Dalam erti kata lain tidak wujud sebarang pertentangan antara unsur kerohanian dengan kebendaan mahupun keduniaan atau akhiratan. Ketujuh ialah keselamatan bangunan perlu dititik beratkan dan selamat digunakan dalam jangka waktu yang lama. Keadaan ini terbukti menerusi sesetengah masjid dan bangunan yang telah didirikan hampir seratus 100 tahun tetapi masih utuh dan boleh digunakan dengan selamat. Kelapan ialah arked atau bumbung sepertimana yang dikemukakan oleh E.J. Grube sebagai pelengkap kepada ciri-ciri seni bina Islam seperti yang dinyatakan di atas (Mahayudin Yahya, 1998) Berbeza dengan pandangan yang dikemukakan oleh Spahic Omer dalam tulisannya, ciriciri seni bina Islam mestilah mempunyai bangunan sama ada bangunan didirikan secara peribadi atau pun berbentuk umum yang mementingkan ketauhidan terhadap Allah s.w.t. dan juga kepentingan ummah. Hal ini dapat dibuktikan dengan pembinaan masjid di kota Madinah sebagai asas penyatuan masyarakat dalam bidang agama, ekonomi dan sosial. Selain itu, teknik dan reka bentuk bangunan turut mempengaruhi seni bina Islam tersebut. Ini termasuklah budaya setempat, faktor iklim, geografi dan juga perubahan teknologi ketika itu. Hal ini juga mengambil kira kreativiti, imaginasi, gabungan kemahiran dalam seni bina yang berpandukan ketauhidan kepada Allah s.w.t. ( Omar Sephic, 2002 ). Penambahan ciri-ciri ini turut dikemukakan oleh Mohammad Tajuddin Rasdi dalam tulisannya Konsep Perbandaran Islam yang mencatatkan bahawa ciri-ciri seni bina mempunyai hubungan rapat dengan faktor geografi terutamanya dalam aspek bentuk muka bumi, cuaca, keadaan angin dan suhu. Aspek-aspek ini menjadi penentu kepada keperluan masyarakat terhadap ciri-ciri tertentu pada sesuatu bangunan. Begitu juga dengan falsafah seni bina mestilah berupaya menyesuaikan diri dengan keperluan dan keselesaan masyarakat sesuatu tempat dan bukan sekadar untuk meniru elemen-elemen seni bina asing yang mencerminkan ciri-ciri Islam itu (Mohd Tajudin Rasdi dan Rosdan Abdul Manan). Dalam hal ini, pembinaan sesebuah bangunan itu dianggap mempunyai ciri seni bina Islam tetapi sebahagian arkitek agak meminggirkan faktor ini. Bagaimanapun, penulis melihat terdapat beberapa faktor lain yang dikemukakan iaitu binaan tingkap yang terdapat dalam seni bina Timur Tengah yang terdiri daripada tingkap yang kecil pada bahagian termasuk atas bangunan masjid. Masjid Sultan Suleiman, Istanbul mempunyai tingkap-tingkap yang kecil di bahagian atasnya. Masjid Badshshi, Lahore, Pakistan, tidak mempunyai tingkap tetapi mempunyai gerbang iwan yang 14 besar bersama pintu-pintu yang lain. Hal ini jelas menunjukkan faktor dan cuaca menjadi salah satu faktor utama dalam ciri-ciri seni bina masjid. Bagaimanapun ciri-ciri ini berbeza dengan pembinaan masjid tradisional Nusantara iaitu Masjid Kampung Laut, Kota Baharu dan juga Masjid Kampung Peringgit di Melaka yang mempunyai tingkap yang tersusun dengan jumlah yang banyak. Keadaan ini disebabkan oleh iklim Nusantara yang panas dan lembap berserta hujan yang kerap memerlukan angin secukupnya untuk penyejukan dan pengudaraan. Oleh itu, tingkap menjadi elemen utama dalam sesebuah bangunan Islam walaupun di wilayah-wilayah yang berbeza. Perbezaan ini memperlihatkan keperluan masyarakat terhadap pengaruh geografi setempat dalam sesebuah bangunan tersebut. Pandangan ini berbeza dengan pandangan Earnst J. Grube dalam tulisannya What is Islamic Architecture. Beliau mengetengahkan beberapa kaedah dalam mengenalpasti ciri-ciri seni bina Islam. Pertama ialah seni bina Islam dapat dilihat dalam konteks kediaman masyarakat Islam di Asia Barat yang mempunyai halaman dalaman dan tampak luaran yang ringkas dan tidak mempunyai tingkap. Kedua ialah seni bina dikaitkan dengan bangunan-bangunan seperti masjid dan juga makam yang mempunyai fungsi yang tersendiri dalam konteks penyesuaian dalam aktiviti walaupun mempunyai ruang yang berbeza. Beliau juga mengaitkan seni bina Islam itu dengan aspk-aspek dekorasi yang tertentu seperti corak geometri, bunga-bungaan dan kaligrafi. Secara keseluruhannya, pandangan sarjana-sarjana Islam mahupun Barat terhadap ciriciri seni bina Islam dapat dilihat melalui bangunan masjid yang berfungsi sebagai simbol utama dalam bangunan Islam dan mempengaruhi bangunan-bangunan lain dalam dunia Islam. Terdapat elemen-elemen tertentu dalam reka bentuk bangunan tersebut yang dikenal pasti seperti reka bentuk kubah, tingkap, pintu dan sebagainya yang ada kaitaanya dengan iklim, geografi dan budaya salam sesebuah tempat. Seni bina Islam juga tidak mengenepikan aspek-aspek dekorasi yang mempunyai fungsi yang tersendiri sebagai pelengkap dan memperlihatkan keunikan seni bina Islam itu sendiri. 15 Kesimpulan Melalui pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh para sarjana sama ada Islam mahupun Barat, pengertian seni bina mempunyai ruang lingkup luas yang menyentuh pelbagai aspek dalam sesebuah bangunan. Begitu juga ruang lingkup seni bina Islam, merangkumi aspek material dan spiritual yang mempunyai hubungannya dengan ketauhidan terhadap Allah. Melalui bangunan-bangunan masjid di atas muka bumi ini, maka terciptalah pelbagai reka bentuk yang mempunyai ciri-ciri tersendiri yang mengambil konsep ketauhidan dan juga kreativiti tokoh Islam dalam menampilkan ciri-ciri seni bina Islam yang unggul dan menjadi simbol kegemilangan peradaban Islam pada hari ini. Nota hujung. 1 Hassan Fathi lahir pada tahun 1900 Masihi di Alexandria, Mesir. Beliau merupakan antara tokoh arkitek terkenal di Asia Barat pada abad ke-20. Reka bentuk yang pertama telah dihasilkan dengan membina sebuah sekolah di Talkhan. Beliau juga telah mendapat anugerah pingat emas dalam Union International Architecture. Pelbagai projek yang telah dikendalikan dengan menggunakan ideanya sendiri antaranya ialah Andrioli House-Fayuum (1984), Hassan Fathi-House (1940), Fuad Reyadh House (1967) dan sebagainya. Lihat http://arched.org/library/parties/oneparty[12 April 2012], w.w.w.egyptarch.com [ 12 April 2012]. 2 Muhamamd Tajuddin Rasdi merupakan seorang Profesor terkenal di Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina, UTM. Beliau adalah Pengarah KALAM di UTM. Beliau banyak menghasilkan tulisan yang berbentuk buku, artikel, jurnal, dan prosiding yang berhubung dengan seni bina. Antaranya ialah The Mosque As A Community Development Center, Identiti Seni Bina Malaysia: Kritikan terhadap reka bentuk dan lain-lain lagi. Lihat http:// drtajuddin.tripod.com/home.htm [12 April 2012]. 3 Mustafa Daud ialah pensyarah kanan di Sekolah Pembangunan Sosial di Universiti Utara Malaysia. Beliau banyak menulis buku dan artikel. Antara tulisan beliau ialah Pemikiran Politik Islam, Pengantar Tamadun, Konsep Ibadat menurut Islam dan Institusi Kekeluargaan dalam Islam. Lihat http://books.google.com.my/books? [10 April 2012]. 4 K. A.C. Creswell ( 1879-1959 Masihi ) adalah seorang arkitek yang berminat dalam bidang seni bina Islam yang lahir di London. Minat beliau dalam seni bina tersebut menyebabkan beliau telah dilantik dan ditawarkan sebagai Professor di Universiti Cairo pada tahun 1930 an dalam bidang seni bina Islam. Antara buku yang terkenal yang dikarang oleh beliau ialah Early Muslim Architecture (1932 Masihi) dan The Muslim Architecture of Egypt (1952 Masihi). Beliau juga banyak mereka bentuk masjid, muzium, universiti, istana di negara Asia Barat termasuklah Syria, Mesir dan Palestin. Lihat http://archnet.org.library/image/sites.jsp/select [20 April 2012]. 5 Frank Lloyd Wright (1867-1959 Masihi) dilahirkan di sebuah ladang di Wisconsin Amerika Syarikat pada tahun 1867 Masihi. Sejak kecil lagi beliau suka bermain blok-blok permainan dan ia banyak mempengaruhi komposisi reka bentuk bangunan yang dikemukakannya. Beliau juga cenderung dalam mereka bentuk kediaman bagi golongan pertengahan dengan harga yang murah. Beliau juga dikaitkan dengan pembinaan rumah percutian, bangunan Johnson Wax dan Muzium Guggenheim. Lihat Nik Lukman Nik Ibrahim, Teori dan idea seni. Penerbit NLNI, Kuala Lumpur, 2006, hlm. 141, Lihat juga http://www. cmgwco.com/historic/flw/bio.html.[20 April 2012]. 6 Le Corbusier (1887-1965) lahir di Switzerland dan merupakan seorang arkitek yang terkenal dalam reka bentuk lebih moden seperti rumah, bangunan, penghias dalaman dan sebagainya. Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai pensyarah Diraja oleh Queen Elizabeth IV. Selain itu juga, beliau menjadi Professor Pelawat di Universiti London. Lihat http://architect.architecture.skle-corbusier-architecture/lecorbuser-archi-php [20 April 2012]. 16 RUJUKAN Lois Lamya al-Faruqi 1984. Islamizing The Art Disciplines, Third International Seminar on Islamic Thought : Kuala Lumpur Kamus Dewan. 2005. Dewan Bahasa & Pustaka : Kuala Lumpur Oxford Dictionary. 1988. University Press : New York. The New Encyclopedia Britannica. 1995. Encyclopedia Britannica Inc : USA. David Leatherbarrow & Mohsen Mostafavi. 2003. Surface Architecture, Cambridge Journal, vol.7(1) : 91. Ibn Khaldun. 1990. Muqaddimah Ibn Khaldun. Dar Ibn Khaldun : Beirut. Zulkifli Hanafi. 1988. Tokoh-Tokoh Seni Bina Moden. Universiti Sains Malaysia: Pulau Pinang. M.A.J. Beg. 1981. Fine Arts in Islamic Civilization, Penerbit Universiti Malaya: Kuala Lumpur. Caudill, William Wayne. 1991. Anda dan Seni Bina. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur. Nik Lukman Nik Ibrahim. 2006. Teori dan idea seni . Penerbit NLNI : Kuala Lumpur. Spiro Kastof. 1995. A History of Architecture, The New York University : USA. Shafie Abu Bakar. 1984. Keindahan dalam kesenian Islam. Kertas Kerja seminar Kesenian Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur Al-Qurqan, Tafsir Pimpinan ar-Rahman. 1980.(Terj). Sheikh Abdullah Basmaeih. Jabatan Hal Ehwal Islam Perdana Menteri : Kuala Lumpur. Omar Sephic. 2002. Studies in Islamic built environment. International Islamic University Malaysia, Kuala Lumpur. Stefano Bianca. 2002. Urban Form in the Arab World. Thames and Hudson : New York, Mansour Abdul Aziz al-JAdeed. 1993. Jurisprudence control for mosque architecture. Jurnal of King Saud University, vol.18(1): 18. Syed Hossein Nasr. 1987. Science and Civilization in Islam. Cambridge United Kigdom : UK. http://arched.org/library/parties/one-party[12 April 2012]. 17 w.w.w.egyptarch.com [ 12 April 2012]. http://www. cmgwco.com/historic/flw/bio.html.[20 April 2012]. http://architect.architecture.skle-corbusier-architecture/lecorbuser-archi-php [20 April 2012]. http://www. cmgwco.com/historic/flw/bio.html.[20 April 2012]. http:// drtajuddin.tripod.com/home.htm [12 April 2012]. http://archnet.org.library/image/sites.jsp/select [20 April 2012]. 18