Uploaded by jien wei

Esei

advertisement
Tajuk: Etnik Melayu
Cuba kita ambil sebatang lidi dan patahkan. Tentu dengan mudah sahaja kita dapat
mematahkannya. Bagaimana pula jika lidi itu seberkas? Tentu tidak mudah atau sukar untuk kita
mematahkannya. Analogi ini dapat dikaitkan dengan perpaduan 31 juta penduduk di Malaysia
yang berbilang bangsa. Semangat muhibah dan bersatu pada amat diperlukan oleh negara dalam
menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Mutakhir ini, begitu banyak kes
membabitkan sensitiviti kaum, agama dan adat resam kaum dilaporkan. Daripada tindakan
membaling Molotov Cocktail di perkarangan gereja oleh individu tidak dikenali kepada tindakan
meletakkan kepala lembu di hadapan rumah orang India sehinggalah kepada pertikaian terhadap
kesetiaan sesebuah kaum di negara ini, semuanya menunjukkan kejahilan pihak yang mendalangi
perbuatan tidak bertanggungjawab itu. Oleh yang demikian, pengetahuan tentang budaya pelbagai
kaum terutamanya kaum Bumiputera Melayu yang merangkumi 68.7% daripada jumlah komposisi
etnik adalah penting untuk interaksi antara satu sama lain yang berkesan dalam masyarakat
majmuk. Dengan adanya pengetahuan sebegini, kita akan lebih senang lagi menerima cara hidup
kaum lain sebagai keunikan, seperti yang disarankan dalam Gagasan 1Malaysia.
Rajah 1: Taburan peratus penduduk mengikut kumpulan etnik Malaysia, 2016
Menyingkap sejarah silam, terdapat dua teori yang menyatakan asal usul bangsa melayu
iaitu Teori Yunnan dan Teori Nusantara. Teori Yunnan menyatakan bahawa asal usul nenek
moyang kita berasal dari Yunnan, China. Berdasarkan teori ini, dikatakan orang Melayu datang
dari Yunnan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, iaitu orang Negrito,
Melayu Proto dan Melayu Deutro. Orang Negrito merupakan penduduk paling awal (1000 SM) di
Kepulauan Melayu dan mereka dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunnan.
Gelombang kedua pula dikenali sebagai Melayu Proto yang berlaku kira-kira 2500 SM. Kira-kira
dalam tahun 1500 SM, datang pula gelombang ketiga yang dikenali sebagai Melayu Deutro.
Mereka mendiami daerah-daerah yang subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara.
Kehadiran mereka ini menyebabkan orang-orang Melayu Proto seperti orang-orang Jakun,
Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan
pedalaman. Justeru itu, Melayu Deutro ini merupakan masyarakat Melayu yang ada pada masa
kini.
Rajah 2: Tiga gelombang utama (Teori Yunnan)
Dari perspektif yang lain, Teori Nusantara menyatakan bahawa asal mula manusia yang
menghuni wilayah Nusantara ini tidak berasal dari luar, melainkan dari wilayah Nusantara itu
sendiri. Teori ini didukung oleh sarjan-sarjana, seperti J.Crawford, K.Himly, Sutan Takdir
Alisjahbana, dan Gorys Keraf. Namun, teori ini kurang popular dan sukar diterima oleh
masyarakat. Teori Nusantara didasarkan pada alasan-alasan seperti di bawah.
1. Bangsa Melayu merupakan bangsa yang berperadaban tinggi. Peradaban tidak mungkin
dapat dicapai apabila tidak melalui proses perkembangan dari kebudayaan sebelumnya.
2. Bahasa Melayu memang memiliki kesamaan dengan bahasa Champa (Kamboja), namun
persamaan tersebut hanyalah suatu kebetulan saja.
3. Kemungkinan bahawa orang Melayu adalah keturunan dari Homo soloensis dan Homo
Wajakensis.
4. Perbezaan bahasa antara bahasa Austronesia yang berkembang di Nusantara dengan bahasa
Indo-Eropa yang berkembang di Asia Tengah.
Sehingga tahun 1957, keturunan penduduk Melayu di Tanah Melayu berjumlah 2,427,834
orang, iaitu 49.8% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu. Kegiatan ekonomi utama
masyarakat Melayu persisir ialah perdagangan. Bagi negeri-negeri di pantai timur Semenangjung,
penduduk Tanah Melayu tertumpu kepada kegiatan menangkap ikan dan bertani. Tambahan pula,
kaum wanita di negeri Kelantan dan Terengganu bergiat dalam aktiviti perniagaan kecil-kecilan.
Penguasaan ekonomi kaum Melayu semakin berubah dan merosot setelah campur tangan British.
Kemasukan buruh asing telah mengubah struktur ekonomi masyarakat Melayu. British memegang
dasar agar orang Melayu kekal sebagai petani sara diri dan mengusahakan hasil setakat mampu
menyara hidup. Masyarakat Melayu tidak digalakkan utk menyertai sektor ekonomi moden.
Namun, kehidupan yang mundur dan tradisional telah berubah setelah Malaysia mencapai
kemerdekaan dan menlancarkan dasar ekonomi baru.
Di malaysia, jika merujuk kepada orang melayu menunjukkan orang itu beragama Islam
dan mengamalkan kebudayaan Melayu , berbahasa Melayu dan mempunyai keturunan melayu.
Agama Islam adalah agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Pada awalnya, orang Melayu adalah umat animisme yang mempercayai kewujudan semangat
dalam semua benda. Pada permulaan Zaman Kristian, agama Hindu dan agama Buddha Mahayana
diperkenalkan oleh para pedagang India ke Kepulauan Melayu, di mana ia berkembang dengan
pesat sehingga kedatangan Islam yang dibawa oleh pedagang Arab, India dan Cina. Kini, agama
Islam menjadi agama rasmi Malaysia sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 3 Perlembagaan
Persekutuan. Agama Islam mempunyai beberapa ciri dan keistimewaan unggul yang
membezakannya daripada ajaran-ajaran lain. Ciri-ciri dan keistimewaan Islam termasuklah
Rabbani(ketuhanan), Al-Thabat wa al-Murunah (Tetap dan anjal), Waq’iyyah (Realistik),
Tawazun (Keseimbangan), Syumul (Menyeluruh), ‘Alamiyyah (Sejagat) dan Wasatiyyah
(Kesederhanaan).
Rajah 3: Ciri-ciri dan keistimewaan agama Islam
Dalam agama Islam, solat merujuk kepada sembahyang. Solat terbahagi kepada solat fardu
dan solat sunat. Solat fardu ialah solat yang diwajibkan ke atas orang Islam sebanyak lima kali
sehari pada waktu-waktu tertentu menurut rukun solat yang ditentukan manakala solat sunat ialah
solat yang mendapat pahala jika dikerjakan dan tidak mendapat dosa jika ditinggalkan bagi
penganut agama Islam. Solat fardu lima waktu sehari semalam ialah ibadat yang paling asas dalam
Islam. Penganut agama Islam percaya bahawa di Akhirat kelak, amalan yang pertama sekali disoal
ialah solat. Waktu-waktu yang telah ditetapkan untuk menunaikan solat adalah seperti berikut:
1.
Solat subuh - bermula dari fajar menyinsing hinggalah terbit matahari. Masa yang
diperuntukkan kira-kira 2 jam. - 2 rakaat.
2.
Solat zohor - bermula selepas matahari mulai condong daripada puncaknya sehingga
bayang melebihi separuh panjangnya. - 4 rakaat.
3.
Solat asar - bermula selepas berakhirnya waktu solat Zuhur sehinggalah matahari
terbenam. - 4 rakaat.
4.
Solat maghrib - bermula selepas matahari terbenam sehingga hilang mega merah di ufuk
barat. - 3 rakaat.
5.
Solat isyak - bermula selepas mega merah di ufuk timur hilang dan berterusan sehingga
terbit fajar pada hari keesokannya. - 4 rakaat.
Dari segi bahasa, bahasa Melayu yang menjadi lingua franca penduduk Nusantara sejak
sekian lama bukan sahaja merupakan bahasa utama kaum Melayu bahkan bahasa kebangsaan
Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu
digunakan untuk semua urusan rasmi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga
badan berkanun. Sebagai contoh, bidang pentadbiran undang-undang, kehakiman dan mahkamah
telah menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai alat untuk
menyatupadukan rakyat. Perpaduan negara kita dapat dilihat di mana-mana sahaja. Sebagai
contohnya, masyarakat Melayu sekarang ramai yang mengusahakan perniagaan nasi ayam yang
menjadi lambang masyarakat Cina, manakala masyarakat India juga banyak mengusahakan
restoran yang menghidangkan makanan orang Melayu seperti nasi lemak.
Selain itu, kaum Melayu juga terkenal dengan keenakan makanan tradisionalnya. Salah
satu makanan tradisional yang digemari umum ialah nasi lemak. Nasi lemak merupakan salah satu
makanan kegemaran bagi rakyat Malaysia terutamanya sebagai sarapan pagi. Nama Nasi Lemak
mendapat gelaran daripada penggunaan santan untuk memasak nasi. Santan khususnya merupakan
bahan masakan yang kerap digunakan oleh masyarakat melayu tradisional. Dek itu, Nasi Lemak
dikaitkan dengan penggunaan santan dalam nasi yang membuatkan rasa nasi itu berlemak. Nasi
lemak biasanya dihidangkan dengan telur, ikan bilis goreng, timun, kacang goreng dan sambal.
Kini, pelbagai hidangan disajikan bersama nasi lemak seperti ayam, daging, sotong dan udang.
Selain nasi lemak, lemang turut merupakan makanan tradisi yang disukai orang ramai. Lemang
dijual sepanjang tahun, tetapi lebih meluas pada hari perayaan seperti Hari Raya Aildilfitri.
Lemang biasa dihidangkan bersama rendang atau serunding. Lazimnya, lemang diperbuat daripada
beras pulut dan santan yang dimasukkan ke dalam ruas buluh yang dilapik dengan daun pisang,
sebelum dibakar sehingga masak. Kaedah memasak yang menggunakan buluh ialah cara memasak
kaum asli di Malaysia. Di samping itu, makanan tradisional melayu seperti dodol merupakan
sejenis makanan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan yang manis (atau
manisan/penganan). Dodol sangat terkenal di Melaka dan di Muar, Johor. Selain dodol berwarna
coklat biasa, kini dodol mempunyai banyak perasa lain. Yang paling popular ialah dodol perasa
durian yang dipanggil lempuk. Ia berwarna kuning dan lebih popular di Thailand, Kelantan dan
Terengganu.
Rajah 4: Makanan tradisional Melayu – Nasi Lemak
Rajah 5: Makanan tradisional Melayu – Lemang
Rajah 6: Makanan tradisional Melayu – Dodol
Setelah mengenali makanan tradisional Melayu yang sedap-sedap belaka, marilah kita
bersama-sama belajar tentang kesenian kaum Melayu. Kesenian tradisional Melayu difokuskan
kepada empat kategori iaitu seni tari, seni kraf tangan, seni suara dan seni muzik. Antara seni tari
tradisional Melayu termasuk tarian Mak Yong, tarian Kuda Kepang dan sebagainya. Mak Yong
merupakan gabungan antara unsur drama, komedi, tarian dan muzik. Mak Yong biasa dimainkan
setelah selesai musim menuai dalam kalangan masyarakat nelayan untuk upacara memuja pantai.
Sehubungan itu, tarian kuda kepang turut mendapat sambutan hangat dalam kalangan kaum
Melayu terutamanya di negeri Johor dan Selangor. Tarian ini biasa dipersembahkan dalam upacara
sambutan dan majlis-majlis keramaian. Kuda-kudaan yang diperbuat daripada anyaman buluh ini
tidak berkaki, cuma ada bahagian kepala, badan dan ekor sahaja.
Rajah 7: Seni tari tradisional Melayu. (a) Tarian Mak Yong (kiri), (b) tarian Kuda Kepang (kanan)
Semoga dengan mengetahui budaya kaum lain, rakyat Malaysia akan lebih senang lagi menerima cara
hidup kaum lain sebagai keunikan, seperti yang disarankan dalam Gagasan 1Malaysia. Penerimaan ini
diharapkan akan membawa kepada filsafat yang cuba disampaikan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’,
iaitu kita akan lebih mudah menerima sesuatu itu selepas kita mula mengenalinya.
Rujukan
http://atikasaputri.blogspot.my/2014/04/melayu-dan-asal-usul-melayu.html
https://ms.wikipedia.org/wiki/Etnik_Melayu
https://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Melayu_Malaysia
https://www.slideshare.net/najwahilmi/pengajian-malaysia-sejarah-dan-latar-belakang-kaum-dimalaysia
http://farhanaupsi.blogspot.my/2011/11/adat-resam-masyarakat-melayu.html
https://www.slideshare.net/ggiidoo/budaya-dan-adat-resam-orang-melayu
https://id.wikipedia.org/wiki/Masyarakat_Melayu_di_Malaysia
https://zanas.wordpress.com/pembinaan-bangsa-dan-negara-malaysia-yang-berdaulat/identitimasyarakat-dan-budaya-melayu/
http://www.themalaymailonline.com/opinion/bartholomew-chan/article/pentingnya-memahamisensitiviti-masyarakat-berbilang-kaum#zA1lQ8oAWHRjfMy0.97
https://ms.wikipedia.org/wiki/Demografi_Malaysia
Download