1 KANDUNGAN Tajuk 1. 2. 3. 4. 5. 6. Halaman Dinihari Sesudah Perang Love of Dragon Tik!Tik!Tik Jika Esok Tiba Sahabat 1 6 14 20 24 31 Biodata 2 Dinihari Angin waktu membawa senja jadi malam. Tetapi semilir angin bagai tidak terasa kerana menyangkut pada pohon dan daun-daun yang merimbun. Malam terasa amat panas. Wap kering dan tajam terangkat dari kulit bumi, mengapung di kawasan baru yang ditumbuhi oleh pokokpokok getah. Siapa yang dapat bertahan begini? Seluruh penduduk kawasan itu mengeluh kepanasan. Jendela-jendela rumah dibuka walau nyamuk menyerbu masuk dengan tidak malu-malu. Harus ada orang yang membakar sampah-sampah menghalau nyamuk, kerana bau asap mengepung hidung. Kesesakan nafas tambah terasa oleh bilik-bilik yang diterangi lampu minyak tanah. Bukan Sabil seorang yang turun ke tanah mengharap datangnya angin. Ramai lagi yang berbuat demikian, duduk ditunggul-tunggul kayu dihalaman rumah. Sambil menanti angin dan sambil melonggarkan ikat kain atau langsung membuka singlet, lelaki-lelaki kawasan itu bercerita dengan anak lelakinya tentang gajah liar dari hutan. Tentang seladang dari Tasik Garam. Atau tentang cara bagaimana hendak memajukan lagi kawasan itu. Akan tetapi Fatimah, seperti kebanyakan perempuan-perempuan yang lain lebih suka mengisi malam sepanas itu di dalam rumah sahaja. Menekat, menjahit atau berbincang masalah agama. Kadang-kadang perbualan itu menembusi masalah haid dan jodoh. Fatimah senyumsenyum sahaja mengingatkan Sabil, tetapi ketika itu ibunya sedang menjenguk keluar jendela sambil bertanya kepada ayahnya adakah angin akan turun. Adakah hujan akan turun. “Jangan harap”. Suara ayahnya mengeras dari halaman. ‘Angin tak akan turun. Hujan tak akan turun. Ini barangkali sial gajah bunting. Sial seladang di Tasik Garam di tengah hutan itu!” “Pokok-pokok getah ini baru boleh ditoreh sebulan dulu. Kalau gajah itu mengamuk…kalau seladang itu menyerang… ya Allah, hancur semuanya.” Fatimah mengingat janji-janji Sabil. Kemudian dia menyumpah dalam hati kerana jahitannya tidak betul. Kain dan jarum yang ditangannya dipandang, lalu ketawa kecil. Sabil masih mengingat pesan ayahnya bahawa yang paling susah untuk mencapai sesuatu adalah memulakan sesuatu. Itu Sabil sangat ingat. Betapa tidak, dia sudah merasa pahitnya membangunkan kawasan itu. Sekarang dia mula merasai hasilnya dari peluh yang mengalir. Dari susu getah yang mengalir. Sabil teringat juga bagaimana susahnya hendak menemui Fatimah. Dan yang paling susah adalah menyatakan sesuatu pada senja dia berkesempatan menemui Fatimah. Beberapa saat angin waktu berlalu, tetapi Sabil masih tidak berkata-kata. Dia gugup mendepani Fatimah dan mata Fatimah yang jernih tajam, itu pun sebenarnya tertikam pada tanah. Sabil sedar, bukan dia seorang yang susah memulakan perbualan itu. Fatimah juga begitu. Fatimah tertunduk dan menantikan apakah perlu penantian kalau Fatimah tidak ada sesuatu kata 3 yang hendak disampaikan kepadanya? Sabil cukup maklum. Cukup maklum. Tetapi lidahnya kelu. Hanya setelah beberapa pertemuan, baharu ucapan cinta dan sayang terkeluar dengan tersusun dan harmoni. Fatimah pun telah menjangka demikian. Angin waktu terus membawa malam jadi dinihari. Orang-orang sudah mulai tidur ketika itu, untuk bangun semula dengan penuh tenaga esok paginya. Apa yang hendak mereka lakukan. Panas diluar dan panas di dalam. Panas itu terbawa ke dalam mimpi. Mimpi dan igau selalu mengharap datangnya angin dan turunnya hujan. Badan Sabil mulai terasa sejuk, bukan oleh tiupan angin, tetapi kerana jatuhnya embun dinihari. Dia tahu semua orang telah tidur nyenyak di kawasan itu. Tiba-tiba fikirannya melayang kepada Fatimah. Dia perlu mengumpulkan wang yang banyak mulai sekarang. Dia harus memiliki Fatimah sebelum gajah bunting di hutan beranak, sebelum seladang yang kini bertahan ditengah hutan turun menyerang. Sewaktu dia menaiki tangga, fikirannya tambah kalut. Langkahnya yang sederhana dan perlahan itu bagai langkah pencuri. Fatimah telah setuju untuk menjadi isterinya. Kalau pada hujung tahun telah terkumpul wang yang perlu, akan segera dihantar orang meminang dan tidak lama kemudian kahwin. Yang susah adalah untuk memulakannya. Sabil mengeluh bila mengingat-ingat wang simpannya sekarang. Fikirannya tidak tenang. Dia mahu agar pagi lekas datang dan dia akan lekas menorah. Lekas mengumpulkan wang. Fikirannya yang gelisah itu membuat dia berjalan berkeliling antara bilik tidur dengan pintu. Antara pintu dengan bilik tidur. Kemudian berjalan semula ke pintu dan memandang ke luar. Di luar adalah malam yang hitam. Fatimah pun tidak dapat melelapkan matanya. Ayahnya telah lama mendengkur dan ibunya sekali-sekali mengigau tentang gajah dan seladang yang kini bersembunyi di hutan tidak jauh dari sempadan kawasan itu. Entah kenapa, seolah sesuatu perkara besar akan berlaku pada malam itu. Peluh membasuhi tubuh Fatimah di mana-mana. Sewaktu dia hendak melelapkan matanya, terasa kepada Fatimah rumahnya goyang. Seperti ada orang sedang menaiki tangga. Dan dengan hatihati Fatimah pasti, gegaran itu kian kuat merapati biliknya. Sabil berhati-hati sekali munutup pintu. Jejaknya perlahan dan teratur. Dia sebagai telah melihat jelas isi tubuh Fatimah, dengan senyumannya yang manis dan nakal. Sabil telah hendak merebahkan badannya. Ketika dirasanya pohon-pohon getahnya berderak-derak, dia segera membuka tingkap rumahnya itu. Rumahnya kini bergegar-gegar. Lemas segala perasaan Sabil. “Tidak lain,” sumpah seranahnya dalam hati. “Tentu gajah bunting itu telah turun mengamuk. Tentu seladang-seladang itu telah turun memusnahkan kawasan itu.” 4 “Jahanam! Jahanam!! Habis nanti pokok-pokok getah aku ditumbangkan gajah sial itu. Jahanam kau seladang! Jahanam kau seladang!” Akan tetapi tiba-tiba Sabil terdiam. Dia mulai merasakan bahawa gegaran itu bukan lipatan belalai gajah. Bukan tikaman tanduk-tanduk seladang. Bukan. Bukan.Bukan. Bila rumahnya berderak-derak, dan pokok-pokok getah di keliling rumahnya tumbang, baharu Sabil sedar, bahawa ribut besar sedang turun. Rumahnya bergegar-gegar. Lebih hebat dan kuat. Sabil segera melompat turun dari rumahnya. Bunyi pohon-pohon tumbang, pukulan daun-daun amat ngeri. Dahan-dahan patah dan daun-daun berguguran. Sayup-sayup terdengar orang-orang menjerit. Tetapi jeritan itu tenggelam oleh bunyi pohon-pohon tumbang. Sabil hanya mengingatkan empat perkara: Tuhan, pokok-pokok getah, Fatimah dan akhirnya dirinya. Melalui cahaya kilat yang memancar, Sabil melihat rumahnya menyembah bumi. Berderak amat kuat dan dirasakan Sabil bumi bergegar. Apa yang hendak dipertahankan Sabil. Tanah-tanah telah lama merekah. Telah lama akar- akar kehilangan cengkaman. Sabil terus berlari dan di satu langkah dia hampir tertimpa dahan. Kilat dan deru keras angin masih berlangsung. Dilangit bahagian utara, mendung yang hitam bagai sekawan gajah mula mengembangkan kepaknya untuk turun. Untuk membasahkan seluruh kawasan itu. Dipenjuru sempadan, Sabil melihat pokok-pokok getahnya telah semua tumbang. Dia berlari kencang ke sana. Dia perlu berlindung daripada ditimpa dahan dan batang kayu. Dia merasakan tempat itu selamat. Satu dentuman petir yang kuat membuat Sabil jatuh tersungkur, dan tidak lama kemudian hujan pun turun. Sabil memeluk erat-erat pohon getahnya yang tumbang. Dia mengingatkan-ingatkan nasibnya. Dan tidak sesaat pun dia dapat melupakan Fatimah. Air matanya turut disirami air hujan yang deras. Dan sabil ingat, air mata dinihari itu adalah daripada tangisannya yang pertama sejak kematian ayahnya tujuh tahun yang lalu. Tujuh tahun adalah masa yang paling lama untuk membangun semula kehidupannya yang telah runtuh. Tujuh tahun! Sekarang apa yang tinggal. Hati Sabil menyumpah-nyumpah. Sepanjang hujan turun dan ribut itu, fikiran Sabil terus kacau. Hampir waktu subuh baharu ribut reda dan hanya rintik hujan turun. Miring dan satu-satu. Tetapi hatinya terus kacau. Dia sudah berfikir untuk meninggalkan kawasan itu. Tidak ada apa-apa lagi disitu. Dia ingin merantau jauh. Membina penghidupan baru. Lantas dia teringat, yang paling susah adalah memulakan sesuatu. 5 “Benar,” keluh Sabil. ‘Bahawa memulakan sesuatu itu rumit dan perlukan tenaga dan semangat yang kuat. Tetapi katakanlah aku membangun semula kawasan ini, tidakkah itu bererti memulakan sesuatu juga. Dan bukankah lebih baik aku memulakan suatu kehidupan baharu yang lebih baik.” Rintik hujan terus turun, tetapi sabil tetap membaringkan tubuhnya. Lumpur dan air telah menenggelamkan sebahagian badannya. “Barangkali aku harus berbuat begitu. Lebihnya, apa yang ada di situ? Ribut. Kemarau. Gajah. Seladang dan macam-macam masalah lahir batin. Aku harus meninggalkan kawasan ini.” Rintik hujan telah berhenti waktu remang pagi. Hanya remang-remang. Baru kini Sabil terasa badannya menggigil, tetapi dia berasa berat pula untuk bangun. Dia terdengar suara orang-orang mencarinya. Jauh. Jauh dirumahnya yang telah runtuh. Berat rasanya Sabil hendak bangun. Hanya ketika dia membuka matanya ke arah terbit matahari, dia terlihat Fatimah telah berdiri di sisinya. “Sepanjang turun ribut, di sinikah Sabil?” “Ya, aku di sini. Kau selamat Fatimah?’ “Selamat. Ayuhlah bangun,” sambung Fatimah sambil mengangkat tangan Sabil.” Mereka mencari kau. Tentu mereka menyangka kau tertimbus dalam runtuhan rumahmu itu.” “Mengapa mereka mencari aku?” “Untuk membangun semula kawasan ini.” “Mereka boleh bengunkan semula kawasan ini tanpa aku. Mengapa mereka mencari aku. Mengapa?” Buat pertama kali Fatimah terkejut mendengar kata-kata itu. Dia sesungguhnya tidak mengerti. Seperti juga Sabil tidak mengerti mengapa harus orang-orang kawasan itu mencarinya. “Katakanlah Fatimah, mengapa mereka mencari aku?” “Mereka sayang kepada kau.” “Jangan berjenaka pagi-pagi begini Fatimah” “Mereka, gelap-gelap tadi telah datang ke rumahku. Kau bukan tak tahu ayah adalah ketua kawasan ini. Dan…” “Dan rumahmu selamat Fatimah? Bagaimana orang-orang yang lain?” “Rumahku terselamat. Setakat ini empat buah rumah telah ranap. Haji Bidin patah tulang rusuk. Mak Cik Nor, Kamalia, Dolah Belang dan Mat Jali cedera sikit.” “ Katakanlah kepada mereka, aku akan tinggalkan kawasan ini,” suara Sabil. “Jangan begitu Sabil,” celah Fatimah. ‘Kebanyakan mereka berkata begitu juga gelapgelap tadi di rumahku. Tapi aku bantah.’ 6 “Aku kata kan kepada mereka kata-kata yang pernah kauucapkan kepadaku,’ sambung Fatimah. “Aku cinta kepadamu. Itukah?” “Tidak. Aku katakan kepada mereka, bahawa kau pernah menyebut bahawa yang paling susah adalah untuk memulakan sesuatu. Kalau mereka mahu meninggalkan kawasan ini mereka akan menghadapi kesusahan yang berlipat ganda. Mereka kagum dengan kata-kata itu. Lebih dari itu tentu mereka hormati kau kerana kau kuat bekerja. Sekarang mereka yang mahu meninggalkan kawasan ini mulai berbelah bagi. Kalau kau terus disini, tentu mereka akan terus juga di sini. “Akan tetapi di sini bererti memulakan kerja semula Fatimah,” suara Sabil. “Itu aku tahu. Tetapi kau telah mempunyai pengalaman dan kenangan pahit manis di kawasan ini. Di manakah lagi kau akan cari pengalaman-pengalaman seperti itu?” “Marilah Sabil. Membangun bersama mereka. Menbangun kawasan ini semula. Ayah sudah berkata, akan memusnahkan binatang liar. Adnan telah ke kota menguruskan bantuan. Dan kau… tinggallah di rumahku.” “Esok tidak hanya kau seorang , membangun semula tanahmu ini. Tapi bersama aku. Ya Sabil, untuk memastikan kau..bersama aku.” Langkah kedua-dua mereka, dibawa angin masa ke kelompok orang ramai. Ayah Fatimah telah lama menanti. 7 Sesudah Perang MASITAH baru selesai mandi di sumur itu. Dengan cepat sekali disambarnya sehelai tuala di atas kayu pancangan, lalu menggosok-gosokkan badannya dengan tuala itu untuk mengeringkan basah. Apabila dia mengelap-ngelap betisnya, tahulah dia bahawa fajar mulai naik. Namun desa P.S. masih sepi benar dan dia yakin ramai penghuni desa itu sedang dibungkus mimpi-mimpi. Ranting-ranting pohonan di sekitar sumur itu bergetar, kerana angin pagi mendesah, menyebarkan udara yang dingin. Kokok ayam serta kicauan burung-burung kian meningkat. Masitah memandang arah ke timur – lewat ranting-ranting pokok nangka dan rimbunan daun-daun sawo – dan nampaklah kepadanya warna langit yang kemerah-merahan. Diangkatnya segeluk air untuk membasuh kaki, lalu dia pun mulai berjalan menuju rumahnya. Akan tetapi setelah menapak beberapa langkah, Masitah berhenti. Dia ternampak bayang seorang lelaki menuju ke sumur pada pagi yang masih remang-remang itu. Seratus langkah bukanlah jarak yang terlalu luas antara sumur itu dengan rumahnya. Tetapi sejak 20 tahun kebelakangan ini jarak itu sering menghantui fikiran. Seakanakan jarak tersebut menyediakan sesuatu untuk menganggunya. Dengan debar yang kian memuncak, ditunggunya kehadiran lelaki tersebut. Masitah tahu sekarang, bahawa dalam saat-saat begitu senjatanya hanyalah pekikan jika lelaki tersebut datang membawa niat buruk. Pekikan yang kira-kira dapat membangunkan desa P.S. itu terhadap ancaman yang datang menyergap. Pekikan yang mampu mengundang pertolongan serta- merta. “Sudah siap bu?” Masitah menghela nafas. Dia telah mendengar soalan itu. Pertanyaan daripada Jali, anak lelakinya yang tunggal. Pertanyaan yang tiba-tiba memutuskan rantai bimbangnya pada pagi yang dingin itu. “Sudah,” jawab Masitah. (Dia tidak mengerti mengapa harus berbicara sependek itu, seringkas itu, pada pagi yang jernih kepada anaknya sendiri ). Lama Masitah berdiri di situ, hinggalah dia mendengar kocokan air di sumur. Jali sudah mulai mandi. Dengan langkah yang berat perlahan-lahan, Masitah mulai berjalan menuju rumah. Masitah menunduk mengingatkan sesuatu….. “Engkau Yang Maha Pengasih Lagi Menyayangi, selamatkanlah rumah tangga kami, juga desa ini seluruhnya.” Demikian Masitah memulankan doanya sewaktu dengan tibiatiba didengarnya deru kapal-kapal terbang yang sedang bergerak di atasnya, jauh di atas angkasa, menuju selatan. Masitah memandang ke atas, dan nampaklah kepadanya, dalam ruang angkasa pagi yang masih remang-remang, sederetan kapal terbang, seperti bangau-bangau sawah, terbang bersusun menuju Syonan-to. (Demikian pernah Masitah diberitahu oleh para tetangganya). Jika perang ini harus berlangsung, janganlah ia sampai meragut nyawa suamiku, doa Masitah lagi.Baru satu bulan aku mengalami hidup sebagai seorang iseri. Berilah 8 kepadaku kesempatan untuk memberi bakti kepada suamiku, dan bersama-samanya membina sebuah rumah tangga yang bahagia, bebas daripada perang. Kocakan air di sumur pada pagi itu telah berhenti. Masitah tahu sumur itu akan lama lagi berkocak kerana suaminya sedang tidur pulas. Sementara itu, di angkasa, “bangau bangau sawah” kian menjauh dan derunya semakin sayup-sayup kedengaran. Masitah menyedari air dibadannya mulai mengering, kecuali rambutnya. Sewaktu Masitah hendak meneruskan perjalannya menuju ke rumah, seorang lelaki yang tidak dikenali telah berdiri di hadapannya. Masitah ingin menjerit, tetapi lelaki tersebut telah mulutnya dengan kuat. Masitah tidak tahu sejak kapankah lelaki tersebut menunggunya. Dia tidak menyangka kehadiran lelaki yang tibatiba itu. Yang Masitah tahu, sesat kemudian geluk di tangannya jatuh dan airnya tumpah bersatu dengan embun-embun di hujung rumput…….. Sampai di tangga, Masitah membasuh kakinya. Setelah kedua-dua tapak kakinya dikilir puas-puas sementara air terus turun dari mulut geluk, dan setelah Masitah yakin kedua-dua kakinya telah bersih daripada tanah serta kotoran, diletakkan geluk di sisi tangga. Dia sempat menoleh ke arah naiknya matahari. Di langit sebelah timur sana Masitah nampak sinar matahari yang perlahan-perlahan bangkit memakan cahaya fajar. Desa P.S. yang di sebelah timur sudah terang. Masitah naik, lalu terus menuju kamar tidurnya. Budin suaminya telah bangun dan sedang membuka pakaian malam. “Ada sesiapa di sumur ?” “Jali.” “Ah, bukanlah aku yang sepatutnya berada di sumur sesudah engkau, Mas?” “Sudahlah,”suara Masitah perlahan, “Bukankah hari ini hari istimewa baginya?” Budin diam. Dipandangnya muka Masitah lama-lama.(Perasaan yang aneh tibatiba memukul benaknya, seolah-olah dia akan kehilangan sesuatu pada hari itu). Kemudian, perlahan sekali, dipakainya kain sarung. Diambilnya tuala yang telah siap digunakan Masitah, lalu disampirkannya ke bahu. Dengan perlahan pula Budin menuju tingkap, lalu membukanya dengan begitu hati-hati. Cahaya pergi menerobos masuk dengan tidak silu silu. Kamar itu menjadi terang. Dari arah dapur, pendengaran Masitah dapat menangkap yang Sumi dan Salmi sedang sibuk memasak air serta menyiapkan sarapan. Becok benar mereka bercerita hingga Masitah tidak dapat mendengar dengan jelas butir tutur kata Sumi dan Salmi. Mereka telah menjadi perawan sekarang, fikir Masitah. Tidak lama mungkin datang lamaran buat mereka, dan seterusnya mereka akan berkhawin. Kemudian mereka akan dibawa suami masing masing entah ke mana. Kelak, dapatkah mereka melihat orang tuanya selalu? Kelak kalau orang tuanya sudah mulai sakit-sakit, sedang mereka dibawa jauh oleh suami masing masing, siapakah yang bakal melihat dan merawat orang-orang tua ini? Fikir Masitah lagi. Setelah menyapu bedak, memakai celana dan kutang, Masitah mengambil kain batik berbunga-bunga merah bertanah hitam dari dalam almari. Dipakainya kain batik itu kemas kemas. Kemudian dikeluarkannnya pula baju kebaya warna merah jambu, lalu 9 dipakainya. Masitah menuju meja solek, duduk di hadapannya, lalu menyisir-nyisir rambutnya. “Masitah, aku ingin anak lelaki.” Demikian kata Budin. Masitah seakan-akan mendengar kata-kata itu. Kata-kata yang Budin ucapkan pada malam pertama mereka tidur bersama di atas ranjang. Masitah seakan-akan masih dapat mendengar suara Budin mengiringi kata kata tersebut. Getar yang manja. “Lelaki? Mengapa tidak perempuan?” usik Masitah. Walaupun akhirnya Budin memberikan jawapan tetapi jawapan tersebut lambat sekali diucapkan oleh Budin. “Sekarang ini zaman perang. Tapi Tuhan telah menetapkan yang kita bertemu jodoh pada saat-saat begini. Bukankah kita tidak tahu kapan perang akan berakhir? Kelak, kalau terjadi sesuatu yang tidak baik ke atas keluarga kita, tapi ah, dijauhkan malaikat 44 malapetaka seumpama itu, bukankah anak lelaki itu mampu menguruskan keluarga ini lebih baik daripada seorang perempuan? Dan kalau perang ini berpanjang-panjangan, tapi ah, dijauhkan Tuhan perkara ini, katakanlah 10 tahun, 20 tahun atau 100 tahun, bukankah dia pun layak untuk menjadi perwira mempertahankan negara ini, atau sekurangkurangnya menjadi seorang pemuda yang sanggup menjaga desa ini?’ Budin tidak mengerti mengapa sepanjang itu dia bericara. Tetapi dia sudah merasakan bahawa dia tidak menyimpan apa apa lagi dalam jiwanya. Dia telah meluahkan semua kepada Masitah. “Janganlah disebut-sebut tentang bencana perang itu, kang. Mas takut sekali,” Suara Masitah perlahan. Disembunyikan ketakutan itu di bawah rangkulan Budin. Budin memeluknya erat-erat, hingga menimbulkan rasa hangat yang asing. Masitah diam. Dia seakan-akan bebas daripada bencana perang. Saat yang ditunggu-tunggu oleh Budin akhirnya sampai juga. Sampai sesudah tiga bulan perkahwinan mereka. Sesudah pada suatu pagi Masitah melihat “bangau-bangau sawah” terbang berderet menuju Syonan-to. Sesudah…….. akan tetapi berat sekali Masitah hendak memberitahu duduk perkara itu kepada Budin. Walau bagaimanapun, Masitah harus memberi jawapan yang paling tepat, ketika pada suatu hari Budin mendapatinya muntah-muntah. “Aku sedang mengandung, kang.” “Apa?” Budin bertanya. Pertanyaan yang mengandungi kehairanan. Tuala di bahunya ditarik turun, dan dia berjalan mendekati Masitah yang masih duduk menghadap meja solek. Cahaya matahari masuk dalam kamar dengan lebih tajam. Kamar tersebut mulai hangat. Kehadiran Budin di sisinya memeranjatkan Masitah sendiri. Masitah khuatir kalua kalau dia telah mengucapkan kembali sebahagian daripada kenangan masa lampaunya, tetapi pada fikiran Masitah pada saat-saat itu, hal ini telah pun terjadi. “Engkau mengandung lagi, Mas?” Lama juga Masitah terdiam. Tetapi akhirnya dia berkata, ”Ah, ada-ada saja. Kalau tidak dikejutkan begitu, kakang pastilah ngelamun lagi. Pergilah ke sumur. Hari sudah siang ni. Jali mungkin sudah siap mandi.” 10 Budin menghela nafas “Aku senang dengan jenaka itu Mas. Kau memang pandai berjenaka. Sebab itulah aku tak pernah jemu hidup denganmu, Mas” kata Budin. Dia menunduk, lalu ditepuknya punggung Masitah satu kali sebelum keluar kamar. Masitah bangun. Cadar yang menutup tilam ditariknya, lalu dilipat kemas-kemas. Tiga buah bantal di atas ranjang diambilnya, lalu dijemur di tingkap. Dari dalam almari dikeluarkan sehelai cadar lagi, yang biasa digunakan untuk menutup ranjang siang hari. Sumi dan Salmi masih di dapur. Sumi menjerit-jerit memberitahu Salmi yang air sudah mendidih, sementara dia sedang memotong timun. Masitah mendengar jeritan itu juga jawapan Salmi yang riuh. Tetapi kemudian keriuhan Sumi dan Salmi terganggu. Tentunya Jali yang sedang menganggu, fikir Masitah. Gangguan yang selalunya mengejut, keras, tetapi menyenangkan. Beberapa saat kemudian menjelma lagi, kali ini beserta suara Jali sekali. Betapa mesranya Sumi dan Salmi bersama abang mereka Jali, fikir Masitah. Kemesraan yang sering meriuhkan. Kemesraan yang sering memecahkan ketawa. Masitah mendengar semuanya dari dalam kamar. Mendengar bukan keriuhan yang datangnya dari arah dapur tapi yang datang daripada dalam jiwanya. “Ayah menyayangi dia lebih daripada kami,” kata Sumi, juga bagi pihak adiknya Salmi. “Kerana kulitnya lebih putih daripada kami, bukan?” tambah Salmi . “Dan dia kebetulan lelaki!” “Ah, kamu berdua ini ada-ada saja!” Nanti begitulah Budin membalas. “Apa buktinya ayah membeza-bezakan kamu berdua dengan Jali? Kamu berdua, juga Jali adalah anak-anak ayah yang ayah serta ibumu cinta sama rata. Dengar itu, sama rata. Bagaimanakah kami boleh membeza-bezakan kamu?” Masitah hanya menggelengkan kepala. Pertanyaan Budin sukar ditepis kembali oleh Sumi dan Salmi. Tetapi Sumi sering pula mengungkit satu soal yang memedihkan Masitah. “Maaflah ayah. Itu mungkin keraguan kami saja. Tapi toh kulit kang Jali lain sekali daripada kami. Tidak seperti sawo matang!” “Sudah! Sudah!” Nanti begitulah bentak Budin. “Kau Sumi, memang ada-ada saja untuk memperpanjangkan sengketa. Dia kan lelaki. Ayah tak hairan kalau sebagai lelaki dia punya kulit yang lain daripada kamu perempuan-perempuan. Kaudengar? Ayah tak hairan itu” Jika Budin sudah membentak-bentak begitu, sekeras itu pula, Sumi dan Salmi pada terdiam. Rumah itu juga terdiam. Masitah tidak mendengar apa-apa suara dari arah dapur. Barangkali, pada saatsaat demikian ketiga-tiga mulut terkunci dan masing-masing sedang mencari cerita baharu untuk meriuhkan kembali suasana di dapur,fikir Masitah. Keriuhan bermula lagi kebetulan apabila Budin sudah siap mandi. Sewaktu dia masuk dalam kamar, Masitah sedang duduk termenung di kerusi. Budin berdehem satu kali. “Sudah siap?” 11 “Ya.” Masitah bangun menuju almari pakaian. Pintu almari dibuka. Diambilnya sehelai seluar dalam, sehelai singlet, seluar panjang warna hitam dan sehelai kemeja warna putih buat Budin. Pakaian itu diletak atas ranjang. Masitah kemudian menutup pintu almari sambal berkata, “Itu pakaiannya sudah siap. Kalau sudah berpakaian datanglah sarapan. Kami menunggu di meja makan.” Budin hanya mengangguk. Masitah berjalan keluar kamar dan menutup kamar perlahan lahan. Bau harum masakan dari arah dapur masuk ke hidung Masitah. Pada mulanya Masitah berhasrat untuk terus ke dapur, tetapi tahu-tahu dia sudah memegang penyapu. Disapunya lantai ruang tamu perlahan-lahan. Sambil menyapu, telinganya menangkap perbualan-perbualan Jali, Sumi dan Salmi. Namun percakapan Jalilah yang sering menggetarkan jiwanya. Percakapan yang lahir daripada suara yang mengandungi gema. Suara yang mampu menyedut dirinya untuk dilemparkan ke satu suasana lain. Suara yang pada suatu hari tiba-tiba berubah menjadi lembut, hiba dan minta belas kasihan. “Ibu, maafkanlah aku jika aku harus berterus terang.” Masitah seakan-akan terdengar lagi suara itu. Suara yang Jali ucapkan ketika umurnya meningkat belasan tahun. “Ucapkanlah. Kenapa kau menggeletar nak? Seorang ibu adalah dijadikan oleh Tuhan untuk selalu bertanggungjawab. Untuk selalu membimbing anak-anaknya. Ibu belum pernah menolak untuk mendengar kata-katamu, bukan?” “Sungguhkah ibu berani menerima kenyataan ini? Juga menyelesaikannya?” “Apakah itu? Katakanlah sebelum ia terlewat.” “Ibu, aku hampir memperkosa Khatijah anak…….” “Kau ini tak ubah seperti……..” Rasanya Masitah telah mengucapkan demikian kepada Jali. Tetapi yang keluar hanyalah air matanya saja, sementara mulutnya terus terkunci. Air mata yang panas. Air mata yang turun membawa kekejutan baharu. Masitah ingat lagi bagaimana sesudah “pemberitahuan “ itu dia segera berlari menemui ibu Si Khatijah. Diserahkan dirinya kepada ibu Si Khatijah, diterangkan segala-galanya yang telah terjadi dan akhir sekali menuntut jutaan maaf. Itulah yang terdaya dilakukannya. Mujurlah ibu Si Khatijah dapat memaklumi duduk perkara itu. Walaupun pada mulanya dia membantah dengan kata preng-prengan ( kebetulan hanya dia dan Khatijah saja berada di rumah ), tetapi lama-kelamaan suaranya merendah, kerana dia pun tahu bahawa berita yang akan segera membusukkan nama keluarga harus dipendam jauh-jauh dalam perasaan. Semuanya harus ditimbus serta ditimbun dengan keyakinan serta doa yang tebal agar ia akan mati, musnah dan dilupakan. Akhirnya, setelah banyak juga Masitah mengeluarkan air mata, ibu Si Khatijah setuju agar masalah itu dijadikan rahsia keluarga sahaja. Beberapa bulan sesudah peristiwa itu, jika Masitah mendapati Jali sudah tenteram serta yakin bahawa rahsianya hanya menjadi rahsia keluarga, dipancing-pancingnya minat Jali terhadap Khatijah. Jika dia hampir merosakkan Khatijah, akhir-akhirnya dia patut 12 turut menanggungjawab soal itu secara sungguh-sungguh, fikir Masitah. Seorang perawan desa, masih tetap seorang perawan yang patut mengekalkan banyak keasliannya. Jika dia telah disentuh oleh seseorang, lelaki itu patut terus menjaga nama baiknya. Patut turut menghargai diri perawan itu, fikir Masitah lagi. Bukankah desa P.S. ini banyak yang belum berubah? Tetapi setiap kali Masitah cuba membuka tingkap persoalan itu, Jali sering berusaha menutupnya, atau jika sudah amat terdesak, memberi bayangan lain lewat cerita cerita. “Cerita yang bagaimana?” Pernah Masitah brtanya. “Dari sebuah novel bu. Tapi ah! Kenapa novel-novel percintaan sahaja yang aku senangi?’ “Selain itu kau menggemari Sudahlah. Bagaimana ceritanya?” buku-buku tentang elektronik juga, bukan? “Kisah seorang pelaut bu. Dia telah cuba-cuba menjadi pelaut di masa kecilnya. Akhir akhirnya cintanya tumpah ke laut. Apabila pelabuhan tempat dia bertolak dulu telah berkembang, berkembang mengikut umurnya, banyak sekali kapal-kapal dagang datang dan pergi lewat pelabuhan itu……. Pada suatu hari dia pun bertanya kepada dirinya sendiri: Mengapa aku tidak berusaha melihat dunia ciptaan tuhan ini melalui laut? Apakah yang ada di sebalik laut yang biru itu? Di sebalik sananya lagi? Dan disebalik sananya lagi? Akhirnya dia pun menggabungkan diri menjadi kelasi, dan mulai saat itu dia pun memulakan pelayarannya ke segala pelosok dunia.” “Tidak berkhawinkah kelasi itu?” tanya Masitah. “Wah, rupanya soal inilah yang sunnguh-sungguh menganggu fikirannya. Di setiap pelabuhan dia bisa menemui perempuan-perempuan cantik. Kalau ibu seorang lelaki, dapatkah ibu membayangkannya? Ratusan perempuan-perempuan cantik di ratusan pelabuhan negara asing. Dapatkah ibu memilihnya jika ibu seorang lelaki?” “Akhir-akhirnya dia berkahwin dengan perempuan asing, ibu kira,” tukas Masitah. “Jika begitu tebakan ibu, ibu pastilah salah.” “Ya? Alangkah baiknya jika ibu salah dalam tebakan itu.” “Di pelabuhan kecilnya dahulu dia telah berkenalan dengan seorang perawan. Perawan yang lincah. Yang jernih matanya macam mata kelinci. Kenangan terhadap perawan itulah barangkali yang dikatakan cinta. Tahukah ibu apa yang terjadi sesudah itu? Pelaut itu membatalkan pelayannya ke negeri yang lebih jauh. Dia segera pulang ke pelabuhan kecilnya. Rupa-rupanya bukan dia seorang yang berperasaan begitu…….” “Siapa lagi?” “Pastilah perawan itu juga. Sejak pemergian pelaut itu, dia selalu berada dalam dukacita. Setiap hari dia akan duduk di pelabuhan, menanti kalu-kalau pelaut itu kembali. Dia hanya pulang jika matahari telah tenggelam di laut barat. Akhirnya, saat yang di tunggu-tunggu itu pun sampai. Pelaut itu pulang menemui kekasihnya. Perawan itu juga menemui 13 pelaut kekasihnya. Mereka bertangis-tangisan di pelabuhan tanpa mengira banyak orang. Akhirnya mereka ber…….” “Ibu, sarapannya sudah siap.” Sumi memberitahu dari arah dapur. Masitah terhenti, dan sapunya terlepas daripada tangan. Tidak lama kemudian Budin keluar dari kamar, lalu menoleh ke arah Masitah sebentar. “Aku dengar sarapan sudah siap. Marilah kita bersarapan, Mas,” ajak Budin. “Sarapan lah dulu, kang,” jawab Masitah, “Mas tetinggal sesuatu di sumur.” Tanpa menoleh lagi kepada Budin, Masitah telah menyandarkan penyapu ke dinding, menu pintu depan, turun ke tanah lalu menuju sumur. (Benarkah kau tertinggal sesuatu di sumur Mas? Dia terdengar soalan itu daripada dalam jiwanya). Dari bawah, dalam perjalanannya ke sumur, Masitah sempat mendengar usikan Salmi terhadap Jali. Kemudian didengarnya jawapan Jali yang riuh, yang mengatakan bahawa dia sedang menaiki anak-anak tangga kejayaan. Bukankah kejayaan seumpama itu patut turut menjadi kebanggaan keluarga? Demikian tingkahnya. Memang sejak lama Masitah dan Budin menyedari kebolehan Jali. Ini ditambah oleh pemberitahuan guru-guru Jali kepada Budin (yang kemudian sampai ke telinga Masitah), yang beria-ria mengatakan Jali patutlah dihantar keluar negeri mendalami pelajaran kejuruteraan elektronik. Dia memang berbeza benar daripada Sumi dan Salmi, fikir Masitah. Masitah juga ingat, telah beberapa kali suaminya mengusahakan agar Jali dapat dihantar ke luar negeri.Tetapi hambatan yang nyata, yang sukar diatasi ialah soal biasiswa. Hal ini, seperti yang dapat diperhatikan Masitah, sering membuat suaminya berdukacita. Juga Jali. “Jika ada izin Tuhan Yang Maha Pengasih, pada suatu hari nanti pastilah cita-citamu akan dimakbulkan-Nya, Jali.” Begitu pernah Budin ucapkan kepada Jali. Sampai di sumur, Masitah melihat-lihat apakah sesungguhnya dia tertinggal sesuatu di tempat itu. Setelah diamat-amatinya betul-betul pastilah kepadanya bahawa dia tidak tertinggal sesuatu apa pun di sumur. Diperhatikan air sumur yang hijau jernih. Dilihat bayang-bayang wajahnya di kejernihan air sumur itu. Sukar baginya untuk mentafsir perasaan bayang-bayang itu. Tetapi apabila dirasanya degup jantungnya yang kencang, serta menyedari ketegangan wajahnya, pastilah kepada Masitah bahawa dalam kejernihan air sumurnya, bayang-bayang tadi juga menyimpan perasaan yang serupa. Sehelai daun nangka yang pokoknya berdekatan dengan sumur itu melayang, lalu menimpa permukaan air sumur. Bayang-bayang dalam sumur itu bergetar. Masitah mengangkat mukanya, memandang pokok nangka yang telah besar serta tinggi. Bukankah itu pokok yang ditanam bersama-sama Budin tidak lama sesudah kelahiran Jali? Masitah teringat kembali peristiwa-peristiwa masa lampaunya. Juga pohon sawo itu, yang ditanam sesudah kelahiran Sumi? Pohon sawo itu telah rendang dan tinggi. Dia teringat sewaktu mengandungkan Salmi, dan pohon sawo itu telah mulai berbuah, dia gemar sekali memakannya belum masak benar. 14 “Rasa kelat ini sesuai benar dengan selera tekakku, kang. Lagipun kalau sudah masak benar di pokok, pastilah kalong datang mencarinya pada malam hari.” Demikian pernah Masitah memberitahu Budin. Telinga Masitah tiba-tiba menangkap bunyi kapal terbang. Sewaktu dilihatnya di angkasa, nampaklah kepadanya beratus-ratus kapal terbang sedang bergerak berderetan menuju Syonan-to. Menuju arah selatan. Kapal-kapal terbang itu tidak ubahnya seperti bangau bangau sawah. Berwarna keputih-putihan. Gemanya begitu kuat hingga memaksa Masitah menutup kedua-dua belah telinganya. Pada saat-saat itu seorang lelaki datang kepadanya dari arah depan, lalu memegangnya. Masitah kurang pasti sejak kapankah lelaki tersebut berada di situ. “Lepaskan aku!”jerit Masitah “Kenapa Mas?’ Masitah memeluk Budin erat-erat. Sumi dan Salmi memandang saja. Kemudian Masitah sendiri merenggangkan pelukan itu. Dia menghela nafas sambil memerhati hujung landasan lapangan terbang. Masitah menyedari bahawa yang dilihatnya bukan ratusan bangau bangau sawah tetapi hanya sebuah kapal terbang yang sedang bergerak pantas meninggalkan landasan. “Sudahlah bu,” pujuk sumi, “Lima tahun bukanlah masa yang begitu lama. Kang Jali berada di luar negeri. Bukankah dengan restu ibu juga dia berangkat? Sudahlah bu. Tokyo bukanlah tempat yang terlalu jauh dari sini…..” Perlahan-lahan Masitah mengesat air matanya. Lima tahun. Tokyo. Jali. Kesemua itu kenyataan-kenyataan yang harus aku hadapi, fikir Masitah. Sumi memegang lengan ibunya. Salmi mengusap-usap rambut ibunya. Sementara Budin memaut pinggang Masitah dengan tangan kirinya. Mereka memerhatikan kapal terbang yang sudah berangkat meninggalkan landasan, yang sedang berada di ruang angkasa. Kapal terbang itu terus bergerak menuju utara. Kecil. Kecil…. Lalu hilang dari pandangan Budin. Hilang dari pandangan Sumi. Hilang dari pandangan Salmi. Hilang daripada pandangan Masitah. Masitah masih memandang langit utara pada siang yang cantik itu. Budin, Sumi dan Salmi masih memandang ke arah yang sama. Dengan perlahan sekali Masitah menyerahkan kedua-dua belah tapak tangannya kepada Tuhan, dan seperlahan itu pula memanjatkan sepotong doa. Doa yang diucapkan perlahan sekali. Perlahan sekali buat dirinya sendiri. “Tuhanku, aku tahu pemergiannya membuat aku bebas dari bencana perang. Namun kuucapkan terima kasih juga kepada-Mu kerana sepanjang masa itu Kau menjadikan aku seorang perempuan yang kuat menyimpan rahsia serta dapat melawan hebatnya perang dalam batinku. Tetapi dia akan kembali dalam masa lima tahun lagi. Jika Kau masih panjangkan usiaku untuk menghadapi saat-saat itu, hanya satu permohonanku, berilah aku kekuatan, seperti yang telah Engkau berikan sebelum ini. Amin.” 15 Love of Dragon Bunyi bising dari kamar sebelah membangunkan tidurmu. Kau membuka mata, dan kerana di dinding terletak pada garis lurus dengan matamu, pandanganmu terus ke sana: Hari ini hari minggu, Januari 1983. “ Kalau mahu pindah, jangan bising-bising.” Kau merungut. Kau cuba memejam mata semula.” Kemaskan barang perlahan-lahan, dan pindahkan perlahan-lahan. Senyap. Sepi. Titik.” Tiba-tiba kau melompat bangun dari katil. “ Eh, hari ini aku ada janji dengan Agnes.” Dengan kata-kata itu kau selak langsir tingkap. Dari sini, dari apartmen di bahu Victoria Peak, kau lihat kapal-kapal menuju atau meninggalkan pelabuhan. Di udara kapal terbang datang dan pergi. Dari kamar sebelah, bising orang mengetuk sesuatu, riuh orang berkemas-kemas masih kedengaran. Bising yang sama kemudian menular ke kamar atas dan kamar bawah. Telefon di sudut kamar berdering. Kau segera mencapainya. ‘’Baru bangun” kau menjawab. “ Sihat-sihat sahaja…mustahil aku lupa…aku akan sampai tepat pada waktu yang kita janjikan…Dan aku tetap alamatmu: 505, Blok 9, Wong Tau Sin, Kawloon… aku datang dengan teksi…sampai jumpa nanti honey…bye…” Kau meletakan telefon. Kemudian, satu demi satu kautanggalkan pakaian tidurmu, kaumasuk ke kamar mandi. Dari dalam sana, selama kira-kira lima belas minit, terdengarlah bunyi air, dan campuran lagu Melayu, Inggeris dan mandarin daripada mulutmu. Selesai mandi dan berpakaian, kau mengambil sarapan. Kira-kira jam sepuluh pagi, siaplah segala-galanya lalu kau keluar kamar dan menguncinya. Pada jam sebelas pagi, kau sudah mengetuk pintu apartmen yang bertulis nama Agnes Ho. Daun pintu terkuak. Muncullah wajah Angnes Ho yang bujur sirih dan putih. Matanya nyalang seperti sepasang mata rusa. “Masuklah,” pelawa Agnes dengan riang. Kau hulurkan sejambak bunga mawar kepadanya. “Terima kasih . Aku benar-benar tidak menyangka akan menerimanya. Apakah aku akan menerimanya di lain kali?” “Mesti. Mesti,” jawabmu, sambil melangkah masuk. Begitu pintu tertutup, Angnes memberikan kucupan yang sangat mesra. “Tidak kusangka, pertemuan kita kira-kira sepuluh tahun yang lalu menjadi begini mesra,” suara Agnes perlahan. Tangannya masih merangkul pinggangmu. “ Ya , siapa sangka? “ Kau membalas, sambil menariknya duduk. “ Ketika itu aku masih masih menuntut, dan pada musim cuti hujung tahun dengan beberapa penuntut lain aku melawat sambil belajar ke HKU.” “ Setiap kali kami mengadakan majlis tarian, kau ligat menari.’ Agnes mencelah 16 “ Dengan kau,” jawabmu. “ Bukan apa, aku segan kalau menari di Kuala Lumpur sana. Kalau di sini, tak ada kongkongan rasanya.” “Memang tak ada kongkongan, tetapi…” suara Agnes terputus. “Dan sejak tahun lalu aku kembali ke sini. “ Kau menyambung. “ Bukan seperti penuntut, tetapi sebagai seorang pegawai kerajaan.” “Kau kelihatan lebih kemas daripada dulu.” Agnes berkata kembali. “Sepuluh tahun dulu, badanmu agak kurus. Kau ingat baju panas yang kau pakai masa itu?” ‘Kenapa?” “Agak gedoboh. Bukan kau punya ,bukan?” kau ketawa mengilai. “Tentu bukan.” Kau menjawab setelah ketawamu agak surut. “Itu aku pinjam daripada kawanku. Masa menuntut dulu, bukan ada wang banyak. Segalanya mesti berhemat-hemat. Dapat pergi ke Hong Kong itu pun macam mimpi rasanya.” Kau diam seketika. “Sekarang macam mana pakaianku?” Agnes merenung dari hujung rambutmu sampai kehujung kakimu. “ Kalau kautaksir-taksir, pakaian dan kasutmu tak kurang dua ribu dollar. Betul?” Kau hanya mengangkat kedua-dua belah bahumu, sambil tersenyum. “Kasihan, sudah tak boleh bersuara. Ini salahku. Maafkan. Aku patut menghidangkan minuman untukmu. Kau haus, bukan?” Sehabis berkata , Agnes bangun membuka peti ais. Dari sana dikeluarkannya segelas minuman. Kau menyambutnya, lalu minum beberapa teguk. “kau tahu, aku masih menyimpan surat-suratmu,” Kau mengakui. “Aku pun,’ balas Agnes. “termasuk gambarmu sepuluh tahun lalu. Sewaktu kita bergambar sama di Wall City. Masa itu, kau masih segan memegang bahuku.” “ Baru kenal, segan rasanya,” jawabmu. “Sekarang tidak kekok lagi, bukan?” “ Sekarang, aku pula yang kekok.” “Sudah kaufikir habis-habis untuk menukar agama?” Kau bertanya. Matamu merenung tepat mata Agnes. Agnes mengangguk. “Tetapi bagaimana kalau aku tak pandai sembahyang atau tak tahan berpuasa?” “Buatlah sedikit demi sedikit. “kau menjelaskan. “Latihan akan membuat sesuatu itu sempurna.” “ Dua rukun ini yang membimbangkan aku.” Agnes mengaku.”Kerana kedua-duanya boleh dilihat orang. Yang tiga lagi itu tidak dilihat orang, bukan?” kecuali mengerjakan haji itu pun kalau kita mampu mengerjakannya. Kalau tak mampu, tak payah pergi. Apakah kaulihat pegawai-pegawai Melayu yang mengahwini perempuan asing itu isteri mereka rajin bersembahyang dan berpuasa?” Berkerut dahimu. 17 “ Aku pun tak tahu. Mungkin mereka mengerjakannya di rumah,” jawabmu dengan perlahan. “Jadi, tak mengapa kalau tak sembahyang dan makan di rumah di bulan puasa? Orang tidak tahu bukan?” “Jangan tanyai soalan yang susah-susah.” Kau mencelah. “ Aku not religiously rooted. Halangan pertama boleh kita lalui kalau sanggup memeluk agama Islam. Kalau ada halangan lain, kita fikirkan kemudian cara-cara mengatasinya.” “ Aku sudah mengangguk tadi.” “ Sudah kaupilih nama Islammmu?” “Banyak sangat yang kau beri. Kau sajalah pilih. Aku mengikut saja.” “Pilihlah mana-mana, aku ikut saja, asalkan jangan Mana-mana binti Abdullah.” “kalau begitu, biarlah aku putuskan sehari dua ini.” Kau menetapkan. “ Bila kita akan berkahwin?” “Empat bulan dari sekarang, di hari lahirmu yang ke 30.” Kau menerangkan. “Betul-betul birthday surprise.” “Aku akan minta cuti sepuluh hari. Kita pulang ke Kuala Lumpur beberapa hari sebelum hari jadimu. Selepas berakad nikah dan bersanding, dan berjalan-jalan ke rumah saudara- mara kita balik ke Hong Kong.” “Berapa lama lagi kau di sini?” “Kontrak kerjaku tiga tahun. Dua tahun lagi tamatlah. Kau sudah tanya soalan yang sama berkali-kali. Mengapa?” “Sudah berkali-kali?” kau mengangguk. “Aku sudah nyanyuk barangkali. Kau sudi mengahwini aku yang sudah nyanyuk ini?” “Kau masih seekor rusa betina yang lincah. Kau ingin terus memburunya.” Dari kamar sebelah terdengarorang mengetuk sesuatu, seperti berkemas-kemas. “Aku terdengar bunyi bising yang sama di sini.” Kau bersuara. “Jiran kau akan berpindah?” Agnes merenung tepat wajahmu tanpa senyum. “Mereka terpaksa berpindah. Sudah berbulan-bulan tidak membayar sewa.” “Oh…dan aku tercium sesuatu. Ini tentu bukan dari kamar sebelah. Aku terhidu aroma masakan yang lazat.” Agnes bergegas bangun. “Sampai waktunya aku melihat oven,” suara Agnes sambil berlari-lari ke dapur. “Aku minta masa 30 minit untuk menyiapkan makanan tengah hari kita. Sementara itu kau mahu apa? Muzik? Majalah ? Album?” 18 “Muzik dan album,” suaramu dengan agak kuat. Tidak lama kemudian muzik mula berkumandang, diselangi lagu lagu mandarin dan Inggeris. Agnes muncul membawa sebeban album. “Tidak ada gambar baru. Yang banyak cuma gambar keluarga dan kawankawan.”Sehabis berkata, bergegas lagi ke dapur. Kau mula menyelak lembaran-lembaran album. Sebentar wajahmu serius. Sebentar kau tersenyum kecil. “Mahu minum?” jerit Agnes dari dapur. “Minumanku belum habis.” Kau membalas dengan suara kuat. Kau terus menatap gambar-gambar di album. Tiba-tiba dahimu berkerut. Kedua-dua matamu bulat merenung. “Mustahil…” suaramu keluar perlahan. ‘ini gambar kenalanku, seorang pegawai bank yang telah dibunuh di sini. Ini pula gambar lelaki yang pernah tersiar wajahnya di Asiaweek.” Kau menarik nafas, dan seperti ledakan guruh, kau menjerit, “Agnes!!!” Kau berdiri menanti kedatangannya. Agnes muncul dengan sebilah pisau ditangannya. “Kenapa?” “Apa hubungan gambar-gambar ini dengan kau.” Wajah si rusa itu pucat lesi. “Gambar lelaki Melayu itu tentunya bukan rakan dan saudaramu.” Kau berkata sambil menunjukkan gambar itu. “Tapi gambar pembunuh itu tentu ada kaitan dengan kau.” “Aku tak tahu macam mana gambar-gambar itu boleh berada di situ.” “Mustahil gambar ini boleh mneyeludup secara haram ke albummu.” Kau berkata, sedikit menyindir. Agnes memegang kuat pisau di tangannya. Mata pisau berkilat tajam. “Pembunuh ini telah melenyapkan kenalanku dari muka bumi ini.” Kau menyambung. “Kenalanku terbunuh kerana ada orang –orangku yang menjual bangsanya dengan harga yang memeranjatkan, dan nyawa orang lain. Mujurlah aku belum terlanjur menjual apa-apa kepadamu.” “Apa maksudmu?” tanya Agnes, menggeletar tangannya memegang pisau tajam. “Lupakan makan tengah hari ini. “Kau menjawab tegas. “Lupakan hari jadimu. Lupakan perkahwinan kita.” “Mengapa cepat berubah?” suara Agnes lembut, kemudian memujuk. “Mustahil kerana gambar-gambar yang entah macam mana boleh berada dalam album itu, kau sudah mengubah fikiran dengan begitu cepat. Tenangkan fikiranmu. Duduklah biar aku buatkan segelas air untukmu.” Dengan tangkas, beredarlah Agnes ke dapur. Kau masih berdiri, memegang gambargambar yang membangkitkan marahmu. 19 Beberapa minit kemudian Agnes muncul. Ditangannya bukan lagi sebilah pisau tajam, tetapi gelas berwarna kelam mengandungi air. Dia datang menghampiri kau. “Minumlah,” pelawanya. “Tenangkan fikiranmu. Sebentar lagi kita makan tengah hari.” Kau mengerling minuman pertamamu yang masih bersisa, terletak di atas meja sudut. Kemudian kau mengerling peti ais. Sekarang kau melirik dapur, dan merenung gelas kelam di tangan Agnes. “Teguklah,” pelawa Agnes lagi. “Tidak, aku meragui isinya!” “Kau masih meragui aku, setelah sepuluh tahun berkenalan?” “Ada satu pepatah Cina: Lebih mudah mengunjungi kawan daripada tinggal bersama.” Kau mengucapkan. “Barangkali semuanya itu benar. Baiklah kita berkawan saja, jangan tinggal bersama.” “Tapi, aku benar-benar mencintaimu.” “Kau mencintai aku,” suaramu sedikit mengejek. “Tapi aku meragui isi gelas itu.” “Air kosong untuk meredakan marahmu.” “Sudah lama aku berkenalan denganmu.” Kau menyambung. “Selalunya air minum kau ambil dari peti ais itu, bukan dari dapur, dan aku tak pernah melihat gelas itu pun.” Agnes senyum tawar, mengangkat kedua-dua belah bahunya. “Seperti juga konco-konco pembunuh ini,” Sambil kautunjukkan gambar itu kepada Agnes. ‘Kau akan lakukan apa saja untuk mendapatkan sesuatu daripadaku. Jika ada apa-apa saja untuk mendapatkan sesuatu daripadaku. Jika ada halangan, kau akan lakukan pembunuhan. Yang penting adalah dirimu. Masa depanmu. Diri orang lain dan masa depan orang lain sama sekali tidak penting, bukan begitu?” “Sudah kukatakan, minum dulu supaya surut marahmu.” “Aku meragui isi gelas itu. Sekarang aku dapat menduga, kau akan berkata apa saja, dan menurut apa saja kemahuanmu yang lepas-lepas, semata-mata untuk berkahwin dnegan aku, untuk keluar dari pulau yang akan kembali menjadi milik komunis beberapa tahun lagi. Bila aku mahu membatalkan semuanya, kaubawa minuman itu untukku.” Tiba-tiba Agens menangis. Dia masih berdiri tabah, sementara air matanya meleleh turun membasahi pipinya yang putih. “ Kau sudah membenci aku. Bagaimanakah masa depanku?” Kau diam. Matamu tetap memandang tubuh Agnes yang lesu itu. “Biarlah aku sendiri yang meneguk minuman lazat ini.” Akhirnya Agnes mengambil keputusan dengan suaranya yang riang dan tegas. Dengan pantas dia meneguk minuman itu. Kau tetap memerhatikan. 20 Gelas di tangan Agnes tiba-tiba terpelanting. Seperti seekor rusa yang baru dibedil, tubuh Agnes menggeleper jatuh. Dari mulutnya mengalir darah. Darah membasahi bibir dan pipinya sebelum menitik ke permaidani merah. 21 Tik! Tik! Tik! Taman ditengah kota metropolitan itu sering dikunjungi orang, terutamanya di waktu petang dan hari minggu. Pentadbir kota metropolitan menjaga taman ditengah belantara batu bata itu sebaik-baiknya. Malah ada sebuah pentas terbuka di satu sudutnya. Pentas, untuk siapa saja yang berasa terpanggil mementaskan sesuatu- secara dirancang atau spontan. Satu hari minggu. Sehingga matahari kelihatan akan terbenam di bahagian barat kota metropolitan itu, pentas itu belum dipijak oleh sesiapa pun. Orang tetap ramai, duduk mengelilingi pentas sebuah ini,dengan harapan untuk menonton sesuatu. Bakal-bakal penonton terus menanti, terus resah, terus saling berpandangan dan berharap-harap. Dari tengah semua harapan itu, dari tengah-tengah bakal penonton yang ramai, tiba-tiba berdiri seorang wanita. Dia menerima tepukan gemuruh. Sambil melangkah menuju pentas, berdialog satu ayat, lalu turun dan terus pulang ke rumah. Kadang, orang terkesan pada teater bukan kerana panjangnya. Begitu dia berdiri ditengah pentas, tepukan mereda lalu senyap. Dia menarik nafas. Memandang keliling, ke arah semua penonton. Entah dari mana dia belajar gerak” membuka pentas” itu. “Hei, akulah wanita dari Hiroshima,” ujarnya dengan lantang, memang suara teater. Pada saat dia ingin turun terus pulang ke rumah, di luar dugaannya, muncul pula seorang lelaki dari tengah orang ramai. Lelaki ini berlari-lari menuju pentas. “Dengarkan, aku lelaki dari Nevada,” katanya memulai. Secara spontan mereka terus berlakon. Gerak-gerak spontan. Dialog-dialog spontan. Tamat persembahan mereka yang spontan itu, penonton-penonton pulang. Tinggal mereka berdua. Mereka tinggalkan pentas. Mereka menghabiskan waktu semalaman di taman itu ber…ber…ber…. Waktu wanita itu terjaga esok pagi, waktu matahari mula memandang bahagian timur kota metropolitan, dia mendapati bahawa lelaki Nevada itu tiada lagi disisinya. Wanita ini tidak pernah bersua kembali dengan lelaki Nevada itu- sepanjang hidupnya. Petang dan hari minggu, taman di tengah kota metropolitan itu tetap dikunjungi orang. Kecuali wanita yang dulu pernah berlakon spontan dengan lelaki dari Nevada. Beberapa minggu setelah tidur semalaman dengan lelaki-yang kini entah ke mana dan di mana- dia menyedari dirinya hamil. Ada janin sedang minta tempat dalam kamar peranakannya, akan memerhatikah perutnya membesar. Kelak keajaiban anaknya bukan kerana anak itu tanpa bapa, tetapi kebodohan dirinya sendiri yang tidak mengenali siapakah lelaki Nevada sebenarnya. Pada satu hari minggu, waktu kebanyakan penduduk kota metropolitan mengunjungi taman di tengah kota, wanita itu bersiap-siap untuk pindah. Dia teringat sebidang tanah subur pusaka orang tuanya, jauh di pendalaman. Untuk sampai ke sana, dia harus naik teksi ke lapangan terbang; terbang membelah awan; berkereta api ke kota kecilnya; dan naik bas pula menuju kampung halamannya dulu. 22 Berhari-hari dia membersihkan rumah pusaka, yang ternyata masih kukuh. Tanah subur itu dia kerjakan. Bumi seperti terus menyebelahi dia, menyuburkan segala tanaman. Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Buat pertama kalinya, wanita itu terdengar bunyi ‘tik! ‘ yang aneh dari dalam perutnya. Bunyi itu terus kedengaran, setiap saat, walaupun pada waktu wanita itu tidur. Esok, pagi-pagi lagi dia telah menaiki bas pertama menuju stesen kereta api di kota kecilnya. Perjalanan kereta apinya berakhir di lapangan terbang yang kecil. Dari sana dia menaiki pesawat terbang, menuju kota metropolitannya dulu. Di kota metropolitan itu dia mengunjungi doktor yang pernah merawatnya dulu. “Oh!” jerit doktornya. “ kau mengandung bom!” “Bom?” “Ya, bom.” Cepat-cepat dia dudukkan pesakitnya perlahan-lahan, khuatir kalau pesakitnya jatuh dan bom meledak dalam kamar konsultasinya. “Dengar kataku baik-baik: Disebelah kamar ini ada kamar peribadiku. Kaududuklah di sana, atau berbaring maksudku, atau tidur maksudku, sampai, sampai masalah ini, yang pertama kualami sebagai seorang doctor, oh mengapalah aku menerima pesakit sepertimu, sampai masalah ini benar-benar selesai. Sekarang, kau pergi ke kamar itu.” Doktor segera menghubungi Perdana Menteri, yang kebetulan sahabatnya. Perdana Menteri segera memanggil para penasihatnya: Tokoh-tokoh agama, moral, ekonomi, sastera, pertahanan, politik, sains, kebudayaan, pendidikan, falsafah, jurutera dan pakar memusnahkan bom. Semua tokoh dibawa ke klinik. Perdana Menteri ikut serta. Pesakit diperiksa sekali lagi. “Ini bom luar biasa. Letupannya boleh memusnahkan makhluk yang berada dalam lingkungan 200 kilometer disekitarnya.” “Mengapa tidak dimatikan saja? Maksudku, bom itu?” “Kalau bom itu kelihatan, saya boleh melakukannya. Sekarang, bom itu tidak kelihatan. Hanya bunyi ‘tik!’nya saja kedengaran.” “Hiss…bagaimana kalau digali lubang yang amat dalam, campakkan wanita ini ke dalamnya?” “Itu ertinya kita menamatkan riwayatnya dengan cara luar biasa, bukan secara biologis. Lagipun, kalaulah hal itu diketahui umum – dan memang tidak ada rahsia yang tidak menjadi rahsia umum di negara kita ini – risikonya amat besar. Pemerintah mungkin tumbang.” “Jadi, asingkan dia ditempat yang terpencil.” “Dinegara ini, tidak ada tempat terpencil yang jauhnya 200 kilometer dari kawasan kediaman. Kalaulah dia kita bawa ke sana, dan pada satu hari telah diculik dan diletakkan di 23 tengah-tengah kota metropolitan, umpamanya di taman di tengah kota ini, dapatkah kita bayangkan apa yang akan terjadi?” “Adakah kandungannya akan keluar setelah dikandung 9 bulan 10 hari?” “Ini kandungan luar biasa. Mungkin sekarang. Mungkin 9 bulan. Mungkin 9 tahun. Mungkin 90 tahun lagi baru keluar dari kandungan.” “Pulangkan dia ke tempat asalnya. Sekurang-kurangnya dia tidak di kota metropolitan ini.” “Tidak mungkin lagi,” suara doktor lemah. “Dia memberitahu saya, bahawa untuk sampai ke tempat asalnya, dia harus menaiki teksi, kapal terbang, kereta api dan bas. Kita khuatir kalau-kalau hentakan yang sedikit pun akan mengakibatkan bom itu meletup. Apalagi kalau kereta api yang ditumpanginya jatuh terhempas. Pokoknya, dia tidak mungkin kita pindahkan lagi. Dia patut kekal dalam kamar ini, dengan doktor terus merawatnya bergilir-gilir, dengan kawalan yang serapi-rapinya.” “Kalau begitu,” kata Perdana Menteri dengan sugul, “beritahu hal yang sebenar kepada rakyat, khususnya penduduk kota metropolitan ini. Perpindahan beramai-ramai adalah satusatunya jalan bagi menyelamatkan jutaan jiwa penduduk kota metropolitan. Pemerintahan akan mengeluarkan wang bagi membantu proses perpindahan ini, menyediakan bantuan makanan dan pakaian, sehinggalah penempatan baru dapat dibina lengkap dengan infrastrukturnya, kirakira 200 kilometer dari kota metropolitan ini.” Wajah kota metropolitan itu, beberapa waktu setelah pengumuman dibuat, bertukar tiba-tiba. Ia menjelma kota metropolitan hantu, dengan berjuta rumah, gedung dan bangunan pejabat menjadi sepi sesepi-sepinya. Taman ditengah kota metropolitan juga sepi. Keriuhan parlimen, jalan-jalan raya, pasar raya telah berpindah sejauh 200 kilometer dari kota metropolitan. Di waktu malam, kota metropolitan lebih menyeramkan tanpa cahaya lampu dan neon. Gelap segelap-gelapnya. Sesekali terdengar ngiau kucing dan salakan anjing daripada mulut binatang-binatang tak bertuan, yang tidak dibawa pergi bersama. Satu-satunya cahaya yang memancar datang dari sebuah klinik, yang menempatkan wanita itu. Di situ beberapa orang doktor- yang bersedia menggadai nyawa-bergilir-gilir menjaganya. Di keliling bangunan klinik, beberapa orang komando bergilir-gilir menjaga keselamatan. Bekalan makanan memenuhi ruang sedang menunggu dan kamar-kamar lain. Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! TV di satu sudut kamar wanita itu tidak menghidangkan apa-apa lagi sejak stesennya ditutup. Semua petugasnya telah pindah. Di atas TV terletak sebuah transistor, juga telah sekian lama tidak bersuara. Semua petugas stesen radio kota metropolitan telah pindah. Mungkin mereka sedang memasang peralatan baru, cuba memancarkan siaran dari jarak 200 kilometer. Klinik ini telah menjelma sangkar, dengan beberapa orang doktor dan wanita itu terkurung di dalamnya. Doktor pemilik klinik itu sendiri tidak menduga, bahawa pada satu hari kliniknya akan menjadi sangkar. Baginya, sangkar adalah lambang. Sangkar adalah imej. 24 Sebuah sangkar selalu membayangkan kurngan, sama ada burung menghuni di dalamnya atau tidak. Sangkar kosong pun, membayangkan imej yang mengerikan. Ia kosong mungkin kerana penghuninya telah mati. Ia kosong mungkin menanti penghuni baru, yang bakal terpenjara. Tapi fikirannya bukankah dunia ini pun sebuah sangkar besar? Semua manusia terkurung di dalamnya. Carilah kebebasan, larilah daripada sang nasib, namun kesemuanya masih dalam belitan kebebasan dan lingkaran sang nasib duniawi. Dia masih tenggelam dalam persoalan-persoalan ini, waktu teman-teman doktornya mula membuka dan membedah radio transistor sebuah itu. Punca segalanya, fikir doktor pemilik klinik ialah kesepian dan ketegangan. Mereka meneliti wayar-wayar di dalam radio, lambang-lambang sambungan kuasa, mengusik itu ini, lalu mencuba lagi agar radio itu kembali bersuara. “Sebentar lagi, berita akan disiarkan dari stesen sementara radio metropolitan…” suara itu amat perlahan dan jauh. “Radio ini kembali bersuara!” jerit teman-temannya. Dia melangkah menghampiri radio, mmebuka telinga seluas-luasnya. “Perpindahan memang tidak menjanjikan,” suara dari radio. “ Setelah berpindah 200 kilometer dari kota metropolitan, perangkaan menunjukkan 50 orang telah terbunuh dalam perjalanan. Dalam beberapa pergaduhan kerana merebut penempatan pula, 100 orang telah terbunuh, beratus-ratus lagi cedera parah. Tanpa kemudahan hospital di tempat ini, jumlah kematian dijangka akan meningkat. Sementara itu, sejak awal pagi tadi, beberapa orang telah terbunuh kerana serangan kolera. Wabak kolera sedang menyerang kawasan ini dengan hebatnya. Para pendengar yang mengikut siaran ini dilarang datang ke kawasan ini dan…” Suara dalam radio tidak tidak kedengaran lagi dalam tafakur mereka yang memuncak. Mereka menundukkan kepala masing-masing dalam pakaian serba putih dalam kamar yang serba putih. Di luar klinik beberapa orang komando tetap dengan tugas mereka, mengawasi keselamatan. Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! Tik! 25 Jika Esok Tiba DI TENGAH keriuhan burung-burung gagak pulang ke dahan-dahan tenggeran, lelaki tua itu mula berurusan dengan pelita-pelita jalan. Ke mana pun dia pergi di sore seperti ini, dia kelihatan mengandar dua tin minyak. Pelita yang sebuah ini diisi minyak, dinyalakan. Setelah dia pasti apinya marak dengan baik dalam kaca kepungan yang hampir sebesar kepalanya, pelita sebuah ini dinaikkan ke puncak tiang dengan menarik tali takal. “Minyak, api, pelita jalan ini,” katanya sambil melihat pelita sebuah itu mendaki puncak senja, “Inilah wajah senjaku, sejak ribuan senja yang lalu. Dan seperti sekarang tatkala ia bertakhta dipuncak tiang, aku mengikat tali ini di pangkal tiang. Ia abadi semalaman. Waktu pagi-pagi aku datang semula ke mari, ia telah padam dan memang tak siapa pun memerlukan pelita jalan di waktu siang.” Di menoleh ke kiri dan ke kanan. Di seberang jalan kecil itu kelihatan sebuah rumah pasung yang sudah tua, samar-samar saja dikerling cahaya pelitanya. Seorang mata-mata sedang berdiri memerhatikan lelaki tua itu, sesekali dia menolak cucur atap yang hampir menyentuh topinya. Atap itu kering sekering-keringnya di tengah musim kemarau. “Minyak, api,” suaranya lagi, ketawa kecil. “Dulu apa yang lebih membakar daripada minyak dan api, waktu aku masih muda? Angan-angan untuk membakar rumah segala tuantuan itu, yang datang entah dari mana, kemudian enak-enak saja memerintah aku agar membuat itu membuat ini. Mungkin saja pada satu hari nanti minyak dan api ini… ah , tapi siapa yang pasti tentang esok? Lelap malam ini mungkin yang penghabisan. Apakah yang tidak pernah aku mimpikan tentang keseronokan hidup? Tapi yang pasti begitu burung-burung gagak kembali, aku harus berurusan dengan minyak, api, pelita-pelita jalan di kota kecil ini…” Dia berjalan ke tiang lain, tetap mengandar dua tin minyaknya, ke pelita lain yang perlu diisi minyak, yang perlu dinyalakan dan ditakhtakan di puncak tiang. Satu demi satu pelita menyala, ditangani lelaki tua yang sekarang membelok ke kiri di sebalik tembok tua. Dia tidak kelihatan lagi dari halaman rumah pasung ini. Tetapi mata-mata itu tetap memerhatikan langit pangkal malam, dengan tebaran cahaya pucat bermunculan satu demi satu, tanda bahawa lelaki tua sedang dengan urusannya, dijalan-jalan kecil di kota kecil ini. Beberapa orang penjaja makanan melewati jalan dihadapan rumah pasung, untuk pulang ke rumah. Mereka tidak menoleh ke rumah pasung yang sudah tua itu; sebaliknya bergegas pergi dengan kenderaan masing-masing. Buat seketika memang kedengaran suara orang, suara yang tidak menentu, tetapi kemudian suara itu merendah, berbaur dengan bunyi pintu-pintu kedai ditutup, yang sayup-sayup kedengaran dari rumah pasung ini. “Aku lapar. Adakah makanan untukku?” Suara yang aneh kedengaran dari dalam rumah pasung. Tetapi mata-mata itu tetap mengarahkan matanya ke langit, wajahnya melawan tarikan graviti, dan semua orang di pekan kecil ini tahu dia tidak pernah dilihat menundukkan wajahnya—mata-mata yang seorang ini. Dia melangkah meninggalkan lindungan cucur atap, berjalan-jalan dihalaman rumah pasung melihat bunga-bunga yang hampir layu, timba-timba merah tanpa pasir tanpa air didalamnya, dan melihat beberapa ekor kunang-kunang yang mula berterbangan. 26 “Seorang pemuda yang tingginya dan berat badannya melebihi tinggi dan berat badanku, sedang digari dalam bilik kecil rumah pasung ini,” katanya seorang diri. “ Kadang dia bercakap seorang diri, seperti aku juga sekarang ini, tatkala semuanya menyepi dan terasing, sehingga makhluk lain rasanya tidak lagi wujud, kecuali diri sendiri dan kekinian sahaja. Seorang pemuda yang perkasa, yang tergari akan berasa betapa kecil dan lemah berhadapan dengan undang-undang dan kekuasaan”. “Aku lapar. Mana makanan malamku?” Mendengar suara itu lagi, mata-mata ini berjalan semula ke bawah lindungan cucur atap rumah pasung. Dia tinggallan kunang-kunang, bunga-bunga yang hampir layu dan timba-timba kosong di halaman rumah pasung. Dia meneruskan langkahnya, masuk ke rumah pasung, memerhatikan bilik kurungan yang kelam. Dia mengambil mancis dari saku seluarnya, lalu menyalakan pelita yang tersangkut didinding. Buat seketika dia melihat mejanya yang ditimbuni kertas-kertas; kerusi tuanya; dinding yang memperagakan gambar-gambar; cermin besar disisi mejanya; dan akhirnya melontarkan pandangan ke arah bilik kurungan. Dia memang tidak perlu menundukkan wajahnya. Bilik kurungan ini seperti pentas kecil, dibina beberapa kaki lebih tinggi daripada paras lantai rumah pasung. “Oh!” Suara mata-mata ini, mengerling lelaki dalam kurungannya. Melalui pandangan matanya, lelaki itu bukan lagi pemuda perkasa yang tingginya serta berat badannya melebihinya, tetapi hanyalah seorang budak lelaki yang rendah, lemah lembut dan pucat dalam kurungan. “Apakah kau telah melepaskan pemuda dulu dan menggari dirimu sendiri sebagai penggantinya?” wajahnya tetap ke atas. Budak lelaki menggelengkan kepalanya. “Aku sangat lapar.” Termenung sebentar mata-mata ini. Aneh, baru beberapa jam tadi, dia pasti bahawa yang tergari di bilik kurungan ialah seorang pemuda, yang apabila berdiri disisinya ketika dibawa masuk ke rumah pasung itu melebihi ketinggiannya. Dia masih ingat juga tubuh lelaki itu yang gempal, yang kelihatan lebih perkasa, yang mampu melawan apa saja, termasuk melawannya kalaulah uniform dan pistolnya bukan halangan psikologis yang pertama, yang membuat lelaki itu, malah kebanyakan orang, tidak akan melawan. Tetapi sekarang, lelaki perkasa ini telah menjelma budak. Budak kecil yang kurus. Budak yang mengaku bahawa memang daripada awal dialah yang tergari, bukan budak yang telah menyeludup dan sukarela mengambil tempat sang pemuda. Kalau ingin diselidik-selidik lagi, mungkin hidupnya akan habis kerana polah si budak ini. Baiklah menerima saja pengakuan budak lelaki ini. Bukankah pengakuan seorang budak selalu lebih murni daripada pengakuan orang-orang senior? Mata-mata itu memegang jerejak besi bilik kurungan yang terasa dingin. “Aku tidak memesan makanan malammu. Aku juga tidak memesan makanan malamku. Apa bezanya?” “Jadi aku harus berlapar lagi?” “Aku juga lapar! Hei, mengapa kau belum memberikan jawapan yang boleh memuaskan hatiku terhadap soalan yang sudah berkali-kali kutanyakan?” “Aku sudah menjawabnya, puluhan kali, ratusan kali, dan ini sekali lagi; Pada suatu hari, waktu sedang berjalan-jalan, aku terlihat sehelai bendera terkibar-kibar di atas tiang putih licin yang sangat tinggi. Hari itu aku tak tahu apa yang harus kulakukan. Bagaimana kalau aku memanjat tiang dan mengoyakkan bendera di puncak tiang? Aku menukikkan pertanyaan itu 27 ke inti fikiranku. Mengapa ditunggu lagi? Aku menerima jawapan segera daripada inti fikiranku. Dan aku memanjatnya, dengan cepat sekali. Sampai sekarang aku masih tertanyatanya: bagaimana tiang putih licin itu dapat aku tewaskan, padahal ia tegak lurus dilangit, bukan jatuh horizontal. Sampai dipuncaknya, tanganku terus mengoyakkan bendera itu. Kemudian aku menggelongsor turun, disambut oleh seorang mata-mata!” “ Mustahil kau mengoyakkan bendera yang sama-sama kita muliakan itu tanpa satu sebab pun, walaupun mungkin oleh seorang yang telah membujukmu untuk melakukannya, dengan sejumlah upah.” “ Sebabnya, pada hari itu aku tak tahu apa yang harus kulakukan.” “Apalah nasibku,” suara mata-mata sambil melontarkan topinya ke atas meja. “Tercampak ke sebuah rumah pasung dikota kecil. Sering bertugas seorang diri beberapa hari. Kota kecil yang cepat tidur begitu burung-burung gagak pulang ke pohon-pohon, begitu lelaki tua itu, entah sudah berapa puluh tahun, menyalakan pelita-pelita jalan.” “Sudah lama aku disini. Sepanjang ingatanku, tuan belum mencatatkan sesuatu apa pun tentang diriku dalam buku tuan, itu penting, bukan? Kalau sesuatu terjadi kepada diriku, tuan akan tahu siapa diriku.” “Tidak ada apa yang akn aku catatkan.” “Walaupun namaku? Alamat rumahku?” “Tak satu pun.” Budak lelaki itu mula menyanyi. Suaranya perlahan. Seni katanya tidak jelas. Keduadua belah tangannya tetap tergari ke jerjak besi yang lurus bagaikan senapang, tegak lurus rapatrapat mengepungnya. “Mengapakah aku dulu menggalas impian-impian hari esok; menggalasnya dengan sungguh-sungguh?” Suara mata-mata kepada dirinya sendiri. “Tentang kehormatan dan keseronokan. Tentang sanjungan, dan kemewahan. Sekarang, kauterimalah kenyataan hari ini, yang kugalas dulu sedang meracun dalam diriku, hari ini. “Tuan berkata-kata lagi seorang diri.” Budak lelaki itu bersuara. Kepalanya hampir mencecah lantai bilik kurungan. “Dengarkan kata-kataku pula, kalau tuan sudi. Benar, pada hari aku memanjat tiang itu dan mengoyakkan bendera dipuncaknya, aku memang tak tahu apa yang harus kulakukan pada hari itu. Sekarang, dalam kurungan tuan, aku sedang berfikir untuk tidak mengulangi perbuatan itu. Tuan mendengar kata-kataku? Kalau tuan mendengar, satu permintaanku. Catatkanlah dalam buku tuan nama, alamatku. Apakah catatan itu penting untuk esok? Aku tidak pasti. Tapi pada hari ini entah mengapa, aku berasa butir-butir itu amat penting tuan catatkan.” “Janganlah meminta, apalagi mengarahkan. Aku tidak akan mencatatkan sesuatu apa pun dalam buku itu. Catatan serupa itu tidak menjelmakan makna, sejarah dan tafsiran. Kadang seperi hidup ini juga.” Budak lelaki itu tidak tersentak walau sedikit pun. Dia kembali menyanyi, perlahanlahan. Hanya suaranyalah yang kedengaran. Kedua-dua belah tangannya terkulai tidak bergerak. Kepalanya terkulai tidak bergerak. Kedua-dua belah kakinya terletak tidak bergerak. 28 Salakan anjing kedengaran sayup-sayup. Mata-mata mengerling bilik kurungan yang sekarang amat sepi. Hanya kedua-dua belah tangan budak lelaki itu yang kelihatan, terkulai menyerah. Sepi bilik kurungan tiba-tiba dipecahkan oleh deretan dengkur yang payah. “Benarkah aku telah memahami dan mengenal diriku?” mata-mata bertanya lagi kepada dirinya sendiri. Dia berdiri dihadapan cermin, melihat tubuhnya dibungkus uniform. Sehelai demi sehelai pakaiannya ditanggalkan. Seluruhnya. Dia melihat dirinya, keseluruhannya, dalam cermin. Dia belajar mengenal rambutnya, kulitnya, bentuk tubuhnya.dia berpandangan dnegan dia. Saling merenung dan bertentangan mata. Saling mengenal antara yang diluar refleksi dan di dalam refleksi. Berpandnagan lagi dengan asyiknya. Bertukar tanya dan jawab dalam hati. Bertentangan mata semula buat sekian lama, seakrab-akrabnya, sampai pada satu detik dia tidak membezakan antara dirinya di luar cermin dan di dalam cermin. Alangkah! Alangkah banyak hal yang dulu tidak dikenali, sekarang dikenali semesra-mesranya, difahami sedalamdalamnya. Memang, pada bayang yang satu yang dilihatnya hanyalah kulit membungkus tulang dan daging tubuhnya, tetapi apabila renungannya tembus ke inti bayang, ada sejuta makna tentang dirinya. Dia mengenakan pakaian premannya. Dia tinggalkan uniformnya. Dia tinggalkan pistolnya. Dia tinggalkan pelurunya. Dengan langkah tenang dia melangkah keluar meninggalkan rumah pasung. Dia kembali ke rumah pasung itu hingga akhir hayatnya. Dalam perjalanan pulang ke rumah setelah lelaki tua itu selesai menyalakan dan menggantungkan lampu-lampu jalan, dia melewati semula rumah pasung itu. Dari tempat lampu penghabisan yang perlu dinyalakan, sampai ketika dia menghampiri rumah pasung itu semula, dia berasa hairan mengapa minyaknya pada hari ini tidak habis seperti ribuan sore yang lalu. Harus diapakan dengan minyak yang berbaki itu? Rumah pasung itu seperti sedang tidur dalam gelap. Mata-mata yang biasanya boleh dilihat dari jalan pun tidak kelihatan. Lelaki tua ini membelok masuk kehalaman rumah pasung, menghampiri bangunan tua itu, mengintai-intai bahagian dalamnya. Dia tidak dapat melihat sesuatu apa pun. Pelita dinding rumah pasung itu telah lama padam. Dia mengelilingi rumah pasung sambal mencurah minyak kandarannya ke dinding. Pusingan bermula dan berakhir di depan pintu rumah pasung, tempat- seperti yang selalu dilihatnya—mata-mata itu berdiri memerhatikannya menyalakan pelita jalan dihadapan rumah pasung. Setelah mencampakkan api ke dinding yang basah dengan minyak, dia berlari-lari ke rumahnya sambil tetap mengandar dua tin minyaknya yang kini kosong. Bising bunyi tin-tin yang dikandarnya, yang sering bertumbuk antara satu sama lain, kadang berselang dengan bunyi letupan dan letusan dari rumah pasung yang terbakar marak. Dengan api merah dibelakangnya, kini dia melihat bayang-bayangnya sendiri di hadapannya sedang bergerakgerak dengan jelas, berbeza dengan bayang-bayang yang dicipta oleh pelita-pelita jalan yang sugul dan muram. Malam itu, malam musim kemarau, lelaki tua itu tidur lena seperti biasa, seperti ribuan malam yang telah berlalu. Esok ditengah keriuhan burung-burung gagak pulang ke dahan –dahan tenggeran, lelaki tua itu mula berurusan dengan pelita-pelita jalan. Ke mana pun dia pergi di sore seperti ini, dia kelihatan mengandar dua tin minyak. Pelita di hadapan bekas rumah pasung diturunkannya perlahan-lahan, sambal matanya mengerling kawasan rumah pasung yang kini punah penuh 29 jelaga. Besi-besi pun telah kehilangan bentuk asalnya. Pelita yang sebuah ini diisi minyak, dinyalakan. Setelah dia pasti apinya marak dengan baik dalam kaca kepungan yang hampir sebesar kepalanya, pelita sebuah ini dinaikkan ke puncak tiang dengan menarik takal. “Sudah sampai waktunya pelita-pelita dinyalakan.” Ujarnya. “Jangan sampai ada yang tersesat jalan.” 30 SAHABAT Bilik yang kecil ini sudah kukitari, entah berapa kali. Sambil kaki melangkah perlahanlahan, dan mata mengerling keluar melihat jutaan butir salji menggugur turun dari langit Manhattan (seperti tepung keluar dari ayak menimpa bangunan dan jalan raya), kenanganku menjangkau nasib Nuriah dibilik pembedahan. Suaminya ikut serta, dan pastilah dia sedang gelisah, lebih gelisah daripada aku kerana menunggu saat kelahiran anak sulungnya. Kadang-kadang emosiku megejek sikapku, mengapa harus berasa berdebar dan gelisah menanti sebuah kelahiran daripada darah pasangan sahabatku sendiri. Tetapi sikapku sering bertahan, menumbangkan emosiku dengan mengingati sepotong kata Sigmund Freud bahawa apabila kita boleh berkongsi (dalam hubungan cerita ini ialah pengalaman-pengalaman yang memilukan), itu adalah puisi dalam prosa kehidupan ini. Disisi 104th Street Broadway ada sebuah bangunan 10 tingkat yang sudah agak tua. Kukira bangunan itu sudah didirikan beberapa tahun sebelum meletusnya perang Dunia ke II dahulu. Cuba melawan ketuaan bangunan itu ialah perhiasan di dalamnya, terutamanya di ruang tamu. Apabila aku menolak pintu kaca bangunan itu, hamparan permaidani merah bercorakcorak menyambutku. Aku, Nuriah dan suaminya masuk. Itu terjadi kira-kira setahun yang lalu. Aku melangkah ke arah penyambut tetamu yang juga operator telefon bangunan itu. Dia seorang perempuan kulit putih, umurnya barangkali enam puluh tahun, lebih tua daripada bangunan itu sendiri. “Selamat pagi. Saya ingin berjumpa dengan Encik Yaakob,” kataku. “Mr. Jacob?” Tanya perempuan itu. “ Mr. Jacob pemilik bangunan ini?” Aku mengerling suami Nuriah sambil tersenyum. “Ya”. jawabku. “Urusan apa? Mahu menyewa bilik?” “Itulah tujuan kami. Sebelum itu, kami ingin menemuninya. Dia satu negara dengan saya, malah dulu pernah tinggal sekampung.” “Oh,” suara perempuan itu,” kebetulan sekali Mr. Jacob tidak keluar pagi ini. Tuan pergilah ke bilik itu (menuding sebuah bilik tidak jauh dari situ), dan ketuk pintunya sebelum masuk.” “ Terima kasih,” jawabku. Dengan tidak membuang masa, kami bertiga menuju bilik itu, mnegetuknya, lalu menguakkan daun pintu lantas masuk. “Assalamualaikum.” Aku menyapa. Yaakob tercengang sebentar. “Kau mesti Anwar, bukan? Anak Mbah Habshah bidan itu?” 31 “Tepat sekali.” Jawabku. Lalu bersalaman dengannya. “ Kenalkan, ini Ismail dan ini isterinya, Nuriah.” Dia bersalaman dengan ringkas sahaja. “ Kira-kira lima minit lagi saya harus berangkat ke New Jersey. Ada apa-apa urusan perlu dibereskan.” “Kami perlukan bilik. Dua bilik.” “Itu tanyakan kepada penyambut tamu diluar. Mudah-mudahan masih ada.” Dengan kata-kata itu, dia pun bersiap untuk pergi. Kami pun segera beredar, menemui perempuan tua itu sekali lagi. Di hadapan kami melintas Yaakob dengan cepatnya, sambal menjinjing sebuah beg, membuka pintu dan keluar. “Kami perlukan bilik. Dua bilik.” .”Kebetulan sekali,” jawab perempuan tua itu sambal menyelak-nyelak daftar penyewaan.” Ada satu apartment dua bilik di tingkat dua. Penghuninya baru keluar kelmarin, dan tuan datang hari ini. Tetapi ini sungguh istimewa. Cuma satu blok dari sini, di 103rd Street ada subway. Nah tolong penuhkan borang ini, dan tandatangan,” ujarnya sambal menghulurkan dua keping borang. Satu kuserahkan kepada Ismail, satu untukku. Mulai hari ini, kami pun berumah dibilik nombor 2J ditingkat dua bangunan di tingkat dua bangunan milik Yaakob. Ada sebuah ruang tamu yang sempit hadapan bilik-bilik kami. Di sebelah hujung bilik ialah ruang dapur, dan disebelahnya bilik mandi dan tandas. Pada mulanya kekok juga kami untuk menjalani hidup di ruang tamu lagi sekarang, tetapi ruang untuk studi dan makan. Pada ketika-ketikanya, Ismail keluar kuliah di Universiti Columbia. Aku pula di New York University sama ada di kampus besarnya di Washington Square atau kampusnya di 42nd Street, atau di East 55th Street. Seringlah Nuriah tinggal keseorangan. Setiap kali memandang bangunan itu dari jauh, terutamanya apabila aku menjenguk keluar dari lubang subway 103rd Street Broadway, di sebalik bangunan yang pudar itu kukagumi pemiliknya, Yaakob. Sekarang dipanggil oleh bawahannya Mr.Jacob. Dia pernah tinggal sekampung denganku, tetapi umurnya kira-kira 15 tahun lebih tua daripadaku. Sungguhpun kami pernah sekampung, hubunganku dengannya tidaklah rapat. Selain daripada perbezaan umur, yang membezakan kumpulan bermain, aku sudah meninggalkan kampung ketika umurku 13 tahun kerana tinggal di asrama sekolah menengah di Sabak Bernam. Sejak itu, aku jarang pulang ke kampung, kecuali pada musim cuti. Akan tetapi orang tua Yaakob aku kenal benar, orang yang memiliki berkeping-keping sawah dan kebuh kelapa. Ketika orang kampung masih menajak sawah apabila musim hujan tiba, dia sudah membeli sebuah Hino untuk membajak sawahnya yang luas itu. Dia sudah memliki “kerbau yang minum diesel”. Dialah orang pertama yang memiliki radio di kampung kami, orang pertama memiliki motosikal AJS, orang pertama memiliki kereta Hillman dan orang pertama pergi ke Makkah dengan kapal terbang. Ketika aku di sekolah menengah, kudengar orang tua Yaakob meninggal dunia. Apabila aku pulang ke kampung sebulan kemudian, aku mendapat tahu Yaakob telah menjualkan semua tanah sawah dan kebun kelapanya. Sejak itu kudengar khabar beritanya lagi. 32 Baru dua tahun lepas aku mendapat berita daripada seorang sahabat di Ithaca yang menyatakan bahawa Yaakob kini menetap di New York city, Berjaya sebagai seorang peniaga. Terbayang kepadaku Yaakob yang dulu, yang berkayuh basikal ke sekolah Inggeris yang akan berkongsi dengan seorang cina membeli ikan sepat, keli dan haruan jika tiba musim ikan di parit-parit sawah kami. Nah, akhirnya kami bertemu lagi di sebalik bumi Allah ini. “Sudah dua bulan kita menyewa di sini.” Kata Ismail pada suatu malam, sedang kami menonton TV.” Dia bulan bayaran sewa kita tunaikan. Minggu ini sepatutnya kita bayar untuk bulan yang ketiga, tapi bagaimana? Malaysian Students Department di Washington belum mengirimi wang.” “Bagaimana ya?” “Begini saja.” Aku memberanikan . “ Esok pagi aku jumpa Jacob. Masakan dia tidak boleh bertolak ansur. Aku akan katakan bila wang dari MSD sudah sampai, segeralah kita jelaskan sewa bilik ini.” “ Kaufikir dia akan setuju?” “InsyaAllah. Dia pemakan ikan sepat juga.” “Kaucubalah” Esok paginya, kira-kira pukul lapan, dan kebetulan aku tidak ada kelas, kuketuklah biliknya. Setelah masuk, memberi salam dan duduk didepannya, kunyatakan maksud kedatanganku. “Apa?” bentaknya dengan kuat. “ Sini bukan pejabat welfare. Sebagaimana yang disebut dalam peejanjian, yang sudah kautandatangani, sewa bilik mesti dijelaskan dalam minggu pertama awal bulan. Awal bulan. Ingat sudah banyak orang menanyakan bilik.” “Kami bukan cuba berlengah-lengah.” Jawabku dengan tenang. “ soalnya, MSD belum mengirim wang. Kalau wang sudah ada dalam tangan, kami jelaskan.” “ Anak kampung.” Katanya dengan keras. “ Ini New York City ya, bukan Sungai Besar. Di sana, kalau kebetulan tak ada garam, berlari ke rumah tetangga minta pinjam setempurung garam. Tak ada gula, bergegas ke rumah jiran, minta pinjam sekole gula. Bayarnya bila-bila. Mungkin sepekan. Mungkin dua pekan.” Aku tunduk diam. “ Kau ada tempoh empat hari ini,” katanya. Aku bangun. Sebelum meninggalkan biliknya, seperti biasa kuucapkan “Assalamualikum” . tetapi apabila tidak ada apa-apa yang dapat kuberi, bagaimanakah aku dapat menolongnya? Pada hari yang sepatutnya kami telah menjelaskan sewa bilik, kami tidak dapat melakukannya. Wang yang ada dalam tangan sekadar cukup untuk belanja seminggu dua. Ketika aku masuk menemui Yaakob, dan air mataku sudah menterjemahkan apa yang ingin kukatakan, dia menumbuk meja. “ Anak kampung! 33 “ Bagaimana lagi? Wang dari MSD belum sampai. MSD pun tidak boleh disalahkan. Beribu-ribu pelajar menjadi tanggungjawabnya.” “Adakah itu urusanku?” tanya Yaakob. “ Bukan, tetapi..” “ Kalau aku ikut perasaan, kamu bertiga kena keluar,” katanya sambal memandang tepat ke mataku. Setelah diam beberapa saat, dia bersuara semula. “ Ismail mana?” “ Ada di atas.” “ Kau dan dia kena ikut aku sekarang. Pergi tukar pakaian yang buruk sedikit. Beritahu Nuriah kita balik tengah malam.’ “Ke mana?” “Nak ikut atau nak keluar?” Tanpa menjawab, bergegaslah aku naik tangga ke tingkat dua. Sudah Tidak lama kemudian, aku dan Ismail sudah berada dibiliknya semula, berpakaian lebih buruk daripada pengemis-pengemis Harlem. Benarlah, malam itu aku dan Ismail balik pada jam satu tengah malam. Letihnya bukan kepalang. Kami mengikis dinding sebuah restoran Itali yang terletak di kawasaan Greenwich Village. Dua hari berturutnya pula kami mengecat sebahagian dindingnya dan menampal sebahagian dinding lagi dengan wallpaper. Yaakob menunjuk ajar kami. Di malam akhir kami bekerja, ketika restoran itu kembali menyerlah serinya yang gemilang. Yaakob bersuara, “ kerja-kerja kontrak ini banyak untungnya. Sejak aku tiba di New York City, inilah yang aku kerjakan, sehingga dapat membeli bangunan di 104th Street itu. Sesungguhnya aku sudah boleh dikatakan mewah, (sudah jutawan, kataku mencelah) aku masih senang dengan pekerjaan – pekerjaan seperti ini. Sekarang tentang bayaran sewa bilik kamu berdua…aku gantikan dengan kerja-kerja ini. Ingat , lain kali semua bayaran mestilah tepat pada waktunya.” “Terima kasih.” Kataku. “Aku juga, terima kasih.” ujar Ismail. “Hm.” Menjadi buruh paksa Yaakob kadang-kadang mengasyikkan kerana tarikan dolarnya. Sebab itulah, beberapa bulan kemudian sesungguhnya wang dari MSD terus masuk dengan lancer, aku dan Ismail terus-terusan “ mendaftar diri” di pejabat bunuh Mr. Jacob. Banyaklah kerja-kerja mendesaknya, hasil daripada bantuan kami, dapat diselesaikan mengikut jadualnya.Jika tanpa kami berdua kemungkinan Yaakob akan pening kerana banyak kerja kontrak tidak dapat diselesaikan mengikut jadual. Dengan kerja lebih banyak, banyak pulalah wang ditangan. “Nuriah mengandung.” Bisik Ismail pada suatu malam bulan September, “Sudah berapa bulan?. Aku bertanya 34 “Barangkali tiga”. “Kamu. Sepatutnya jangan mengandung dulu. Biaya hospital di sini mahal, bukan macam di GH Kuala Lumpur.” “ Macam batang ubi saja. Cucuk terus bertunas. Tapi, Nuriah tak nampak mengandung bukan? Kalau perempuan gempal, barangkali begitu.” “Bila mahu jumpa doctor?” “Esok.” Esoknya Ismail dan Nuriah ke doktor. Tengah hari baru pulang. “Bukan tiga, tetapi lima,” bisik Ismail. “Sudah lima bulan?” Aku terkejut. “ Kalau begitu, Januari tahun depan kau dapat anak sulung..” “Januari,” suara Ismail perlahan.” Bagaimana kalau kita cari rumah baru? Kalau aku sudah ada anak, tak sesuai lagi rasanya tinggal dibilik ini.” “Aku setuju,” jawabku jujur. “Kau carilah apartmen yang berdekatan dengan Universiti Columbia. Jangan risaukan aku. Aku akan cari bilik di College Resident Hotel di 110th Street.” “Setuju” Sesungguhnya masih ada masa beberapa bula lagi, tempahan bilik mesti dibuat lebih awal. Dalam bulan Oktober, Ismail mendapat jawapan bahawa ada sebuah apartmen dua bilik di 115th Street akan kosong mulai 1 Januari tahun hadapan. Aku belum mendapat jawapan yang pasti. Kata Ismail, sehingga aku mendapat bilik sendiri, bolehlah tinggal di apartmennya di 115th Street kelak. Aku boleh berpindah dari apartmennya, jika aku sudah mempunyai bilik sendiri kelak. Pada bulan Disember, aku dan Ismail memberitahu Yaakob bahawa kami bercadang meninggalkan bilik sewa pada hujung tahun. Yaakob mencatatkan sesuatu dalam buku hariannya. Selepas itu Ismail sekali lagi membawa Nuriah ke doktor. Kuingat lagi harinya, salji mulai turun memutih menutup kenderaan dan tanah-tanah Manhattan. Apabila hujan turun beberapa hari kemudian, semua salji disapu licin., menghilang daripada pandangan. Tengah hari itu Ismail dan Nuriah pulang. Ketika Nuriah baring di katilnya, Ismail membisik. “serba salah hendak aku ceritakan. Kau pasti mengutuk. Nuriah mungkin dibedah.” Aku tergamam seketika. Aku cuba tolong, dengan tenaga atau wang. Aku tahu, biaya pembedahan lebih tinggi daripada melahirkan secara biasa. Aku ingin mengutuknya, tapi kali ini berat rasanya. Kami pun tidak bercerita panjang tentang Nuriah. Perbualan mengenai apartmen baharu nampaknya dengan miudah sahaja menenggelamkan kegelisahan sahabatku ini. Dengan demikian, dua hari sebelum hari Natal, kami pun bersiap-siap, sedikit demi sedikit, mengemaskan barang-barang kami. Hari ini juga kami mengesahkan kepada Yaakob bahawa kami akan mengosongkan bilik mulai 31 Disember. 35 Empat hari sebelum hujung tahun, tanpa kami duga, Ismail menerima panggilan telefon yang memeranjatkan kami semua. Apartmen di 115th Street, tidak kosong, kecuali mulai 1 Februari. Alasannya, penghuni sekarang minta dilanjutkan penyewaan sebulan lagi. “Nampaknya kami terpaksa tinggal sebulan lagi di sini.” Aku memberitahu Yaakob beberepa minit kemudian, dibiliknya. “ Mana boleh begitu?” suaranya keras. “ Apartmen itu baru akan kosong mulai 1 Februari depan.” Aku menerangkan. “Itu bukan urusan aku,”jawabnya. “Aku sudah ada bakal penyewa dari Hong Kong. Kamu sudah beritahu unutk keluar poada 31 Disember ini. Aku sudah buat perjanjian, bertulis dengan bakal penyewa dari Hong Kong itu. “Batalkan perjanjian itu” Tak semudah itu anak kampung,” jawabnya dengan keras. “Perjanjian adalah perjanjian. Kalau aku sampai turun naik mahkamah di New York ini, kau tahu apa akibatnya.” “Habis?” “Kamu bertiga kena keluar pada 31 Disember.” Jawab Yaakob dengan tegas. “kau bukan orang Melayu!” Tiba-tiba meluncur ayat yang kurasakan sendiri amat keras dari mulutku ini. “Tak bertimbang rasa. Kau bukan tak tahu, Nuriah tengah sarat. Berapa Cina Hong Kong bayar itu sebulan?” “400 dolar” “Naik 50 dolar dari kami,” kataku sedikit mengejek. “Beri kami tinggal sebulan lagi. Kami bayar lima ratus dolar.” “Wah, wah, anak kampung,” balasnya menegejek juga. “Dulu, masa MSD lambat hantar duit dalam tangan, sudah berlagak hendak bayar lebih”. “Bukan berlagak , tapi aku fikirkan Nuriah. Lagipun…” “ Kau tahu, masa aku sampai disini 10 tahun dulu, dalam poketku tinggal 20 dolar. Aku tak bersenang-senang macam kau. Belajarlah bersusah sedikit di tempat orang. Ini bukan Sungai Besar, kalau rumah terbakar, tumpang bermalam di rumah jiran. Kalau tak ada ikan, pergi menjala di parit-parit sawah. Umur kita habiskan di sawah-sawah yang sekangkang kera, dan yang dapat untung ialah orang-orang tengah.” “Banyak kerja-kerja kontrakmu aku tolong. Aku dnegan Ismail.” Aku mencelah . Mustahil kau tidak dapat menolong pula pada kali ini.” “Kami sudah tandatangan perjanjian,” jawabnya dengan tegas. “ Kau dan Ismail sepatutnya tandatangan perjanjian awal-awal lagi untuk dapatkan apartmen baru itu. Supaya kau tidak dipermainkan. Sini buka Sungai Besar lagi, anak kampung. Di sana jangan kan tempoh menyewa sawah saja boleh diikat dengan perjanjian mulut, malah wasiat turun temurun pun pakai mulut saja, umpamanya pembahagian tanah pusaka. Akibatnya, ramai adik –beradik bergaduh sesama sendiri kerana tanah perninggalan yang sekangkang kera itu.” 36 Jika ada manusia yang tidak pernah kenal dengan sifat marah, dia adalah Ismail satusatunya.ketika kuberitahu keputusan Yaakub itu, dia duduk dengan tenang sambal menyelaknyelak buku hariannya. ‘Ada satu pepatah Cina.” Katanya dengan tenang. ‘Kesilapan pada satu saat membawa duka sepanjang hayat. (terus menyelak lembaran buku hariannya). Nah, dia, mungkin boleh menolong .” (sambal jarinya menunding sebaris tulisan tangannya sendiri). “Siapa?” “Nordin.” “Kau tak pernah sebut namanya,” kataku. “Dulu dia tinggal di Brooklyn. Baru pindah ke 73rd Street. Kami berkenalan secara kebetulan saja, dalam subway. Dia bertanya kepadaku.Melayukah? Aku mengangguk. Aku berikan alamatku dan nombor telefonku. Dia berikan alamatnya dan … nombor telefonnya juga.” “Cuba telefon.” Tanpa berlengah Ismail menelefon, menceritakan kesulitannya. Beberapa minit lamanya selesailah perbualan mereka. “Bagaimana ?” “Katanya, dia cuma ada sebilik, tempat tidurnya.” “Jadi, kita tak dapat menumpang di rumahnya untuk sebulan?” “Katanya, pindahlah. Nuriah boleh gunakan biliknya. Kita bertiga tidur diruang tamu.” Pada 30 Disember, berangkatlah, kami bertiga ke bilik Nordin yang kecil ini. Harinya lembap, dengan salji memutih turun dari langit Mahattan. Ismail terlebih dahulu menghantar Nuriah dengan teksi. Kemudian aku dan Ismail mengangkat kotak-kotak berisi buku, beg pakaian dan sedikit barang-barang dapur ke Subway- masuk ikut lorong 103rd Street berjalan satu blok, dan sampai lah ke tempat yang dituju. Bilik Nordin berada di tingkat tiga. Oleh sebab bangunan itu tidak mempunyai elevator, terpaksalah kami memanjat tangga. Di sinilah sekarang, di bilik Nordin yang kecil ini. Beberapa bulan yang lepas dia bertekad meninggalkan FAMA, unutk belajar di salah sebuah kolej di New York City. Pada mulanya dia tinggal di Brooklyn, tetapi tidak tahan berulang-alik, lalu pindah ke sini. Kini wangnya mulai menipis, sementara permohonan biasiswa atau pinjaman MARA. Yang dikemukakannya sebelum ada jawapan. Untuk menambah- menambah wang ,dia berjual jam tangan, payung atau pakaian musim sejuk di kaki lima. Genap tujuh hari aku menumpang di sini. Pagi-pagi tadi Nuriah mengerang sakit. Kami memapahkannya turun. Dengan teksi kuning.Ismail membawanya ke hospital. Ring! Ring! Ring! 37 Dengan pantas kusambar telefon dipenjuru bilik. “Anwar”. suara Ismail dihujung sana. “ Aku dapat anak lelaki.” “Nuriah bagaimana?” “Alhamdulillah, selamat.” “Tunggu, aku datang.” Dengan keputusan itu, segeralah aku berpaakaian tebal untuk melawan kedinginan di luar. Bagaimana aku harus menterjemahkan kegembiraanku kepada pasangan sahabatku yang pernah sama-sama kecewa dan menangis? Barangkali cukuplah walau sekadar sekuntum bunga. Berita minggu 16 Oktober 1983. 38 BIODATA PENGARANG KEHADIRAN Anwar Ridhwan dalam dunia penulisan kreatif mula dirasakan pada tahun 1970, ketika dalam tahun pertama Universiti Malaya. Sajak dan cerpen adalah dua bidang sumbangannya yang agak prolifik dan diikuti kemudiannya dengan esei dan kritikan. Sekitar pertengahan tahun 1970-an, sumbangannya dalam genre puisi dan esei/ kritikan dikesampingkan buat sementara, lalu beliau menumpukan sepenuh perhatian terhadap penulisan cerpen. Dalam bidang inilah Anwar dianggap oleh peneliti sastera sebagai memiliki kekuatan sebelum melangkah ke arena penulisan novel. Anwar adalah anak bongsu daripada enam orang adik-beradik yang lahir pada 5 Ogos 1949 di Parit Satu Timur, Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan. Bapanya petani yang berasal dari Bagan Serai, Perak. Ibunya, Habsah @ Mariam seorang bidan berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Setelah berumah tangga, kedua-dua orang tuanya menetap di Sungai Besar, Selangor. Anwar menerima pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar (1956-1962) selama tujuh tahun. Persekolahan rendahnya lebih setahun kerana sewaktu dalam darjah tiga, beliau kembali mengulang belajar dalam darjah dua. Hal ini terjadi kerana sikap dan tindakan Anwar sendiri yang tidak menyenangi guru darjahnya yang garang. Seterusnya Anwar belajar di Sekolah Ungku Aziz, Sabak Bernam (1963-1967) dari Tingkatan I-V dan Tingkatan Enam di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur (1968-1969). Pada tahun 1970, beliau diterima masuk ke Universiti Malaya dan belajar di Jabatan Pengajian Melayu. Semasa menuntut di Universiti Malaya, beliau turut mengasaskan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM). Anwar pernah mengasuh ruangan kebudayaan akhbar kampus Mahasiswa Negara dan menyertai program lawatan sambil belajar ke Indonesia, Hong Kong dan Thailand. Pada tahun 1973, beliau lulus Ijazah Sarjana Muda Sastera (kepujian). Pengalaman pahit secara dekat Tragedi 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur turut memberi kesan dalam hidupnya dan sebahagian pengalaman itu dituang ke dalam beberapa karyanya. Beberapa hari selepas meninggalkan universiti dalam tahun 1973, beliau diterima bertugas sebagai pegawai sementara di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama 3 bulan. Mulai 1 Mei 1973, beliau diterima sebagai Pegawai Penyelidik Sastera (tetap). Selama bertugas dengan DBP, beliau pernah menjadi anggota sidang editor majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Sewaktu semester musim rontok 1982, beliau berkesempatan mengikuti kursus penerbitan buku di New York University, Amerika Syarikat, dan pada tahun 1983, menerima Ijazah Sarjana Sastera (M.A.) daripada Universiti Malaya 39 berdasarkan tesisnya yang diusahakan beberapa tahun sebelumnya. Pada tahun 1982, Anwar berpeluang mengikuti kursus penerbit selama empat bulan di New York University, Manhattan, Amerika Syarikat. Kemudian pada bulan September tahun 1986, Anwar berpeluang mengikuti International Writing Program di Universiti Iowa, Amerika Syarikat, selama empat bulan. Beliau juga pernah menyertai Pertemuan Puisi Dunia di Struga, Yugoslavia, pada bulan Ogos 1988, kemudian berkunjung ke Soviet Rusia sebagai tetamu Persatuan Penulis Soviet pada bulan September/Oktober 1988. Seterusnya Anwar menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, DBP, dan buat beberapa waktu, Anwar pernah memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah. Anwar pernah berkhidmat sebagai Profesor Pelawat di Tokyo University of Foreign Studies mulai 1997-2000. Pada tahun 1998, Anwar menerima Ijazah Kedoktoran daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Pada tahun 2001, Anwar menjadi Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Anwar mempunyai latar belakang kegiatan sastera dan bahasa yang agak luas. Dari tahun 1974-1976, beliau pernah menjadi Setiausaha Satu GAPENA; Pengarah “Pertemuan Sasterawan Nusantara III” yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 5-6 Disember 1981 dan Setiausaha “Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV” yang diadakan di Kuala Lumpur dari 7-10 Disember 1984. Dalam dunia penulisan kreatif, antologi cerpennya yang pertama Parasit (1976), memperlihatkan corak penulisannya dengan gaya baharu melalui bahasa yang puitis. Dalam antologi cerpennya yang kedua, Sesudah Perang (1978), Anwar menggarap tema tentang “nasib” watak-watak dalam kebudayaan tradisi di ambang kebudayaan baharu yang agresif, materialistik dan individualistik. Inilah tema yang banyak diungkap oleh Anwar, sebagaimana terbukti dalam kebanyakan karyanya, termasuk sebilangan besar karya dalam antologi cerpen ketiganya Sangkar. Selama menghasilkan cerpen, sudah empat kali Anwar memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia: “Perjalanan Terakhir” (1971), “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” (1973), “Sesudah Perang” (1976), “Sasaran”, “Sahabat” dan “Menjadi Tua” (1982/83). Novel pertama Anwar, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) memenangi Hadiah Pertama Peraduan Mengarang Novel anjuran Yayasan Sabah – GAPENA II. Novel ini pada keseluruhannya melukiskan konflik jiwa tokoh penglipur lara kerana ancaman terhadap seni dan idealnya. Di samping itu digambarkan juga kehidupan orang kampung yang terpencil dan bimbang akan akibat perang. Novel ini memperlihatkan penguasaan yang seimbang antara isi, 40 teknik dan adunan bahasa. Karyanya mendapat tanggapan dan sorotan yang baik daripada para sarjana. Hari-hari Terakhir Seorang Seniman sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Harry Aveling (dalam judul The Last Days of an Artist, DBP, 1982); juga sudah diterjemahkan ke bahasa Jepun oleh Tatuo Hoshino dan juga ke dalam bahasa Perancis. Novel ini juga telah diadaptasikan ke teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan sudah dipentaskan sebanyak 14 kali di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching dan Singapura. Novel keduanya berjudul Arus menyusul enam tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1985. Arus lebih kepada pemaparan persoalan semasa yang berlaku dalam masyarakat. Novel ini menggambarkan konflik skandal bank dan isu kafir-mengkafir di kalangan umat Islam di negara ini dan terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 bersama-sama novel Daerah Zeni karya A. Samad Said. Novel Arus juga telah diterjemahkan ke bahasa Perancis pada tahun 1989 dan kemudiannya ke dalam bahasa Thai. Sungguhpun penulisan kreatif Anwar lebih mengarah kepada cerpen dan novel, beliau juga berusaha untuk kembali menulis puisi, iaitu genre yang agak lama dikesampingkan; serta ingin mencuba menulis skrip drama. “Jika ini terjadi”, menurut Anwar, “rangsangannya bermula dalam musim rontok di Manhanttan pada tahun 1982. Latar, suasana dan keadaan di sana, seperti meminta saya untuk membuka jendela kreatif saya lebih luas.” Tidak lama selepas itu lahir kumpulan puisinya berjudul Tercipta dari Tanah, iaitu kumpulan puisinya yang pertama dan diterbitkan dalam tahun 1985. Beliau juga memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1992/1993 untuk dramanya Yang Menjelma dan Menghilang. Tahun sebelum (1991), kumpulan cerpen Sesudah Perang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul After the War and Other Stories. Pada tahun 1992, cerpennya “Dari Kiev ke Moskova” telah memenangi hadiah pertama peraduan cerpen DBP-Maybank. Dalam bidang penulisan drama pentas, Anwar telah menghasilkan Orang-orang Kecil (1990) dan Yang Menjelma dan Menghilang (1990) – drama ini memenangi Hadiah Utama, Peraduan Menulis Drama Yayasan Seni – Berita Harian 1990. Anwar bukan setakat menghasilkan skrip malah melangkah lebih jauh dengan mengarahkan drama, setakat ini Anwar telah mengarah tiga drama pentas, iaitu Penghuni Paya – The Swamp Dwellers – Karya Wole Soyinka, 16-18 Disember 1991, Pulang (dramanya sendiri yang belum diterbitkan) 5-8 Disember 1995, dan Yang Menjelma dan Menghilang, (dramanya sendiri) 8-13 Jun 2001. Anwar Ridhwan mula menulis cerpen pada awal tahun 1970-an. Apabila salah satu cerpennya pada peringkat awal itu memenangi Hadiah Sastera Malaysia (1971), melalui cerpen 41 “Perjalanan Terakhir”, beliau bukan sahaja merupakan antara penulis termuda memenangi hadiah tersebut, tetapi juga memperlihatkan keupayaan meneroka gaya pengucapan fiksi yang membaharui konvensi, serta lebih mengungkapkan psikologi watak-wataknya. Daripada “Perjalanan Terakhir” bakat beliau selalu dikesan dan diperhatikan. Kecenderungan beliau untuk membaharui konvensi, mempersembahkan cerpen dalam gaya yang agak berbeza berbanding pengarang Malaysia sezaman dan memberi penekanan aspek psikologi watak, terus terserlah dalam kebanyakan cerpen-cerpennya seperti “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, “Sahabat”, “Menjadi Tua”, dari Kiev ke Moskova” dan “Tik! Tik! Tik!”. Ketika kebanyakan penulis cerpen sezamannya masih berlegar dalam latar Malaysia, Anwar melihat latar sebagai unsur yang sekunder. Bagi, mesej dan persoalan kemanusiaan, tanpa batas geografi, adalah lebih utama. Dengan demikian, apabila pembaca mengikuti cerpen-cerpen Anwar, mereka tidak sahaja akan menerima pengalaman seni yang segar, malah meluaskan pengalaman yang mengangkat pelbagai latar internasional. SN Muhammad Hj. Salleh berpendapat bahawa cerpen-cerpen Anwar dicipta dengan begitu teliti dan bersih. Barangkali pengalaman Anwar sebagai editor sastera selama bertahuntahun, telah membentuk peribadinya untuk menghasilkan karya yang teliti, indah dan berkesan. Persoalan dalam semua cerpen Anwar dapat dibahagikan kepada dua, iaitu pertama, watak yang bergelut dengan budaya serta nilai baru. Budaya dan nilai baru itu, walaupun usianya muda, kelihatan lebih gagah, berkuasa, dan bergelombang global melanda budaya serta nilai yang lama. Cerpen “Sahabat” dan “Menjadi Tua” hanyalah sekadar dua contoh cerpen Anwar. Kedua, nilai kemanusiaan dan konsep demokrasi menjadi amat relatif dalam kehidupan pasca moden. Cerpen “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dan cerpen-cerpen dalam kumpulan Naratif Ogonshoto adalah contoh persoalan sedemikian. Dalam Naratif Ogonshoto, kedua-dua persoalan utama itu, yang sifatnya sangat universal, mengatasi unsur latar dan nama watak yang konkrit dan real. Sebuah cerpen dalam Naratif Ogonshoto begitu unik olahannya. Konflik nilai, makna demokrasi dan ancaman budaya baru begitu terasa keuniversalannya walaupun diletakkan pada latar sebuah republik fiktif di Pasifik. Kumpulan cerpen ini, seperti juga cerpen-cerpen Anwar yang lain, membenarkan pandangan seorang sarjana Australia, Harry Aveling bahawa “Anwar’s world is more that of the urban intellectual: more precise, more restrained, at once Malay and international”. 42