Uploaded by Marc Bro

Esei pendek (Raja Farrah Wahida binti Raja Idris)

advertisement
Tugasan 3: Penulisan Esei Pendek
Nama : Raja Farrah Wahida Binti Raja Idris
Tanggungjawab dan Peranan Pegawai:
Peraturan Pegawai & Perintah-Perintah Am
Terdapat pelbagai perintah-perintah am di dalam Jabatan Perkhidmatan Awam
Malaysia. Salah satunya adalah perintah am Bab C iaitu Cuti yang telah dikuatkuasa
bermula 1 Januari 1974. Cuti merupakan tempoh yang dibenarkan untuk
meninggalkan tugas bagi seseorang pegawai. Peninggalan tugas tersebut tidak dikira
sebagai putus perkhidmatan atau berhenti kerja. Permohonan cuti boleh diluluskan
oleh Ketua Jabatan bagi pegawai-pegawai di bawah kuasa mereka. Berdasarkan
Perintah Am Bab C1 (i), cuti adalah satu kemudahan dan ianya bukanlah hak seorang
penjawat awam. Pegawai boleh dipanggil pada bila-bila masa sahaja tertakluk kepada
kepentingan perkhidmatan. Tiga jenis cuti yang terdapat di dalam perintah am iaitu
Cuti dalam perkhidmatan, Cuti atas sebab perubatan dan juga lain-lain cuti.
Seseorang pegawai layak mendapat cuti kerana perkhidmatan seperti cuti
rehat, cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji. Cuti rehat boleh diambil oleh pegawai pada
bila-bila masa. Walau bagaimanapun, pegawai tidak dibenarkan meninggalkan
tugasnya untuk bercuti sebelum permohonannya diluluskan oleh Ketua Jabatan. Baki
cuti boleh dibawa ke hadapan atas sebab kepentingan perkhidmatan. Dasar cuti rehat
seboleh-bolehnya perlu diambil pada tiap-tiap tahun oleh pegawai untuk tujuan
kecekapan dan juga kepentingan pegawai itu sendiri. Kuasa yang boleh meluluskan
cuti rehat ini ialah Ketua Jabatan kecuali dalam hal-hal pengumpulan cuti rehat yang
akan diluluskan oleh Kuasa Tertentu. Cuti rehat untuk keluar negara pula perlu
mendapat kelulusan daripada Naib Cancelor. Permohonan cuti juga perlu dimohon
dan dikemukakan selewat-lewatnya dua bulan sebelum bercuti. Kuasa Tertentu boleh
meluluskan cuti separuh gaji kepada pegawai atas sebab-sebab seperti berikut
sahaja. Antaranya, kesihatan sanak saudara yang rapat, tidak boleh atas sebab
bersalin dan Naib Canselor boleh meluluskan cuti separuh gaji tidak melebihi 14 hari
dalam satu tahun atas sebab kesihatan saudara yang rapat. Bagi cuti tanpa gaji pula
boleh diluluskan atas sebab-sebab peribadi persendirian yang mustahak bagi
pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya enam bulan. Untuk memohon
cuti ini, cuti bergaji penuh hendaklah dihabiskan terlebih dahulu. Selain itu, cuti tanpa
gaji mengikut pasangan berkhidmat di luar negara juga boleh diluluskan bagi tempoh
tiga tahun atau selama tempoh pasangan pegawai berkhidmat di sana.
Seterusnya, cuti atas sebab perubatan. Cuti ini diberi oleh Ketua Jabatan atau
Kuasa Tertentu apabila sesorang pegawai itu disahkan oleh pegawai perubatan,
Lembaga Perubatan atau seorang ahli panel doktor sebagai tidak sihat untuk
menjalankan tugas-tugas jawatannya. Pegawai perlu mengemukakan sijil cuti sakit
sebagai dokumen sokongan. Jumlah cuti sakit yang diberikan oleh ketua jabatan atas
sijil-sijil sedemikian tidak boleh melebihi 15 hari dalam sesuatu tahun. Contoh-contoh
1
cuti atas sebab perubatan adalah seperti cuti sakit, cuti pemulihan, cuti bersalin, cuti
tibi,barah, kusta, cuti sakit lanjutan, cuti kerantina, cuti kecederaan dan cuti isteri
bersalin. Syarat-syarat pemberian cuti sakit adalah mempunyai sijil dari Pegawai
Perubatan dan sakit semasa Cuti Rehat di dalam Malaysia. Pegawai tidak layak
mendapat cuti sakit semasa Cuti Rehat di luar Malaysia kecuali ia sakit pada tarikh ia
patut balik ke Malaysia atau sakitnya berlanjutan hingga ke tarikh ia patut balik ke
Malaysia. Pegawai juga tidak layak mendapat cuti sakit apabila semasa Cuti Separuh
Gaji/Tanpa Gaji.
Jenis cuti yang ketiga adalah lain-lain cuti. Antaranya, cuti tanpa rekod, cuti
urusan kematian, cuti haji, cuti bencana alam, cuti penyelidikan dan cuti sabatikal. Cuti
tanpa rekod adalah cuti menghadiri latihan pasukan sukarela, menghadiri aktivitiaktiviti pertubuhan/persatuan, cuti untuk menduduki peperiksaan dan cuti mengambil
bahagian dalam sukan dan olahraga. Manakala apabila berlaku kematian ahli
keluarga terdekat seperti suami, isteri, anak, ibu atau bapa kandung, pegawai tersebut
diberi cuti selama tiga hari sebagai cuti tanpa rekod termasuk semua hari rehat dan
hari kelepasan am. Bagi cuti haji, pegawai perlu berjawatan tetap dan sekali sahaja
dalam perkhidmatan untuk memohon cuti haji. Tempoh cuti haji adalah 40 hari
termasuk cuti hujung minggu dan Hari Kelepasan Am. Jika lebih darip 40 hari, pegawai
tersebut perlu memohon cuti rehat atau cuti tanpa gaji. Seterusnya, cuti bencana alam
diluluskan apabila berlaku kejadian kecemasan/bencana alam di kawasan kediaman
pegawai berkenaan yang menyebabkan pegawai itu tidak dapat hadir kerja. Cuti
penyelidikan pula diluluskan tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan. Pegawai
boleh memohon cuti dalam satu-satu tahun tidak melebihi dua bulan atau 60 hari.
Yang terakhir adalah cuti sabatikal yang mana layak mendapat cuti tertakluk kepada
syarat seperti tidak lebih daripada lima bulan jika perkhidmatannya genap tiga tahun
manakala jika telah genap perkhidmatan lima tahun, cuti tidak lebih daripada Sembilan
bulan lamanya.
Kesimpulannya, setiap cuti yang diberikan kepada setiap penjawat awam perlu
digunakan sebaik mungkin. Penjawat awam perlu mengambil berat dan cakna dengan
setiap pengambilan cuti yang diambil dan tidak menggunakan kemudahan cuti
tersebut dengan cara yang salah. Hal ini untuk mengelakkan daripada berlakunya
masalah disiplin sepanjang berkhidmat. Penjawat awam juga perlu mengetahui
tentang cara-cara memohon cuti, syarat-syarat kelayakan cuti dan kuasa yang
meluluskan cuti. Pengetahuan ini dapat membantu pegawai terhindar dari masalah
pada kemudian hari berkaitan dengan cuti.
Rujukan
Institut Aminuddin Baki. Kursus Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah(KPKS).
Diperoleh daripada https://mgbbtgpdg.webs.com/PERINTAH_AM_BAB_C.pdf
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. PERINTAH-PERINTAH AM BAB C.
Diperoleh daripada https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PA/BAB-C/
2
Download