Perbincangan Dasar-dasar Yang Menyokong Pendidikan Inklusif Dasar Pendidikan Inklusf berkaitan dengan pendemokrasian pendidikan dan konsep keadilan kepada Murid Bekeperluan Khas. Dari segi proses PdP pula adalah berpusatkan murid. Pendidikan Inklusif boleh dilaksanakan di semua sekolah di Malaysia dan dijalankan secara inklusif penuh atau inklusif separa. Bagi membolehkan MBK menyertai kelas Pendidikan Inklusif, mereka perlu melepasi ujian penilaian instrumen yang telah ditetapkan oleh KPM. Umur MBK adalah mengikut kohort umur murid di arus perdana (Garis panduan PPI, KPM 2013). Di dalam setiap kelas, jumlah MBK tidak boleh melebihi 5 orang. Penempatan MBK mestilah mendapat persetujuan daripada ibu bapa (Hanafi Yasin, 2016). Mengikut Peraturan Pendidikan Khas 2013 dan Kod Amalan Pendidikan Murid Berkeperluan Khas, menjelaskan bahawa untuk menentukan keseuaian MBK, murid tersebut hendaklah menghadiri suatu tempoh percubaan yang tidak melebihi tiga bulan di sekolah. Apabila tempoh percubaan selesai, pihak sekolah hendaklah mengemukakan laporan kepada panel dan menentukan kesesuaian MBK. Merujuk kepada dasar program pendidikan inklusif, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (20132025) menyatakan bahawa Kementerian beriltizam menggalakkan lebih ramai murid berkeperluan khas ke dalam program pendidikan inklusif dan meningkatkan kualiti penyediaannya secara keseluruhan. Ini menunjukkan komitmen KPM dalam memperkasa pelaksanaan program pendidikan inklusif secara terancang dan berfokus. Manakala, deklarasi antarabangsa juga menyatakan bahawa program pendidikan Inskusif merupakan satu pendekatan pendidikan yang terbaik bagi murid berkeperluan khas. Ini merupakan antara dasar Pendidikan Inklusif. Antara deklarasi tersebut adalah seperti berikut: Salamanca Statement and Framework for Action on Special Needs Education (UNESCO 1994): “Regular schools with an inclusive orientation are the most effective means of combating discriminatory attitudes, creating welcoming communities, building an inclusive society and achieving education for all.......” Kenyataan Salamanca (1994) di atas mendukung prinsip Pendidikan Untuk Semua (EFA) yang menyokong bahawa kanak-kanak berkeperluan khas mempunyai hak mendapat pendidikan yang sama rata dengan rakan-rakan mereka dalam Pendidikan Inklusif.Tiada diskriminasi guru dalam sesi pembelajaran melibatkan murid berkeperluan khas, memainkan peranan penting memastikan murid berkenaan tidak merasa wujud perbezaan dengan rakan-rakan sebaya di kelas arus perdana. Berdasarkan kepada dasar ini, pendidikan inklusif juga merupakan kaedah terbaik dalam menentang sikap diskriminasi guru aliran perdana terhadap murid. Guru aliran perdana berusaha mempelbagaikan aktiviti dalam pembelajaran seperti pembelajaran koperatif yang melibatkan aktiviti berkumpulan supaya murid dapat berinteraksi dengan murid lain di dalam kelas aliran perdana. Akta Orang Kurang Upaya 2008 Akses kepada pendidikan yang sama rata bagi kanakkanak kurang upaya juga termaktub dalam Undang-undang Malaysia, Akta 685 di bawah Seksyen 28(1), yang menyatakan: “orang kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada sistem pendidikan umum atas asas ketidakupayaan, dan kanak- kanak kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan tinggi, atas asas kesetaraan dengan orang atau kanakkanak upaya, termasuk latihan vokasional dan pembelajaran sepanjang hayat”. Dasar yang seterusnya adalah Peraturan-peraturan (Pendidikan Khas) 2013: “Pendidikan Khas” ertinya pendidikan bagi murid berkeperluan khas di sekolah khas atau di sekolah yang menjalankan Program Pendidikan Khas Integrasi atau Program Pendidikan Inklusif pada peringkat pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah dan pendidikan lepas menengah. Seterusnya, Dasar Pendidikan Wajib 2022 merupakan Pendidikan peringkat sekolah rendah untuk semua kanak-kanak termasuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah wajib di negara Malaysia.Ibu Bapa yang gagal mendaftar anak dalam umur persekolahan peringkat rendah boleh didakwa. Kesimpulannya, terdapat banyak peranan guru aliran perdana untuk merealisasikan konsep, matlamat dan dasar program inklusif. Kelas inklusif yang berjaya adalah apabila guru biasa dan guru Pendidikan Khas perlu memberi penekanan terhadap komunikasi semua guru yang terlibat dalam program ini mesti bersikap jujur dan terbuka dalam menangani segala masalah dan peranan yang timbul. Guru-guru aliran yang terlibat dalam kelas inklusif hendaklah bersedia untuk menghadapi sebarang rintangan dan halangan yang mendatang. Mereka juga perlu belajar untuk berkompromi dan juga membuat sesuatu yang berlainan sama sekali daripada yang dirancangkan. Disamping itu juga guru kelas biasa dan guru kelas Pendidikan Khas perlu bekerjasama dan menerima kanak-kanak berpendidikan khas yang mempunyai berbagai-bagai perbezaan individu. Pelaksanaan Pendidikan Inklusif memerlukan kerjasama semua pihak agar keberkesanan program yang dilaksanakan dapat dihasilkan. Pendidikan Inklusif memberi peluang ke arah pemantapan sistem pendidikan untuk golongan bekeperluan khas di Negara kita sekaligus mengangkat martabat pendidikan Malaysia dipersada dunia.