Akibat Terlalu Tamak Assalamualaikum dan salam sejahtera. Yang dihormati tuan pengerusi majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Hari ini saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk Akibat Terlalu Tamak. Dengar nya. Batu delima intan permata Dijadikan orang barang perhiasan Dengarlah kawan cerita saya Apa yang baik jadikan teladan Di dalam sebuah kampung, tinggal sepasang suami isteri iaitu Karim dan Munah. Hidup mereka sangat miskin. Setiap hari mereka pergi memancing di sebuah sungai yang tidak jauh dari pondok mereka. Mereka berdua selalu berharap agar mendapat ikan yang besar dan banyak. Dengan yang demikian mereka boleh menjual ikan itu untuk mendapatkan sedikit wang. Namun begitu, setiap kali mereka memancing, mereka hanya mendapat beberapa ekor ikan yang kecil. Pada suatu pagi, seperti biasa mereka keluar memancing. Mereka menggunakan sebuah perahu kecil untuk pergi ke tengah-tengah sungai itu. Setelah beberapa lama memancing, tidak ada seekor ikan pun yang mereka dapat. Munah berasa jemu dan letih .Dia mengajak suaminya pulang ke rumah. Namun suaminya meminta Munah bersabar dan yakin mereka akan mendapat ikan yang besar dan banyak. Munah kembali duduk di dalam perahu sambil termenung. Tidak berapa lama kemudian, Munah merasakan pancingnya telah ditarik dengan kuat. Mereka saling berpandangan dan yakin akan dapat ikan yang besar pada hari itu . Mereka berdua sangat gembira dan menarik pancing dengan penuh semangat dan berhati-hati. Meraka berasa hairan kerana hasil pancingan mereka terlalu berat. Alangkah terperanjatnya mereka kerana mendapati pancing itu mengenai seutas rantai bersalut emas. Karim dan Munah terus menarik rantai itu masuk ke dalam perahu mereka. Akhirnya perahu mereka penuh dengan rantai emas yang tidak putus-putus apabila ditarik. Karim tidak berdaya hendak menarik rantai itu lagi tambahan pula perahu mereka hampir tenggelam. Karim meminta Munah memotong rantai itu, tetapi kerana sikap tamak Munah tidak mempedulikan kata-kata suaminya. Karim menasihati Munah agar tidak tamak . Namun Munah tetap tidak mahu memotong rantai itu kerana dia telah berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Munah berangan-angan untuk membina rumah yang besar dan menjadi orang yang terkaya di dalam kampungnya. Karim tidak dapat berbuat apa-apa. Dia hanya mampu melihat isterinya menarik rantai itu. Akhirnya , perahu mereka tidak mampu menanggung beban rantai emas yang berat itu dan akhirnya tenggelam. Karim dan Munah terus berenang ke tebing sungai untuk menyelamatkan diri. Munah menangis sekuat-kuat hari kerana perahu mereka tenggelam bersama-sama rantai emas itu. Pada keesokannya harinya, mereka pergi lagi ke sungai dengan harapan dapat mengambil rantai emas tersebut. Namun mereka kecewa kerana rantai emas telah tiada bersama-sama sampan mereka. Semenjak hari itu, Munah asyik termenung dan menangis. Dia berasa sangat menyesal kerana tidak mendengar kata-kata suaminya. Akhirnya , dia tidak mendapat apa-apa kerana sikap tamaknya. Demikianlah tadi kawan-kawan cerita Akibat Terlalu Tamak. Pengajaran yang dapat diambil dari cerita ini adalah, yang pertama kita janganlah terlalu tamak kerana sikap tamak akan membawa kerugian. Kedua dengarlah nasihat kerana nasihat selalu membawa kebaikan. Sekian dari saya, jumpa lagi kawan-kawan. Belalang Yang Leka Bernyanyi Assalamualaikum dan salam sejahtera. Yang dihormati tuan pengerusi majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Hari ini saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk Belalang Yang Leka Bernyanyi. Dengar nya. Batu delima intan permata Dijadikan orang barang perhiasan Dengarlah kawan cerita saya Apa yang baik jadikan teladan Di dalam sebuah hutan, tinggal Semut dan Belalang. Mereka tinggal berjiran dan bersahabat baik. Semut dan Belalang mempunyai perangai yang berbeza. Semut sangat rajin bekerja. Setiap hari ia mencari dan membawa pulang mkakanan. Semut menyimpan makanan untuk menghadapi musim sejuk yang bakal tiba. Berlainan dengan Semut, Belalang mempunyai sifat yang malas. Ia tidak pernah menyimpan makanan. Belalang hanya suka menyanyi untuk menghiburkan hatinya tidak kira siang atau malam. Pada suatu hari Belalang berehat di sarangnya. Tiba-tiba ia ternampak Semut mengangkut sisa-sisa roti. Belalang berasa hairan dengan kelakuan Semut . Semut melihat Belalang dan memberitahu bahawa ia mahu menyimpan makanan kerana muris sejuk akan tiba. . Belalang mentertawakan semut kerana terlalu bimbang sedangkan makanan banyak di merata tempat. Belalang tidak mahu mengumpul makanan seperti haiwan-haiwan lain. Baginya makanan senang diperolehi. Semut menasihati Belalang supaya cepat menyimpan makanan dan jangan membuat sesuati di saat-saat akhir. Belalang tidak peduli akan nasihat Semut. Dia terus terbang sambal menari dan menyanyi. Semut hanya mengelengkan kepala melihat perilaku sahabatnya. Dia tidak dapat berrbuat apa-apa kerana Belalang masih lagi dangan sikap pemalasnya. Musim sejuk semakin hampir. Kebanyakan haiwan sedang berebut-rebut menyimpan makanan. Belalang juga terbang ke sana sini untuk mencari makanan. Nasib Belalang sungguh malang kerana makanan yang banyak sudak habis. Ia mula berasa cemas. Belalang berasa menyesal kerana tidak mendengar nasiha Semut. Akhirnya, musim sejuk pun tiba. Belalang berasa sangat lapar. Ia mahu meminta pertolongan daripada Semut. Ia pergi berjumpa Semut dan berharap Semut dapat memberi makanan kepadanya. Belalang mengadu kepada Semut bahawa makanannya tidak mencukupi . Semut berasa kecewa mendengar kata-kata Belalang. Namun dia tidak dapat membantu . Belalang berasa malu dan menyesal atas sikapnya yang malas dan suka bertangguh-tangguh itu. Ia terus terbang pergi dari situ.. Demikianlah tadi kawan-kawan cerita Belalang Yang Leka Bernyanyi. Pengajaran yang dapat diambil dari cerita ini adalah, yang pertama kita janganlah bersikap malas kerana sikap malas membawa kerugian. Kedua dengarlah nasihat kerana nasihat selalu membawa kebaikan dan yang ketiga jangan buat sesuatu pada saat-saat akhir. Sekian dari saya, jumpa lagi kawan-kawan.