Terima kasih tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan masanya, guru-guru dan hadirin yang dihormati sekalian. Salam sejahtera dan salam perkenalan saya ucapkan. Hari ini saya akan menceritakan sebuah cerita yang bertajuk “Muafakat Penghuni Rimba”. 1. Penghuni Hutan Balau semakin risau. Musim panas telah pun bermula. Mereka bimbang kalau-kalau air di Sungai Balau akan menjadi cetek. Jika ini berlaku, mereka terpaksa berpindah ke tempat yang lain. 2. Pada suatu petang, Sang Gajah telah mengajak semua penghuni rimba berbincang tentang masalah tersebut. Semua penghuni Hutan Balau telah datang berkumpul kecuali Sang Kerbau dan kawan-kawannya. 3. "Wahai penghuni rimba. Tujuan aku memanggil kamu semua adalah untuk berbincang tentang masalah yang melanda hutan kita ini," kata Sang Gajah. Semua penghuni rimba yang datang tekun mendengar kata-kata Sang Gajah. 4. "Mulai hari ini, kita semua terpaksa berjimat menggunakan air," sambung Sang Gajah lagi. "Aku ada satu cadangan." Tiba-tiba Sang Kura-kura bersuara. Semua haiwan memandang ke arah Sang Kurakura. 5. “Apakah cadangan kamu, wahai Sang Kura-kura? Kata Sang Gajah pula. 6. "Aku cadangkan supaya kita bergotong-royong mengangkut air dari Sungai Balau dan menyimpannya di tempat takungan," cadang Sang Kura-kura. "Bagaimana dengan cadangan Sang Kura-kura tadi? Kamu semua setuju?" tanya Sang Gajah kepada semua haiwan yang berada di situ. "Setuju!" jerit semua haiwan. 7. Setelah berbincang, Sang Gajah mula membahagikan tugas mengangkat air mengikut kumpulan. Semua haiwan di dalam hutan itu bekerjasama dan bantu-membantu antara satu dengan yang lain. 8. Setelah beberapa hari mereka bekerja, akhirnya tempat takungan air mereka telah penuh. Semua penghuni rimba berasa sangat gembira. Mereka tidak perlu risau lagi untuk menghadapi musim panas. Penghuni Hutan Balau menggunakan air yang disimpan oleh mereka itu dengan cermat. 9. Sang Kambing yang Kebetulan ada di situ segera disuruh oleh Sang Gajah supaya memanggil seluruh penghuni Hutan Balau. Tidak lama kemudian, semua penghuni rimba pun berkumpul di tepi takungan air itu. 10. "Siapakah yang mengotorkan air takungan kita ni?" tanya Sang Gajah dengan marah. "Kami pun tidak tahu, Sang Gajah," jawab Sang Badak. "Sewaktu aku tiba di sini tadi, tiada seekor haiwan pun yang berada di sini," kata Sang Kambing pula. 11. Suasana bertukar menjadi bising apabila semua haiwan yang berada di situ mula bercakap-cakap. “Wahai penghuni rimba sekalian, kamu semua diminta diam. Sang Gajah mahu memberitahu sesuatu”, jerit Sang Kancil kepada semua haiwan yang berada di situ. 12. "Kawan-kawan, nampaknya haiwan yang mengotorkan air takungan kita tentu datang pada waktu malam," kata Sang Gajah. Semua haiwan bersetuju dengan pendapat Sang Gajah. "Mulai malam ini, kita semua akan bergilir-gilir mengawasi takungan ini," Sang Gajah memberikan cadangan. 13. Maka pada malam itu, Sang Gajah dan beberapa ekor kawannya mengambil giliran untuk mengawasi takungan tersebut. Mereka telah berkawal pada setiap malam hingga seminggu lamanya. 14. Kini, telah lapan malam mereka berkawal. Haiwan yang mengotorkan air takungan mereka masih belum muncul. Lalu mereka pula berhenti berkawal. 15. Pada suatu pagi, keadaan yang tenang itu bertukar menjadi riuh semula. Air di dalam takungan mereka menjadi kotor semula dan dipenuhi lumpur. 16. Sekali lagi Sang Gajah mengajak semua haiwan di Hutan Balau berkumpul. Setelah lama berbincang akhirnya mereka bersetuju untuk memasang perangkap. Mereka akan meletakkan duri di sekeliling tempat takungan air itu. 17. Pada malam itu, semua haiwan berkumpul di dalam semak yang berhampiran tempat takungan air itu. Mereka menunggu dengan penuh sabar. Tiba-tiba, kedengaran bunyi tapak kaki haiwan menuju ke arah takungan itu. Mereka melihat sekumpulan kerbau sedang berjalan ke arah tempat takungan air itu. 18. Sang Kerbau dan kawan-kawannya tidak menyedari bahawa mereka telah diperangkap. Tanpa melihat ke sekeliling, mereka terus berlari ke arah takungan itu. "Aduh, sakitnya kaki aku! Siapa yang meletakkan duri di sini?" Tiba-tiba Sang Kerbau menjerit kesakitan. 19. Kawan-kawan Sang Kerbau juga menangis kerana terpijak duri yang diletakkan oleh Sang Gajah dan penghuni rimba yang lain. Tidak lama kemudian, Sang Gajah dan haiwan-haiwan yang lain segera keluar dari tempat persembunyian mereka. Mereka terus mendekati Sang Kerbau dan kawan-kawannya. 20. "Haa, itulah balasannya jika suka menyusahkan orang lain!" kata Sang Gajah. Sang Kerbau dan kawan-kawannya berasa malu akan perbuatan mereka. Mereka meminta maaf daripada semua penghuni rimba dan berjanji tidak akan melakukannya lagi. 21. Sang Gajah dan haiwan-haiwan yang lain telah memaafkan perbuatan Sang Kerbau dan kawan-kawannya itu. Mereka juga mengajak Sang Kerbau berkongsi air dengan mereka. Sang Kerbau dan kawan-kawannya juga menolong Sang Gajah dan haiwan-haiwan yang lain mengangkat air setiap kali musim kemarau tiba. 22. Hadirin sekalian, Sikap penghuni Hutan Balau yang sentiasa bulat kata semasa menghadapi kesusahan adalah amalan yang mulia. Jika kita sentiasa bermuafakat, semua masalah dapat diselesaikan dengan mudah. Sekian, Terima Kasih.