\>$^M?.iMMss< University Publication Centre (UPENA) UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA 3 m XLILIYI Academic Journal UiTM Pulau Pinang Volume 4, Number 2 ISSN 1675-7939 SCIENCE & TECHNOLOGY Using Kaplan Meier and Cox Regression in Survival Analysis: An Example Ng Set Foong Low Heng Chin Quah Soon Hoe A Study on the Higher Moment of a Biased Estimator Noor Hazarina Nordin Darah Ibrahim Siti Nurdijati Baharuddin The Structural Modifications of Candida albicans Cells After Treatment with Cinnamomum zeylanicum Blume Crude Extract Simulation of Routing Probability in Ad Hoc Networks Teoh Sian Hoon Ahmad Zia Ul-Saufie Mohamad Japeri Muhammad Hisyam Lee Shaharuddin Salleh Decomposition and Dipteran Composition on Exposed Carcasses in an Oil Palm Plantation: A Forensic Entomology Study Azwandi Ahmad Abu Hassan Ahmad SOCIAL SCIENCES Kajian ke atas Keberkesanan Kursus CAD/CAM Terhadap Kecekapan Jurutera Pembuatan dan Jurutera Mekanikal bagi Graduan-graduan Universiti Awam Korelasi antara Persekitaran Pembelajaran Matematik, Sikap Pelajar Terhadap Matematik, dan Pencapaian Pelajar dalam Matematik: Satu Kajian Kes Mohamad Irwan Yahaya Rosley Jaafar Noor Iswadi Ismail Salina Hamed Peridah Bahari Abdul Ghani Kanesan Abdullah ESTEEM Academic Journal UiTM Pulau Pinang Volume 4, Number 2 2008 ISSN 1675-7939 Foreword v SCIENCE & TECHNOLOGY 1. Using Kaplan Meier and Cox Regression in Survival Analysis: An Example 3 Teoh Sian Hoon 2. A Study on the Higher Moments of a Biased Estimator 15 NgSetFoong Low Heng Chin Quah Soon Hoe 3. The Structural Modifications of Candida albicans Cells After Treatment with Cinnamomum zeylanicum Blume Crude Extract 31 Noor Hazarina Nordin Darah Ibrahim Siti Nurdijati Baharuddin 4. Simulation of Routing Probability in Ad Hoc Networks 39 Ahmad Zia Ul-Saufie Mohamad Japeri Muhammad Hisyam Lee Shaharuddin Salleh 5. Decomposition and Dipteran Composition on Exposed Carcasses in an Oil Palm Plantation: A Forensic Entomology Study Azwandi Ahmad Abu Hassan Ahmad l 51 SOCIAL SCIENCES 6. Kajian ke atas Keberkesanan Kursus CAD/CAM Terhadap Kecekapan Jurutera Pembuatan dan Jurutera Mekanikal bagi Graduan-graduan Universiti Awam 75 Mohamad Irwan Yahaya Rosley Jaafar Noor Iswadi Ismail 7. Korelasi antara Persekitaran Pembelajaran Matematik, Sikap Pelajar Terhadap Matematik, dan Pencapaian Pelajar dalam Matematik: Satu Kajian Kes 91 Salina Hamed Peridah Bahari Abdul Ghani Kanesan Abdullah 8. Penerangan Tentang Penggunaan Tulisan Cina Berasaskan Prinsip-prinsip Liu Shu dalam Buku Teks Mandarin 105 Hoe Foo Temg 9. Students' View on Using Web-Based Resources in Learning: Qualitative Study 119 Peridah Bahari Salina Hamed 10. Al-Rahmaniah: Sejarah dan Peranan yang Pernah Dimainkannya dalam Aktiviti-aktiviti Dakwah Islamiah di Malaysia 133 Zulkifli Dahalan 11. Designing Learning Resources as Classroom Activities with the Use of Newspapers 151 Cheang Eng Kwong 12. A Needs-Analysis on the Engineering Undergraduates' Communication Skills Suzana Ab. Rahim n 163 13. A Study of At-Home and Out-of-Home Parental Involvement and Student Achievement in English 185 Liaw Shun Chone Angelina Subrayan 14. Peranan Kepimpinan Mahasiswa di Kolej Kediaman dalam Memperkasa Kemahiran Insaniah (Soft Skills) Fairus Muhamad Darus in 199 ESTEEM, Vol. 4, No. 2, 2008, 133-150 Al-Rahmaniah: Sejarah dan Peranan yang Pernah Dimainkannya dalam Aktivlti-aktiviti Dakwah Islamiah di Malaysia Zulkifli Dahalan ABSTRAK Perkembangan dakwah Islam di Malaysia selain dimainkan oleh badanbadan yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan seperti JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia), dan YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia), peranannya turut dilatari oleh beberapa pertubuhan dakwah yang ditubuhkan oleh kumpulan atau individuindividu tertentu. PAS (Parti Islam Se-Malaysia), ABIM (Angkatan Bella Islam Malaysia), JIM (Jemaah Islah Malaysia), dan beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain seperti Shura (Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia), PUM (Persatuan Ulama Malaysia) dan sebagainya. Namun, masyarakat seakan lupa dengan al-Rahmaniah, Badan Dakwah dan Kebajikan Islam Malaysia yang pernah berperanan aktif dalam kalangan intelektual Islam pada sekitar tahun 60-an dan 70-an dahulu. Al-Rahmaniah menjadi medium untuk berkumpul bagi sarjana dan kesarjanaan Islam dari pelbagai lapisan. Keaktifannya pada suatu ketika membawa kepada penyertaannya ke peringkat antarabangsa. Penulisan ini bertujuan untuk menyentuh sejarah dan peranan yang pernah dimainkan oleh al-Rahmaniah sebagai usaha mengenang kembali peranannya. Kata kunci: Al-Rahmaniah, sejarah, peranan, dakwah Islam Pendahuluan Perkembangan dakwah Islam di Malaysia umumnya didukung oleh badan-badan dakwah sama ada yang ditubuhkan secara langsung di bawah agensi kerajaan seperti JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), majlis dan jabatan agama Islam negeri-negeri, IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia), YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia), Sekretariat Islam Hadhari (Projek Khas YA.B. Perdana 133 Zulkifli Dahalan Menteri), universiti-universiti awam, ataupun badan-badan dakwah yang bergerak hasil daripada bantuan dan sokongan umat Islam. Badan-badan tersebut sama ada berorientasikan politik seperti PAS (Parti Islam seMalaysia) atau dakwah yang antaranya ialah ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia), JIM (Jamaah Islah Malaysia), Shura (Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia), PUM (Persatuan Ulama Malaysia) dan Iain-lain. Al-Rahmaniah, Badan Dakwah dan Kebajikan Islam Malaysia agak kurang diingati malahan tidak dikenali oleh umum umat Islam di Malaysia kini. la cukup terkenal dan berperanan di sekitar tahun 60-an dengan pelbagai aktiviti dakwah yang dimainkan. Profesor Dr. Mohd Kamal Hassan, Datuk Mohd Nakhaei Ahmad, Ustaz (Dr.) Muhammad Uthman El-Muhammady ialah antara tokoh yang pernah menggerakkan badan dakwah ini. Beberapa masalah melingkarinya khususnya dari sudut kepimpinan, akhirnya menyebabkan al-Rahmaniah kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Penubuhan Al-Rahmaniah dan Pengasasnya Al-Rahmaniah telah ditubuhkan pada tahun 1963 oleh sekumpulan mahasiswa dari Universiti Malaya, Kolej Islam Malaya dan beberapa pusat perguruan tinggi di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama orang ramai (An-Nur, 1967). Kepimpinan al-Rahmaniah pada waktu tersebut kebanyakannya dipegang oleh pelajar-pelajar dari Universiti Malaya dan juga Kolej Islam Malaya. Antara pelopor awal dan juga pengasasnya ialah Muhammad Uthman El-Muhammady (tutor di Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya ketika itu), Miskin bin Fakir Muhammad (mahasiswa Fakulti Sains, Universiti Malaya - bapa kepada pelakon Jehan Miskin), Abdul Ahad (seorang India Muslim dari India yang mendapat kerakyatan Malaysia, bertugas sebagai jurutera dengan sebuah syarikat British - Harper and Gill Film), Wan Yusof bin Wan Ismail (ahli ekonomi), Haji Muhammad Din bin Ali (Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Lumpur), Sulaiman bin Nor, Jamil bin Mukmin, Nik Mustafa bin Syafie dan beberapa orang lagi. Turut menyertai Al-Rahmaniah kemudiannya ialah Wan Muhammad Ali, Mohd Kamal bin Hassan, Ali bin Haji Ahmad, Ariffin bin Suhaimi, Muhammad Nakhaei bin Haji Ahmad, Faisal bin Haji Uthman, Ustaz Hasan bin Salih, Daeng Sanusi bin Daeng Mariok, Mukhtar bin Syafie, Syarifah Zainab binti Syed Mohd Khalid serta beberapa orang lagi dari Universiti Malaya dan Kolej Islam Malaya (Muhammad Uthman, 1988). Antara 134 Al-Rahmaniah: Sejarah dan Peranan pelajar wanita yang turut aktif kemudiannya ialah Fathiyah binti Abdul Kadir dan Fauziah Thani (Faisal, 1988). Cadangan untuk menubuhkan al-Rahmaniah adalah hasil daripada perbincangan antara Muhammad Uthman El-Muhammady dengan Abdul Ahad, serta beberapa orang lagi yang berminat dengan gerakan Islam. Abdul Ahad ketika itu sering datang ke Universiti Malaya dan berbincang dengan Muhammad Uthman El-Muhammady. Hasil daripada beberapa perbincangan yang diadakan, mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah badan dakwah yang boleh menjaga kebajikan Islam dan penganutnya. Penumpuan pada waktu itu adalah terhadap golongan pelajar (Muhammad Uthman, 1988). Nama al-Rahmaniah bagi pertubuhan tersebut dicadangkan oleh Abdul Ahad yang menjadi setiausaha penajanya. Beliau mencadangkan nama tersebut sempena nama Tunku Abdul Rahman sebagai suatu cara untuk mendapat restu Tunku yang ketika itu menjadi Perdana Menteri (Mohd Kamal, 1988). la juga merupakan sifat Allah, iaitu al-Rahman serta bersesuaian juga dengan pusat gerakan tersebut yang bertempat di Masjid al-Rahman, Kuala Lumpur. Abdul Ahad turut mencadangkan agar badan ini digerakkan ke peringkat antarabangsa dengan nama Badan Dakwah dan Kebajikan Islam Sedunia. Namun, kegiatannya ketika itu tidaklah sampai ke peringkat antarabangsa. Tujuannya adalah untuk menggabungkan tenaga-tenaga terpelajar dari seluruh dunia sebagaimana IIFSO (International Islamic Federation of Student Organizations; Muhammad Uthman, 1988). Cadangan penubuhan al-Rahmaniah pada mulanya mendapat tentangan daripada PERKIM kerana bimbang sekiranya badan dakwah ini akan menimbulkan persaingan. Kegiatan-kegiatan PERKIM dirasakan sudah cukup untuk menampung kehendak dakwah pada ketika itu. Muhammad Uthman El-Muhammady, Wan Muhammad Ali, dan beberapa orang lagi telah meyakinkan bahawa kegiatan PERKIM sahaja adalah tidak mencukupi untuk mengisi ruang dakwah yang ada. Kewujudan alRahmaniah adalah untuk berkhidmat sealiran dengan badan-badan dakwah dan jabatan kerajaan tanpa niat untuk bersaing, dan bersifat alternatif sahaja (Mohd. Kamal, 1988). Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang telah pun wujud pada waktu itu menyambut baik usaha ini. Begitu juga dengan Persatuan Pelajar-pelajar Kolej Islam Malaya (Osman, 1988). Al-Rahmaniah memulakan kegiatannya yang berpusat di Masjid al-Rahman. Masjid itu juga merupakan tempat tinggal beberapa pimpinannya termasuklah Muhammad Uthman El-Muhammady. Aktiviti 135 Zulkifli Dahalan al-Rahmaniah banyak digerakkan oleh Muhammad Uthman ElMuhammady yang menjadi Yang Di-Pertua pertamanya dengan dibantu oleh beberapa tenaga pengajar dari Kolej Islam Malaya seperti Ustaz Hasan bin Salih dan Daeng Sanusi bin Daeng Mariok. Ada ketikanya ia turut dibantu oleh Mohd Nakhaei bin Haji Ahmad, Ariffin bin Suhaimi, Ali bin Haji Ahmad, dan Miskin bin Fakir Muhammad (Muhammad Uthman, 1988). Miskin bin Fakir Muhammad, walaupun seorang mahasiswa sains tetapi bijak berceramah dan menarik perhatian ramai (pada waktu itu merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya - pernah membuatkan hadirin dan dirinya menangis dalam satu ceramahnya tentang Saidina Umar). Anggota al-Rahmaniah lain seperti Mohd Kamal bin Hassan banyak memberi sumbangan dari sudut idea dan pemikiran untuk melaksanakan sesuatu program. Beliau pernah diberikan peranan sebagai Ketua Sidang Redaksi majalah keluaran al-Rahmaniah, iaitu An-Nur (Ali, 1988). Keanggotaan al-Rahmaniah kebanyakannya terdiri daripada golongan intelektual Islam dan kurang sekali dari kalangan masyarakat biasa. Keadaan ini disebabkan oleh kegiatannya yang lebih tertumpu di pusatpusat pengajian tinggi dan kewujudannya sendiri adalah bertujuan untuk mengumpulkan golongan intelektual Islam. Golongan ini kemudiannya diharapkan untuk membimbing masyarakat awam. Suasana persekitaran Islam di kampus pada ketika itu pula amat kritikal kerana dihimpit oleh arus pemikiran sosialis dan sekular. Ucapan salam dikatakan sukar untuk mendapatjawapan(Ali, 1988). Faktor-faktor Penubuhan al-Rahmaniah Penubuhan al-Rahmaniah adalah hasil daripada kesedaran golongan terpelajar Islam apabila melihat suasana dan keadaan umat Islam ketika itu, terutamanya golongan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi. Keyakinan mereka terhadap Islam berada pada tahap yang paling minima. Bagi mereka Islam hanyalah bersifat ritual, tidak sebagaimana yang sewajarnya difahami dan diyakini bahawa Islam adalah suatu sistem yang mencakupi seluruh bentuk kehidupan. Secara umumnya, kefahaman Islam yang wujud ketika itu, khususnya bagi golongan pelajar terhadap Islam boleh dikatakan sebagaimana kefahaman masyarakat barat terhadap agama mereka, tidak lebih daripada itu. Oleh itu, Islam bagi mereka hanyalah sembahyang, puasa, sama ada yang wajib ataupun sunat, dan beberapa bentuk ibadat lain lagi. Bagi masalah-masalah lain, 136 Al-Rahmaniah: Sejarah dan Peranan pemildran-pernikiran lain bolehlah diambil sebagai jalan penyelesaiannya. Perbincangan tentang Islam hanya sesuai untuk kalangan yang berpendidikan Islam sahaja terutama di pondok-pondok pengajian Islam. Golongan terpelajar bagi mereka tidak wajar bercakap mengenai Islam dan sistemnya di kampus-kampus. Berbagai-bagai kata dan gelaran yang diberikan oleh mereka terhadap golongan yang bercakap mengenai Islam (Mohd Nakhaei, 1988). Oleh itu, untuk menghadapi idea-idea kurang sihat dan menyeleweng ini, dan dalam masa yang sama untuk menampakkan keunggulan Islam sebagai satu sistem hidup yang menyeluruh maka al-Rahmaniah ditubuhkan. Kemudian, Al-Rahmaniah berperanan di dalam memperbetulkan kefahaman umat Islam serta menanam keyakinan terhadap Islam terutamanya kepada golongan pelajar. Sememangnya Islam itu adalah suatu agama dan pengajaran yang bersifat universal dan boleh menyelesaikan masalah masyarakat. Islam dikemukakan kepada golongan pelajar yang berhubung kait dengan ilmu dan sains. Idea ini merupakan satu idea yang baru bagi kalangan pelajar dan menimbulkan minat mereka untuk terus mengkaji. Al-Rahmaniah dengan kemampuan daya intelek yang ada telah mampu bersaing dan mengatasi pemikiran sosialis di kampus-kampus waktu itu serta berjaya menanamkan semangat dan kesedaran Islam kepada golongan pelajar (Mohd Nakhaei, 1988). Timbul juga satu kesedaran untuk menarik golongan yang berpendidikan barat supaya lebih memainkan peranan dalam memberikan sumbangan kepada pergerakan dakwah Islamiah. Golongan ini dirasakan perlu berperanan dalam pergerakan dakwah untuk menjayakan kerjakerja dakwah Islamiah yang sebelum ini dilakukan oleh golongan yang mendapat pendidikan Islam sahaja. Selama ini golongan yang berpendidikan barat seolah-olah dipencilkan daripada gerakan dakwah Islam. Mereka diletakkan sebagai orang yang perlu didakwahkan dan tidak sebagai pendakwah. Sikap ini menjauhkan lagi mereka daripada Islam sedangkan ajaran Islam tidak pernah membatasinya. Dengan berperanannya golongan yang berpendidikan barat bersama golongan berpendidikan Islam, diharap dapat menimbulkan semangat kerjasama dalam bidang dakwah antara semua pihak yang berminat. Pembahagian peranan berdasarkan kemahiran yang ada akan memantapkan lagi gerakan dakwah Islamiah. Tidak akan wujud lagi jurang pemisah antara pencinta-pencinta Islam yang berpendidikan barat dengan yang berpendidikan Islam. Pelajar-pelajar dari aliran Islam diajar dengan falsafah barat, manakala pelajar-palajar dari aliran barat diajar dengan ilmu-ilmu Islam (Muhammad Uthman, 1988). 137 Zulkifli Dahalan Kekurangan badan-badan dakwah yang berkaliber juga adalah antara faktor yang mendorong kepada penubuhan al-Rahmaniah. Badan-badan dakwah yang wujud tidak dapat memenuhi kehendak pendekatan dakwah yang dikehendaki oleh keadaan semasa dan masyarakat. Keadaan masyarakat pada ketika itu tidak lagi dapat menerima pendekatan dakwah hanya melalui majlis-majlis agama yang diadakan di masjid-masjid sahaja atau di tempat-tempat tertentu. Pergerakan dakwah perlu lebih progresif dan maju selaras dengan perubahan pemikiran masyarakat. Bidang dakwah perlu diperluas melalui penggunaan media-media ilmiah yang wujud selaras dengan nas-nas syara' dan juga hujah-hujah akal. Penggunaan nas-nas syara' sahaja tanpa dimantapkan dengan hujahhujah akal tidak akan dapat menembusi pemikiran golongan intelek yang telah dibiasakan dengan pemikiran akal. Hal ini bersesuaian juga dengan ayat-ayat al-Quran yang sentiasa menyuruh kita menggunakan akal untuk mengkaji sesuatu (Daeng Sanusi, 1988; Ali, 1988). Penubuhan al-Rahmaniah juga sebagai alternatif kepada badan-badan dakwah lain untuk berdakwah dalam kalangan masyarakat umum dan intelektual Islam. Beberapa usaha dilakukan untuk melibatkan golongan terpelajar dan pentadbir dalam kerja-kerja dakwah seperti mahasiswa, tenaga-tenaga pengajar di pusat-pusat pengajian tinggi, pegawai-pegawai kerajaan berserta juga ahli-ahli perniagaan. Golongan ini banyak membantu gerakan al-Rahmaniah sama ada dalam bentuk bantuan moral atau material. Sekiranya mereka tidak dilibatkan, pergerakan dakwah akan menjadi beku dan hanya bergerak dalam kalangan masyarakat awam sahaja yang tidak mampu mengubah kuasa. Hal ini akan menyebabkan Islam berada di tahap yang sama. Penglibatan golongan terpelajar ini dapat membantu penyebaran Islam kepada golongan atasan (Ali, 1988). Kewujudan satu badan dakwah dirasakan perlu bagi berhadapan dengan badan-badan lain yang membawa pemikiran asing kepada Islam. Penubuhan al-Rahmaniah dirasakan dapat mengimbangi programprogram sosialis dan sekularis pada waktu itu. Usaha-usaha secara perseorangan untuk membawa idea-idea Islam akan mudah diperkecil oleh golongan tersebut. Secara fitrahnya, manusia memerlukan kerjasama dalam melakukan sesuatu amalan dan begitulah juga dengan kerja-kerja yang berkaitan dengan Islam. Penubuhan al-Rahmaniah juga dirasakan dapat berperanan dalam menyedar dan mempertingkat keyakinan umat Islam terhadap Islam, menyuruh mereka beribadat kepada Allah, beramal dengan akhlak Islam, serta berpegang teguh dengan peraturan-peraturan syariat dalam setiap bidang kehidupan sama ada yang melibatkan diri 138 Al-Rahmaniah: Sejarah dan Peranan sendiri, keluarga, kehidupan bermasyarakat, atau perhubungan antara negara-negara Islam (Muhammad Uthman, 1988). Maka, penubuhan al-Rahmaniah dirasakan dapat mengisi kekosongan ruang dakwah pada ketika itu. Idea-idea Islam dapat dikemukakan secara yang lebih mantap berbanding dengan keadaan sebelum itu yang menyaksikan idea-idea sosialis dan sekularis disebarkan tanpa mendapat tentangan yang jitu dari umat Islam. Pendukung-pendukung idea sosialis dipelopori oleh Syed Husin Ali, Kasim Ahmad dan beberapa orang lagi. Mereka sentiasa berusaha untuk mempengaruhi pelajar dengan fahaman sosialis melalui pelbagai bentuk program. Abdullah Haji Ahmad Badawi pula ketika itu merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM; Ali, 1988). Penyatuan golongan intelek Islam melalui al-Rahmaniah dapat membentuk ideaidea baru dalam menyebarkan dakwah Islamiah, sesuai dengan pengajaran Islam yang mampu berhadapan dengan sebarang suasana dan zaman. Program-program dilakukan oleh al-Rahmaniah di pusatpusat pengajian tinggi menjadi aset kepada pendukung gerakan Islam di kampus yang sedia diasak oleh program-program sosialis. Al-Rahmaniah juga berperanan untuk menjaga kebajikan orang-orang Islam. Pelbagai program dirancang dalam soal menjaga kebajikan orang Islam di Malaysia. Terdapat cadangan untuk menubuhkan asrama-asrama di kawasankawasan bandar untuk disewa dengan murah kepada orang-orang Islam yang berasal dari kampung sama ada untuk bekerja atau berurusan di bandar (Syarifah Zainab, 1988). Perkembangan Al-Rahmaniah Program-program dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan al-Rahmaniah berjaya menarik minat pencinta-pencinta Islam pada waktu itu terutamanya dari golongan terpelajar Islam. Kepimpinan al-Rahmaniah telah berjaya mengembangkan pengaruh al-Rahmaniah kepada masyarakat Islam di seluruh Malaysia, khususnya kepada golongan pelajar. Selain mengadakan kegiatan-kegiatan di sekitar Kuala Lumpur dan negeri Selangor, al-Rahmaniah juga memperluas aktivitinya ke Melaka, Perak, Kedah, dan pada tahun 1964 ceramah penerangan al-Rahmaniah telah diadakan di negeri Kelantan. Beberapa orang tenaga al-Rahmaniah selain daripada Muhammad Uthman El-Muhammady sendiri seperti Mohd. Nakhaei Hj. Ahmad dan Ali Hj. Ahmad telah dihantar ke negerinegeri tersebut untuk menjayakan program-program al-Rahmaniah. Al139 Zulkifli Dahalan Rahmaniah talah berjaya mengembangkan pengaruhnya di seluruh Malaysia kecuali di Sabah dan Sarawak (Muhammad Uthman, 1988). Pelbagai aktiviti dijalankan untuk memperluas kegiatan al-Rahmaniah dan penumpuannya ialah di pusat-pusat pengajian tinggi. Kegiatan alRahmaniah di pusat-pusat pengajian tinggi adalah ke arah menanam dan membentuk fahaman Islam kepada masyarakat kampus terutamanya di Universiti Malaya. Fahaman-fahaman Islam yang diberikan ini diharapkan dapat membantu golongan Islam di kampus-kampus untuk berhadapan dengan arus pemikiran sosialis dan sekularis yang berkembang hebat pada waktu itu. Gerakan sosialis yang bergerak hebat di Universiti Malaya dipelopori oleh beberapa orang mahasiswa diketuai oleh Kasim Ahmad dan Syed Hussin Ali. Bagi menghadapi golongan ini dan dalam usaha menyelamatkan pelajar-pelajar Islam daripada hanyut bersama arus pemikiran sosialis dan kefahaman asing yang lain, beberapa bentuk program dilakukan oleh al-Rahmaniah seperti forum, ceramah, majlismajlis penerangan, penyebaran risalah dan sebagainya. Selain daripada Universiti Malaya, al-Rahmaniah juga menumpukan aktiviti-aktivitinya di Maktab Pertanian Serdang (sekarang Universiti Putra Malaysia), Institut Teknologi Malaysia (sekarang Universiti Teknologi Malaysia), Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Victoria Institution, Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, dan beberapa buah sekolah lagi. Bagi masyarakat di luar kampus pula, al-Rahmaniah mengadakan majlis-majlis ceramah, kuliah-kuliah dan sebagainya. Ceramah-ceramah banyak diadakan di Masjid al-Rahman, Masjid Tanjung Karang serta masjid-masjid di tempat lain. Kebanyakan daripada program-program ceramah tersebut diisi oleh anggota al-Rahmaniah sendiri terutama sekali Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady, Ustaz Hasan bin Salih dan Daeng Sanusi bin Daeng Mariok. Anggota al-Rahmaniah lain yang turut membantu ialah seperti Mohd. Nakhaei bin Haji Ahmad yang pernah dihantar oleh al-Rahmaniah untuk berceramah di sebuah masjid di Melaka. Sambutan daripada program-program yang diadakan itu amat menggalakkan, dan hasilnya al-Rahmaniah mula dikenali oleh masyarakat umum (Ali, 1988; Muhammad Uthman, 1988; Daeng Sanusi, 1988). Fahaman Islam dalam kalangan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi pada waktu itu berada di tahap yang paling minimum. Penglibatan mereka dalam kegiatan Islam hanyalah menerusi persatuan pelajar-pelajar Islam yang kemudiannya bergabung dengan PKPIM. Pemikiran dan pengalaman mereka mengenai Islam masih tidak jelas. Di samping menjalankan kerja-kerja Islam dan kebajikan, mereka juga menganjurkan 140 Al-Rahmaniah: Sejarah dan Peranan kerja-kerja yang ada kalanya bertentangan dengan akhlak dan peradaban Islam. Program-program yang dijalankan oleh al-Rahmaniah kemudiannya memberikan satu pendekatan yang lebih bersifat dakwah, membicarakan Islam sebagai suatu pengajaran yang bersifat universal. Dengan hal demikian, fahaman-fahaman asing yang cuba untuk mempengaruhi golongan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi dapat diimbangi. Pergerakan Islam tidak lagi akan dilihat oleh para pelajar sebagai suatu kerangka yang sama dengan pergerakan-pergerakan lain. Program-program yang dianjurkan mendapat sambutan yang baik dari kalangan masyarakat kampus dan orang awam - menampakkan bahawa al-Rahmaniah telah lahir sebagai suatu badan dakwah yang berpengaruh dalam kalangan pencinta-pencinta dakwah Islamiah. AlRahmaniah sahajalah yang menumpukan skop dakwahnya kepada masalah-masalah yang besar dari sudut pemikiran dan kemasyarakatan secara lebih kukuh dari segi idea dan juga pelaksanaan (Mohd Nakhaei, 1988). Kekurangan badan-badan dakwah dan kepimpinan yang berkaliber memberikan ruang kepada al-Rahmaniah untuk menonjolkan dirinya dalam bidang dakwah. Kesungguhan masyarakat terhadap programprogram al-Rahmaniah banyak membantu pergerakan tersebut dalam menyebarkan idea-idea Islamnya (Daeng Sanusi, 1988). Sokongan yang diberikan oleh masyarakat terhadap al-Rahmaniah berbentuk moral dan dalam bentuk material juga. Selain itu, antara individu Muslim dari luar negara yang turut memberikan banyak sumbangan material kepada al-Rahmaniah ialah seperti bekas Menteri Kesihatan Syria, Syeikh Taufik al-Thowil dan Sheikh Ibrahim Bawani. Syeikh Taufik al-Thowil pada waktu itu bekerja di Malaysia dengan Pusat Penyelidikan Perubatan. Beliau memberi banyak sumbangan kewangan dan telah menghadiahi al-Rahmaniah sebuah mesin cycostyle yang digunakan untuk menerbitkan majalah An-Nur pada peringkat permulaan (Mohd Kamal, 1988; Muhammad Uthman, 1988). Pihak kerajaan Malaysia tidak banyak memberi sumbangan kepada al-Rahmaniah - hanya pada awal tahun 70-an sumbangan disalurkan melalui Pejabat Agama Kuala Lumpur (Daeng Sanusi, 1988). Al-Rahmaniah terpaksa bergerak sendiri bagi mencari sumber kewangannya. Abdul Ahad yang menjadi Setiausaha Agungnya ketika itu mengumpulkan beratus-ratus tin kosong untuk digunakan dalam kutipan derma. Beliau bersama beberapa orang anggota al-Rahmaniah yang lainnya seperti Mohd. Nakhaei bin Haji Ahmad, Ali bin Haji Ahmad dan beberapa orang lagi, terutamanya pelajar-pelajar dari Kolej Islam Kelang telah pergi ke Pelabuhan Kelang untuk memohon derma dari pedagang141 Zulkifli Dahalan pedagang yang berlabuh di situ terutamanya dari India. Untuk mendapat simpati dari pedagang-pedagang tersebut, mereka menyatakan bahawa pungutan tersebut adalah untuk membantu anak-anak yatim dan orangorang yang terbiar (Mohd Kamal, 1988; Mohd Nakhaei, 1988). Keaktifan pergerakan al-Rahmaniah pada waktu itu banyak bergantung kepada keaktifan pemimpinnya. Pergerakan al-Rahmaniah di Maktab Melayu Kuala Kangsar yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim agak aktif dengan pelbagai bentuk program dakwahnya. Anwar Ibrahim yang belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar telah mengadakan banyak program untuk menarik para pelajar dan masyarakat umum. Keaktifan al-Rahmaniah di Kuala Lumpur juga kebanyakannya adalah atas daya inisiatif Muhammad Uthman El-Muhammady sendiri. Pada peringkat awal penerbitan An-Nur, Muhammad Uthman El-Muhammady banyak menguruskan dari segi idea hinggalah kepada penerbitannya. Hal ini tidak dapat dikesan oleh para pembaca kerana Muhammad Uthman ElMuhammady banyak menggunakan samaran (Mohd Kamal, 1988). Alamat surat-menyurat al-Rahmaniah pada awal penubuhannya ialah (An-Nur, 1967) Setiausaha Ar-Rahmaniyyah, Peti Surat 2088, Kuala Lumpur. Mesyuarat-mesyuarat tahunan al-Rahmaniah biasanya diadakan di Universiti Malaya (Muhammad Uthman, 1988). Pergerakan al-Rahmaniah juga banyak dibantu oleh kesediaan berkorban ahli-ahlinya. Program-program al-Rahmaniah di tempat-tempat yang agak jauh banyak menggunakan kereta Ustaz Hassan bin Salih dan Ustaz Daeng Sanusi bin Daeng Mariok. Kadangkala, anggota alRahmaniah yang terlibat dengan sesuatu program menggunakan motosikal sendiri (Ali, 1988). Al-Rahmaniah berjaya menggabungkan dua tenaga intelektual Islam dari kalangan yang berpendidikan agama dan yang mendapat pendidikan barat. Mereka bekerja sebagai satu tenaga untuk menyalurkan ideaidea Islam terhadap masyarakat Islam melalui penulisan di dalam makalah-makalah, mengadakan ceramah, mengedarkan risalah-risalah Islam berhubung dengan sesuatu isu dan berjumpa dengan orang ramai. Penggabungan dua tenaga intelektual Islam ini melahirkan beberapa bentuk program yang agak terkedepan berbanding dengan badan-badan dakwah lain (Muhammad Uthman, 1988; Ali, 1988). 142 Al-Rahmaniah: Sejarah dan Peranan Dalam usaha untuk mempercepat perkembangan dakwah Islamiah, al-Rahmaniah telah mengadakan beberapa bentuk hubungan dengan badan-badan dakwah lain. Al-Rahmaniah seringkali dijemput untuk menghadiri program-program anjuran PERKIM yang pada ketika itu di bawah pimpinan Ibrahim T.Y. Ma, Hamdan Tahir, dan Lokman Musa. Pada sekitar tahun 1968 kepimpinan al-Rahmaniah telah menghadiri muktamar tentang tamadun Islam di Universiti Malaya yang dianjurkan oleh PKPIM di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim sendiri sebelum itu ialah pemimpin dalam al-Rahmaniah di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Kerjasama juga telah diadakan dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Kolej Islam Malaya dan beberapa persatuan pelajar-pelajar Islam di sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor (Muhammad Uthman, 1988). Ariffin Suhaimi yang pada ketika itu menjadi guru besar di Sekolah Menengah Alam Shah, Cheras, walaupun kurang bergiat dengan programprogram al-Rahmaniah di luar, beliau telah melaksanakan beberapa bentuk kegiatan Islam di sekolah tersebut. Pada setiap hujung minggu, anggotaanggota al-Rahmaniah dijemput untuk memberi ceramah kefahaman Islam kepada pelajar-pelajar di sekolah itu dan diberi peluang sepenuhnya untuk berdampingan dengan mereka. Sekolah tersebut juga boleh dikatakan sebagai tempat bagi al-Rahmaniah melatih ahli-ahlinya dan juga tempat untuk membina barisan pelapis Islam (Ali, 1988). Al-Rahmaniah juga menjalin hubungan dengan pergerakan dakwah luar negara dalam bentuk hubungan peribadi. Al-Rahmaniah memberi kerjasama dalam menyambut dan merai kedatangan tokoh-tokoh Islam dari pergerakan Ikhwan Muslimin, Masyumi (Indonesia) dan Jamaat Islami (Pakistan) yang datang ke Malaysia. Pengalaman tokoh-tokoh gerakan Islam dari luar negara ini banyak membantu al-Rahmaniah dalam mempertingkatkan lagi pergerakan dakwah di Malaysia. Al-Rahmaniah juga pernah dijemput untuk menghadiri persidangan-persidangan Islam di peringkat antarabangsa (Mohd Kamal, 1988). Pihak kerajaan Malaysia juga tidak menghalang usaha-usaha alRahmaniah dalam melaksanakan aktiviti-aktivitinya. Pada waktu tersebut, belum wujud surat-surat tauliah sebagai kebenaran untuk menyampaikan ceramah agama. Hal ini memberi ruang kepada al-Rahmaniah untuk bergerak cergas dalam usaha untuk menyampaikan dakwah Islamiah. Program-program lebih banyak tertumpu ke arah menyedarkan dan meyakinkan umat Islam tanpa menimbulkan sebarang bentuk permasalahan dengan pihak kerajaan. Al-Rahmaniah juga dalam menjalankan aktiviti-aktivitinya tidak pernah melibatkan kerajaan untuk 143 Zulkifli Dahalan mendapatkan sumber kewangan. Suasana penentangan terhadap fahaman nasionalis pada waktu itu masih belum ketara. Parti Islam Se-Malaysia pada waktu itu sibuk dengan politik dan dasar perjuangannya masih bersalut dengan semangat nasionalis dan kurang terlibat dengan programprogram dakwah Islamiah. Ahli-ahlinya seperti Ustaz Hasan bin Salih dan Daeng Sanusi bin Daeng Mariok melibatkan diri dalam pergerakan dakwah Islamiah melalui al-Rahmaniah (Mohd Kamal, 1988). Keadaan yang wujud ini menyebabkan al-Rahmaniah muncul sebagai gerakan dakwah yang berkesan pada waktu itu. Fungsi dan Matlamat Penubuhan Al-Rahmaniah Penubuhan al-Rahmaniah pada asasnya adalah untuk mengembalikan perasaan harga diri {self-respect) dalam kalangan penganut-penganut Islam, memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda Islam, dan menganjurkan mereka semua supaya bersatu dengan semangat persaudaraan Islam, serta bergerak maju dalam berbagai lapangan dengan berpandukan nilai-nilai Islam. Al-Rahmaniah juga ingin mendorong usahausaha ke arah pengajian Islam, reorientasi dan penafsiran kembali terhadap al-Quran dan al-Sunnah dengan sorotan ilmu pengetahuan moden dan keadaan-keadaan yang baru timbul dalam masyarakat serta membasmi kekeliruan fahaman terhadap Islam dalam kalangan orangorang Islam dan bukan Islam. Selain itu, penubuhan al-Rahmaniah juga mempunyai beberapa matlamat yang antaranya ialah untuk 1. menyampai, menyerap dan menumpukan ajaran-ajaran asasi al-Quran dan seluruh undang-undang Islam sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W dan memberi teladan dengan amalan dan nasihat mengenai kehidupan Islam yang sejati seluas-luasnya; 2. menyampai, menyerap dam menumpukan pengajian ajaran serta kebudayaan Islam; 3. menolong orang ramai melatih diri mereka dalam mengamalkan cara hidup yang sebenarnya berdasarkan undang-undang Islam; 4. meniupkan semangat cinta dan perpaduan sejagat; 5. mengkaji, menukilkan dan mengecap, menerbitkan, menjual atau memberi dengan percuma atau sebaliknya, buku-buku, majalahmajalah, dan risalah-risalah yang dianggap sesuai oleh badan dakwah ini untuk melaksanakan tujuan-tujuan dan usahanya; 144 Al-Rahmaniah: Sejarah dan Peranan 6. mengikut, menggalakkan, dan menjalankan usaha-usaha lain yang dianggap berguna dan dapat menolong secara langsung atau tidak langsung sebarang tujuan dan usaha yang telah disebutkan; 7. menyampaikan, menyerap, dan menumpukan konsep dan faedahfaedah persamaan hak perempuan bagi menimbulkan kesedaran tentang keibuan dalam diri mereka (perempuan), iaitu mereka adalah sebagai ibu agung kepada kemanusiaan berdasarkan undang-undang Islam; 8. memupuk dan membangunkan persaudaraan Islam sejagat dengan pebagai cara yang mungkin, dan berusaha mengendali dan menjayakan 'Commonwealth Islam'; dan 9. meniupkan semangat berkhidmat tanpa mementingkan diri dan semangat berkorban kepada ahli-ahli badan ini berdasarkan cinta yang suci. Al-Rahmaniah pada peringkat awalnya di bawah kepimpinan Muhammad Uthman El-Muhammady melaksanakan beberapa bentuk program untuk mengisi kehendak matlamat-matlamat tersebut. Ceramahceramah dan kuliah-kuliah yang diadakan sering ditekankan mengenai kesyumulan Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan manusia, penekanan diberikan kepada masyarakat Islam di pusat-pusat pengajian tinggi. Penjelasan-penjelasan tentang keadilan Islam diberikan terutamanya untuk menolak tanggapan ketidakadilan dalam Islam terhadap kaum wanita, dijelaskan kemuliaan dan peranan wanita dalam Islam berbanding dengan sistem-sistem yang lain. Program-program terhadap golongan bukan Islam juga diadakan untuk menjelaskan kesejagatan Islam yang mengetepikan sama sekali perbezaan dari sudut bangsa, pangkat, warna kulit, dan agama. Usaha ini juga adalah untuk menolak anggapan bahawa Islam hanyalah agama untuk orang-orang Melayu sahaja. Namun, usaha-usaha yang dijalankan ini tidaklah sampai menandingi PERKIM yang telah berpengalaman dalam hal ini (Mohd Kamal, 1988). Idea-idea tersebut disalurkan sama ada melalui lisan ataupun tulisan. Selain disalurkan melalui program-program ceramah dan kuliah-kuliah ilmu, idea-idea juga disalurkan melalui media cetak, iaitu dengan menerbitkan majalah An-Nur, Suara Ar-Rahmaniah, mengedarkan poster-poster dan rencana-rencana tentang Islam. Al-Rahmaniah pada waktu itu boleh dikatakan berjaya mengembangkan idea-idea Islamnya kepada masyarakat. Kegiatan-kegiatan sosialis yang pada suatu ketika mengancam pergerakan dakwah Islamiah berjaya diredakan. AlRahmaniah menjadi pergerakan dakwah yang unggul dalam menyebarkan 145 Zulkifli Dahalan Islam jika dibandingkan dengan pergerakan badan-badan dakwah lain. Keanggotaan al-Rahmaniah bertambah dari semasa ke semasa (Daeng Sanusi, 1988; Muhammad Uthman, 1988). Masalah-Masalah yang Dihadapi Dalam menggerakkan aktiviti dakwahnya kepada umat Islam, alRahmaniah tidak sunyi daripada berhadapan dengan beberapa bentuk masalah. Sebagaimana pertubuhan-pertubuhan yang lain, al-Rahmaniah juga menghadapi masalah kewangan. Pada peringkat permulaan, alatalat pejabat untuk kegunaan al-Rahmaniah dipinjam daripada CIMA College, Brickfields. Al-Rahmaniah juga meminjam mesin cycostyle daripada Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya untuk menerbitkan majalah An-Nur pada peringkat permulaan. Selepas beberapa lama kemudiannya barulah ia mempunyai mesin cycostyle sendiri yang dihadiahkan oleh Syeikh Taufik al-Thowil. Sumber kewangan alRahmaniah banyak bergantung kepada sumbangan ahli dan derma daripada orang ramai. Untuk menarik simpati daripada orang ramai, pungutan derma itu dikatakan bertujuan untuk membantu anak-anak yatim dan orang-orang yang terbiar. Sumbangan daripada ahli juga agak terhad kerana keanggotaan al-Rahmaniah tidaklah ramai (Muhammad Uthman, 1988). Keanggotaan yang tidak begitu ramai menyebabkan al-Rahmaniah sukar untuk melaksanakan sesuatu program kerana kekurangan tenaga. Keaktifan al-Rahmaniah banyak digerakkan oleh Muhammad Uthman El-Muhammady sendiri. Beliaulah yang banyak berceramah dan menyertai forum-forum di universiti dengan bantuan Ustaz Hassan bin Salih dan Daeng Sanusi bin Daeng Mariok. Beliau juga banyak menulis dan menterjemah artikel-artikel tertentu untuk dimuatkan di dalam AnNur. Anggota-anggota lain sibuk dengan tugas masing-masing yang kebanyakannya terdiri daripada golongan pelajar (Mohd Kamal, 1988). Program-program pembinaan diri terhadap ahli-ahli kurang memberi kesan. Usrah-usrah dan perhimpunan-perhimpunan dalam kalangan ahli jawatankuasa diadakan dengan membaca karya-karya Abul A'la alMaududi, Maryam Jameelah, dan Abul Hasan Ali an-Nadawi. Namun program-program tersebut agak kurang teratur terutama di peringkat universiti kerana ahli-ahlinya agak sibuk dengan pelajaran, manakala usrah pula merupakan sesuatu yang baru bagi mereka (Muhammad Uthman, 1988). 146 Al-Rahmaniah: Sejarah dan Peranan Masyarakat Islam temtamanya daripada golongan pelajar tidak memberikan perhatian yang serius terhadap permasalahan yang dibangkitkan oleh al-Rahmaniah. Bagi mereka Islam hanyalah sekadar agama peribadatan sahaja. Keadaan ini mula berubah setelah mereka mengikuti beberapa siri penerangan al-Rahmaniah. Oleh kerana alRahmaniah ditubuhkan atas asas, iaitu untuk mengembalikan keyakinan pelajar-pelajar Islam ketika itu kepada ajaran Islam yang sebenar, banyak program-programnya tertumpu di pusat-pusat pengajian tinggi. la berjaya meredakan ledakan suara sosialis ketika itu. Namun dari satu segi pula, ia kurang berjaya menarik masyarakat umum untuk terus memberikan keyakinan kepada idea-idea yang ditimbulkan oleh al-Rahmaniah. Program-program al-Rahmaniah di masjid-masjid dan surau-surau hanya setakat menimbulkan kesedaran kepada masyarakat Islam sahaja (Mohd Nakhaei, 1988). Masalah yang agak besar lagi ialah apabila terdapat beberapa orang dari kalangan pimpinan al-Rahmaniah mula meninggalkan al-Rahmaniah. Ada antara mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara dan ada yang meninggalkan al-Rahmaniah kerana sudah tidak yakin dengan keberkesanan dakwah melalui al-Rahmaniah. Ali bin Haji Ahmad, Mohd Kamal bin Hassan, Nakhaei bin Haji Ahamad, Miskin bin Fakir Muhammad dan beberapa orang lagi meninggalkan al-Rahmaniah untuk melanjutkan pelajaran mereka. Miskin bin Fakir Muhammad yang merupakan tenaga aktif suatu ketika, apabila kembali dari Jerman setelah tamat pengajiannya, telah mengalami gangguan jiwa yang menyebabkan beliau meninggalkan terus pergerakan Islam. Ahli-ahli yang lain apabila tamat pengajian mereka menjadi sibuk dengan tugas masing-masing dan tidak mempunyai ruang waktu lagi untuk bergiat secara aktif dengan alRahmaniah. Manakala, pada tahun 1965 Abdul Ahad pulang ke India dan menukar kerakyatannya serta tidak berminat lagi berdakwah melalui al-Rahmaniah (Mohd Kamal, 1988; Ali, 1988). Pada waktu yang sama juga terdapat satu gerakan tasawuf yang mempunyai semangat untuk memperbaiki diri sendiri dahulu sebelum berdakwah kepada orang lain. Gerakan ini pada mulanya dipelopori oleh seorang bekas pelajar Universiti Malaya. Gerakan ini memberi kesan yang mendalam kepada ahli-ahli al-Rahmaniah. Mereka melibatkan diri secara diam-diam dengan gerakan ini dan seterusnya meninggalkan alRahmaniah. Hal ini berlaku juga dalam kalangan pimpinan al-Rahmaniah termasuklah kepada Muhammad Uthman El-Muhammady, Wan Muhammad Ali, dan Ustaz Hasan Salih. Mereka tidak lagi memberikan penumpuan kepada aktiviti-aktiviti al-Rahmaniah, dan tidak lama kemudian 147 Zulkifli Dahalan mereka terus meninggalkan al-Rahmaniah. Al-Rahmaniah ditinggalkan kepada beberapa orang anggota yang sememangnya sibuk dengan tugas masing-masing. Selepas peninggalan Muhammad Uthman ElMuhammady, al-Rahmaniah menjadi lumpuh kerana beliau adalah tenaga penggerak utama al-Rahmaniah selama ini (Daeng Sanusi, 1988; Mohd Kamal, 1988). Muhammad Uthman El-Muhammady meninggalkan al-Rahmaniah kerana beliau memerlukan cara yang lain untuk mempertingkat dakwah Islamiah. Bagi beliau, ceramah-ceramah tidak memadai dari sudut jangka panjang, dan program-program pembinaan diri melalui amalan-amalan Islam adalah diperlukan. Beliau kemudiannya mengambil sikap berdiam diri untuk bergerak melalui cara lain yang lebih berkesan. Pada tahun 1973, beliau bersama-sama dengan Wan Muhammad Ali dan isterinya Fathiyah Abdul Kadir pulang ke Kelantan dan membuka pusat pengajian secara pondok untuk membantu golongan ulama yang uzur pada ketika itu (Muhammad Uthman, 1988). Program-program secara berpersatuan baginya tidak mempunyai kesan yang boleh mengubah keadaan, kita perlu mengubah dan memperbaiki diri kita dahulu sebelum berdakwah kepada orang lain. Kelemahan tersebut juga mungkin berpunca daripada program-program al-Rahmaniah kurang menjurus kepada pembinaan diri. Al-Rahmaniah pada sekitar tahun 1969 tidak begitu bergerak dan boleh dikatakan hampir berkubur. Namun, aktiviti-aktivitinya terpaksa dilakukan juga kerana pada ketika itu Pejabat Agama Kuala Lumpur masih meneruskan bantuan kepada al-Rahmaniah. Pada tahun itu juga berlakunya 'peristiwa 13 Mei' yang menimbulkan sentimen perkauman antara bangsa Melayu dengan bangsa-bangsa yang lain. Hal ini agak menyulitkan al-Rahmaniah untuk bergerak kerana pada waktu itu sentimen Islam agama dalam kalangan orang-orang Melayu amat kuat (Othman, 1988; Daeng Sanusi, 1988). Walaupun begitu, al-Rahmaniah tidaklah dibatalkan pendaftarannya. la diambil alih oleh tenaga-tenaga baru yang tidak mahu al-Rahmaniah dibatalkan. Pindaan juga telah dibuat pada perlembagaannya dengan menukar penyertaannya daripada peringkat antarabangsa kepada Malaysia sahaja (Faisal, 1988). Pada awal tahun 70-an, terdapat banyak pergerakan-pergerakan dakwah lain yang ditubuhkan. Anwar Ibrahim dengan beberapa orang lagi tenaga pelajar Islam telah bertindak menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Haji Ashaari Muhammad, Haji Zakaria alAnsori, Haji Yazid Jaafar, dan beberapa orang lagi telah menubuhkan alArqam. Aktiviti-aktiviti yang selama ini dijalankan oleh al-Rahmaniah telah diambil alih oleh badan-badan dakwah yang baru ditubuhkan ini. 148 Al-Rahmaniah: Sejarah dan Peranan Masyarakat Islam mula melupakan al-Rahmaniah dan mengalihkan perhatian mereka kepada pergerakan-pergerakan dakwah yang baru ini (Daeng Sanusi, 1988). Al-Rahmaniah pada akhir tahun 80-an kemudiannya digerakkan semula setelah diambil alih oleh beberapa orang tenaga pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (Othman, 1988). Ustaz Mohd Akhir Haji Yaacob menjadi antara tenaga penggerak semula al-Rahmaniah. Badan dakwah ini agak aktif untuk seketika dengan penumpuan diberikan kepada penerbitan buku-buku Islam yang bercorak akademik. Al-Rahmaniah juga memberi tumpuan dalam berdakwah kepada bukan Islam. Namun, atas faktor kekangan tenaga dan kewangan, al-Rahmaniah kini hanya kekal dalam tinta sejarah yang semakin dilupakan oleh generasi Islam kini. Penutup Al-Rahmaniah, walaupun seakan dilupakan setelah menghadapi beberapa masalah pada awal tahun 70-an sehingga terhenti aktivitinya, sumbangannya pada peringkat awal penubuhan terhadap perkembangan dakwah Islamiah sememangnya tidak dapat dinafikan. la berjaya membangkitkan kesedaran dalam kalangan umat Islam khususnya golongan terpelajar untuk melihat Islam dalam skop yang lebih luas. la juga secara tidak langsung menyumbang kepada kelahiran kader-kader dakwah Islam yang bergiat dalam pelbagai pentas dakwah Islam. Tokohtokoh Islam pada ketika ini yang bersifat pemikir seperti Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Profesor Dr. Mohd Kamal Hassan, Datuk Mohd Nakhaei Haji Ahmad, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok dan ramai lagi adalah antara tokoh awal al-Rahmaniah. Sumbangan al-Rahmaniah adalah dalam melahirkan individu seperti tokoh-tokoh tersebut dan sumbangan mereka terhadap perkembangan Islam di Malaysia tidak dapat dinafikan. Bibliografi Ali Haji Ahmad. (1988, Ogos 29). Sejarah dan perkembangan alRahmaniah [wawancara berakam]. Bangi, Selangor: Perpustakaan Tun Sri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia. 149 Zulkifli Dahalan Al-Rahmaniah. (1968, Mei). Buku cenderamata Malam Memperingati Pujangga Iqbal (Dewan al-Malik Faisal, Petaling Jaya, 10 Mei 1968). An-Nur. (1967, Disember). An-Nur, Jilid II (Bil. 7, 8, & 9). Daeng Sanusi Daeng Mariok. (1988, Ogos 24). Sejarah dan perkembangan al-Rahmaniah [wawancara berakam]. Bangi, Selangor: Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor. Faisal Haji Othman. (1988, Ogos 26). Sejarah dan perkembangan alRahmaniah [wawancara berakam]. Bangi, Selangor: Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor. Mohd Kamal Hassan. (1988, Ogos 21). Sejarah dan perkembangan al-Rahmaniah [wawancaraberakam]. Markaz Ilmu Teras, Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya, Selangor. Mohd Nakhaei Haji Ahmad. (1988, Ogos 27). Sejarah dan perkembangan al-Rahmaniah [wawancara berakam]. Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur. Muhammad Uthman El-Muhammady. (1988, Ogos 28). Sejarah dan perkembangan al-Rahmaniah [wawancara berakam]. Jalan Tar 7, Pasir Mas, Kelantan. Othman Haji Khalid. (1988, Ogos 24). Sejarah dan perkembangan al-Rahmaniah [wawancara berakam]. Bangi, Selangor: Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor. Qiblat. (1988, Julai). Kuala Lumpur: UtusanMelayu (Malaysia) Berhad. Syarifah Zainab Syed Mohd Khalid. Sejarah dan perkembangan alRahmaniah [wawancara berakam]. Bangi, Selangor: Pusat Bahasa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor. ZULKIFLI DAHALAN, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA Pulau Pinang, 13500 Permatang Pauh, Pulau Pinang, MALAYSIA. E-mail: zuldahl@ppinang.uitm.edu.my 150