Uploaded by zatiy dotcom

BAB 9 Dekolonisasi

advertisement
BAB 9
DEKOLONISASI
Burhan Che Daud
HASIL PEMBELAJARAN
•
•
•
•
Menjelaskan definisi, konsep dan sejarah kemunculan serta
perkembangan dekolonisasi.
Menghuraikan faktor-faktor utama yang menyebabkan
kemunculan dan perkembangan dekolonisasi.
Menjelaskan impak dekolonisasi dalam pelbagai bidang kehidupan
manusia termasuk politik, ekonomi, sosial dan pendidikan.
Menghubungkaitkan dekolonisasi dengan bidang pengajian para
pelajar khasnya bidang pengkhususan masing-masing.
87
PENDAHULUAN
Bab yang lalu telah membicarakan mengenai hubung kait antara
epistemologi dan isu-isu semasa. Perbincangan dalam bab ini pula akan
menjelaskan tentang dekolonisasi merangkumi definisi dan konsep,
sejarah dan faktor-faktor kemunculan dan perkembangan dekolonisasi,
dan impak dekolonisasi dalam pelbagai bidang kehidupan manusia.
Pada akhir bab ini, para pelajar dijangka mampu menganalisis hubung
kait dekolonisasi dengan bidang pengajian pengkhususan pelajar.
DEFINISI ISTILAH
Dari sudut bahasa, istilah dekolonisasi amat berkait rapat dengan
istilah koloni dan kolonisasi. Koloni bererti tanah jajahan manakala
kolonisasi bermaksud proses menjadikan sesuatu wilayah sebagai
koloni (penjajahan). Dekolonisasi pula bererti proses membebaskan
sesuatu wilayah daripada kuasa penjajah (penyahjajahan).
Dari sudut istilah, kolonisasi bermaksud suatu proses atau
keadaan iaitu sistem kuasa berpusat mendominasi tanah jajahan baharu
yang berada di kawasan sekitarnya. Keadaan ini menyebabkan subjek
dominasi tersebut tertakluk kepada kuasa penjajah dalam pelbagai
aspek seperti fizikal, material, sosioekonomi, politik, pemikiran dan
intelektual. Manakala istilah dekolonisasi adalah bersifat derivatif
kepada istilah kolonisasi. Ia membawa maksud keadaan atau proses
pembebasan daripada cengkaman kuasa penjajah dari sudut fizikal,
material, politik, ekonomi, budaya, pemikiran dan intelektual. Terdapat
beberapa definisi lain mengenai dekolonisasi yang dikemukakan
dalam wacana ini. Antaranya:
1. Dekolonisasi bermaksud pengunduran kuasa penjajah dari
tanah jajahan dan pemerolehan pembebasan dan kemerdekaan
politik dan ekonomi oleh penduduk di tanah jajahan (Dane
Kennedy, 2016).
2. Dekolonisasi merujuk kepada suatu proses iaitu kuasa
penjajah menyerahkan dominasi institusi dan perundangan
88
MODUL FALSAFAH DAN ISU SEMASA
di tanah jajahan mereka kepada penduduk asal yang menjadi
pemerintah negara bangsa secara rasmi (Prasenjit Duara,
2004).
3. Dekolonisasi yang dahulu difahami sebagai proses penyerahan
instrumen kerajaan secara rasmi kepada penduduk asal, kini
dimaksudkan sebagai suatu proses jangka panjang yang
melibatkan pelupusan kuasa penjajah dalam aspek birokrasi,
budaya, bahasa dan psikologi (Linda Tuhiwai Smith, 2008).
Beberapa orang sarjana pemikir Muslim seperti Albert Hourani (19151993), Syed Hussein Alatas (1928-2007), Ali Shariati (1933-1977)
dan Edward Said (1935-2003) juga membahaskan istilah dekolonisasi
dalam kerangka tradisi dan kemodenan yang dihubungkan dengan
beberapa konsep lain seperti orientalisme, penjajahan intelektual
(intellectual imperialism), intelektual tanpa rumah (homeless
intellectual) dan minda tertawan (captive mind). Fokus utama wacana
mereka adalah mempromosikan dekolonisasi intelektual (intellectual
decolonization) daripada segala pakej intelektual yang diimport
daripada Barat. (Esmaeil Zeiny, 2018)
Berdasarkan definisi istilah yang dinyatakan, dekolonisasi
boleh dirumuskan sebagai suatu perubahan dalam kondisi masyarakat
daripada berada di bawah taklukan kuasa penjajahan kepada
pemerolehan kembali legitimasi ke atas tanah air, kemerdekaan
ekonomi, politik dan sosiobudaya serta pembebasan pemikiran dan
intelektual daripada impak kolonisasi.
SEJARAH
KEMUNCULAN
DEKOLONISASI
DAN
PERKEMBANGAN
Istilah dekolonisasi mula diperkenalkan pada awal kurun ke-19 oleh
seorang wartawan Perancis yang menyuarakan penentangan beliau
terhadap penjajahan Perancis ke atas Algeria. Kemudian, seorang
saintis sosial berbangsa Yahudi dari Jerman, Moritz Julius Bonn (18731965) yang terselamat daripada kezaliman puak Nazi dan melarikan
89
diri ke England, mempopularkan istilah ini sekitar tahun 1930-an.
Kemudian penggunaan istilah ini hilang daripada kamus politik
antarabangsa. Selepas Perang Dunia Kedua khasnya selepas tahun
1960, istilah ini digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa
(Dane Kennedy, 2016). Menurut Dane Kennedy (2016), kemunculan
dan perkembangan dekolonisasi boleh dibahagikan kepada tiga
gelombang utama iaitu:
1. Dekolonisasi Dunia Baharu (New World Decolonization)
Gelombang ini bermula di Amerika pada tahun 1776 dengan
tercetusnya penentangan penduduk Amerika Utara terhadap
penjajahan British. Kesannya terhasil dengan pembentukan
negara Amerika Syarikat pada 4 Julai 1776 melalui Deklarasi
Kemerdekaan oleh 13 koloni British. Ini diikuti dengan
Pemberontakan Hamba pada tahun 1791 di Saint-Domingue,
tanah jajahan Perancis yang menatijahkan pembentukan Haiti
sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka pada 1 Januari
1804. Gelombang ini juga menyaksikan siri-siri perjuangan
kemerdekaan melalui peperangan melawan penjajah Sepanyol
dan Portugal. Tanah jajahan Portugal paling besar di benua
Amerika Selatan adalah Brazil (dikenali sebagai Empayar
Brazil) yang mencapai kemerdekaan pada 7 September 1822.
2. Dekolonisasi Dunia Lama (Old World Decolonization)
Gelombang kedua ini tercetus dengan berlakunya Perang
Dunia Pertama pada 28 Julai 1914 sehingga ia berakhir
pada 11 November 1918. Empayar pertama yang runtuh
adalah Rusia pada tahun 1917. Kejatuhan Empayar Tsar ini
membuka jalan kepada Revolusi Bolshevik yang akhirnya
berjaya membentuk entiti baharu Union of Soviet Socialist
Republics (USSR) pada 29 Disember 1922. Periode ini juga
menyaksikan kejatuhan Empayar Turki Uthmaniah pada tahun
1922 yang menatijahkan wilayah takluknya diisytiharkan
sebagai negara merdeka seperti Romania dan Bulgaria.
90
MODUL FALSAFAH DAN ISU SEMASA
3. Dekolonisasi Dunia Ketiga (Third World Decolonization)
Gelombang ketiga pula muncul pada pertengahan tahun
1940-an sejurus selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Gelombang ini terdiri daripada empat fasa utama. Fasa
pertama ditandai dengan kemerdekaan tanah jajahan British
seperti India, Pakistan, Sri Lanka dan Burma di Asia Selatan
dan Filipina di Asia Tenggara. Manakala di Timur Tengah
Palestin, Syria, Lubnan dan Jordan memperoleh kemerdekaan
daripada penjajah British dan Perancis. Fasa Kedua pula
bermula pada awal 1950-an dan berakhir pada 1960-an.
Pada era tersebut, penjajahan kuasa Eropah telah berakhir
secara total di Asia (kecuali Hong Kong), Afrika Utara dan
sebahagian besar kepulauan Carribean.
Fasa ketiga berlaku pada dekad 1970-an melalui kejatuhan
kuasa kolonial Portugal di Afrika dan Timor Timur (Timor
Leste). Fasa terakhir yang berlaku dalam gelombang ketiga ini
adalah kejatuhan blok komunis Kesatuan Soviet pada tahun
1990 yang menyaksikan munculnya Orde Baharu Dunia (New
World Order) yang berbeza sama sekali dengan dekad-dekad
kolonisasi dan imperialisasi sebelum ini.
Setelah periode penjajahan berakhir secara fizikal
dengan terbentuknya negara bangsa (nation state) baharu yang
bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
pemikiran dan kajian pascakolonial (postcolonial studies)
mula muncul secara tersusun khasnya selepas berakhirnya
Perang Dingin dan globalisasi ekonomi pada dekad 1990an. Pemikiran dan kajian pascakolonial ini mengangkat idea
bahawa dominasi epistemologi dan pemikiran Barat harus
dicabar melalui wacana ilmiah hasil daripada pengalaman luas
masyarakat tempatan semasa berada di era penjajahan. Usaha
ini antaranya telah dikemukakan lebih awal oleh Mohandas
Gandhi dan Rabindranath Tagore yang mengkritik tamadun
Barat sebagai terlalu materialistik (excessively materialistic)
dan Gandhi mengungkapkannya sebagai suatu bentuk
‘penyakit’ dalam karya beliau Hind Swaraj pada tahun 1909.
91
Manakala seorang penulis dari Kenya, Ngugi wa Thiong’o
menyeru masyarakat tempatan menolak budaya dan nilai barat
melalui karya beliau Decolonising the Mind pada tahun 1981.
Beliau berhujah bahawa pembebasan psikologi masyarakat
tempatan bergantung sepenuhnya kepada penolakan mereka
terhadap apa sahaja yang dianggap superior daripada Barat
(Dane Kennedy, 2016).
FAKTOR-FAKTOR KEMUNCULAN DEKOLONISASI
Kemunculan dan perkembangan dekolonisasi selepas berakhirnya
Perang Dunia Kedua pada tahun 1942 boleh dihubungkan dengan
beberapa faktor utama seperti berikut:
1. Perang Dunia Kedua di peringkat global di antara empayar
dan kuasa besar dunia menjadi pencetus utama dekolonisasi.
Kuasa penjajah Eropah yang tewas seperti British dan
Perancis tidak lagi mempunyai kekayaan bagi membiayai
aktiviti ekonomi dan politik di tanah jajahan mereka.
2. Amerika Syarikat dan Soviet Union yang merupakan kuasa
besar baharu selepas Perang Dunia Kedua menentang idea
kolonialisme Eropah. Ini membuka ruang yang luas kepada
negara-negara di Dunia Ketiga khasnya untuk membangun
dengan acuan sendiri. Sebagai contoh, di Afrika wujud
kelompok kecil pemimpin yang mendapat pendidikan di
Amerika Syarikat mula berperanan dalam masyarakat ke arah
dekolonisasi Afrika secara tersusun.
3. Di peringkat lokal, mobilisasi gerakan pembebasan dan
kemerdekaan yang muncul di wilayah jajahan kuasa besar
tidak dapat dibendung lagi. Gerakan antikolonial dan haluan
kiri mempercepatkan proses dekolonisasi daripada dominasi
kuasa penjajah. Dekolonisasi fizikal berlaku dalam dua bentuk;
perjuangan kekerasan dan perjuangan di meja rundingan.
92
MODUL FALSAFAH DAN ISU SEMASA
DAMPAK DEKOLONISASI KEPADA KEHIDUPAN
Dekolonisasi bukan sahaja telah membawa perubahan besar dalam
sejarah dunia dari sudut geopolitik dan ekonomi, malah dampak
dekolonisasi dapat dilihat dalam segenap aspek kehidupan manusia
pada zaman moden ini. Dampak dekolonisasi kepada kehidupan dapat
dilihat dalam perspektif berikut:
1. Sistem politik dan ekonomi
Sistem politik demokrasi muncul menggantikan sistem
empayar dan monarki. Demokrasi datang dengan pakej
kebebasan bersuara, kebebasan memilih, sistem pilihan
raya, hak asasi manusia dan sebagainya. Manakala sistem
ekonomi kapitalis dan perdagangan terbuka menjadi anutan
kebanyakan negara membangun di Dunia Ketiga bagi memacu
perkembangan ekonomi di peringkat lokal dan global.
2. Sistem sosial
Dekolonisasi berjaya merubah wajah masyarakat daripada
berpusatkan Barat (eurocentric) kepada berpusatkan
nilai masyarakat setempat (local value-based centric).
Natijah dapat dilihat melalui perkembangan sosiobudaya
masyarakat tempatan yang mempunyai kerangka tersendiri
dan mengangkat tradisi serta norma tempatan yang jauh
bertentangan dengan nilai serta budaya kolonisasi. Rakyat
menjadi pihak berkepentingan utama (main stakeholder)
dalam sistem sosial pascakolonial dan pembangunan sosial
dijadikan agenda utama pembangunan negara.
3. Sistem pendidikan
Bidang yang paling terkesan dengan kolonisasi adalah
sistem pendidikan. Walaupun dekolonisasi telah berlaku
hampir enam dekad yang lalu, namun sistem pendidikan di
kebanyakan negara di dunia masih lagi berkiblatkan kerangka
dan paradigma Barat. Pelbagai bentuk gerakan intelektual
93
telah dan sedang diperjuangkan bagi mengembalikan
sistem pendidikan ke landasan yang sebenar berpaksikan
epistemologi bertuhan melalui pendekatan islamisasi ilmu
dan integrasi ilmu. Kesedaran dalam kalangan masyarakat
semakin meningkat kesan pakej sistem pendidikan acuan
Barat yang bukan melahirkan insan bahkan menghasilkan
manusia tanpa roh untuk tujuan aktiviti ekonomi kapitalis
global. Cabaran dekolonisasi sistem pendidikan merupakan
agenda jangka panjang yang perlu disusun secara kolektif,
bersepadu dan terancang.
DEKOLONISASI PEMIKIRAN DAN INTELEKTUAL
Menyedari bahawa kolonisasi bukan sahaja mempengaruhi aspek
fizikal, bahkan dengan pakej lengkap (pemikiran, budaya, nilai
dan tatasusila tempatan), maka proses dekolonisasi juga seharusnya
berlaku secara holistik dan komprehensif. Dalam konteks ini, golongan
intelektual yang mempunyai pemikiran berasaskan pandangan alam
yang sahih harus berperanan dengan aktif, responsif dan meluas dalam
usaha dekolonisasi pemikiran dan intelektual masyarakat.
Di antara pendekatan berkesan yang boleh dilaksanakan
sebagaimana disarankan oleh Ali Shariati dan Syed Hussein Alatas
adalah melalui penjajaran semula kaedah berfikir berdasarkan
ilmu falsafah yang benar. Berdasarkan keperluan ini, para pelajar
didedahkan kepada kursus Falsafah dan Isu Semasa bagi memberi
gambaran menyeluruh dampak pemikiran falsafah Barat kepada
pemikiran dan intelektual masyarakat Timur. Sebagai contoh,
dalam bidang pengajian pengkhususan masing-masing, para pelajar
kebiasaannya membuat kajian dan eksperimen berpaksikan teori dan
konsep pemikiran ahli falsafah Barat seperti Roger Bacon dan Rene
Descartes. Secara tidak sedar, para pelajar dipasak dengan nilai-nilai
dan pemikiran saintifik Barat. Sekiranya pelajar tidak mempunyai
kemahiran pemikiran falsafah seperti radikal, kritikal dan analitikal,
maka nilai dan budaya tersebut dianggap normal dan boleh diterima.
94
MODUL FALSAFAH DAN ISU SEMASA
Dekolonisasi pemikiran dan intelektual hanya akan berlaku jika
kemahiran berfikir secara falsafah dibentuk, dibina dan dipergiatkan
dan diperjuangkan dalam kalangan komuniti akademik termasuk para
pelajar dan ahli akademik khasnya di institusi pengajian tinggi.
PENUTUP
Bab ini menjelaskan kepada para pelajar tentang dekolonisasi dan
impaknya terhadap kehidupan manusia khasnya dalam aspek kerangka
pemikiran dan paradigma intelektual. Pemahaman bab ini amat
penting dalam melahirkan pelajar yang mempunyai asas pemikiran
falsafah yang tepat melalui analisis pensejarahan yang kritikal. Asas
pemikiran falsafah yang tepat dibantu dengan kaedah berfikir yang
murni dan suluhan cahaya ketuhanan akan mampu membuka jendela
intelektual yang kritis, analitikal dan responsif dalam mencari serta
mempertahankan kebenaran.
LATIHAN
1. Apakah maksud kolonisasi dan dekolonisasi?
2. Bincangkan sejarah kemunculan dan perkembangan
dekolonisasi.
3. Huraikan faktor-faktor utama yang mendorong kemunculan
dekolonisasi.
4. Bincangkan tiga dampak dekolonisasi kepada kehidupan
masyarakat.
5. Sejauh manakah dekolonisasi mempengaruhi perkembangan
ilmu dalam bidang pengkhususan anda?
95
RUJUKAN
Al-Attas, S.M.N. (1993). Islam and Secularism. Kuala Lumpur:
ISTAC.
Dane Kennedy (2016). Decolonization: A Very Short Introduction.
Oxford: Oxford University Press.
Dietmar Rothermund (2006) The Routledge Companion to
Decolonization. London: Routledge.
Dzulkifli A.R., Decolonising the Paradigm of Sustainable Development
Through The Traditional Concept of Sejahtera, dlm Zinaida
F., Laima G. & Kiran C. (2018). Academia and Communities:
Engaging for Change. Tokyo, Japan: UNU-IAS.
Elizabeth Buettner (2016). Europe after Empire: Decolonization,
Society, and Culture. Cambridge: Cambridge University Press.
Esmaeil Zeiny (2018). Spokesmen of Intellectual Decolonization:
Shariati in Dialogue with Alatas, in Dustin J. Byrd & Seyed Javad
Miri. 2018. Ali Shariati and The Future of Social Theory: Religion,
Revolution and The Role of the Intellectual. Leiden: Brill.
Gennaro Ascione (2016). Science and the Decolonization of Social
Theory: Unthinking Modernity. London: Palgrave Macmillan.
James D. Le Seur ed. (2003). The Decolonization Reader. London:
Routledge.
Linda Tuhiwai Smith (2007). Decolonizing Methodologies: Research
and Indigenous Peoples. London & New York: Zed Books Ltd.
Prasenjit Duara ed. (2004). Decolonization: Perspectives from Now
and Then. London: Routledge.
Ron Eyerman & Giuseppe Sciortino (2020). The Cultural Trauma of
Decolonization: Colonial Returnees In The National Imagination.
Switzerland: Palgrave Macmillan.
Todd Shepard (2015). Voices of Decolonization: A Brief History with
Documents. Boston: Bedford/St. Martin’s.
Osman Bakar (2007). Environmental Wisdom for Planet Earth:
The Islamic Heritage. Kuala Lumpur: Center for Civilizational
Dialogue, University of Malaya.
96
MODUL FALSAFAH DAN ISU SEMASA
Download