TAKE HOME EXAMINATION SEMESTER SEPTEMBER 2020 HMEF 5073 CURRICULUM DEVELOPMENT BAHAGIAN A SOALAN 1 (20 M) Menurut Jerome Bruner, pembelajaran adalah proses aktif yang melibatkan para pelajar secara aktif dalam membina pemahaman baru dengan menggabungkan pengetahuan terdahulu dengan maklumat baharu. Guru perlu bijak untuk memanipulasi keadaan ini dalam menyampaikan suatu ilmu baharu kepada para pelajarnya. Salah satu pendekatan yang boleh digunakan adalah konstruktivisme. Kaedah ini menekankan tentang pembinaan pengetahuan oleh para pelajar secara aktif. Guru bertanggungjawab untuk menyediakan pengetahuan kepada para pelajarnya secara minimum dan bertindak sebagai fasilitator. Guru memberi peluang kepada murid perlu terlibat secara aktif dalam membina pengetahuan baharu melalui pengalaman pembelajaran yang disediakan kepada mereka. Penglibatan murid di dalam aktiviti sebenar seperti kajian dan eksperimen menggalakkan proses inkuiri seterusnya menjadikan mereka lebih faham dan yakin untuk meneruskan sesi pembelajaran. Sebagai contoh, dalam subjek Sains tahun 6 (tajuk Mikroorganisma), murid-murid perlu mengenal pasti proses hidup mikroorganisma dengan menjalankan penyiasatan mudah dan mencatat hasil yang diperoleh. Pada awal pengajaran, guru meminta murid untuk meramalkan proses hidup mikroorganisma. Selepas pelbagai jawapan diterima, murid-murid diminta untuk menjalankan eksperimen bagi menguji ramalan tersebut. Penglibatan aktif mereka dalam usaha mencari jawapan kepada permasalahan yang berlaku menjadikan sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc) lebih menarik dan bermakna. Murid dapat membina kefahaman mereka sendiri berdasarkan hasil penyiasatan yang diperoleh. Peranan guru sebagai pembimbing sangat digalakkan supaya mereka berada dalam skop yang betul. Melalui peluang sebegini, murid-murid dapat mengembangkan lagi pengetahuan mereka terhadap pembelajaran yang sedang berlaku. Di samping itu, mereka juga boleh membina pengetahuan baharu dalam suasana yang tidak tertekan dan santai tetapi masih mencapai objektif pembelajaran yang diingini oleh guru. Dengan menggunakan pendekatan konstruktivisme, guru perlu melatih murid bagi menggunakan pemikiran kritis dan kreatif mereka. Guru yang baik dapat menggalakkan dan memberi ruang kepada murid untuk mengamalkan dan memperkembangkan kemahiran proses sains dan kemahiran berfikir. Pelbagai kaedah dan teknik mengajar boleh diaplikasikan seperti sumbang saran, penyelesaian masalah dan perbincangan bagi menggalakkan murid-murid lebih berfikir. Semasa sesi pdpc, guru boleh bertanyakan soalan yang berbentuk aras tinggi kepada muridnya. Guru juga perlu menggalakkan mereka untuk memberi respons yang berkaitan terhadap perbincangan yang berlaku di dalam kelas. Contohnya, bagi subjek Sains tahun 4 (tajuk Putaran Bumi), guru boleh bertanyakan kepada mereka tentang keadaan yang berlaku di kutub utara bumi. Murid boleh memberi jawapan mereka dan disemak bersama-sama dengan bimbingan guru. Seterusnya, guru perlu menerangkan keadaan bumi yang sedikit sendeng menyebabkan kutub utara menjadi malam kerana tidak menerima cahaya matahari selama 6 bulan pada musim sejuk dan menjadi siang selama 6 bulan. Melalui interaksi sedemikian, murid-murid dapat menilai dan mentaksir pemikiran mereka dengan ilmu baharu yang diterima ini seterusnya mengasah kemahiran berfikir mereka. Hal ini turut membantu murid dalam membina kefahaman terhadap kandungan seterusnya menguasai kemahiran komunikasi dan proses pemikiran Selain itu, guru perlu menekankan kepada murid-murid bahawa pembelajaran adalah satu aktiviti sosial yang melibatkan individu lain. Bruner menekankan pembelajaran yang terhasil daripada interaksi antara guru – murid serta murid – murid boleh menghasilkan suatu pembelajaran bermakna kepada murid-murid. Komunikasi dua hala yang berlaku lebih jelas jika sesi pdpc dikendalikan secara berkumpulan bagi topik-topik yang bersesuaian. Penglibatan murid secara berkumpulan dalam sesi pdpc dapat memberi kesan yang lebih baik terhadap prestasi mereka. Misalnya, bagi subjek Sains tahun 5 (tajuk kestabilan dan kekuatan bahan), muridmurid akan lebih bersemangat untuk mereka bentuk suatu binaan yang kuat dan stabil jika membuat aktiviti secara berkumpulan. Guru boleh menjalankan aktiviti ini sebagai suatu pertandingan untuk melihat hasil ciptaan yang lebih kuat dan stabil. Pelajar akan mempunyai lebih peluang untuk melihat strategi pemikiran orang lain, di samping berkongsi strategi sendiri. Semasa aktiviti dijalankan secara berkumpulan, para pelajar dapat berinteraksi, berkomunikasi dan menghayati proses pembelajaran yang lebih berkesan. Selain itu, kemahiran kerjasama yang dibentuk semasa pembelajaran berasaskan kumpulan ini akan mewujudkan hubungan sosial yang lebih harmonis semasa di dalam bilik darjah. Selain itu, di dalam pendekatan konstruktivisme ini, murid akan membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Justeru, guru perlu mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh murid-murid ini dan menyesuaikannya dengan pengetahuan yang ingin disampaikan. Hal ini penting supaya struktur kognitif mereka mencapai keseimbangan antara pengetahuan sedia ada mereka. Sebagai contoh, kebanyakan murid menganggap hujan terjadi secara tiba-tiba. Namun, apabila mereka telah mempelajari tajuk Kitar Air Semula jadi (Sains tahun 5), murid-murid mendapat suatu maklumat baharu bahawa kejadian hujan adalah disebabkan kitaran air yang sentiasa berlaku di sekeliling mereka. Mereka boleh sahaja menerima (asimilasi) atau mengubah suai (akomodasi) pengetahuan baharu tersebut supaya selari dengan pengetahuan sedia ada mereka. Jadi, guru perlu bijak untuk menggunakan bahan bantu belajar yang bersesuaian supaya struktur kognitif murid-murid berada dalam keadaan yang seimbang di samping mereka memperoleh pengalaman pembelajaran yang bermakna. SOALAN 2 (20 M) PENERANGAN KONSEP DALAM TAKSONOMI BLOOM Taksonomi Bloom digunakan secara meluas untuk mengukur aspek kognitif para pelajar. Dalam pembangunan kognitif para pelajar, melalui pengajaran yang dirancang oleh guru, mereka akan menerima ilmu dan pengetahuan baharu yang bermula dari aras mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai sehinggalah mencipta. Ilmu yang diterima ini akan disimpan dan kemudiannya digunakan apabila berhadapan dengan situasi yang memerlukan. Terdapat 6 aras di dalam taksonomi ini yang bermula dari aras rendah sehingga ke aras tinggi. a) Mengingat Dalam aras mengingat, murid-murid dikehendaki mendapatkan kembali, mengeluar kembali dan mengingat semula pengetahuan yang relevan daripada ingatan jangka panjang. Aras mengingat merupakan kemahiran berfikir aras rendah di dalam taksonomi ini. Antara contoh aras mengingat yang boleh diaplikasikan di dalam kelas adalah mengingat kembali sumber tenaga, mendeklamasikan sajak dan menyatakan warna-warna pelangi. Perkataan lain yang boleh digunakan untuk menguji aras ini kepada para pelajar adalah kenal pasti, senaraikan, ceritakan, namakan dan padankan. b) Memahami Pada aras memahami, kefahaman seseorang itu ditambah baik lagi dengan kemampuan untuk mengingat semula maklumat dan boleh menjelaskan idea dan konsep yang telah dikenal pasti tadi. Jika murid telah dapat menyenaraikan sumber tenaga, pada peringkat ini, murid mesti boleh menerangkan perkara itu dengan lebih mendalam. Kata tugas yang sesuai untuk aras memahami adalah jelaskan, memberi sebab, ringkaskan, ramalkan dan buat parafrasa. c) Mengaplikasi Menggunakan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam situasi berlainan untuk melaksanakan sesuatu perkara. Pada aras ini, seseorang itu boleh mengenal pasti maklumat lain tentang sesuatu perkara, mengumpulkan sesuatu perkara mengikut ciri sepunya, menggunakan alatan untuk menjalankan suatu prosedur dan sebagainya. d) Menganalisis Pada peringkat ini, murid-murid sudah boleh memecahkan bahan kepada bahagian kecil untuk memahami dengan lebih mendalam serta hubung kait antara bahagian berkenaan. Contoh aktiviti yang boleh digunakan di dalam kelas seperti: i. Mereka bentuk soal selidik untuk mendapatkan maklumat. ii. Menulis iklan untuk menjual produk. iii. Membuat carta alir untuk menunjukkan peringkat kritikal. iv. Membina graf untuk menunjukkan maklumat khusus. v. Membuat salasilah keluarga (family-tree) untuk menunjukkan pertalian e) Menilai Aras ini menekankan tentang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seperti yang dicadangkan oleh pihak Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). Elemen ini menggariskan bahawa para pelajar perlu membuat pertimbangan dan keputusan menggunakan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan nilai serta memberi justifikasi atas tindakan yang diambil itu. Contoh kata kerja dalam elemen ini seperti berikan hujah, kritik, sokong, pertahankan hujah, membuat kesimpulan dan membuat perkaitan f) Mencipta Mencipta merupakan aras KBAT yang paling tinggi dalam modul KBAT. Elemen ini menerangkan tentang penghasilan idea atau produk atau kaedah yang kreatif dan inovatif. Murid-murid pada peringkat ini akan menggunakan kesemua elemen kognitif dari aras rendah dan tinggi untuk menyusun atur elemen ke bentuk atau struktur baru melalui penjanaan, perancangan dan penghasilan. Antara kata kerja yang boleh digunakan seperti reka, bina, rancang dan hasilkan. AKTIVITI PENGAJARAN MENGIKUT ARAS TAKSONOMI BLOOM Subjek: Sains Tahun 5 Bidang: Elektrik Standard kandungan: Litar elektrik lengkap Standard pembelajaran: 1. Membina litar elektrik lengkap dengan menggunakan sel kering, mentol, suis dan wayar penyambung. 2. Melakarkan gambar rajah litar elektrik menggunakan simbol. 3. Mengeksperimen untuk membezakan kecerahan mentol dalam litar lengkap dengan mengubah bilangan mentol atau bilangan sel kering. Standard prestasi/Objektif Pembelajaran: Pada akhir pdpc, murid dapat: 1. Membina litar elektrik lengkap menggunakan sel kering, mentol, suis dan wayar penyambung. 2. Mengenal pasti simbol komponen dengan melakar gambar rajah litar elektrik menggunakan simbol 3. Mengeksperimen untuk membezakan kecerahan mentol dalam litar lengkap dengan mengubah bilangan mentol atau bilangan sel kering. FASA MENGINGAT Pada peringkat permulaan, murid diminta memerhatikan bahan rangsangan berbentuk dialog dalam buku teks Sains tahun 5. Berdasarkan bahan rangsangan tersebut, murid menyatakan komponen yang diperlukan untuk membina litar elektrik lengkap. Murid diterangkan dengan fungsi setiap komponen. Kemudian, murid akan menyenaraikan komponen elektrik yang diperlukan dan melabelkan pada gambar yang dipaparkan di hadapan kelas. FASA MEMAHAMI Kemudian, selepas murid memilih komponen yang betul, mereka diminta untuk menerangkan semula fungsi bagi komponen elektrik tersebut. Contohnya, murid ditunjukkan komponen mentol. Murid akan menjelaskan kegunaan mentol di dalam litar tersebut. Begitu juga dengan komponen elektrik yang lain. Selain itu, murid juga akan diterangkan dengan simbol komponen. Jadi, mereka perlu melakarkan komponen tersebut dengan simbol yang betul. FASA APLIKASI Di dalam kumpulan, murid akan diberikan sejumlah komponen elektrik bagi menghasilkan litar elektrik yang lengkap. Mereka akan membina litar elektrik lengkap berdasarkan pemahaman sebelum ini. Pada peringkat ini, murid-murid akan cuba menghasilkan litar yang mempunyai mentol yang menyala. Jika litar yang dibina tidak menyala, murid akan mengubah suai tatacara pemasangan litar supaya hasil yang diinginkan dapat dicapai. Selepas itu, murid diminta melakar litar yang dipasang itu mengikut simbol yang tepat. FASA ANALISIS Guru meminta murid untuk meramal kecerahan mentol jika bilangan sel kering dan bilangan mentol diubah pada litar tersebut. Murid membuat ramalan masing-masing. Seterusnya, untuk mendapatkan jawapan, murid menguji ramalan mereka dengan melihat kecerahan mentol apabila bilangan sel kering dan mentol ditambah atau dikurang. Selepas itu, murid membuat kesimpulan bahawa apabila bilangan sel kering atau bilangan mentol diubah, kecerahan mentol akan turut berubah. FASA MENILAI Kemudian, murid diberi lima biji mentol dan dua biji sel kering. Murid diminta untuk membina litar elektrik supaya nyalaan mentol yang paling malap dapat dipasang. Pada peringkat ini, murid perlu menilai dan membandingkan cara untuk mendapatkan jawapan bagi situasi itu. Kemudian, hasil penilaian mereka perlu dibuktikan melalui pemasangan litar tersebut. FASA MENCIPTA Selepas murid dapat mencapai kesemua fasa di atas, murid diminta untuk mereka cipta satu model lampu bilik tidur ringkas berdasarkan pengalaman pembelajaran yang diperoleh. Berdasarkan tajuk elektrik dan tajuk sebelum ini (Cahaya). Murid perlu memberi justifikasi terhadap pemilihan rekaan mereka itu dari segi reka bentuk, fungsi dan nilai tambah yang ada pada hasil ciptaan mereka.