CARA MENGHINDARI MAKANAN SYUBHAH/HARAM DALAM ISLAM Hukum halal dan haram adalah suatu persoalan yang berkaitan dengan kepercayaan dan keimanan kita kepada Allah SWT. Ia melibatkan segala suruhan serta larangan, galakkan dan amaran. Walau bagaimanapun, di antara segala perkara yang jelas halal dan haram tersebut, ada perkara-perkara yang syubhah iaitu perkara yang tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram, sebagai ujian untuk orang yang beriman. Justeru, orang mukmin yang benar dan bersifat warak akan meninggalkan perkara-perkara syubhah ini sebagai lambang kesempurnaan iman kerana dikhuatiri ia boleh terjatuh kepada perkara yang haram dan dimurkai tanpa disedari. Syubhah bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan ataupun dibuat main-main. Ini adalah kerana Rasulullah SAW menegaskan sesiapa yang menjauhi perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agama dan akidahnya serta memelihara kehormatannya. Akan tetapi jika sesiapa mengamalkan amalan syubhah, bermakna ia mengamalkan perkara yang haram dengan membelakangi arahan dan perintah Allah SWT, malah tidak berhati-hati dalam urusan tersebut. Oleh itu, sebagai seorang Muslim dan juga Mukmin, kita hendaklah seboleh-bolehnya menjauhi perkara-perkara syubhah. Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah seperti berikut: 1. Pastikan sijil halal pada restoran Perkara yang paling penting untuk memastikan kehalalan sesuatu makanan atau produk adalah berdasarkan sijil halal produk tersebut. Oleh itu, kita perlu memastikan kedai makanan atau restoran itu mempunyai sijil halal seperti logo halal Malaysia beserta nombor pendaftaran. Hal ini kerana dengan adanya logo halal ini, kedai makanan atau restoran tersebut sudah tidak perlu diragukan lagi kehalalan makanan dan minuman yang disajikannya kerana logo tersebut merupakan simbol jaminan kualiti berasaskan syarak Islam, sebagaimana yang digariskan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Logo halal Malaysia 2. Hindari kedai-kedai makanan yang meragukan Sekiranya kedai makanan tersebut tidak memiliki sijil halal, setidak-tidaknya pastikan kedai tersebut jelas menyajikan makanan halal. Hindari kedai makanan atau restoran yang menyajikan masakan yang secara jelas diragukan kehalalannya. Sebagai contoh, restoran yang menyajikan masakan halal bercampur dengan masakan haram, seperti menu ayam namun juga menyediakan menu olahan babi ataupun menyediakan minuman beralkohol. Hindari juga restoran atau kedai makanan yang menggunakan peralatan yang sama untuk memasak makanan yang halal dan yang haram. 3. Pastikan kedai makanan atau restoran dikendalikan oleh Muslim Apabila melancong ke negara bukan Islam atau negara minoriti Islam, makanan halal menjadi persoalan utama. Untuk mengelakkan sebarang syubhah terhadap makanan tersebut, pastikan restoran yang kita pilih itu dikendalikan oleh orang Islam. Sebagai contoh, kita boleh memilih kedai kebab yang dimiliki oleh orang Turki, dan restoran India atau Pakistan yang menjual makanan halal. Selain itu, kita juga boleh pergi ke pasaraya yang mempunyai rak khusus menjual makanan berlabel halal. 4. Utamakan halal berbanding kesedapan makanan Sesetangah dari kita mudah terpedaya dengan makanan yang diviralkan kesedapannya sehingga ada yang menutup sebelah mata tentang status halal makanan tersebut. Adalah penting untuk kita sebagai umat Islam untuk mengutamakan status halal sesuatu makanan berbanding perkara lain. Hal ini kerana makanan dan rezeki yang menjadi sajian kita akan mempengaruhi sikap, perangai, air muka, hati dan kesuluruhan kehidupan. Oleh itu, jangan hanya melihat pada kesedapan makanan itu semata-mata tetapi pastikan hidangan yang dijamah adalah halal dan disediakan secara sempurna. 5. Pilih makanan berasaskan sayuran Sekiranya terlalu rumit untuk mendapatkan makanan halal terutamanya di negara minoriti Islam, kita juga boleh memilih makanan berasaskan sayuran yang dirasakan tidak mengandungi alkohol atau sebarang lemak haiwan terlarang. Jika tidak pasti, tanyakan pada pelayan restoran untuk memberi cadangan makanan. Cara lain yang paling mudah adalah dengan membeli sayuran di pasaraya dan membuat salad sendiri. Semestinya menu ini dijamin halal kerana hanya menggunakan bahan sayuran. Jika masih boleh menyediakan makanan anda sendiri, ini boleh menjadi pilihan yang lebih baik. Walaupun hanya telur dan sayur, ianya dijamin halal. 6. Menyediakan makanan sendiri dari rumah Sekiranya kita mampu untuk menyediakan makanan sendiri, itu merupakan pilihan terbaik bagi mengelakkan sebarang isu berkaitan syubhah pada makanan tersebut. Selain dapat memastikan kehalalan makanan tersebut, kita juga dapat menjimatkan wang dan makanan yang dimasak sendiri sudah tentu lebih bersih dan tiada ragu-ragu berbanding makanan di restoran yang tidak dapat dipastikan sejauh mana tahap kebersihan mereka.