Tajuk : Saidina Ali Karamullahu wajhah Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh. Terima kasih saya ucapkan kepada pengacara majlis. Yang di muliakan para hakim yang bijaksana serta hadirin yang di rahmati Allah sekalian. Pada hari ini saya, Muhammad Luqman Al-hakim Bin Muhammad, akan menceritakan tentang khalifah Islam keempat iaitu Saidina Ali. Hadirin sekalian, Nama penuh insan mulia ini ialah Ali bin Abu Talib bin Abdul Mutalib. Beliau berasal dari keturunan Bani Hasyim dan lahir pada 10 tahun sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul. Beliau telah diahirkan di dalam kaabah di Mekah. Beliau telah dilantik menjadi khalifah ke-4 daripada pada tahun ke35 Hijrah bersamaan 655 Masihi selama 4 tahun. Beliau wafat pada 17 Ramadan tahun 41 Hijrah 661 Masihi. Beliau telah dibunuh oleh musuh Islam di Bandar Kufah. Saidina Ali mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat dengan Rasulullah SAW iaitu sepupu serta menantu Rasulullah. Isteri beliau bernama Siti Fatimah binti Rasulullah SAW. Semenjak kecil lagi beliau sangat mengenali Rasulullah dan tinggal bersama baginda serta mendapat didikan secara langsung dari Nabi Muhammad SAW. Tidak hairanlah jika Saidina Ali banyak mewarisi keperibadian dan akhlak mulia Rasulullah SAW. Hadirin sekalian, Saidina Ali merupakan seorang muslim yang sangat mencintai dan menyayangi Rasulullah. Beliau telah memeluk Islam ketika berumur 10 tahun dan merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam. Beliau mendapat panggilan ’Karramallahu Wajhah’ bermaksud ALLAH SWT memuliakan wajahnya kerana beliau tidak pernah menyembah berhala serta tidak pernah dikotori dengan sebarang keburukan jahiliah. Saidina Ali ialah salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin masuk syurga oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ي بَابُ َها ِ ار ُ أَنَا َد ٌّ الح ْك َم ِة َو َع ِل Maksudnya: “Aku adalah pusat segala hikmah dan Ali adalah pintunya.” [ Riwayat al-Tirmizi ] Saidina Ali sangat terkenal dengan ilmu dalam pelbagai bidang seperti bidang sastera, ilmu hisab dan kehakiman sehingga digelar ‘gedung ilmu’. Keahlian dalam bidang ini menyebabkan beliau pernah dilantik oleh Rasulullah SAW menjadi hakim di Yaman. Beliau sangat disenangi masyarakat Yaman kerana keadilannya dan merupakan seorang pentadbir yang kreatif serta tabah. Saidina Ali telah mengikuti hampir kesemua peperangan besar Islam sewaktu hayatnya. Pedangnya bernama ‘Zulfikar’, antara pedang terkenal di seluruh dunia kerana tidak pernah dikalahkan musuh-musuh Islam. Semasa Peperangan Khandak, Saidina Ali telah dicabar berlawan satu sama satu dengan pahlawan Quraisy yang bernama Amru bin Wahid. Dengan beraninya beliau menyahut cabaran tersebut dan berjaya menewaskannya walaupun Amru lebih berpengalaman darinya. Kekalahan Amru telah membangkitkan lagi semangat umat Islam dan sekali gus memenangi peperangan tersebut. Beliau telah berjasa kepada Rasulullah SAW dengan menjadi jurutulis Perjanjian Hudaibiah. Beliau juga pernah menggantikan tempat tidur Nabi sewaktu musuh-musuh Islam memecah masuk rumah baginda. Hal ini telah mengelirukan mereka dan telah menggagalkan rancangan membunuh Nabi Muhammad SAW. Di awal zaman kekhalifahan Islam, beliau adalah penasihat dalam bidang kehakiman kepada ketiga-tiga khalifah Ar-Rasyidin iaitu sebelum beliau menyandang jawatan khalifah keempat. Antara jasa lain beliau ialah menubuhkan pasukan polis dan diberi nama ’As-syurtah’. Beliau juga menubuhkan tentera berjalan kaki dan badan perisik yang belum ditubuhkan oleh Khalifah sebelumnya. Hadirin sekalian, Ketika mendekati ajalnya, Saidina Ali banyak menghabiskan hidup dengan melafazkan kalimat-kalimat tauhid dan bukan yang lainnya. Sebelum meninggal dunia, Saidina Ali sempat berwasiat kepada Al-Hasan dan AlHusain, iaitu anak-anaknya yang juga cucu Nabi, dengan takwa kepada Allah, tanggungjawab pada zakat, bersabar dan menahan marah, menjaga silaturrahim, bijak menghadapi orang bodoh, mendalami ilmu agama, konsisten dalam sesuatu perkara, berpegang teguh pada Al-quran, serta menjauhi kekejian. Semoga riwayat hidup Saidina Ali ini menjadi pedoman buat kita semua. Saya akhiri persembahan saya dengan serangkap pantun ; Dua tiga kucing berlari, Mana nak sama si kucing belang, Jadikan pedoman kisah Saidina Ali, Mengukuhkan iman agar tak hilang. Sekian, Wabilahi taufiq wal hidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.