KANDUNGAN BAB I. II. III. PENDAHULUAN Latar Belakang Kajian 1 Pendekatan Humanistik 3 Pernyataan Masalah 4 Objektif Kajian 5 METODOLOGI KAJIAN Kaedah Kajian 6 Batasan Kajian 6 ANALISIS DATA Watak dalam Konteks Pemikiran Berdasarkan Novel Jalur IV. Sinar di Celah Daun Menerusi Pendekatan Humanistik 7 KESIMPULAN 22 BIBLIOGRAFI 23 BAB I PENDAHULUAN Latar Belakang Kajian Penterjemahan idea seseorang pengarang menunjukkan kreativiti pengarang tersebut dalam mengolah isi cerita. Garapan penceritaan yang kemas pastinya akan melahirkan sebuah karya yang baik dan bermutu sebagai santapan mata pembaca. Namun, dalam membaluti isi cerita dengan kepelbagaian pemikiran, pengarang tidak dapat lari daripada menonjolkan kelemahan yang memperlihatkan perwatakan watak yang dibelenggu dengan sesuatu masalah. Walaupun hal ini menjadikan sesebuah cerita itu menarik, kelemahan watak yang digambarkan secara berlebihan menjadikan isi cerita tersebut tidak logik sehingga pembaca mempunyai fikiran negatif terhadap mesej sebenar yang cuba disampaikan oleh pengarang. Kritikan merupakan antara dasar ilmu yang akan memperjelaskan sesuatu yang kurang atau tidak langsung difahami oleh khalayak pembaca. Kritikan dalam karya sastera bukanlah semata-mata untuk melihat kelemahan karya tersebut namun, lebih memberi maklumat kepada pembaca berkaitan dengan mesej atau pemikiran yang cuba diketengahkan oleh pengarang. Kritikan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti kritikan sanjungan yang menghargai sesebuah naskhah atau kritikan teguran yang melihat kepada kelebihan dan kelemahan sesuatu karya. Kepelbagaian jenis kritikan ini memperlihatkan para kritikus kini sudah bijak menghuraikan idea bernas mereka dalam menambahbaikkan karya-karya sastera. 1 Terdapat pelbagai pendapat orientalis dalam bidang kritikan yang merangkumi pendapat falsafah dan pengkaji daripada barat serta timur seperti Plato, Aristoteles, al-ghazali, Cicero, Epicurus, Braginsky, dan Corneiile. Istilah kritikan berasal daripada Yunani ‘krino’ (menghakimi), ‘krites’ (hakim), ‘kritikos’ (hakim kesusasteraan) yang dikatakan digunakan sejak abad keempat sebelum masihi (Wellek, 1973: 356). Kewujudan ilmu kritik ini membantu dalam memahami karya sastera. Ilmu kritik ini merupakan satu kaedah atau cara dalam memahami dan membuat penilaian secara objektif dan subjektif terhadap karya sastera berkaitan dengan nilai estetik, falsafah, mesej, plot, latar, tema dan perkara-perkara yang menjadi tunjang kepada karya satera tersebut. Novel Jalur Sinar di Celah Daun merupakan sebuah karya hasil tulisan Zaharah Nawawi. Novel ini telah dipilih sebagai novel yang digunakan oleh para pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pemikiran pengarang dalam mengetengahkan isu masyarakat kampung yang rajin berusaha dalam mencari kejayaan menjadi tunjang kepada pemilihan novel ini. Pendekatan humanistik yang digunakan pengarang menunjukkan bahawa perincian watak tersebut sangat bersifat humanistik iaitu mencari ke arah pencapaian kendiri dalam kehidupan selain menginginkan kasih sayang, keselamatan, penghargaan diri untuk melangkapkan kehidupan individu tersebut. Masyarakat Melayu yang digambarkan dalam novel ini bergerak dari bawah hierarki sehinggalah mencapai tahap yang tertinggi menerusi usaha yang dilakukannya. 2 Kertas kerja ini akan mengkaji berkaitan watak dan perwatakan dalam konteks pemikiran pengarang yang terdapat dalam novel Jalur Sinar di Celah Daun melalui pendekatan humanistik. Kritikan yang dianalisis ini akan melihat kepada cara pengarang mengolah pemikiran menerusi watak-watak yang terdapat di dalam novel dan kaitan watak tersebut dalam mencapai hierarki kesempurnaan kendiri seperti yang terdapat dalam pendekatan humanistik. Kritikan ini akan memberi maklumat kepada pembaca tentang konsep humanistik yang cuba digarap oleh pengarang novel ini. Kajian ini juga akan melihat kelebihan dan kelemahan pendekatan humanistik yang digunakan dalam pengolahan isi cerita novel ini. Pendekatan Humanistik Pendekatan humanistik Abraham Maslow merupakan sebuah pendekatan yang melihat manusia sebagai insan yang baik dan sempurna serta mempunyai dorongan untuk berkembang ke arah kesempurnaan diri. Maslow menyatakan bahawa manusia akan bergerak dari bawah hierarki sehingga mencapai tahap tertinggi yang terdaya olehnya. Maslow telah membahagikan tahap keperluan berdasarkan hierarki iaitu manusia seharusnya memenuhi keperluan asas terlebih dahulu dan diikuti oleh keperluan keselamatan, kestabilan kerja, jagaan masyarakat, kasih sayang, dan penghargaan diri sehinggalah individu tersebut mencapai kesempurnaan kendiri. Seseorang yang tidak berusaha mencapai kesempurnaan diri akan menyebabkan individu tersebut hidup dalam kegelisahan dan keresahan. 3 Hierarki ini digunakan dalam menganalisis karya sastera dengan melihat kehendak watak dalam karya sastera menerusi konteks pemikiran yang dipaparkan untuk melihat kehendak-kehendak yang diperlukan dan usaha yang dilakukan bagi memenuhi kehendak tersebut. Humanistik membantu manusia menggunakan potensi mereka secara maksimum dan menunjukkan kepada pembaca bahawa individu mampu berjaya jika memiliki kriteria yang disarankan. Pernyataan Masalah Novel Jalur Sinar di Celah Daun karya Zaharah Nawawi telah dipilih sebagai novel persediaan untuk pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara. Karya ini merupakan antara karya yang menjadi bahan kajian sarjana dan ilmuan di benua Eropah, iaitu Perancis, Denmark, dan Australia namun, novel ini tidak begitu dikenali dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana remaja lebih terdorong meminati novel-novel popular yang jalan ceritanya lebih terarah kepada aspek romantisme. Justeru, novel ini hanya digunakan untuk memenuhi keperluan seseorang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan novel ini tidak begitu dikenali dalam kalangan individu yang tidak terlibat dalam melanjutkan pelajaraan. Kebanyakan pembaca lebih menumpukan perhatian kepada jalan cerita dalam sesebuah novel tanpa mengambil kira mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang. Sehubungan itu, idea pengarang yang ingin diketengahkan dalam novel tidak dapat diterjemahkan secara mendalam kepada pembaca. Individu masih tidak begitu 4 mendalami pendekatan humanistik yang ingin diketengahkan pengarang dalam novelnya menyebabkan keperluan untuk kesempurnaan diri tidak dapat dicapai secara total. Walaupun novel ini dipilih sebagai landasan ke luar negara, isu yang digarap dalam novel masih dibayangi dengan pemikiran masyarakat Melayu yang tidak mahu menerima pembaharuan dalam kehidupan walaupun pengarang telah menonjolkan sifat-sifat positif dalam watak. Hal ini menyebabkan pendekatan humanistik tersebut tidak dapat dicapai sepenuhnya. Justeru, kajian ini dijalankan untuk melihat kelebihan dan kekurangan pemikiran yang digunakan oleh pengarang menerusi pendekatan humanistik dalam menghasilkan novel Jalur Sinar di Celah Daun. Objektif Kajian Kajian dalam Novel Jalur Sinar di Celah Daun bertujuan untuk menghuraikan peranan watak dalam konteks pemikiran pengarang menerusi pendekatan humanistik. Objektif kajian ini adalah: 1. Mengenal pasti kelebihan dan kekurangan watak dalam konteks pemikiran yang cuba disampaikan dalam novel menerusi pendekatan humanistik. 2. Menganalisis kehendak watak dalam konteks pemikiran berdasarkan pendekatan humanistik. 5 BAB II METODOLOGI KAJIAN Kaedah Kajian Kaedah kajian yang telah digunakan terbahagi kepada dua jenis iaitu kajian kepustakaan dan penganalisisan teks. Kajian tinjauan pustaka dijalankan bagi mengumpul bahan-bahan berkaitan pendekatan humanistik dalam novel Jalur Sinar di Celah Daun. Bahan-bahan dapat dikumpulan menerusi penelitian buku-buku ilmiah. Menerusi sudut analisis kandungan teks, kajian tertumpu kepada kehendak watak dalam konteks pemikiran pengarang berdasarkan novel Jalur Sinar di Celah Daun. Data dianalisis dan dibuat pemerian menerusi pendekatan humanistik. Kajian ini bukan sahaja melihat kepada kehendak watak untuk mencapai keperluan kendiri, malahan turut melibatkan mesej-mesej yang diketengahkan oleh pengarang. Batasan Kajian Kajian dibataskan kepada novel Jalur Sinar di Celah Daun karya Zaharah Nawawi. Aspek yang dikaji adalah berkaitan dengan peranan watak dalam mencapai kehendak diri untuk memperoleh kesempurnaan dalam kehidupan. Kajian ini terarah kepada konteks pemikiran pengarang dalam mengolah isi cerita selain melihat pendekatan humanistik yang digunakan oleh pengarang untuk memperlihatkan mesej yang cuba disampaikan. 6 BAB III ANALISIS DATA Pengenalan Watak yang diketengahkan oleh pengarang dalam novel Jalur Sinar di Celah Daun telah digambarkan dengan pelbagai tingkah laku bagi menyampaikan mesej karya tersebut. Pendekatan humanistik yang digarap dalam novel ini sangat membantu pembaca untuk lebih memahami mesej yang disampaikan selain memupuk masyarakat pembaca yang sentiasa mempunyai sikap positif dalam kehidupan. Watak dalam Konteks Pemikiran Berdasarkan Novel Jalur Sinar di Celah Daun Menerusi Pendekatan Humanistik Humanistik Abraham Maslow menjelaskan bahawa manusia perlu berusaha untuk mencapai kesempurnaan kendiri. Tanpa usaha yang jitu, pastinya individu tidak mampu membaiki taraf kehidupan mereka dan mereka akan sentiasa berada di bawah tanpa kemajuan. Oleh itu, pemikiran utama pengarang novel ini terarah kepada usaha yang ditunjukkan oleh orang Melayu untuk memperbaiki taraf hidup seterusnya memperoleh kehidupan yang sempurna dan selesa. Novel ini telah menonjolkan semangat orang Melayu yang gigih berusaha dan ini sangat bersesuaikan dengan pendekatan humanistik. Walaupun tidak mempunyai kelulusan 7 pelajaran yang tinggi, masyarakat Melayu masih gigih membanting tulang untuk mencari sesuap nasi. Pengarang juga menggambarkan masyarakat Melayu yang sanggup melakukan pelbagai pekerjaan untuk memberi kesenangan kepada keluarga. Masyarakat Melayu tersebut dibayangi dengan semangat kecekalan dan tidak pernah mengeluh di atas setiap cabaran dan dugaan yang datang bertimpa-timpa. Disebabkan usaha gigih inilah, kelebihan orang Melayu dapat dikekalkan. Novel ini telah menonjolkan watak Dali dan Tijah yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki kehidupan keluarga mereka. Dali dan Tijah yang tidak mempunyai pendidikan tinggi berusaha keras untuk menjana pendapatan keluarga. Walaupun usaha mereka kadang kala gagal, mereka tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan mereka juga bijak mempelbagaikan sumber pendapatan mereka seperti menternak binatang, menangkap ikan dan bercucuk tanam. Pengarang telah membayangi masyarakat Melayu yang sangat berusaha dalam melakukan sesuatu perkara untuk mencapai keperluan hidup yang lebih terjamin. Dali mencabut ubi, keledek dan menebang pisang yang gemuk-gemuk dan besar serta panjang di celah tanaman anak getah yang sedang naik. (Jalur Sinar di Celah Daun: 4) Menurut Maslow menerusi pendekatan humanistik, manusia memerlukan udara, air, makanan, dan tempat tinggal bagi memenuhi keperluan pertama dan utama. Pada masa ini, kehendak lain tidak sama sekali menjadi tumpuan selagi keperluan asas ini dipenuhi kerana keperluan asas adalah penting dalam meneruskan 8 kehidupan. Manusia perlu bijak merangka corak perjalanan hidup mereka agar mampu memperoleh perkara utama untuk menjadikan kehidupan mereka tidak terbeban. Oleh sebab itu, individu perlu berusaha memperoleh sesuatu benda yang penting seperti makanan dan minuman untuk meneruskan kehidupan, selain tempat tinggal sebagai tempat untuk berteduh. Tanpa keperluan asas ini, individu tidak mampu untuk mencapai kehendak kehidupan yang lain. Novel ini telah menggambarkan watak Dali dan Tijah yang tidak mempunyai pilihan selain mengerjakan tanah yang diteroka untuk dijadikan tempat mencari rezeki. Mereka perlu memulakan kerja agar memperoleh mata pencarian bagi memenuhi keperluan asas dalam keluarga mereka. Tambahan pula, anak mereka yang baru kecil memerlukan pelbagai keperluan untuk memastikannya sihat dan selesa dengan persekitaran. Hal ini menjadikan Dali dan Tijah bersungguh mengerjakan tanah yang diteroka dengan menanam pelbagai hasil pertanian. Akhirnya tanaman yang diusahakan itu berjaya membuahkan hasil. Sebahagian daripada hasil tanaman digunakan untuk menampung keperluan harian keluarga manakala sebahagian lagi hasil akan dijual untuk mendapatkan wang agar geran tanah yang dikerjakan mereka itu menjadi hak milik mutlak mereka supaya mereka dapat tinggal di tanah tersebut secara sah. Contohnya: Dia memikirkan hasil tanaman mereka yang subur itu. Apa sahaja yang dicampak ke bumi dengan tanah yang gembur, semuanya boleh hidup subur, sihat, dan memberi hasil yang baik. Pandai-pandailah dijaga daripada rempuhan rumputrampai yang tidak kurang suburnya. Kini pokok-pokok cili api hidup merata tempat sudah tidak termakan lagi buahnya. 9 Dali pula mengelamun sendirian, bercadang untuk meminta Tijah memetik cili padi itu untuk dijual di pasar esok. Dia sendiri akan mencangkul semula tanah-tanah kosong yang sudah diambil hasilnya setiap hari untuk ditanam semula dengan pelbagai tanaman baru. (Jalur Sinar di Celah Daun: 47) Untuk mencapai keperluan asas yang sangat penting dalam meneruskan kehidupan, watak Dali digambarkan juga sebagai seorang yang tidak pernah putus asa untuk menambahkan wang bagi menampung keluarganya. Dali bijak memanfaatkan tasik yang terdapat berdekatan rumahnya dengan menangkap ikan untuk dijadikan makanan dan jualan. Salah satu keperluan asas keluarga Dali iaitu makanan telah dipenuhi melalui hasil tanaman dan tanggapan ikan. Novel ini telah menonjolkan pemikiran pengarang yang membayangi semangat orang Melayu mencari rezeki untuk memenuhi keperluan asas dalam keluarga mereka. Perkara ini akan memupuk semangat berusaha dalam kalangan pembaca untuk terus giat mencari sinar bagi menerangi lagi kehidupan mereka. Dengan pakaian kuyup dan comot, Dali pulang membawa jala yang basah dan baldi yang berat dengan isian. Siulannya yang berlagu merdu membayangkan dia berhasi.l (Jalur Sinar di Celah Daun: 28) Berdasarkan konsep hierarki kehendak peringkat kedua seperti yang disarankan oleh Maslow dalam pendekatan humanistik, setelah keperluan asas dicapai, manusia akan mencari keselamatan hidup, kestabilan kerja, jagaan masyarakat, undang-undang serta membebaskan diri daripada ancaman luaran mahupun dalaman. Tahap keselamatan amat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan 10 hidup. Bagi menjamin kesejahteraan hidup, manusia perlu memenuhkan keperluan kasih sayang bukan sahaja terhadap pasangan mahupun keluarga bahkan sahabat juga turut merupakan elemen yang sangat penting bagi mengukuhkan semangat setia kawan. Hal ini demikian kerana manusia tidak boleh wujud bersendirian dan sentiasa memerlukan teman pendamping dalam susah dan senang selain ketika berjauhan daripada keluarga. Semangat setia kawan begitu terserlah ditonjolkan oleh pengarang melalui hubungan persahabatan antara dua pasangan suami isteri iaitu Seman dan Incum serta Dali dan Tijah. Hal ini jelas terbukti apabila Dali bermati-matian menghulurkan pertolongan ketika Seman dilanda musibah yang menyebabkan kebunnya musnah terbakar. Tanpa memikirkan penat lelah dan keselamatan dirinya, Dali berhempaspulas memadamkan api kebakaran di kebun Seman yang kian marak akibat angin kuat. Dalam masa yang sama, Tijah sanggup meninggalkan satu-satunya anak mereka dalam jagaan orang lain demi membantu sahabat mereka yang berada dalam kesusahan. Tanpa memikirkan jerit perit, mereka saling berusaha untuk memadamkan api yang melambung tinggi sementara menunggu bantuan daripada bomba. Sikap setia kawan ternyata begitu menyerlah dalam diri mereka ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Contohnya: Dali segera berlari membantu Seman dan Incum untuk memadamkan api. Dibawanya cangkul dan seberapa cepat. Dicangkulnya tanah. Kemudian melontarkannya ke arah mata api yang menjalar memakan rumput-rumput kering dan layu. (Jalur Sinar di Celah Daun: 68) 11 Keselamatan merupakan elemen penting yang perlu hadir dalam setiap situasi dan keadaan yang dilalui oleh manusia demi mencapai kesejahteraan hidup. Aspek keselamatan ini terangkum dalam peringkat yang kedua konsep hierarki kehendak Abraham Maslow. Beliau menjelaskan bahawa keselamatan perlu hadir selepas manusia mendapat keperluan asas untuk hidup seperti udara, air, makanan, dan tempat tinggal. Dalam erti kata lain, keselamatan dapat menjamin keharmonian hidup masyarakat sekiranya aspek tersebut diserapkan dalam kehidupan seharian. Contohnya: Dia perlu menyelamatkan diri. Biarlah musnah, asalkan dirinya dua beranak selamat. Tijah menoleh ke arah bunyi yang berkeriau-keriau itu. Dipandangnya lagi kumpulan binatang yang separuh bongkok dan berekor panjang itu melompat-melompat gembira sambil mulut mengunyah setiap tanaman yang dicabut. (Jalur Sinar di Celah Daun: 128) Dalam novel Jalur Sinar di Celah Daun, aspek keselamatan begitu dititikberatkan oleh pengarang melalui watak Tijah yang amat menjaga keselamatan diri dan anaknya sepanjang ketiadaan suaminya. Meskipun Tijah merupakan seorang wanita timur yang lemah, pengarang telah menghalusi watak Tijah dengan sifatnya yang kental mengharungi setiap musibah yang sifat ini seharusnya dicontohi oleh masyarakat untuk menjamin keselamatan bukan setakat kepada diri, malahan kepada keluarga, bangsa dan negara. 12 Salah satu pendekatan humanistik yang ditekankan adalah penghargaan diri. Seseorang itu pastinya menginginkan kehidupan yang dihargai dan dihormati oleh orang lain. Hal inilah menjadi pendorong kepada pengarang untuk menonjolkan watak dan perwatakan yang mempunyai semangat yang kuat dan berusaha dalam meningkatkan martabat kehidupan. Pengarang bijak mengolah pemikiran beliau yang terarah kepada martabat wanita yang tidak perlekehkan menerusi penceritaan di dalam novel. Perkara ini menunjukkan bahawa manusia mempunyai sifat ingin dihormati, disanjungi dan diberi kebebasan dalam mencorakkan hala tuju mereka tanpa pandangan rendah daripada masyarakat. Dalam menonjolkan martabat wanita yang tidak diperendahkan oleh golongan lain, penceritaan menerusi novel Jalur Sinar di Celah Daun telah memperlihatkan jalan cerita yang mengangkat martabat wanita. Walaupun watak wanita diperlekehkan oleh masyarakat kampung pada pertengahan cerita, namun, watak tersebut berjaya menangkis omongan fitnah yang dilemparkan terhadap diri dan keluarganya. Pengarang novel ini telah berjaya memaparkan wanita yang tidak lemah menghadapi segala perkara negatif yang berlegar di dalam kehidupannya dan mampu mengangkat tahap penghargaan dirinya menerusi usaha gigih untuk mempertahankan maruah diri dan keluarganya. Novel ini telah memperlihatkan watak wanitanya iaitu Tijah yang sentiasa mempertahankan suami dan anaknya daripada menjadi perbualan orang kampung. Martabat watak Tijah ini diangkat tinggi walaupun Tijah adalah seorang wanita yang dianggap insan lemah. Pengarang telah menonjolkan watak Tijah yang kuat menempuh dugaan apabila suaminya telah dipenjarakan. Walaupun hanya tinggal 13 bersama anak yang kecil, Tijah bijak menguruskan kehidupannya tanpa meminta bantuan daripada orang kampung. Hal ini telah menunjukkan bahawa wanita masih mampu berdikari sendiri dan martabat wanita sepatutnya diangkat tinggi dan tidak diperlekehkan. Hati Tijah begitu riang, lebih-lebih lagi bila melihat hasil jerih peluhnya kini sedang membengkak di pertengahan batang, tanda ia mula berbuah. ‘Kalaulah Dali menyaksikan semuanya ini,’ bisik hati Tijah. (Jalur Sinar di Celah Daun. 167) Menerusi pendekatan humanistik yang cuba dilahirkan oleh pengarang dalam sesebuah karya, watak-watak yang dicipta sering dikaitkan dengan sifat yang rajin membantu antara satu sama lain tanpa mengharapkan balasan. Perwatakan watak yang sering tolong-menolong merupakan antara kelebihan yang ditonjolkan oleh pengarang. Pengarang dengan cermat menggambarkan sikap masyarakat Melayu yang sentiasa hidup dalam budaya bantu-membantu walaupun mereka baru mengenali seseorang individu tersebut. Sikap orang Melayu seperti ini merupakan kredit yang dilahirkan pengarang dalam menggambarkan budaya masyarakat Melayu yang kaya dengan budaya dan sifat yang baik sekaligus membentuk masyarakat yang berjiwa penyayang. Dalam novel Jalur Sinar di Celah Daun, sikap masyarakat yang mengamalkan amalan tolong-menolong begitu menonjol melalui watak-watak sampingan iaitu Seman dan Incum yang merupakan jiran terdekat kepada Dali dan Tijah. Hal ini dapat dilihat apabila mereka membantu Tijah yang keseorangan ketika Dali mencari rezeki di negara orang. Incum dan Seman sanggup mengajak Tijah 14 pulang ke kampung halaman mereka kerana khuatir akan keselamatan Tijah apabila tinggal berseorangan tanpa suami di sisi. Pengarang telah memperlihatkan watak sampingan yang digarap dengan sifat ikhlas semasa menolong seseorang. Walaupun Tijah bukan saudara mereka, Seman dan Incum berbesar hati mengajak Tijah bersama anaknya untuk ikut serta pulang ke kampung. Semangat kejiranan perlu dipupuk agar masyarakat sentiasa hidup dalam toleransi dan bersepadu. Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana amalan itu adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Menurut konsep hierarki Maslow, situasi ini telah mencapai ke peringkat yang kedua iaitu manusia memerlukan hubungan dengan insan lain bagi memenuhkan keperluan kasih sayang dalam diri masing-masing. Contohnya: “Marilah balik kampung sama, Jah. Kalau awak tak mahu balik ke kampung sendiri, marilah ikut balik ke kampung kami. Kau boleh ambil upah menoreh di kebun ayah saya yang masih tidak dikerjakan orang,” Seman mempelawa. (Jalur Sinar di Celah Daun: 105) Maslow menekankan bahawa manusia pada asasnya ialah haiwan bersosial, iaitu individu yang memerlukan kasih sayang daripada orang lain. Oleh itu, manusia ini sememangnya tidak boleh wujud bersendirian kerana keluarga, rakan-rakan dan mayarakat sekeliling merupakan penunjang dalam mencorakkan kebahagian dalam kehidupan individu tersebut. Kasih sayang yang dicurahkan akan memberikan kebahagian kepada semua orang. Melalui sifat saling sayang menyayangi, manusia akan hidup dalam keadaan aman tanpa ada pertelingkahan. Hal inilah yang 15 memperlihatkan betapa kasih sayang itu penting dalam perhubungan dan kehidupan seluruh manusia di dunia. Berdasarkan novel ini, pengarang cuba mengetengahkan dengan jelas keperluan kasih sayang yang wujud antara suami dan isteri dalam sesebuah rumahtangga. Hubungan kasih sayang antara Dali dan Tijah begitu kuat sehinggakan mereka mampu mengatasi segala rintangan yang mendatang dengan penuh ketabahan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi walaupun pada mulanya masing-masing hidup dalam serba kekurangan. Walaupun mereka baru hendak memulakan perjalanan hidup sebagai peneroka di Kampung Tasik, Dali telah menyediakan beberapa keperluan untuk Tijah agar Tijah merasa selesa untuk memulakan kehidupan di tempat yang baru.. Selain pondok untuk tumpang berteduh, dibinanya sebuah perigi yang dikelilingi dengan pagar untuk memudahkan Tijah membasuh dan mandi. Pengarang telah memperlihatkan kasih sayang suami terhadap isterinya melalui setiap perbuatan yang ditunjuk dan dilakukan oleh Dali. Melalui contoh tersebut, jelaslah bahawa Dali dan Tijah telah mencapai dua peringkat dalam konsep hierarki kehendak seperti yang disarankan oleh Maslow. Kasih sayang Dali terhadap Tijah terbukti melalui contoh yang berikut: Ketika berjalan ke tasik, Dali terfikir, ada baiknya jika dia membuat sebuah perigi berhampiran pondoknya untuk memudahkan Tijah mandi dan membasuh. Keliling perigi itu akan dikepungnya dengan anak-anak kayu untuk melindungi mata peneroka-peneroka lain memandang tubuh gebu isterinya. (Jalur Sinar di Celah Daun: 21) 16 Selain itu, keperluan kasih sayang turut dipaparkan ketika Dali mencari rezeki di Singapura, menyebabkan Dali terpaksa berpisah dengan isteri dan anaknya. Dali telah menjalankan tanggungjawab dengan mengirimkan wang untuk perbelanjaan Tijah selain menitipkan surat sebagai tanda ingatan kasih Dali kepada Tijah. Novel ini turut memperlihatkan kesetiaan Tijah yang tetap menunggu Dali saat suaminya langsung tidak memberikan khabar berita. Tijah sanggup menunggu suaminya pulang walaupun memakan masa berbulan-bulan dan terpaksa menguruskan anak mereka berseorangan. Disebabkan keperluan kasih sayang ini juga, Tijah menahan umpat keji orang kampung dan keluarga sendiri ketika dia pulang ke kampung tanpa suami tercinta. Tidak terlintas di hatinya untuk menduakan suaminya. Malah, dia tidak pernah merungut sekiranya Dali tidak menyediakan kemewahan seperti emas dan wang ringgit. Keikhlasan hati Dali memperisterikannya sudah membuatkan dirinya bahagia dan bersyukur. Perwatakan Tijah yang setia dan sering mempertahankan suaminya menunjukkan kasih sayang seorang isteri kepada suaminya. Pengarang telah membawa pembaca menyelami istilah kasih sayang yang sebenar antara keluarga dan masyarakat dan keperluan kasih sayang ini merupakan kelebihan menerusi pemikiran yang cuba disampaikan oleh pengarang dalam novel ini. Cinta sucinya terhadap Dali tidak membenarkannya menerima kata nista sedemikian. Dan dia lebih menyebelahi Dali. (Jalur Sinar di Celah Daun: 109) 17 Pemikiran pengarang yang pelbagai dalam sesuatu penulisan mencerminkan kreativiti pengarang mempelbagaikan jalan cerita. Sesebuah novel yang baik semestinya mengandungi unsur positif dan negatif untuk melahirkan sebuah cerita yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Antara masyarakat yang diperlihatkan dalam novel ini adalah masyarakat yang terlalu mudah mempercayai orang lain. Masyarakat Melayu pada zaman tersebut digambarkan sebagai masyarakat yang terlalu mempercayai orang lain tanpa menjalankan penyelidikan terhadap identiti seseorang. Hal ini menyebabkan mereka mudah terjerat dan ditipu yang akhirnya memakan diri mereka sendiri. Seseorang manusia pastinya menginginkan kehidupan yang baik dan pekerjaan tetap untuk menampung ekonomi keluarga. Perkara ini sejajar dengan pendekatan humanistik yang memperlihatkan individu yang perlu melakukan sesuatu untuk memenuhi keperluan dan kehendak diri mereka seterusnya mencapai kesempurnaan kendiri. Faktor ini menyebabkan individu tersebut mengambill jalan mudah untuk meningkatkan kehidupan tanpa memikirkan masalah yang bakal mendatang. Novel Jalur Sinar di Celah Daun memaparkan isi cerita yang melibatkan watak Dali yang mudah mempercayai orang lain sehingga dirinya terjerat dan dimasukkan ke dalam penjara walaupun Dali tidak bersalah. Pengarang cuba menonjolkan perwatakan orang Melayu yang suka mengambil jalan singkat untuk kesenangan hidup tanpa memikir kesan yang bakal mendatang. Watak Dali yang tidak berpelajaran menyebabkan beliau mudah ditipu oleh orang lain. Pengarang novel ini sebenarnya cuba membawa pembaca menyelami kesan kepada individu yang tidak berpelajaran dan pastinya mudah ditipu orang jika tidak berfikir secara mendalam ke atas sesuatu keputusan yang dibuat. 18 Kanda dalam penjara sekarang! Kanda ditahan kerana berikutan tidak mempunyai pas kerja. (Jalur Sinar di Celah Daun: 104) Selain daripada itu, pengarang turut menggarap jalan cerita dengan mengetengahkan watak masyarakat yang hanya berserah kepada takdir. Masyarakat seperti ini sangat bercanggah dengan pendekatan humanistik yang melihat manusia sebagai insan yang baik dan mempunyai dorongan untuk mencapai kesempurnaan diri. Kelemahan pemikiran pengarang yang menggambarkan masyarakat Melayu yang hanya tahu menyerah kepada takdir tanpa mahu berusaha menunjukkan masyarakat Melayu pada waktu tersebut bersikap acuh dan malas untuk membaiki kehidupan apabila ditimpa masalah. Walaupun pengarang masih memaparkan masyarakat yang berusaha, namun penyelitan mengenai sikap masyarakat yang hanya berserah kepada takdir semata-mata andai ditimpa musibah memperlihatkan orang Melayu masih terperangkap dengan sikap yang mengharapkan sesuatu perkara datang bergolek dengan hanya melakukan sedikit usaha dan seterusnya mengharap kepada takdir. Novel ini telah menggambarkan watak Seman yang hanya berserah kepada takdir ketika kebun mereka dibinasakan oleh api. Akibat kebakaran yang melanda, Seman kehilangan punca rezekinya iaitu memburu binatang buas. Pengarang novel ini menggambarkan sikap Seman yang hanya tahu berserah dengan nasib yang menimpa dirinya apabila kehilangan punca rezeki tanpa mahu berusaha untuk melakukan pekerjaan lain sebagai punca mata pencarian terhadap keluarganya. Sebagai masyarakat Melayu, individu seharusnya tidak mempunyai perasaan 19 berputus asa kerana kejayaan tidak akan datang sendiri jika kita hanya berserah tanpa berusaha. Disebabkan bencana kebakaran itu, binatang-binatang liar telah melarikan diri jauh di tengah hutan. Jerat dan perangkapnya tidak berguna lagi. Ini bererti rezekinya sudah berkurangan. (Jalur Sinar di Celah Daun: 92) Manusia sememangnya tidak boleh wujud bersendirian seperti yang disarankan oleh Maslow dalam hierarki kehendak peringkat kedua. Justeru, sifat berprasangka buruk kepada orang lain mahupun pasangan sendiri perlu dielakkan demi menjalani kehidupan seharian yang aman dan harmoni serta dapat mengelakkan perselisihan faham antara satu sama lain. Perselisihan antara pasangan akan mudah berlaku sekiranya masing-masing tidak menyiasat duduk perkara sebenar. Novel Jalur Sinar di Celah Daun telah membayangi kelemahan orang Melayu yang cepat bersangka buruk terhadap orang lain tanpa menyiasat terlebih dahulu. Contohnya, watak Dali yang menaruh syak wasangka terhadap Tijah sebaik sahaja terpandangkan topi mengkuang yang bukan miliknya menyebabkan hatinya sudah berkira untuk meninggalkan isterinya. Pemikiran pengarang terhadap tingkah laku orang Melayu yang gemar bertindak melulu menyebabkan gambaran yang diberikan terhadap sikap orang Melayu sangat bercanggah dengan budaya dan adat orang Melayu yang kaya dengan kesopanannya dan sikapnya yang lemah lembut serta sentiasa berfikiran baik. Namun, pengarang telah mengolah cerita dengan memperlihatkan rumahtangga mereka masih selamat apabila terbukti Tijah bukan seperti yang disangkakannya mempunyai hubungan sulit dengan Kudin sepanjang ketiadaan Dali di pondok buruk mereka. 20 Tiba-tiba matanya terpandang sebuah topi mengkuang yang lusuh di sudut kanan bilik tidur itu yang pasti bukan miliknya. Dada Dali berdebar. Lelaki manakah yang mempunyai topi itu? Serta-merta itu juga terbayang rupa lelaki datang ke pondoknya. Terbayang juga layanan istimewa daripada Tijah, lebih daripada seorang tetamu. (Jalur Sinar di Celah Daun: 204) Penutup Pendekatan humanistik yang ditonjolkan menerusi perwatakan watak dalam novel ini telah memperjelaskan tentang pemikiran yang cuba dibawa dan disampaikan oleh pengarang. Individu yang mengamalkan pendekatan humanistik dalam kehidupan pastinya mampu untuk mencapai keperluan kendiri yang sempurna. Individu seharusnya sentiasa berusaha merebut setiap peluang yang ada agar kehidupan sentiasa bahagia dan aman. Tanpa pendekatan humanistik, manusia akan hidup dalam keadaan kucar-kacir kerana mereka tidak cuba untuk berusaha menggapai setiap perkara yang seharusnya disemat dalam diri seperti kasih sayang, keselamatan, penghargaan diri dan kepeluan serta kehendak yang bakal menjamin keharmonian hidup mereka. 21 BAB IV KESIMPULAN Kepelbagaian pemikiran pengarang dalam mengolah isi cerita telah melahirkan perwatakan watak yang berbeza sejajar dengan mesej yang ingin disampaikan. Pemikiran yang bernas mampu menjadikan sesebuah cerita tersebut kuat dan berkualiti menerusi gabungan unsur realiti dan pengalaman masyarakat itu sendiri. Setiap mesej yang ingin disampaikan adalah sangat berkait dengan diri masyarakat untuk mewujudkan sikap rajin berusaha bagi mencapai kejayaan dan kesempurnaan dalam kehidupan. Pemikiran yang menonjolkan usaha adalah salah satu jalan utama membentuk kejayaan menjadi medium penting dalam memupuk semangat masyarakat negara ini agar tidak pernah melupakan adat, budaya dan usaha walau mereka berada di seluruh pelosok dunia. Humanisitik Abraham Maslow merupakan antara pendekatan yang mampu membentuk individu yang baik dan sentiasa mempunyai dorongan untuk berjaya. Novel ini merupakan antara usaha pengarang dalam menyedarkan masyarakat agar sentiasa berjiwa positif dan tidak pernah berputus asa dalam kehidupan. Masyarakat merupakan cerminan negara dan seharusnya mereka sedar akan tanggungjawab mereka sebagai anak Malaysia agar negara sentiasa dipandang tinggi di mata dunia selain mewujudkan kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Pendekatan humanistik ini seharusnya diterapkan sejak kecil lagi supaya individu tidak terus terleka dengan kemodenan sehingga melupakan konsep kesempurnaan kendiri yang sebenarnya. 22 BIBLIOGRAFI Arba’ie Sujud, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi, Asiah Abdul Rahman. (2011). Sastera Melayu Suatu Pengantar Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Tinta Press Sdn. Bhd. Lufti Abas. (1995). Kritikan Karya Sastera sebagai Karya Seni. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. S. Othman Kelantan. (1986). Novel Tanggapan dan Kritikan. Bangi: Penerbit UKM. Zaharah Nawawi. (2007). Jalur Sinar di Celah Daun. Selangor: Alaf Dua Puluh Satu Sdn. Bhd. 23