SINOPSIS Novel Bima Sakti Menari bermula dengan kisah Nurul Hafsa yang memulakan hari pertama dia bertugas sebagai pegawai sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor. Pada permulaan tugasnya, dia telah menerima kunjungan sekumpulan pengunjung yang dianggotai oleh 15 orang murid dan tiga orang pengiring dari Sekolah Rendah Kichichimahigashi, Hiroshima, Jepun yang ingin melihat bintang-bintang di Kuala Selangor. Malangnya hasrat murid-murid tersebut untuk melihat bintang-bintang yang dicartakan dalam peta langit tidak tercapai akibat langit terlalu cerah pada malam tersebut. Mereka juga tidak dapat melihat kelip-kelip. Gelagat Nurul Hafsa melayan murid-murid sekolah itu telah diperhatikan oleh Muhammad Taufik, iaitu anak salah seorang individu terkaya di Asia Tenggara yang juga mempunyai sifat cinta akan alam sekitar yang tinggi. Nurul Hafsa cube melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan untuk memastikan dakwaan salah seorang peserta rombongan itu , iaitu Utada tentang kelip-kelip di Kampung Kuantan. Hasrat tersebut juga tidak tercapai. Dia hanya dapat melihat seberapa ekor kelip-kelip yang mengeluarkan cahaya yang tidak begitu terangdan kerlipan yang dihasilkan tidak kekal sepanjang masa kelip-kelip itu terbang. Kegagalan ini telah membuatkan Nurul Hafsa berusaha untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap. Rasionalnya projek tersebut adalah untuk mengembalikan populasi kelip-kelip ke Kuala Selangor falak yang terkenal di peringkat antarabangsa. Pemggunaan lampu-lampu yang amat terang cahayanya akan digantikan dengan lampu-lampu yang menggunakan gelombang yang rendah. Dengan ini, pantulan cahaya ke langit akan berkurang. Hasrat Nurul Hafsa telah mendapat sokongan daripada Muhammad Taufik yang turut ingin menjayakan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor tersebut, Dengan menggunakan pengaruh ayah Muhammad Taufik, iaitu Tan Sri Muhaimin, Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik telah Berjaya membuat pembentangan projek mereka kepada Pegawai Daerah, iaitu Dato’ Hj. Mustofa al-Hamidi. Walau bagaimanapun, projek Kawasan Simpan Langit Gelap tersebut mendapat tentangan daripada musuh perniagaan ayah Muhammad Taufik, iaitu Dato’ Johann Arlington-Majid. Permusuhan antara Dato’ Johann dengan Tan Sri Muhaimin bukan sahaja dalam pernigaan tetapi juga berbentuk permusuhan peribadi yang berpunca daripada bekas isteri Tan Sri Muhaimin, iaitu Marion Wickham ataunama Islamnya, Maryam yang berbangsa Kaukasia memilih Tan Sri Muhaimin sebagai pasangan hidupnya. Menteri besar yang bersetuju dengan projek yang dibentang oleh Nurul Hafsa telah memanggil satu majlis terbuka di Bangunan SUK, Shah Alam untuk mendengar pembentan Projek Kawasan Simpanan Langit Gelap daripada Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik. Pada hari tersebut, Dato’ Johann Arlington-Majid turut hadir. Beliau telah mengemukakan pelbagai soalan dengan tujuan untuk mempengaruhi Menteri Besar agar membatalkan projek tersebut. Walau bagaimanapun, semua soalan yang dikemukakan oleh Dato’ Johann Arlington-Majid dapat dijawab dengan tuntasnya oleh Nurul Hafsa. Lantaran Projek Kawasan Simpanan Langit Gelap ingin diwartakan, satu tender pembekalan lampu akan dikeluarkan. Dato’ Johann bertambah marah kerana lampu-lampu itu tidak dapat dibekalkan oleh syarikat beliau. Lantaran itu, Dato’ Johann merancang untuk membuat gangguan terhadap Muhammad Taufik dan Nurul Hafsa agar mendapat mempengaruhi Menteri Besar untuk membatalkan projek tersebut. Pada mulanya, Muhammad Taufik telah diserang dan dipukul ketika dia balik dari masjid. Mujurlah Budiman dan Nurul Hafsa datang dan menyelamatkannya. Selepas menjalani rawatan di hospital, Muhammad Taufik telah diminta supaya mengikut ibunya balik ke Otago, New Zealand. Sewaktu Muhammad Taufik bersiapsiap untuk keluar dari hospital, dan terus ke lapangan terbang untuk ke Otago, Muhammad Taufik telah menerima jambangan bunga. Secebis kertas terjatuh dari jambangan bunga tersebut. Tertulis kata-kata yang mahu dia menunggu seorang diri di PETRONAS pada hari Jumaat, pukul 8.30 pagi. Paling membimbangkan Muhammad Taufik adalah apabila dia melihat kerongsang mutiara milik Nurul Hafsa yang tersemat pada selendang yang menjadi pembungku jambangan bunga itu. Lantaran itu, sewaktu dalam perjalanan ke lapangan terbang, Muhammad Taufik telah meminta pemandu ayahnya agar berhenti di PETRONAS di hadapan hospital atas alas an hendak ke tandas. Muhammad Taufik mengambil kesempatan itu untuk pergi ke van putih dan dilarikan ke suatu tempat. Muhammad Taufik dapat merasakan bahawa Nurul Hafsa telah diculik terlebih, iaitu sewaktu dia balik dari mencerap kelipkelip bersama-sama abangnya, Budiman. Nurul Hafsa, telah dipergunakan oleh penjahat-penjahat itu untuk mendapatkan Muhammad Taufik. Kumpulan penjenayah itu telah melepaskan Nurul Hafsa dengan menolaknya keluar dari kenderaan yang membawanya di kawasan estet. Nurul Hafsa ynag dibantu oleh seorang pemandu van sekolah pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Berita penculikan Muhammad Taufik telah menjadi berita hangat. Pihak polis juga telah mengatur siasatan dan mengadakan sekatan jalan raya dalam usahan menjejaki kumpulan penjenayah tersebut. Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak polis telah dapat mengesan sebuah rumah di ladang kelapa sawit yang terletak jauh di pedalaman Bestari Jaya. Sepasukan Pasukan Gerak Khas telah dikerahkan ke sana. Akhirnya, penjenayah-penjenayah itu telah dapat diberkas dan Muhammad Taufik dapat diselamatkan. Selepas peristiwa hitam tersebut, hubungan antara Muhammad Taufik dengan Nurul Hafsa semakin rapat. Mereka sering berhubung melalui telefon dan bercerita tentang peristiwa yang menimpa mereka. Selepas peristiwa itu juga, ibu dan ayah Muhammad Taufik telah bernikah semula. Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di masjid. Sewaktu mengemas dulangdulang yang digunakan dalam majlis itu, Muhammad Taufik telah menzahirkan hasratnya untuk meminang Nurul Hafsa. Nurul Hafsa yang berasa mal uterus beredar tetapi Muhammad Taufik telah menghantar mesej yang menyatakan bahawa mereka berdua ialah dua ekor kelip-kelip terakhir di dunia. TEMA 1. Tema “Novel Bimasakti” ialah cinta akan alam sekitar. 2. Sikap cinta akan alam sekitar ini telah ditunjukkan oleh dua orang aktivis alam sekitar, iaitu Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik. 3. Muhammad Taufik sedang berusaha untuk menyelamatkan kawasan kelip-kelip dan membina rumah yang mengambil pendekatan mesra alam. 4. Nurul Hafsa pula berusaha untuk menjadikan kawasan Kuala Selangor sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap untuk memastikan bintang-bintang boleh dicerap di Kuala Selangor dan keli-kelip dapat dilihat di Kampung Kuantan. 5. Hasrat kedua-dua orang akitivis ini mendapat tentangan tetapi mereka tidak mengalah dengan cabaran yang dihadapi itu. PERSOALAN 1. Sikap tidak bertolak ansur antara suami dengan isteri akan menyebabkan berlakunya penceraian. Tan Sri Muhaimin terpaksa menerima kenyataan bahawa Maryam ialah seorang pengembara dunia yang ingin akan kebebasan dan tidak boleh diikat. 2. Penceraian antara suami dengan isteri akan menyebabkan anak-anak menjadi mangsa kerana kehilangan kasih sayang. Selepas bercerai, Tan Sri Muhaimin memainkan peranan untuk mendidik dan membesarkan Muhammad Taufik manakala Puan Maryam meneruskan impiannya untuk menyelamatkan dunia. 3. Sikap tamak dan dendam mengakibatkan seseorang itu terjebak dalam perbuatan jenayah. Sikap tamak dan dendam Dato’ Johann Arlington-Majid terhadap Tan Sri Muhaimin menyebabkan beliau sanggup megupah penjenayah untuk menculik dan mencederakan Muhammad Taufik. 4. Sekiranya sudah jodoh, seseorang itu tetap bersatu sebagai suami isteri. Tan Sri Muhaimin telah bernikah semula dengan bekas isterinya, iaitu Puan Maryam Wickham. WATAK dan PERWATAKAN NURUL HAFSA Nurul Hafsa seorang yang cinta akan alam sekitar. Contohnya, dia berpendapat bahawa pembangunan yang tidak dirancang dengan teliti di Kuala Selangor akan membawa kesan buruk terhadap alam sekitar. Seorang yang berani. Contohnya, dia telah menghantar laporan tentang pencemaran cahaya di Kuala Selangor. Seorang yang bijak dan berilmu. Contohnya, dia dapat mematahkan hujah Dato’ Johann Arlington-Majid sewaktu pembentangan projek Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor. Seorang yang tabah. Contohnya, dia begitu tabah dalam menghadapi pelbagai dugaan untuk melaksanakan cita-citanya iaitu menjadikan Kuala Selangor sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap. Seorang yang baik hati. Contohnya, dia begitu prihatin akan nasib Muhammad Taufik yang cedera kerana diserang penjenayah. Nurul Hafsa seorang yang berbudi bahasa. Contohnya, dia menyuruh Muhammad Taufik bertanya kepada ayahnya tentang hasrat Muhammad Taufik untuk hendak meminangnya. MUHAMMAD TAUFIK Seorang yang penyabar. Contohnya, dia bersikap tenang dan sabar ketika berhadapan dengan Nurul Hafsa yang berasa marah kepada tindakannya memagar sungai di Kampung Kuantan. Seorang yang prihatin. Contohnya, dia sanggup menemui penjenayah dengan tujuan untuk menyelamatkan Nurul Hafsa yang telah diculik oleh mereka. Seorang yang penyanyang. Contohnya, dia menyanyangi kedua-dua orang tuanya walaupun mereka telah berpisah dengan berusaha untuk memenuhi permintaan mereka. Muhammad Taufik seorang yang berterus terang. Contohnya, dia berterus terang dengan bertanya Nurul Hafsa sama ada dia sudi menerima pinangannya. Muhammad Taufik seorang yang berbudi bahasa dan menghargai tetamu. Contohnya, dia melayan kunjungan Nurul Hafsa dan Budiman dengan menyediakan minuman. Muhammad Taudik seorang yang bertanggungjawab. Contohnya, dia sanggup memenuhi arahan kumpulan samseng yang menculik Nurul Hafsa untuk menyelamatkannya daripada kumpulan penculik itu. BUDIMAN Budiman seorang abang yang bertanggungjawab. Contohnya, dia sanggup meluangkan masa untuk menemani Nurul Hafsa di jeti bagi tujuan mencerap kelipkelip. Budiman seorang yang baik hati. Contohnya, dia membawa ayah dan adiknya ke hospital pada pukul 5.00 pagi untuk menziarahi Muhammad Taufik. Budiman seorang yang taat akan ajaran agama. Contohnya, dia menunaikan solat isyak di masjid bersama-sama dengan Muhammad Taufik. Budiman seorang yang prihatin. Contohnya, dia bersusah payah mengesan Muhammad Taufik yang telah diserang sewaktu balik dari masjid. TAN SRI MUHAIMIN Seorang yang berpengaruh besar. Contohnya, beliau menggunakan pengaruhnya untuk membolehkan Muhammad Taufik dan Nurul Hafsa membentangkan kertas kerja berhubung dengan projek Kawasan Simpan Langit Gelap, iaitu menjadikan kawasan Kuala Selangor sebagai kawasan gelap untuk pencerapan bintang dan populasi kelip-kelip. Seorang yang penyayang. Contohnya, beliau sentiasa memenuhi kehendak anak tunggalnya, iaitu Muhammad Taufik. Seorang yang berpendirian teguh. Contohnya, beliau sanggup bercerai dengan isterinya kerana tidak sehaluan. Seorang yang baik hati dan tidak bersifat dendam. Contohnya, beliau tidak berdendam dengan bekas isterinya serta tidak memarahi anaknya berikutan kunjungan bekas isterinya itu ke rumah anaknya. Seorang yang taat akan perintah agama. Contohnya, beliau menunaikan solat subuh bersama-sama dengan Haji Yassir di surau hospital. Tan Sri Muhaimin seorang ayah yang bertanggungjawab. Contohnya, beliau turun dari kereta untuk menemani Muhammad Taufik yang hendak pergi ke tandas di stesen minyak untuk menjaga keselamatan anaknya. LATAR LATAR TEMPAT 1. Balai Cerap Sultan Salahuddin. Tempat Nurul Hafsa bekerja selepas pulang dari luar negara. 2. Kampung Kuantan. Tempat Muhammad Taufik memberitahu Nurul Hafsa bahawa populasi kelip-kelip telah berkurang. 3. Stesen Minyak Petronas di hadapan hospital. Tempat Muhammad Taufik diculik. 4. Kawasan Perladangan di Betari Jaya. Tempat pasukan Gerak Khas digerakkan untuk menyelamatkan Muhammad Taufik yang diculik. LATAR MASA 1. Hari pertama bekerja di Balai Cerap Sultan Salahuddin. Contohnya, peristiwa Nurul Hafsa berasa tidak keruan ketika mengiringi kumpulan pengujung yang dianggotai 15 orang murid dan tiga orang pengiring yang ingin mencerap bintang-bintang di langit. 2. Waktu malam. Contohnya, peristiwa Nurul Hafsa dihantar oleh ayahnya, Haji Yassir pergi ke Kampung Kuantan untuk melihat kelip-kelip. 3. Sebelum solah zuhur. Contohnya, peristiwa Haji Yassir makan tengahari bersama-sama dengan Nurul Hafsa dan Budiman. 4. 50 tahun lalu. Contohnya, peristiwa penduduk Kuala Selangor telah menikmati bekalan air paip. LATAR MASYARAKAT 1. Masyarakat yang mementingkan kerjaya sehingga sanggup mengambil tindakan yang radikal. Contohnya, Tan Sri Muhaimin yang mementingkan perniagaan dan Puan Maryam Wickham yang mementingkan aktiviti mencintai alam sekitar sehingga sanggup bercerai apabila masing-masing tidak dapat bertolak ansur. 2. Masyarakat yang cinta akan alam sekitar. Contohnya, Maryam Wickham, Muhammad Taufik dan Nurul Hafsa telah melaksanakan kerja-kerja untuk menyelamatkan alam sekitar. 3. Masyarakat yang tamak. Contohnya, Dato’ Johann Arlington-Majid yang tamak sanggup melakukan perbuatan jenayah dengan mengupah penjenayah untuk menculik anak Tan Sri Muhaimin agar Tan Sri Muhaimin menarik balik sebut harga pembekalan harga lampu. 4. Masyarakat yang terpelajar. Contohnya, Nurul Hafsa belajar sehingga ke Jordan dalam bidang Fizik dan ilmu Falak dan bekerja di Balai Cerap Sultan Salahuddin. NILAI 1. Nilai cinta akan alam sekitar. Contohnya, Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik berusaha untuk membawa kembali kegelapan di Kuala Selangor untuk memastikan habitat kelip-kelip terjaga dan Kuala Selangor kekal sebagai lokasi pencerapan bintang. 2. Nilai setia kawan. Contohnya, Muhammad Taufik sanggup berjumpa dengan penjahat di Stesen Minyak Petronas di hadapan hospital semata-mata untuk menyelamatkan sahabatnya, iaitu Nurul Hafsa yang telah diculik. 3. Nilai tanggungjawab. Contohnya, Tan Sri Muhaimin telah membesarkan anak tunggalnya dengan memenuhi segala keperluan anaknya itu walaupun dia seorang bapa tunggal. 4. Nilai ketabahan. Contohnya, Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik tabah menghadapi ancaman dan cabaran dalam usaha mereka untuk mengembalikan kegelapan di Kuala Selangor untuk pencerapan bintang dan menjaga habitat kelip-kelip. 5. Nilai kasih sayang. Contohnya, Maryam Wickham sayang akan anaknya itu, iaitu Muhammad Taufik dengan mengunjungi rumah anaknya dan memasakkan makanan untuk anaknya itu. PENGAJARAN 1. Kita hendaklah mencintai alam sekitar supaya kehidupan kita dan mahluk lain tidak terancam. Contohnya, Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik berusaha untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai kawasan gelap bagi memastikan khazanah alam seperti kelip-kelip dan pencerapan bintang terus dinikmati. 2. Kita mestilah mempunyai sikap setia kawan supaya tidak berlakunya pengkhianatan dalam menjalin hubungan persahabatan. Contohnya, Muhammad Taufik sanggup bertemu dengan penjenayah semata-mata kerana tidak mahu keselamatan Nurul Hafsa yang telah diculik terancam. 3. Ibu bapa mestilah bertanggungjawab terhadap anak-anak supaya kehidupan anak-anak terbela. Contohnya, Haji Yassir sanggup menghantar anaknya, Nurul Hafsa ke Kampung Kuantan untuk mencerap kelip-kelip supaya anaknya tidak mengalami masalah untuk pergi ke tempat tersebut. 4. Kita mestilah tabah dalam melaksanakan sesuatu kerja supaya matlamat kerja tersebut tercapai. Contohnya, Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik tabah dalam menjalankan projek yang sedang diusahakan oleh mereka, iaitu Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor walaupun usaha mereka berhdapan dengan cabaran daripada Dato’ Johann Arlington-Majid.