Hari ini saya membawa pelajar – pelajar saya yang mengambil subjek Ergonomik dan Antropometri melawat IKEA Tebrau. Mereka ini adalah pelajar Sarjana Muda Rekabentuk dan Pembuatan Perabot, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan. Kiranya, ini adalah lawatan akademik buat mereka, walaupun ke IKEA, gudang perabot tersohor di dunia. Malah, di Malaysia sahaja ada 4 cawangan. Mengapa IKEA? Ramai yang bertanya soalan ini. Malah pelajar ini perlu mempertahankan cadangan lawatan ini kepada pihak yang meluluskan permohonan agar harapan ke sini tercapai. Dan Alhamdulillah permohonan mereka berjaya. Tahniah kepada wakil kelas ini yang berjaya meyakinkan pelulus bahawa lawatan ini penting. Masih belum terjawab lagi, mengapa IKEA? Semasa saya mengutarakan cadangan ini di dalam kelas pada awal semester, separuh daripada pelajar saya ini tidak pernah menjejakkan kaki ke gedung ini. Mereka juga tiada idea mengapa saya beria – ia mahu mereka melawat gedung ini. Bagi pelanggan setianya, sudah pasti mereka tertarik dengan pelbagai barangan yang ditawarkan, tetapi bukan itu tujuan saya membawa pelajar – pelajar ini ke sana. Memandangkan kelas ini adalah kelas Ergonomik, suatu cabang ilmu yang membicarakan tentang keupayaan dan sifat manusia yang bersandarkan kepada rekabentuk alatan, sistem mahupun tugasan mereka; maka lawatan ini adalah sangat relevan dengan ilmu yang mereka pelajari di dalam kelas. Di samping itu, mereka mengambil jurusan rekabentuk dan pembuatan perabot. Di sini, pelbagai rekaan perabot serta ruang dipamerkan, malah mereka boleh meneliti setiap rekaan dengan lebih dekat. Mereka juga bukan pergi berlenggang makan angin. Ditangan masing – masing, telah terdapat satu tugasan individu yang perlu diselesaikan. Malah, ada yang menelaah nota kuliah semasa melaksanakan tugasan di gedung ini. Saya juga menyampaikan ‘kuliah’ kepada kumpulan – kumpulan kecil semasa mereka berpusing – pusing di ruang pameran meneliti perabot dan ruang yang ada. Ada beberapa pengunjung turut mencuri dengar apa yang saya ‘kuliahkan’ kepada para pelajar ini. Saya yang semput apabila berpusing 3 kali diseluruh ruang pameran, mendekati kumpulan – kumpulan kecil pelajar saya ini. Mereka membuat ukuran, mengambil gambar, mencuba perabot sambil membandingkannya dengan teori. Saya sangat gembira mereka bersungguh – sungguh dalam tugasan ini dan sempat juga makan meatball IKEA yang terkenal itu. Ada beberapa perkara yang membuatkan saya memilih IKEA sebagai suatu tempat untuk lawatan akademik pelajar – pelajar saya. 1. Bagi saya, IKEA adalah suatu gudang yang sangat mementingkan pelanggannya. Sebaik sahaja memasuki kawasan tempat letak kenderaan, ia telah khaskan tempat untuk OKU, keluarga dengan anak kecil dan kini pemandu wanita; berhampiran dengan pintu masuk utamanya. Tempat memunggah barangan juga agak luas, sesuai dengan bilangan pengunjungnya yang ramai. 2. Rekabentuk ruangnya juga sangat mementingkan pelanggan – pelanggannya; daripada lifnya yang luas, tandas yang selesa, banyak kerusi santai untuk menunggu dan pelbagai lagi. 3. Peralatan dan perabot yang dipamerkan serta ruang yang dicadangkan juga mementingkan prinsip kebolehgunaan (usability), minimalist serta sesuai untuk ruang yang sangat terhad. Di sini para pelajar saya dapat belajar dimensi – dimensi perabot yang sesuai, selesa serta ergonomic sifatnya. 4. Bukan semua rekaannya menepati prinsip ergonomic; maka adalah menjadi tanggungjawab pelajar – pelajar saya mengenalpastinya dan membuat perbincangan berkenaan penambahbaikan yang boleh dicadangkan. Saya amat berharap lawatan ringkas (6 jam meluangkan masa di sini) dapat memberi pendedahan dan pengalaman buat pelajar – pelajar ini serta membantu mereka menyiapkan tugasan yang diberi.