Pendidikan merupakan suatu proses pengetahuan, keterampilan, dan kebiasaan sekumpulan manusia yang dipelajari melalui pengajaran dan latihan. Pendidikan juga diberi maksud sebagai proses mengembangkan kemampuan diri sendiri dan kekuatan individu (Langeveld, 2012). Pada masa yang sama pendidikan juga diberi definisi yang berbeza mengikut sesebuah negara. Contohnya di Indonesia, pendidikan diberi takrifan sebagai proses pembelajaran untuk mewujudkan individu yang mendalami agama, pengendalian diri, keperibadian, kecerdasan dan akhlak mulia. Begitu juga dengan Malaysia, dimana pendidikan diberi maksud mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sebagai suatu usaha yang tidak putus untuk meningkatkan lagi kebolehan individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berlandaskan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2020). Jadi, boleh dikatakan semua kurikulum di Malaysia adalah berlandaskan FPK. Kurikulum di Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan mengikut peredaran zaman iaitu bermula dengan Kurikulum lama sekolah rendah (Klsr), Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR semakan) dan akhir sekali Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang sedang digunakan dalam semua subjek. Walaupun asas KSSR adalah sama untuk semua subjek iaitu melahirkan insan yang seimbang tetapi berbeza sikit dari segi reka bentuk dan organisasi kurikulum. Sebagai contoh, matlamat umum KSSR ialah melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif berdasarkan 6 tunjang KSSR iaitu komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai. Manakala, matlamat Standard Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah adalah lebih kepada membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015). Di sini dapat dilihat dengan jelas bahawa matlamat Standard Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah memfokuskan kepada kemahiran berbahasa. Walaubagaimanapun, kedua-dua matlamat adalah selari dengan FPK yang menumpuhkan kepada melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Jika dilihat dari segi objektif pula, terdapat 9 objektif Standard Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah dimana diberi penekanan dalam aspek-aspek yang boleh meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu oleh seseorang. Pada masa yang sama, terdapat juga beberapa perkara yang diselitkan dalam objektif ini untuk mewujudkan insan yang yang seimbang dan harmonis yang dapat memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara seperti yang dinyatakan dalam FPK. Sebagai contoh, dalam objektif kedua, kemahiran berbahasa seperti bercerita, berbincang, dan mengemukakan pendapat secara bertatasusila telah ditekankan. Hal ini jelaslah menunjukkan bahawa walaupun kemahiran bahasa diberi keutamaan, tetapi tatasusila yang merupakan komponen penting dalam melahirkan rakyat Malaysia yang berakhlak mulia juga telah disertakan dalam objektif kedua ini (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015). Selain itu, objektif kesembilan pula memberi kepentingan kepada nilai murni, bersikap positif, semangat patriotik dan kewarganegaraan melalui aktiviti berbahasa yang juga selari dengan FPK (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015). Kurikulum Standard Sekolah Rendah juga dibina berasaskan enam tunjang iaitu komunikasi yang merupakan pengabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan ketika berinteraksi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi, kerohanian sikap dan nilai dari segi penghayatan amalan agama kepercayaan, sikap dan nilai. Keenam-enam tunjang ini merupakan aspek penting yang memainkan peranan dalam melahirkan insan yang seimbang dan mempunyai pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Tunjang tersebut juga memainkan peranan yang penting dalam melahirkan murid yang menguasai kemahiran berfikir, kemahiran hidup dan kemahiran kerjaya. Contohnya, tunjang-tunjang tersebut dapat dilihat dan berkait rapat dengan ciri-ciri profil murid yang dibuat berasaskan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Antara ciri-ciri profil murid ialah berdaya tahan, mahir komunikasi, berprinsip, penyayang dan bersifat ingin tahu (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015). Perkaitannya dengan FPK dapat dilihat dengan jelas kerana FPK juga menekankan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Selain daripada reka bentuk kurikulum, organisasi kandungan juga amat penting kerana ia mengandungi semua perkara yang harus diajar bagi setiap subjek. Kemahiran Bahasa Organisasi kandungan Standard Kurikulum Sistem Bahasa Rajah 1.0 : organisasi kandungan Rajah di atas menunjukkan perkara yang terkandung dalam organisasi kandungan. Standard kurikulum yang terkandung dalam organisasi tersebut dapat dibahagikan kepada dua iaitu standard kandungan dan standard pembelajaran. Standard kandungan adalah tentang bidang ilmu yang patut diketahui dan dapat dilakukan oleh murid dalam satu tempoh persekolahan yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Manakala, standard pembelajaran merupakan penyataan tentang kriteria untuk memastikan kualiti pembelajaran dan pencapaian murid bagi setiap standard kandungan. Di samping itu, kemahiran bahasa pula mengandungi lima modul yang menjadi teras kepada Standard Kurikulum Bahasa Melayu. Modul pertama ialah modul kemahiran mendengar dan bertutur dimana modul ini adalah untuk membolehkan kemahiran komunikasi murid untuk menjalini hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, dan idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan dan intonasi yang betul dan bertatasusila (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015). Perkara in membolehkan murid dapat mencapai kesejahteraan diri seperti yang dinyatakan dalam FPK. Modul kedua pula merupakan modul kemahiran membaca iaitu membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Seterusnya ialah kemahiran menulis yang memberi penekanan kepada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca, dan ejaan yang betul serta tulisan yang kemas. Modul keempat pula modul seni bahasa yang merujuk aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan dalam bahasa Melayu yang perlu dikuasai oleh murid. Murid dapat menghasilkan dan mempersembahkan karya kreatif pelbagai genre secara lisan mahupun bertulis seperti puisi dan pantun. Modul terakhir merupakan modul tatabahasa yang mengandungi aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015). Modul-modul ini adalah untuk membina murid yang mahir berbahasa Melayu dan pandai berkomunikasi dengan orang lain serta menjadi insan yang seimbang . Perkara ketiga yang terkandung dalam organisasi kurikulum ialah sistem bahasa yang terdiri daripada tatabahasa, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata, dan peribahasa. Sistem bahasa ini amat penting bagi murid untuk dipelajari kerana ia dapat membantu mereka untuk menjadi rakyat Malaysia yang sejati dan memberikan sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara sama seperti yang dinyatakan dalam FPK. Berdasarkan Kurikulum Standard Bahasa Melayu Sekolah Rendah, dapat dilihat perkaitanya dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Setiap perkara dalam FPK dijadikan asas dalam KSSR yang menjadi asas kepada pendidikan di Malaysia. Walaupun Malaysia tidak setanding dengan negara maju yang lain dalam pendidikan tetapi Malaysia masih dalam proses mengubah dan mencuba pelbagai kaedah baru yang dapat meningkatkan kemahiran pelajar dan pada masa yang sama dapat melahirkan insan yang seimbang. Malaysia juga ingin menghapuskan pemikiran rakyatnya yang hanya mementingkan kepentingan material sahaja. Perkara ini dapat diubah sedikit demi sedikit dengan mengikuti FPK ketika melakukan semakan terhadap KSSR ataupun ketika memperbaharui kurikulum yang sedia ada. Rujukan Kementerian Pendidikan Malaysia. (2015). Standard Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah Tahun 1. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2020). Falsafah Pendidikan Kebangsaan . 1. Langeveld, M. J. (2012). Modern education of everyday upbringing. Research gate, 10-25.