Uploaded by Sebastian Lee

moral work

advertisement
1. Jelaskan pengertian etika dan moral dari segi bahasa dan istilah.
[4 markah]
2. Huraikan langkah-langkah yang baik untuk mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat
Malaysia yang berbilang kaum, budaya, dan perbezaan agamanya.
[5 markah]
3. Jelaskan bagaimana bentuk nilai etika masyarakat majmuk di Malaysia yang terdiri
daripada masyarakat Melayu, Cina, India, dan masyarakat bumiputera Sabah dan
Sarawak.
[10 markah]
4. Dapatkah kita melihat pada hari ini penerapan nilai etika bersama dalam pembinaan
negara bangsa melalui contoh-contoh amalan kebudayaan masyarakat di Malaysia seperti
perihal pakaian, makanan dan minuman, bahasa, kebudayaan, perayaan, politik, ekonomi,
sosial, kekeluargaan, pendidikan, dan sebagainya? Semua perkara dilihat berdasarkan
nilai etika dan kemoralan.
[10 markah]
5. Jelaskan bagaimana konflik moral berlaku dalam kalangan masyarakat majmuk ketika
pasca-zaman penjajahan? Apakah langkah-langkah yang diambil oleh masyarakat untuk
membina semula kekuatan bersama bagi membawa masyarakat dan negara ke arah
kesejahteraan hidup?
[6 markah]
1.
“Ethos”, yakni perkataan dalam Bahasa Yunani yang membawa maksud watak,
kesusilaan, atau adat merupakan salah satu pengertian etika dari segi bahasa. Selain itu,
dalam Bahasa Indonesia pula ada menyatakan bahawa etika bermaksud ilmu
pengetahuan bersangkutan asas-asas moral. Dalam Bahasa Latin bagi etika iaitu “Mos”
ataupun dalam bentuk jamaknya “Mores”, bererti adat kebiasaan atau cara hidup
seseorang dengan melakukan perbuatan yang baik dan menghindari anasir-anasir buruk.
Menurut kajian Berten (1993), seorang pengkaji etika dan moral di Eropah, etika dari segi
bahasa ialah nilai, norma, dan ajaran yang dijadikan pegangan oleh seseorang baik
individu mahupun masyarakat. Lebih-lebih lagi, beliau menyatakan bahawa etika ialah
bahagian asas atau nilai-nilai kod etika dalam kegiatan kemoralan seseorang individu.
Tambahnya lagi, etika adalah satu ilmu pengetahuan berkaitan tingkahlaku seseorang
sama ada baik ataupun buruk dalam kehidupan manusia. Di samping itu, menurut kajian
Algermond D’ Black (1993), etika merupakan manhaj manusia berhubung dan
bertingkahlaku selaras dengan aturan yang sebati di dalam kehidupan bermasyarakat.
Pergertian etika dari segi istilah adalah ilmu pengetahuan yang menonjolkan baik
dan buruk, menurut pandangan ulama Islam. Pengetahuan tentang etika menjadi suatu
obor kepada apa yang seharusnya dilakukan oleh manusia dengan menunjukkan jalan
benar yang patut ditujuinya. Secara amnya, etika itu merupakan peraturan masyarakat
yang mengandungi tatahukum, tatasusila, dan tatatertib dalam kehidupan seharian
masyarakat.
Pengertian moral, bermula dari segi bahasa pula ialah “Ethikos” dalam Bahasa
Yunani yang bermakna adat istiadat, keghaliban, tabiat, atau watak. Menurut Bahasa Latin
pula, moral disebut sebagai “Mos” atau “Mores” yang bererti watak, tingkah laku, tabiat,
atau adat istiadat. Tambahan pula, moral dikenali sebagai “akhlaq” dalam Bahasa Arab,
iaitu perilaku yang baik dan adab yang sopan. Di samping itu, dalam Bahasa Melayu yang
kita gunakan saban hari, perkataan moral boleh disilihgantikan dengan akhlak yang
bermaksud budi pekerti dan sopan-santun.
Fahaman moral juga boleh disabitkan dari segi istilah, iaitu sesuatu yang
menentukan batas-batas perbuatan, sifat, perangai, pendapat, atau perbuatan yang
dikatakan benar, salah, betul atau tidak, baik atau buruk berdasarkan pandangan semua
pihak.
2.
Di nusa kita ini, Malaysia yang menjadi wadah tumpuan antarabangsa oleh sebab
kepelbagaian kaum, budaya, agama, dan latar belakang rakyatnya memerlukan satusatunya elemen yang amat mustahak, iaitu semangat perpaduan antara kaum yang erat
bagi mengekalkan suasana aman sejahtera dan toleransi dalam lapisan masyarakat yang
berbilang kaum. Adalah menjadi cabaran yang merintang saban hari bagi kita sebagai
rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan pangkat, baik rakyat biasa mahupun menteri
untuk memantapkan perpaduan kaum serta membendung isu perkauman yang sungguh
mudah tercetus. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan punah perpaduan dalam
masyarakat berbilang kaum, nescaya pelbagai implikasi negatif akan menimpa
masyarakat dan juga negara. Oleh sebab itu, semua pihak haruslah berganding bahu
dalam mengorak langkah memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia.
Antara pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan bagi memupuk perpaduan
antara kaum ialah meluaskan penganjuran rumah terbuka untuk menyambut perayaanperayaan pelbagai kaum di Malaysia. Seperti amalan kunjung-mengunjung ke rumah
apabila menjelang musim perayaan, menerusi rumah terbuka, orang ramai akan
menghadirkan diri dan mengintimkan hubungan mereka dengan masyarakat yang
mempunyai pelbagai kaum melalui interaksi. Mereka akan menerbitkan perasaan hormatmenghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain serta mewujudkan satu
persefahaman dalam kehidupan komuniti yang dikongsikan bersama. Di samping itu,
budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila dapat mengikiskan perasaan syak
wasangka antara kaum di Malaysia.
Bukan sahaja melalui rumah terbuka perayaan-perayaan kaum di Malaysia, malah
menggalakkan anak-anak belajar di sekolah kebangsaan. Penerapan perpaduan kaum
mestilah bermula sejak kecil lagi supaya dapat mencapai tahap yang maksima atau mudah
bergaul mesra dengan orang yang berbeza kaum apabila seseorang itu sudah besar, seia
sekata persis peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sistem pendidikan
merupakan satu jalan komunikasi yang pintas untuk merealisasikan hasrat ini. Pengenalan
satu sistem pendidikan yang seragam oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah
mewujudkan perpaduan kaun. Selain itu, sekolah wawasan yang menempatkan tiga jenis
sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan cina, dan sekolah jenis
kebangsaan tamil juga mempercepat proses perpaduan kaum. Misalnya, aktiviti kumpulan
yang dijalankan dapat memperkasakan hubungan kaum di peringkat sekolah. Selain itu,
penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara kita menjadi bahasa
perantaraan di sekolah-sekolah kebangsaan turut membuka ruang kepada pelbagai kaum
untuk berinteraksi antara satu sama lain.
Tidak dilupakan juga ialah usaha menggiatkan diri dalam aktiviti gotong-royong.
Aktiviti gotong-royong tidak kiralah sama ada diadakan di kawasan kediaman, sekolah,
pejabat merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan untuk
bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Secara tidak langsung juga, aktiviti ini
dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan
kawasan persekitaran. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah
kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan
sebagainya. Aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang
sukar dilakukan ibarat kata peribahasa “yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing” serta “ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni”. Sinergi yang dilaburkan
dalam aktiviti kemasyarakatan juga dapat menghapuskan sikap mementingkan diri yang
tertanam di dalam sanubari masyarakat.
Selanjutnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan secara konsisten juga
boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan
dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia.
Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli
sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permainan bola
sepak, badminton, sepak takraw, bola keranjang dan sebagainya. Dengan bermain
bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan sudah pastinya akan dapat
mewujudkan
semangat
muhibah
antara
kaum.
Kita
seharusnya
menggamit
kecemerlangan bersama-sama tanpa melihat warna kulit kerana kita semua adalah rakyat
Malaysia.
Satu lagi langkah mujarab yang boleh memartabatkan perpaduan antara kaum
ialah melalui sambutan Hari Kebangsaan. Sebagaimana yang telah diketahui tanggal 31
Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sesungguhnya Hari
Kebangsaan membuka satu jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia.
Lazimnya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun
dalam acara lintas hormat, kawat kaki, perarakan jalan, tarian tradisional, perhiasan
kereta dan sebagainya. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat
menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Rakyat yang di bawah identiti 1Malaysia akan berkumpul bersama-sama tanpa mengira
bangsa dan menghayati lagu Negaraku dimainkan serta mengenang budi dan
pengorbanan tokoh-tokoh merdeka.
3.
Izharnya orang Asia seantero memang terkenal dengan budaya rendah diri dan
hormat-menghormati di mata dunia. Oleh kerana Malaysia terletak di benua Asia, maka
kita sebagai orang Asia tidak terkecuali daripada sifat intrinsik ini. Bentuk nilai etika yang
boleh didapati dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat
Melayu, Cina, India dan masyarakat bumiputera Sabah dan Sarawak ialah hidup bersatupadu. Sejak azali lagi masyarakat majmuk yang mencakupi komposisi tiga kaum utama
yakni kaum Melayu, Cina, dan India memperlihatkan etika hidup bermuafakat di dalam
satu komuniti yang sama. Selain itu, masyarakat majmuk Malaysia juga mengamalkan
etika menghormati perbezaan agama orang lain. Sikap toleransi amat mustahak
khususnya di negara yang berbilang kaum seperti Malaysia kerana ia menentukan
kesinambungan hubungan persaudaraan antara kaum dan merupakan teras keutuhan
negara. Jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak menghormati, bertolak ansur, serta
memahami budaya, adat resam, dan kepercayaan kaum lain, hal ini mampu menjurus
kepada permusuhan antara kaum seperti yang berlaku dalam peristiwa hitam rusuhan
kaum 13 Mei 1969.
Di samping itu, etika masyarakat majmuk di Malaysia yang juga ketara ialah sikap
mengambil berat. Masyarakat Malaysia tidak kiralah sama ada Melayu, Cina, India, dan
lain-lain memang suka menunjukkan sikap ambil berat akan perasaan atau keadaan orang
lain. Mereka berasa susah hati sekiranya tidak menolong orang yang kelihatan
menghadapi kesusahan. Mereka akan bermula dengan bertanyakan masalah orang dan
apa yang boleh dilakukan untuk meringankan bebannya. Dengan adanya sikap ingin tahu
atau bertanyakan masalah orang lain, secara tidak langsung dia juga akan berkenalan
dengan kawan baru yang hendak dibantunya itu. Bukan sahaja itu, malah masyarakat
majmuk di Malaysia boleh dilihat sebagai masyarakat yang sarat dengan adat resam dan
pantang larang masing-masing. Adat istiadat kaum masing-masing menjadi warisan yang
wajib diperturunkan sejak zaman nenek moyang mereka dan dianggap tidak menghormati
sesuatu adat sekiranya tidak mengamalnya. Sebagai contoh, orang Cina mementingkan
keluarga, kekayaan, dan kerjaya. Bagi menjamin kesejahteraan institusi keluarga,
menggapai kekayaan, serta merealisasikan kerjaya yang diazamkan itu, mereka perlu rajin
menimba ilmu dan mempelajari pengetahuan yang baharu dalam soal pendidikan. Etika
orang Cina tersebut menjadi pengetahuan umum orang ramai di Malaysia.
Sementelahan itu, masyarakat majmuk di Malaysia yang terdiri daripada
masyarakat Melayu, Cina, India, dan bumiputera Sabah dan Sarawak memperlihatkan nilai
etika garap melibatkan diri dalam politik negara. Ia adalah benar bahawa setiap
warganegara Malaysia tertakluk kepada hak-haknya yang sudah ditetapkan dalam
Perlembagaan Malaysia, iaitu undang-undang tertinggi yang menjadi tonggak kedaulatan
negara kita. Setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum boleh menyumbang
kepada pembangunan negara di bawah satu sistem politik yang sama. Justeru, bukan
kerajaan sahaja yang amat berkuasa dalam mengendalikan negara, bahkan kita sebagai
rakyat turut memainkan peranan yang penting dalam hal tersebut. Kita sebagai
warganegara Malaysia berhak mengundi untuk memilih kerajaan yang boleh kita menaruh
harapan dan mementingkan rakyatnya. Apabila timbulnya sebarang kontroversi yang
membabitkan
kerajaan,
rakyat
yang
berbeza
ideologi
politik
seringkali
akan
mempertahankan kerajaan atau parti politik yang disokongi mereka sehingga lebih buruk
lagi berlaku pertumpahan darah yang amat serius. Tidak pastilah sama ada pendirian
rakyat untuk menyokong sesuatu parti politik walaupun baik ataupun durjana adalah
didorong oleh perkauman, tetapi apa yang sudah tentu adalah masyarakat majmuk
Malaysia memiliki etika taat setia kepada perintis tanah air mereka. Bentuk nilai etika yang
boleh didapati dalam masyarakat majmuk Malaysia yang terakhir ialah suka menjalankan
tugas kemasyarakatan. Masyarakat majmuk Malaysia gemar menceburi perkhidmatan
awam dan kerja amal seperti RELA, 1M4U, Persatuan Bulan Sabit Merah dan sebagainya.
Melalui perkhidmatan awam ini, mereka dapat menerapkan semangat bertanggungjawab
dalam kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil
yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti. Mereka juga
dapat menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara serta
peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat.
4.
Ya, saya berpendapat bahawa kita dapat melihat penerapan nilai etika bersama
dalam pembinaan negara bangsa melalui contoh-contoh amalan kebudayaan masyarakat
di Malaysia pada hari ini. Umpamanya dari segi pakaian, semasa bertandang ke rumah
sabahat pada hari perayaan, tetamu yang berbeza kaumnya akan memakai pakaian
tradisional mengikut kaum sahabatnya itu. Contohnya, Sebastian yang berbangsa Cina
memakai baju Melayu semasa menghadiri rumah terbuka Haziq pada Hari Raya Aidilfitri
pertama. Ini membuktikan bahawa Sebastian telah menjalani proses akulturasi dengan
jayanya dan ini sudah pastinya akan membuka mata masyarakat majmuk di Malaysia
untuk menghargai hubungan perpaduan antara kaum. Selain itu, penerapan nilai etika
bersama di Malaysia dari segi makanan dan minuman dapat dilihat ketika sekumpulan
rakan sekerja yang terdiri daripada tiga kaum utama menjamu selera bersama-sama pada
waktu rehat. Tan dan Rajoo akan makan menggunakan tangan sepertimana cara
memakan tradisional Halimi yang berbangsa Melayu. Sementelahan itu, penerapan nilai
murni bersama dapat dicapai apabila semua kaum di nusa ini menggunakan satu bahasa
yang menyatukan mereka sebagai rakyat Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan, Bahasa
Melayu. Tidak dapat dinafikan bahawa Bahasa Melayu itu bahasa jiwa bangsa kerana
bahasa tersebut berperanan sebagai medium komunikasi yang membantu menggilap
perpaduan antara kaum. Bahasa Melayu juga mudah difahami oleh semua kaum yang
lahir di nusa ini berbanding Bahasa Inggeris yang agak rumit dan bukan semua individu
fasih. Dengan itu, seseorang yang kurang bijak bertutur dalam Bahasa Inggeris akan
menyisihkan dirinya daripada sekelompok orang yang suka berkomunikasi dalam bahasa
tersebut. Oleh itu, adalah wajar jika kita semua menggunakan bahasa kebangsaan kita
mengikut kesesuaian masa dan tempat supaya tidak menjamin kekangan daripada
menjalinkan hubungan erat antara kaum. Tidak kurang pentingnya juga, dari segi
kebudayaan nilai etika bersama turut dapat disemai dalam diri setiap kaum. Caranya ialah
menerusi proses akulturasi dan asimilasi di mana sesuatu budaya kaum di Malaysia
dikongsikan bersama kaum lain. Misalnya, dalam satu rumah tetangga yang dihuni oleh
tiga kaum utama menerima budaya kaum yang berbeza. Ada kalanya juga sesuatu kaum
bersama-sama menyambut hari kebesaran atau perayaan rakannya yang berbeza kaum.
Bagi menghormati budaya atau tidak mengguris perasaan kaum lain, seseorang yang
berbeza
kaum
juga sanggup
mengamalkan budaya kaum
lain.
Di
Malaysia,
pengasimilasian budaya adalah memberangsangkan berbanding dengan negara-negara
yang hanya terdapat satu jenis ras sahaja. Oleh itu, prinsip 1Malaysia diwujudkan bagi
memperkenalkan budaya masing-masing dengan lebih mendalam dan menggalakkan
penyertaan semua kaum dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan yang diadakan.
Bukan sahaja itu, malah nilai etika bersama juga dapat ditinjau menerusi perayaan.
Semasa hari perayaan sesuatu kaum, semua orang yang berbeza kaum akan
mengamalkan amalan ziarah-menziarahi ke rumah kawan. Dengan berkunjung ke rumah
terbuka kaum lain, kita dapat memahami, menghormati agama, kebudayaan serta adat
resam kaum terbabit dan sekali gus hubungan sesama kaum dapat diperkukuhkan, bak
kata pepatah “tak kenal maka tak cinta”. Kita seharusnya bersyukur berpeluang
merayakan semua perayaan di negara ini dan sesuatu perayaan tersebut bukan hanya
tertumpu kepada kaum yang meraikan perayaan itu sahaja. Percaya atau tidak, aspek
politik juga menjadi salah satu faktor penerapan nilai etika bersama. Ini dapat dibuktikan
dengan kerjasama tiga kaum utama dengan kaum-kaum bumiputera Sabah dan Sarawak
dalam parti-parti politik Malaysia. Semua kaum diberikan kuasa berpolitik seperti yang
termaktub dalam Perlembagaan Malaysia (dengan adanya konsep timbal balik) demi
pembangunan negara dari segi politik, sosial, dan ekonomi negara. Sesuatu kaum tidak
hanya menumpukan perhatiannya terhadap kaumnya sendiri malah juga menghulurkan
bantuan kepada kaum lain yang memerlukan bantuan. Benarlah bahawa tiada satu etnik
dapat berdiri sendiri dalam memegang pucuk pemerintahan negara yang berbilang kaum
melainkan melalui kerjasama antara pelbagai etnik agar tiada kelompok dianiayai oleh
percaturan kuasa dan politik sempit. Tambahan pula, nilai etika bersama juga dapat dilihat
menerusi dari segi sosial. Ambil situasi ini sebagai contoh, di sekolah, tiga orang sahabat
yang berbeza kaum bergabung tenaga dalam satu kumpulan untuk berbincang untuk
tugasan kolej mereka. Kerjasama dalam menyelesaikan sesuatu masalah perlu dilakukan
tanpa melihat warna kulit sekiranya kita berhasrat untuk berjaya kerana di situlah kita
dapat berkongsi maklumat dan idea yang berbeza lagi bernas dari perspektif sesuatu
kaum yang tidak diketahui oleh kaum lain. Nilai etika bersama juga dapat ditinjau
menerusi kekeluargaan. Integrasi nasional negara dapat dicapai melalui pengajuran
aktiviti hari keluarga. Hari keluarga merupakan aktiviti yang sihat yang wajar menjadi
kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti hari keluarga boleh disertai oleh semua lapisan
masyarakat dalam sesebuah taman atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama
kaum.Hari keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan
berhampiran tempat tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah
tempat perkelahan. Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti
yang dijalankan. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan
berkomunikasi dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang untuk
melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah.
Penerapan nilai etika bersama juga berlaku dalam aspek pendidikan. Dengan adanya
sistem pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum dan penggunaan Bahasa Melayu
sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan dalam
kalangan pelajar. Apabila pelajar berbilang kaum di peringkat awal didedahkan dengan
kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah rendah lagi, usaha untuk membentuk satu
masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Di sekolah, para pelajar yang berbilang kaum akan berinteraksi, bergaul , bermain dan
sebagainya semasa melakukan aktiviti-aktiviti luar seperti Pendidikan Jasmani dan
Kesihatan dan aktiviti kokurikulum. Dengan kaedah ini, generasi Malaysia yang lebih
bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu, menerusi
sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan,
sifat perpaduan kaum dapat dipupuk dalam kalangan pelajar.
5.
Kendatipun hampir mencecah enam dekad Malaysia dengan rakyatnya yang
berbilang kaum lepas dari himpitan penjajah British dan Jepun, masih ada segelintar
masyarakat yang tegar tidak melenyapkan sifat berprasangka buruk atau prejudis
terhadap kaum lain. Walaupun hidup bercampuran di dalam satu komuniti, namun ada
yang tidak berkomunikasi langsung antara kaum, mungkin atas sebab bimbang
menyinggung perasaan apabila tersilap mengeluarkan kenyataan, khuatir dimarahi atau
dibalas secara kasar, tidak menyenangi sesuatu kaum oleh sebab gaya amalan
budayanya, didorongi oleh sikap ethnocentrisme iaitu merasakan kaum sendiri adalah
lebih dominasi atau hebat daripada kaum lain, berfikiran konservatif dan menganggap
masa kini adalah sewaktu Malaysia masih dijajah dan disegregasikan mengikut dasar
pecah dan perintah, melalui pengalaman “culture shock” dan seumpamanya. Rakyat
Malaysia yang benar-benar berpatriotik, berjiwa bangsa, dan menyanjung tinggi
semangat kekitaan atau ukhuwah mudah bercampur dengan etnik-etnik yang lain yang
juga digelar sebagai rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, ada sedikit konflik moral yang
agak sukar dikikiskan sehingga hari ini. Dengan adanya timbunan masyarakat yang
berbeza kaum, agama, dan latar belakang, tidak dapat dinafikan bahawa mesti adanya
percanggahan ideologi atau pemikiran antara kaum.
Antara inisiatif yang boleh diambil oleh masyarakat untuk membina semula
keutuhan semangat kekitaan serta membawa masyarakat dan negara ke arah
kesejahteraan hidup ialah menghargai perkahwinan campur. Perkahwinan campur
merupakan proses memupuk perpaduan antara kaum yang paling bagus dan dikenali
sebagai amalgamasi. Proses ini berlaku apabila budaya atau ras bercampur untuk
membentuk jenis budaya dan ras baru. Dengan ini, dua belah pihak dapat memahami
budaya kaum masing-masing lalu konflik moral tidak berlakulah dan akan menjadi amanat
kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Generasi yang lahir dari perkahwinan campur
juga tidak bersikap perkauman dan berfikiran terbuka terhadap budaya kaum lain.
Sehubungan dengan itu, konflik moral juga boleh diatasi dengan mengadakan
persembahan kebudayaan yang mempersembahkan tarian tradisional setiap kaum. Setiap
kaum diberi peluang untuk mempersembahkan aksi-aksi Semasa acara tersebut, semua
orang dari pelbagai lapisan masyarakat akan datang menyaksikan tarian tradisional dan
menghargai kepelbagaian kaum di Malaysia.
Tambahan pula, konflik moral juga boleh dihapuskan melalui penerbitan artikel
khas oleh pakar antropologi di akhbar. Artikel sedemikian yang akan menjadi tatapan
umum akan menjelaskan tentang tingkah laku, pemikiran, gaya hidup, dan nilai etika yang
dipraktikkan oleh sesuatu kaum. Maklumat itu tidak bolehlah berbau perkauman tapi
bersifat hakikat dan hanya menyentuh benda yang positif sahaja. Selain itu, penyusunan
semula untuk memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi di antara kumpulan etnik patut
dilaksanakan oleh kerajaan. Masyarakat kaum lain harus dididik untuk membina daya
saing dalam sektor ekonomi agar dapat bersama-sama berkongsi kejayaan dan mendapat
persamaan hak seperti dalam etika masyarakat Cina di mana mereka bekerja keras untuk
menguasai kekayaan dalam sektor ekonomi. Bukan sahaja itu, malah mempunyai
pegangan kuat akan agama masing-masing akan mengajar diri kita untuk menghormati
umat-umat manusia yang lain. Dalam agama Islam, perbezaan agama tidak menafikan
hak seorang Muslim untuk menghormati saudaranya yang berbeza agama. Asas kepada
penglibatan seseorang Islam dengan orang bukan Islam ialah selagi ia tidak berkonflik
dengan hal-hal akidah dan upacara peribadatan maka ia adalah harus.
Download