LAPORAN REFLEKSI INDIVIDUAL LMCK 1531 KEPIMPINAN DAN KREATIVITI Nadrah binti Sarafi (A178229) Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan izin-Nya dapat saya dan rakan sekumpulan telah berjaya menamatkan salah satu kerja kursus bagi memenuhi tugasan subjek wajib fakulti iaitu Kepimpinan dan Kreativiti bagi semester 1. Bagi memenuhi tugasan ini, kami telah memilih Organisasi Komuniti Kelas Kaseh dan telah mengadakan program dan aktiviti pada 3 November 2019. Melalui program kelas kaseh yang telah dijalankan ini, saya telah mendapat banyak input dan pengetahuan baru serta pengalaman yang berharga terutama dari aspek kepimpinan dan kreativiti. Dari segi kepimpinan, saya dapat belajar cara untuk berkomunikasi dengan professional dengan badan organisasi dan rakan sekumpulan. Dalam tempoh untuk merancang aktiviti ini, saya telah berhubung dengan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Sukarelawan Malaysia (MVM) dan juga pihak Kelas Kaseh melalui email, akaun Instagram dan aplikasi Whatsapp. Salutasi yang betul, cara menulis email dan bercakap dengan formal adalah penting bagi mewujudkan hubungan yang baik antara kami dan pihak organisasi yang lain. Seterusnya, bakat kepimpinan saya dapat diasah apabila saya diarahkan oleh pihak Kelas Kaseh untuk bercakap di hadapan khalayak ramai untuk menerangkan aktiviti kami iaitu “Carrot Building” semasa kelas Matematik. Ini merupakan satu pengalaman yang baru bagi saya tetapi saya berjaya memperjelas aktiviti tersebut dengan baik kepada pelajar. Selain itu, sebagai setiausaha program, saya memainkan peranan utama dalam menyiapkan kertas kerja untuk memastikan program dirancang dengan jelas dan rapi. Sepanjang program Kelas Kaseh berlangsung, saya menjadi seorang pendidik Bahasa Inggeris dan Matematik kepada pelajar dan saya sedar pendidik tidak hanya mengajar tetapi juga merupakan pemimpin. Saya harus merancang apa yang perlu saya ajar, menyampaikannya dengan efektif, mengawal situasi sekeliling dan menilai pelajar tersebut. Saya percaya seorang pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berkerjasama dan dapat mengatasi masalah dengan baik. Masalah yang kami hadapi ialah kami tidak sampai ke perkampungan Orang Asli yang betul iaitu Kg. Sungai Buah. Kami berjaya mengatasi masalah tersebut dengan bertanya kepada orang sekeliling kami dan menuju ke perkampungan yang sepatutnya dan tiba sebelum program bermula. Aspek kreativiti juga penting untuk diterapkan dalam kehidupan seharian supaya berupaya mencipta idea-idea baru yang berguna. Program ini melatih kami sebagai pendidik untuk berfikir secara kreatif dalam menyampaikan matematik dengan lebih berkesan. Melalui aktiviti ‘Carrot Building’, ia telah melatih pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Aktiviti ini memerlukan pelajar untuk membina bangunan dengan menggunakan lobak merah dan lidi bersyaratkan bentuk pentagon, kiub dan piramid. Aktiviti ini melibatkan beberapa proses pembelajaran penting seperti pencarian fakta, pencarian punca masalah, pencarian idea dan akhirnya penemuan penyelesaian yang kesemuanya merangsang daya kreativiti murid dan sukarelawan. Bangunan yang dihasilkan pelajar telah membuka mata saya kerana ia merupakan sesuatu di luar kebiasaan kerana mereka berjaya menghasilkan kincir angin, masjid dan rumah yang berdiri dengan stabil. Saya juga belajar untuk memantapkan penggunaan kreatif dalam bilik darjah, saya perlu menggalakkan pelajar untuk menggunakan alat berfikir seperti peta minda dan jadual untuk membantu mereka dalam memahami grammar Bahasa Inggeris. Tahap kreativiti saya juga diasah ketika menjalankan tugas sebagai AJK multimedia untuk merakam dan menyunting video. Terdapat beberapa nilai yang saya perolehi sepanjang program Kelas Kaseh berlangsung. Antaranya ialah nilai tanggungjawab, sebagai seorang pemimpin saya perlu bertanggungjawab dalam memastikan program berjalan dengan lancar dan mancapai objektif dan matlamat program. Selain itu, nilai berkerjasama telah saya terapkan dalam diri saya bukan sahaja dengan ahli kumpulan malah dengan sukarelawan yang lain. Saya juga dapat mengeratkan hubungan dengan pihak koordinator Kelas Kaseh, pelajar dan sukarelawan dari universiti lain dengan mendekati mereka ketika waktu kerja berkumpulan dan ketika rehat. Kesimpulannya, program ini telah membantu saya untuk menjadi seorang pemimpin yang baik dan mempunyai nilai untuk bekalan di masa akan datang. Saya juga lebih faham tentang konsep kepimpinan dan kreativiti yang disyorkan oleh pensyarah. Sesungguhnya pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang baru dan berharga kerana saya tidak pernah menjadi seorang pendidik lagi. Akhir kata, semoga saya dan rakan sekumpulan saya dapat mempraktikkan segala input yang kami perolehi sepanjang program ini dalam kehidupan sebagai seorang pelajar universiti dan juga ketika berkerja di masa hadapan.