Uploaded by dalilah ajlaa

REFLEKSI CONSULTATION - AJLAA

advertisement
FAKULTI KOGNITIF SAINS DAN PEMBANGUNAN MANUSIA
KMC 3073 : PERUNDINGAN KAUNSELING
(CONSULTATION)
REFLEKSI
NAMA : NUR DALILAH AJLAA BT MOHD TAUFEK
NO MATRIK : 57183
PENSYARAH : EN MOHD RAZALI BIN OTHMAN
TARIKH PENGHANTARAN : 19/5/2019 (AHAD)
1.0 PENGENALAN
Kursus perundingan kaunseling merupakan satu kursus yang memberikan
pendedahan tentang konsep dan kaedah perundingan dalam bidang kaunseling. Proses
perundingan dan kaunseling merupakan dua bidang yang mempunyai asas yang sama
iaitu berasaskan konsep memberi bantuan kepada yang memerlukan dan ini memberi
kelebihan kepada para kaunselor kerana kaunselor telah mempunyai asas dalam
kemahiran memberi bantuan yang professional dalam bidang kaunseling. Oleh itu ,
kaunselor dapat menggunakannya dalam membantu pihak yang memerlukan dalam
bentuk perundingan dan intervensi.
Di dalam kursus perundingan ini , terdapat pembelajaran yang di jalankan di
dalam kelas, perjumpaan dan perbincangan secara berkelompok bersama pensyarah
dan juga menjalankan tugasan kumpulan iaitu mengadakan program intervensi di
organisasi yang di pilih.
2.0 REFLEKSI
2.1 REFLEKSI KULIAH
Pembelajaran di dalam dewan kuliah merupakan proses di mana pensyarah
memberikan pendedahan tentang apa itu perundingan dan menerangkan lebih lanjut
cara menjalankan perundingan. Di dalam kuliah, pensyarah ada memberi pengetahuan
melalui slide, dan menggunakan aktiviti di dalam kumpulan. Pada pendapat saya,
dengan adanya aktiviti di dalam kumpulan , saya dapat lihat dengan lebih jelas
bagaimana untuk mengendalikan aktiviti untuk kumpulan peserta yang terdiri
daripada jumlah yang besar. Perkara yang paling saya ingat dan tertarik ialah cara
untuk membuatkan peserta aktif dalam sesuatu aktiviti yang diadakan dengan cara
menggunakan sistem pemarkahan dalam kumpulan. Saya dapat lihat bagaimana setiap
kumpulan yang terdiri daripada rakan-rakan kelas saya yang pada awalnya
mempunyai respon yang lemah terhadap aktiviti yang diadakan, menjadi lebih aktif
apabila mereka tahu bahawa setiap aktiviti mempunyai markah. Hasil daripada sistem
pemarkahan tersebut membuatkan peserta lebih aktif dan fokus dengan tugasan yang
diberi. Selain itu di dalam aktiviti ini juga , pensyarah menetapkan waktu dan syarat
yang perlu dipatuhi, saya lihat yang setiap kumpulan berusaha untuk memenuhi setiap
syarat yang ditetapkan.
Selain itu juga, pensyarah juga berkongsikan pengalaman dan realiti sebenar
proses perundingan. Melalui perkongsian daripada pensyarah, saya dapat lihat yang
proses perundingan bukanlah satu proses yang boleh di pandang ringan. Setiap
perunding itu perlu menyiapkan diri dengan kemahiran interpersonal dan bijak
mengatur stategi dalam memasarkan perkhidmatan perundingan.
2.2 REFLEKSI PERJUMPAAN
Perjumpaan bersama pensyarah merupakan salah satu cara pembelajaran. Waktu
perjumpaan bersama pensayarah ini merupakan peluang yang diberikan untuk
memberi tahu perkembangan di dalam menyelesaikan tugasan kumpulan. Melalui
perjumpaan bersama pensyarah, isu-isu yang timbul semasa menyiapkan tugasan
kumpulan akan dibincangkan. Pada pengalaman saya, saya merasakan yang
perjumpaan ini sangat membantu pelajar dalam mengetahui cara yang boleh
dilakukan untuk mengatasi sesuatu isu yang timbul kerana pensyarah dapat
memberikan respon , idea dan bantuan yang terus untuk para pelajar mencari jalan
keluar daripada isu tersebut.
Selain daripada membincangkan isu yang timbul semasa menjalankan tugasan,
melalui perjumpaan bersama pensyarah , membolehkan pensyarah menyemak
perkembangan dan persediaan yang dibuat oleh setiap kumpulan sebelum pergi ke
organisasi untuk melaksanakan intervensi. Pada pendapat saya , saya sangat setuju
dengan pendekatan ini kerana pensyarah dapat memberikan idea dan cara untuk
memperbaiki slide dan penyampaian maklumat kepada peserta program. Dengan
adanya pendekatan ini , saya dan rakan-rakan dapat memperbaiki aspek yang kurang
sebelum kami mengadakan program di organisasi.
2.3 REFLEKSI INTERVENSI
Mengadakan program intervensi di organisasi merupakan tugasan utama yang
wajib disempurnakan oleh setiap pelajar. Melalui tugasan ini, pelbagai perkara yang
saya pelajari. Terdapat pahit dan manis saya dan kumpulan dalam menyiapkan
tugasan ini. Tugasan ini memberikan pendedahan kepada saya tentang proses dan cara
untuk mengendalikan program intervensi bermula dari mengenal pasti organisasi yang
berpotensi untuk kami mengadakan program intervensi, berhubung terus dengan
pihak organisasi , melakukan urusan surat rasmi , membuat perbentangan pitching di
organisasi untuk mempromosi dan mendapatkan persetujuan organisasi dan
melaksanakan program intervensi di organisasi. Saya akui yang kursus ini , bukanlah
satu kursus yang mudah. Terdapat pelbagai pengalaman yang saya perolehi. Kami
pernah ditolak daripada dua organisasi sebelum berjaya melaksanakan program.
Proposal kami pada awalnya dihantar kepada pihak INTAN, Kota Samarahan dan
Lembaga Koko , Kota Samarahan. Kedua- duanya menolak proposal kami dengan
alasan yang berbeza.
1) Lembaga Koko - mumpunyai kakitangan yang kurang dan kurang dana untuk
mengadakan program latihan untuk staff. Selain itu juga , proses untuk mendapatkan
persetujuan mengambil masa yang lama kerana persetujuan program perlu dibuat di
pejabat di peringkat pusat iaitu di cawangan Sabah. Oleh itu , proposal kumpulan
kami akhirnya ditolak.
2) INTAN - pihak INTAN merasakan cadangan program yang kami tawarkan
sudah terdapat di INTAN sendiri, selain itu, mereka myatakan bahawa mereka tidak
memerlukan program intervensi kerana mereka tidak mempunyai isu di dalam
organisasi mereka.
Selepas kali kedua kami ditolak, kami cuba sekali lagi dengan pihak RTM,
akhirnya pihak RTM bersetuju dengan cadangan program yang kami tawarkan dan
memberika kerjasama yang sangat baik kepada kami.
Semasa melaksanakan program intervensi di RTM, pada awalnya saya merasakan
agak gementar kerana ini merupakan pengalam pertama saya mengadakan program
bersama peserta yang dewasa dan berkerjaya. Namun, apabila sudah mengenali
peserta dan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dewan di RTM, saya lebih
selesa dan merasa lebih yakin untuk menyampaikan modul. Respon yang kami
perolehi sepanjang program 2 hari kami di sana sangat positif. Apabila saya
menyampaikan modul di hadapan peserta , saya merasa sangat seronok kerana saya
dapat berinteraksi terus dengan semua peserta yang hadir. Melalui penyampaian
modul juga , saya sangat bersyukur kerana setiap aktiviti yang saya rancang untuk
dilaksanakan di dalam modul menjadi dan mendapat sambutan yang baik daripada
semua peserta.
3.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, kursus perundingan ini mengajarkan saya tentang proses
perundingan bermula dari awal hingga lah akhir. Pelbagai isu yang kami telah hadapi,
dan setiap isu tersebut mengajarkan kami untuk tidak mengalah dan putus asa , malah
membuatkan kami untuk meletakkan lebih usaha untuk menyelesaikan isu tersebut.
Saya sangat bersyukur dengan adanya kursus ini, saya lebih faham dan mendapat
pengalaman yang berharga dan akan saya simpan setiap pengalaman pahit dan manis
dalam melaksanakan tugasan program intervensi ini sebagai bekalan untuk saya di
masa hadapan kerana ini merupakan titik tolak pertama saya melaksanakan program
intevensi dan terlibat sepenuhnya di dalam setiap proses untuk menjayakan program.
Selain itu , saya juga sedar , untuk menjadi seorang perunding memerlukan semangat
yang kental , kemahiran interpersonal yang bagus dan mempunyai strategi yang jelas.
Seorang perunding juga perlu bersikap proaktif , kreatif dan inovatif dalam merencana
program intervensi supaya program yang dilaksanakan dapat memberikan impak
kepada organisasi.
Download